style="text-align: center"

Selasa, 31 Julai 2012

KEK FRUIT FLAN


Salam bahagia buat semua...

Kek Fruit Flan yang tidak berapa lengkap buahnya. Pada kebiasaannya diletakkan buah kiwi untuk memberikan warna hijau pada hiasan kek.Tapi pada masa saya ingin membuatnya,puas mencari buah kiwi tak ada yang berkenan di hati kerana kebanyakkannya sudah hampir rosak(pasaraya kecil). Kita buat sajalah dengan stok buah yang ada.Harga kek ini di kedai kek boleh tahan juga.
























KEK FRUIT FLAN
Sumber:Kelas baking Sweet Berry


Bahan kek sponge(A)

  • 250 gm.sponge mix
  • 5 biji telur B(gred A 4 biji)
  • 75 ml.air
Bahan B
  • 75ml.minyak
Topping
  • 200 gm non-diary whipping cream
  • Hiasan Buah strawberry, kiwi, anggur, peach (ikut suka)
  • golden syrup- untuk di sapu atas buah

Cara membuat kek span

  • Putar bahan A sehingga kembang.Mula-mula guna low speed dan naikkan ke high speed dan putar selama 5 minit.
  • Selepas 5 minit buat medium speed dan putar selama 1 minit lagi.
  • Kemudian perlahan-lahan masukkan bahan B dan kacau sebati.
  • Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan bakar di dalam dua loyang yang telah di alas dengan baking sheet.
  • Bakar selama 30-35 minit pada suhu 180'C bergantung oada oven masing-masing.
Topping
  • Putar non-diary whipping cream dengan high speed sehingga soft peak kemudian tukar ke medium speed.
  • Lapisan pertama: Ambil satu lapisan kek, sapukan dengan whip cream hingga rata.Letakkan buah -buahan di tengahnya .
  • Lapisan kedua : Ambil satu lapisan kek dan ulangi langkah yang sama seperti lapisan pertama.
  • Sapukan seluruh kek dengan whip cream.Hiaslah mengikut kreativiti sendiri.
  • Sapukan buah-buahan dengan golden syrup supaya nampak berkilat.
  • Tepi kek juga boleh di hias dengan almond slices yang di bakar terlebih dahulu.






Isnin, 30 Julai 2012

CURRY PUFF


Salam bahagia buat semua yang membaca.... 

Curry puff ini senang di buat,cepat di makan kerana saya menggunakan Puff pastry ready made.Ia amat rangup sekali dan sedap di makan bersama secawan Nescafe.
Langkah-langkah membuatnya saya tunjukkan di sini.Resipinya adalah dari blog Tiffin biru.Tq.

CURRY PUFF
Sumber:blog Tiffinbiru.

Bahan-bahan
  • 2 biji ubi kentang saiz sederhana
  • 1 keping daging burger ayam/daging kisar
  • 1 biji bawang holland saiz sederhana-dadu kecil
  • 2 ulas bawang putih-cincang halus
  • 2 keping hirisan halia muda-cincang halus
  • 1/2 sudu besar cili kisar
  • 1/2 sudu besar rempah kari daging
  • 1 tangkai daun kari
  • 1/2 cawan air
  • garam dan gula secukup rasa
Bahan lain
  • 1 paket puff pastri jenama Kawan(10 keping saiz 4x4 inci)
  • 1 biji telur-kacau sedikit untuk sapu
  • serbuk lada hitam secukupnya
  • bijan secukupnya

Cara membuat intinya
  • Kentang di kupas,cuci dan dadu kecil,rebus hingga empuk dan toskan.
  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar,bawang putih,halia dan daun kari hingga harum.
  • Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.Tambah rempah kari,kacau dan tuangkan air.
  • Masukkan daging burger/daging cincang(hancurkan terlebih dahulu),kacau rata dan masukkan kentang.
  • Tambahkan garam,gula secukup rasa.Masak hingga kering.Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat dan sejukkan.

Untuk curry  puff 
  • Ambil sekeping puff pastri ,biar puff pastri itu sejuk sedikit.Jangan biarkan lama pada suhu bilik kerana ia akan susah di bentuk.
  • Taburkan sedikit tepung di atas papan dan canai biar ia nipis sedikit.Saya tidak mencanainya.
  • Buatkan bentuk segi tiga seperti dalam gambar.
  • Letakkan satu sudu besar inti di tengah-tengahnya.Saya telah menaburkan sedikit hirisan daun bawang ke dalam intinya.Cantumkan dan kelim/tekan tepinya dengan garfu seperti membuat karipap biasa.
  • Buat kaedah yang sama untuk baki puff pastri yang lain hingga intinya habis.
  • Susun dalam dulang pembakar,kelarkan sedikit,sapu kuning telur dan taburkan bijan dan sedikit serbuk lada hitam.
  • Bakar dalam oven yang telah di panaskan pada suhu 190'C selama 25 min. atau sehinga kuning keemasan.
  • bila masak sejukkan sebentar sebelum di makan.

KAILAN IKAN MASIN

 Salam bahagia buat semua...
Selepas berbuka puasa tadi ,saya rasa sedikit bertenaga,lagipun hari ini tak masak sebab anak-anak makan Nasi kerabu dengan Ayam bakar sahaja.Anak-anak saya sudah terbiasa makan hanya satu hidangan sahaja.Itulah yang saya amalkan di rumah ini.
Selain tidak membazir ia juga mudah dan ringkas.Masak penat-penat pun kalau mereka tak makan buat rugi sahaja.Tetapi waktu bersahur kita semua makan nasi siap dengan hidangan sekali.Anak-anak saya di wajibkan makan nasi waktu bersahur dari sekolah rendah lagi sampailah sekarang.Panjangnya karangan...,mari kita tengok resipi sayur pula.
Ia adalah sayur kesukaan Mr.King di rumah ini(dah macam-macam nama saya panggil dia!).Satu pinggan kecil pasti habis bila saya masak.

KAILAN IKAN MASIN
Sumber:daridapursuzana

Bahan-bahan
  • 3 pokok sayur kailan
  • 5 ulas bawang putih-di ketuk
  • 1/2 labu bawang besar-di hiris
  • 5 biji cili padi-di ketuk
  • 1 keping kecil ikan tenggiri masin-di potong kecil
  • 1 sudu besar sos tiram
Cara membuatnya
  • Sayur kailan di bersihkan kemudian di potong.
  • Panaskan sedikit minyak kemudian goreng ikan tenggiri masin yang telah di potong kecil-kecil hingga masak.Ketepikan
  • Masukkan pula bawang besar,bawang putih dan tumis hingga naik bau.
  • Masukkan sos tiram,sayur kailan dan cili padi. Kemudian masukkan ikan tenggiri tadi dan gaul rata.
  • Bila sayur separuh masak dan sedikit layu,bolehlah di angkat dan di hidangkan.

PUDING LAICI DANGDUT

Salam bahagia buat semua...
Sejak akhir-akhir ini banyak betul tekanan yang berlaku di sekeliling kita baik di rumah atau di tempat kerja.Siang dan malam.Dan...ada satu tempat  yang saya rasa tak stress-makan puding yang sejuk-sejuk dan menulis blog!.

Hari ini saya paparkan satu lagi resepi puding yang enak dimakan sejuk semasa berbuka puasa iaitu,
Puding laici dangdut(kenapa ada perkataan dangdut tu saya tak pasti).Semasa membuatnya lupa pula nak kecilkan api semasa memasak puding sebab tu lah ia jadi berbuih-buih.Waa...asyik tak sopan -santun dan nak cepat saja bila berada di dapur.Resipinya dari blog Azlita tapi yang saya buat ni tak secantik beliau.Tapi tak apa la,yang penting ia sedap di makan

PUDING LAICI DANGDUT
Sumber:By : Kak Hanieliza
Rujukan : Azlita masam manis

Bahan-bahan
  • 10 gm agar-agar serbuk/1 paket agar-agar biasa ( agar-agar tali 28 gm)
  • 2 liter air
  • 2 cawan gula
  • 2 tin laici - asingkan air dan buahnya
  • 1 tin susu cair
Cara membuatnya
  • Masak agar-agar hingga mendidih.
  • Masukkan gula. Biar mendidih lagi. Tutup api. Jika guna agar-agar biasa, ( tali)  tapis dulu.
  • Masukkan air laici dan susu cair. Kacau rata.
  • Tuangkan dalam acuan samada loyang ataupun mangkuk-mangkuk kecil. Sejukkan sebentar.
  • Kemudian sejukkan dalam peti sejuk.
  • Hidangkan bersama buah laici yang telah diasingkan tadi. Boleh juga di makan bersama susu cair.
*saya telah mengisar sedikit buah laici dengan susu cair sebelum di masukkan ke dalam agar-agar.

Sabtu, 28 Julai 2012

PENGAT DURIAN


Salam bahagia di bulan Ramadhan ini....
Pengat durian yang saya buat ini untuk berbuka puasa pada hari ketiga yang di makan dengan roti putih. Anak-anak semua makan Nasi lemak dan Ayam goreng madu,Sambal ikan bilis dan Telur rebus yang saya buat lebih awal lagi(tu dia tengah dok senyum tu!!).Biasanya untuk berbuka puasa saya jarang ambil nasi dan makanan berat untuk elak badan jadi letih terutama jika kerja malam. Di bulan puasa ini tiada siapa pun yang akan makan buah durian itu.Buat pengat pun saya sorang juga yang makan!                                   
PENGAT DURIAN
Sumber:daridapursuzana

Bahan-bahan
  • 7 ulas durian-saiz besar
  • 4 keping gula melaka
  • gula pasir-sukatan ikut citarasa sendiri
  • 3 cawan santan pekat
  • secubit  garam
  • 3 helai daun pandan-di simpul
  • 3 cawan air
Cara membuatnya
  • Masukkan air,santan pekat,daun pandan, gula melaka dan secubit garam ke dalam periuk.
  • Masak di atas api yang perlahan sambil sentiasa di kacau supaya santan tidak berketul dan pecah minyak.
  • Bila santan hampir masak ,masukkan ulas durian dan kacau perlahan-lahan supaya sebati dan mesra dengan kuah.
  • Sesuaikan kemanisannya dan bolehlah di angkat
*isi durian tidak boleh di masak lama kerana ia akan tertanggal dari ulasnya.
*boleh di tanbahkan bahan lain seperti sagu dan kacang hijau yang telah di rebus terlebih dahulu.

BUTTER PRAWN

Salam bahagia buat semua..semoga hidup anda semua sentiasa di berkati.Amin.
Sudah lama saya teringin untuk cuba membuat Butter Prawn yang mempunyai juraian telur yang halus dan cantik seperti yang kita selalu makan di restoran atau kedai makan yang lain.Tetapi asyik tak menjadi sehinggalah saya terjumpa resipi kat blog Kak Nor.Terimakasih Kak Nor kerana sudi berkongsi resipi dan tip bagaimana untuk membuat Butter Prawn yang cantik dan sedap di makan.Izinkan saya kongsi di ruangan ini pula sebagai rujukan nanti.

BUTTER PRAWN
Resipi asal : Nita

Sumber : K.Nor@SecubitGaram


Bahan-bahan

  • 12 ekor udang saiz besar
  • 2 sudu besar butter
  • 3 biji kuning telur
  • sedikit daun kari
  • sedikit cili padi
  • serbuk kunyit dan garam
  • minyak untuk menggoreng
Cara membuatnya
  • Lumur serbuk kunyit dan garam kat udang.
  • Goreng sehingga masak.Bila udang hampir masak  masukkan daun kari dan cili padi.
  • Gaul seketika sebelum diangkat.Bila dah masak,ketepikan. 
  • Dengan menggunakan minyak yang sama, biarkan minyak di kuali anggaran dalam 1/2 cawan.
  • Panaskan minyak dan masukkan butter.Biarkan butter cair dan minyak betul-betul panas.
  • Sementara itu,kacau-kacau telur bagi rata dan masukkan telur kuning dalam bekas roti jala.
  • Matikan api bila minyak panas. 
  • Tuang perlahan-lahan telur dengan tangan kiri sambil tangan kanan mengacau dalam bentuk pusingan.
  • Biarkan ia bertali-tali. Kemudian bila dah selesai, angkat telur  dah bubuh dalam tapis untuk membuang minyak berlebihan.
  • Akhir sekali,gaulkan juraian telur bersama udang goreng tadi.Sedia untuk di makan.

 Tip dari Kak Nor-I followww....
 Cara K.Nor:
# K.Nor guna acuan jala , tapi kuning telur ni kan dia pekat , jadi K.Nor tambahkan sedikit putih telur untuk mencairkannya.
#Cuba tuang dulu dalam bekas lain, kalau boleh keluar dengan elok, tak perlu tambah lagi putih telur tu, tapi kalau masih payah nak keluar, tambah sikit lagi putih telur. 
# Boleh saja nak kacau telur tu dengan garfu atau chopstick,tapi kena sentiasa mengacau sehingga telur habis dituangkan.
# buangkan tali pusat telur, kalau tak lubang acuan roti jala mudah tersumbat yang menyebabkan telur payah nak turun
#jangan menggoreng telur dalam minyak yang sedikit, nanti tak jadi cantik jurai-jurai telur.

Rabu, 25 Julai 2012

PULUT KUNING BERSAMA TELUR DADAR



















Gambar:dari FB Abby Manan. 
Salam bahagia buat semua dan semoga tabah melalui bulan Ramadhan ini....
Selalu juga terfikir nak berbuka dengan apa hari ini.Terlebih makan tu janganlah sampai jadi macam dalam kartun kat atas.Kenyaangggg..sesangat!!

 Hari ini entrinya adalah pulut kuning.Anak -anak saya suka makan pulut kuning bersama telur dadar warna -warni yang dipotong halus-halus dan di taburkan di atas pulut.Satu bekas yang di tunjukkan di dalam gambar di atas habis di makan oleh Azim seorang sebaik sahaja saya selesai mengambil gambar.Saya yang tidak berapa pakar membuat pulut kuning akhirnya dapat juga memasaknya kerana anak-anak minta untuk di buatkan.Kalau tidak kerana mereka ingin makan saya tak pernah cuba untuk membuatnya sendiri.

PULUT KUNING.
Sumber:Nicky
 
Bahan-bahan
  • 1 kg.beras pulut
  • 2 gelas santan pekat
  • 2 sdt.serbuk kunyit
  • garam/gula secukup rasa
  • 1 keping asam gelugor
Cara membuatnya
  • Basuh bersih beras pulut.
  • Rendam beras pulut selama 2-3 jam bersama serbuk kunyit dan asam gelugor.Kemudian toskan.
  • Panaskan pengukus dan kukus beras pulut sehingga naik wap/masak.
  • Angkat dari pengukus dan masukkan pulut yang telah kukus ke dalam bekas.
  • Tambahkan santan pekat yang telah di campur garam , gula dan gaul rata.
  • Masukkan semula pulut ke dalam pengukus dan kukus sekali lagi hingga naik wap/masak.


Sabtu, 21 Julai 2012

SOSEJ ROLL BUN



 Salam bahagia buat semua..
1 Ramadhan-selamat berpuasa buat semua...

SOSEJ ROLL BUN

 Sumber:blogtiffin biru.tq!

Adunan asas roti
  • 300 g tepung gandum
  • 55 gm gula halus
  • 1/4 camca teh garam
  • 1 camca besar susu tepung
  • 1/2 camca teh bread improver
  • 30 g minyak sapi /guna mentega
  • 1 1/2 camca teh instant yeast
  • 30 g telur (1 biji telur, pukul sedikit dan timbang)
  • 100 ml air suam
  • 50 ml air (extra)

Bahan-bahan
  • 1 adunan asas roti
  • 14 batang sosej ayamas, rebus 2 minit, toskan dan biar sejuk
untuk glaze
  • 1/2 sudu besar susu sejat
  • telur
satukan telur dan susu sejat dan kacau rata
  • Bijan untuk hiasan
Cara membuatnya
  • Canai doh roti tadi dalam bentuk empat segi tepat, kemudian potong kepada 14 , ambil 1 bahagian dan lilitkan pada sosej, pasti kan punca doh tadi berada dibawah lilitan pertama, ini utk mengelakkan doh terbuka. 
  • Lilit hingga ke hujung dan selit kan bawah lilitan terdahulu. Kemaskan dan susun dalam dulang pembakar yang telah disapu sedikit mentega. Buat hingga siap.
  • Biar 45 minit hingga naik. Sementara itu panaskan oven pada suhu 190'C sekurang-kurangnya 10 minit. 
  • Sapu roti tadi dengan bancuhan telur dan susu cair dan tabur dengan bijan. 
  • Bakar roti 25 minit atau hingga perang keemasan. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan....
cara saya..
  • saya menggunakan sosej yang di potong dua,kemudian di lilit pada roti membentuk roll bun.
  • roti di sapu dengan mayonis yang telah di campur dengan susu pekat manis sebelum di bakar.

Jumaat, 20 Julai 2012

DEATH BY CHOCOLATE CAKE


DEATH BY CHOCOLATE CAKE
Sumber:Mrsdayat@myR

Salam bahagia buat semua dan terimakasih kerana sudi membaca ..
Kek yang saya buat untuk jamuan Azim dan kawan-kawannya(kakak dan abang)di rumah!!.
Kek coklat lembab yang di lapisi oleh krim putar dan coklat ganache.Pengumuman penting!!...ia sedaaap sangat.
DEATH BY CHOCOLATE CAKE
Bahan-bahan
  • 2 cawan gula kastor
  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 biji telur gred A
  • 1 cawan serbuk koko
  • 1 cawan susu cair
  • 1 cawan minyak/mentega cair
  • 1 cawan air panas
  • 1 sudu teh soda bkarbonat
  • 1 sudu teh esen vanila
Krim coklat ganache
  • 2 cawan non diary whipping cream
  • 500 gm .cooking coklat
  • 1/8 cawan golden syrup
Lapisan tengah dan keseluruhan kek-1 cawan non diary whipping cream

























Cara membuatnya
  • Tepung gandum,serbuk koko,soda bikarbonat dan baking powder di ayak bersama.
  • Pukul gula dan telur sampai kembang.Tambahkan esen vanila.
  • Masukkan susu cair dan minyak ke dalam adunan,kacau sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang di ayak ke dalam adunan.Gaul dengan cara kaup balik.
  • Akhir sekali masukkan air panas.Kacau sebati.
  • Bakar selama 45 minit pada suhu 170-180'C sehingga masak.Adunan kek ini boleh juga di kukus .  

Krim coklat ganache
  • Dalam mangkuk kecil didihkan non-diary whipping cream.
  • Bila sudah mendidih,padamkan api dan masukkan cooking coklat.
  • Tambahkan golden syrup .
  • Ambil 1 cawan krim coklat ganache,bakinya simpan dalam peti sejuk.
Whipping cream
  • Pukul 1 cawan non -diary whiping cream sampai soft peak,kemudian tuangkan 1 cawan coklat ganache yang di ambil sebelum ini.Kacau sebati. 
  • *Saya hanya menggunakan whipping cream yang tidak di campurkan dengan coklat ganache .
Cara menghias kek
  • Kek yang telah masak di sejukkan terlebih dahulu.
  • Potong kek kepada dua lapisan.
  • Sapukan dengan whipping cream pada lapisan pertama dan lapiskan dengan kek yang separuh lagi.
  • Sapu sehingga menutupi keseluruhan kek.Simpan sebentar di dalam peti sejuk selama lebih kurang 30 minit.
  • Ambil kek yang telah di sapu whipping cream tadi,curahkan pula dengan krim coklat ganache sehingga menutupi keseluruhan kek.Simpan semula di dalam peti sejuk selama 30 minit.
  • Hiaskan mengikut kreativiti sendiri. 
                                                   

TAUGEH GORENG TAUHU

Salam bahagia buat semua...
Hampir seminggu saya tidak menulis.Entah la apa yang di sibukkan hingga tak sempat untuk menulis di ruangan ini.Hari ini, 30 Syaaban dan esok kita semua akan menyambut 1 Ramadhan.Sudah terasa suasana Ramadhan semasa saya memandu tadi.Di tepi-tepi jalan kelihatan ramai orang sedang menyiapkan gerai untuk berjual makanan pada keesokan hari nanti.Malam tadi bawa anak-anak makan pizza dan KFC kerana nanti dalam bulan puasa kami tak sempat untuk membawa mereka makan di luar.Lepas tu menyiapkan pula sebiji kek untuk Azim bawa ke jamuan pada pagi ini.Letihnyaaaa....



























TAUGEH GORENG TAUHU
Sumber:Azlita masam manis

Bahan-bahan
  •  300 gm taugeh - di bersihkan
  • 3 keping tauhu - di goreng kemudian di potong dadu
  • 1 sudu besar ikan bilis atau udang kering - di tumbuk halus
  • 50 gm daun bawang - di mayang  tak letak
  • 1 biji cili merah- dihiris halus
  • 3 ulas bawang merah-  ditumbuk halus
  •  2 ulas bawang putih-  ditumbuk halus
  • 1 kiub ikan bilis- jika suka
  • Garam secukup rasa  letak sos ikan
Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali
  • Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis hingga harum
  • Tambahkan sedikit air dan masukkan kiub ikan bilis masak hingga kuah sedikit kering
  • Masukkan tauhu, taugeh, hirisan cili merah, daun bawang dan kacau rata.
  • Perasakan dengan garam.
  • Sedia dihidangkan.

Ahad, 15 Julai 2012

DINNER-untuk kite-kite aje!

Salam bahagia buat semua yang membaca dan menonton...
Semalam berlangsungnya majlis makan malam untuk kite-kite aje yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan, Kubang Kerian ,Kelantan.Majlis ini nampak sederhana dengan hidangan makan malam yang ala-ala sejuk gitu!! .Gambar kureng jelas kerana saya zoom dengan my Nikon dari kejauhan ini.....
Sila layan gambar-gambar happening kami semua...yeahhh!!
Best friend forever and ever and ever after!.hope you too forever-ever(bahasa apa ni!)-Cik Nor dan Cik Emee.Tajuk gambar-SO SWEET BFFFFF.!

Dua- dua lelaki melayu terakhir(Mr.Syamin dan Mr.Rawandi) yang betul-betul tengah sengsara lapaaaar....hee..hee.Tajuk gambar di atas ialah-Bertarung makan!.

 Cik Tie dan Cik Mie tengah berebut I-Pad!.Kenyang makan dia orang main-main pulak...Tajuk gambar-Berebut I-Pad.
 Dua-dua' single' and only one available!!.Miss Syamimi dan kawan saya sorang ni lupa pula namanya.....

Ketiga-tiganya muat penuh dalam lensa Nikon saya!Depan kiri Shida,di sebelahnya adalah kembar tak seiras Shida iaitu Lini.Manakala di belakang sekali kawan baik kita yang gebu, tumpang bergambar iaitu B- Jane.Tajuk gambar -Kita serupaaaa...
Malam tu Yuna tak dapat nak perform,jadi dia telah menggantikan suaranya dengan nyanyian dari Joanna yang energetik!Sorry ye Jo..kawe zoom gambar ,tangan dah terketar-ketar!!...BLURRR.Tajuk gambar-Klon Yuna.
Lastly..untuk kite-kite aje- 2 Zamrud-sweet moment!Laa..apa hal Joanna dan Syamimi kat belakang tu,tengok kamera mana!!.Emee....kamu tu tempek kat dada sapa tuuuu..hee...hee

POPIA KENTANG DAN DAGING


Sumber gambar:Abby Manan FB.Tq!
Salam bahagia buat semua..
Hari ini tidak seperti semalam yang sedikit sedih tetapi sekarang ia sudah berlalu..let be gone be by gone!
Saya bercuti....jadi apalagi, masaklah apa-apa saja yang ingin di cuba masak.Hari ini saya buat Popia inti daging.Tidak bercadang untuk membuat kuih ini sebenarnya tetapi sebaik sahaja buka freezer ada kulit popia dan daging cincang...kira clear stok juga!Buat banyak-banyak,simpan dalam freezer kalau nak makan  keluarkan sekejap kemudian di goreng.

POPIA KENTANG DAN DAGING
Sumber:daridapursuzana


Bahan-bahan inti
  • kulit popia secukupnya
  • 250 gm .daging cincang
  • 1 biji ubi kentang -potong dadu
  • 2 sudu besar rempah kari daging-campur sedikit air
  • 1 labu bawang besar-potong dadu
  • 2 ulas bawang putih-cincang halus
  • 3 pokok daun bawang/sup-potong kecil
  • 1 sudu besar cili kering kisar
  • sos ikan dan sedikit gula secukup rasa
 

Cara membuat intinya

  • Panaskan sedikit minyak di dalam kuali kemudian masukkan bawang putih dan bawang besar dadu dan tumis hingga naik bau.
  • Masukkan cili kering kisar dan tumis lagi sehingga cili masak.
  • Masukkan rempah kari daging  dan masak sehingga naik minyak.
  • Masukkan daging cincang dan ubi kentang dan gaul sebati.Goreng sehingga  daging sedikit masak dengan api sederhana.Tambahkan sedikit air dan biarkan seketika.
  • Tambahkan sos ikan dan gula secukup rasa
  • Sesuaikan  rasanya dan bolehlah di angkat dan sejukkan sebentar.

  • Cara membuat popia seperti di tunjukkan dalam gambar di atas. 
  • Bentangkan kulit popia,letak sedikit intinya dan taburkan daun bawang/sup,kemudian di gulung kemas.
  • Lekatkan tepinya dengan telur putih atau tepung yang di campur sedikit air sebagai gam.
  • Selepas semua popia siap di gulung,goreng di dalam minyak dengan api yang sederhana sehingga berwarna perang .
  • Angkat dan toskan minyaknya.Bolehlah di hidangkan panas-panas.Sungguh rangup sekali.