style="text-align: center"

Rabu, 30 Oktober 2013

POPIA JEJARI KETAM BERKEJU


As-Salam buat semua...
Saya buat Popia jejari ketam ini untuk di makan pada waktu petang,cicah dengan sos best jugak.Rangup saja bila di kunyah tambahan pula ada cheese kat dalam gulungannya lagi bertambah enak!.Di dalam resepi sebenar ia menggunakan jejari ketam yang di hiris halus tetapi saya telah meletakkan sebatang jejari ketam yang telah di celur sebentar dalam setiap gulungan popia.

POPIA JEJARI KETAM BERKEJU
Sumber:CMG

Bahan-bahan inti
3/4- 1 cawan parutan sengkuang
1 batang lobak merah-hiris halus
1 cawan kubis bulat-hiris halus
1 biji bawang besar-dadu
2 ulas bawang putih-cincang halus
7 batang jejari ketam
garam secukup rasa
1/4 sudu teh minyak bijan
1 tangkai daun bawang/sup-hiris halus     saya tambah

Bahan-bahan lain
20-22 keping kulit popia
keju cheddar yang di hiris kecil memanjang
1 biji telur-pukul sedikit sebagai bahan pelekat
beberapa helai daun salad buttehead-optional
sos cili untuk mencicah.

Bahan-bahan sos cili
5 biji cili merah
3 ulas bawang putih
1 cawan air
3 sudu besar cuka
1/3 cawan gula atau secukup rasa
sedikit garam
1 sudu teh tepung jagung campur 1/4 cawan air-kacau rata
sedikit bijan-di sangai harum

*saya menggunakan sos pencicah yang di campur dengan sedikit kicap manis Heinz dan tambah air panas.Kemudian tabur bijan.
Cara membuatnya
Untuk inti popia
  • Panaskan sedikit minyak dalam kauli,tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum dan layu.
  • Masukkan jejari ketam,sengkuang(perah sedikit airnya) dan lobak merah.Kacau rata.
  • Masukkan kubis dan minyak bijan.Kacau dan masak hingga layu.
  • Tambah sedikit garam,kacau rata dan matikan api.Biar inti sejuk
Untuk popia jejari ketam berkeju
  • Ambil sekeping kulit popia,sudukan 2 sudu teh penuh inti,letak hirisan keju cheddar,gulung popia hingga menutupi inti,kemudian lipat bahagian kanan dan kirinya ke dalam dan sapu dengan bancuhan telur pada hujung kulit popia yang terbuka.
  • Buat kaedah yang sama untuk baki kulit popia ,inti dan keju hingga habis.
*Cara saya buat
Ambil kulit popia ,letak inti kemudian letak sekeping jejari ketam dan letakkan keju di atasnya.Gulung dengan kemas seperti cara di atas.
  • Panaskan minyak secukupnya untuk goreng terendam.Goreng popia dan balik-balikkan agar masak sekata.
  • Bila warna popia jadi kuning keemasan,angkat dan toskan.
  • Hidangkan bersam sos cili dan daun salad.
Untuk sos cili
  • Kisar cili,bawang putih dengan 1 cawan air hingga halus.
  • Tuang ke dalam periuk,masukkan gula dan sedikit garam.Kacau rata dan masak hingga mendidih.Kecilkan api dan masak sekejap lagi.Masukkan bancuhan tepung jagung dan cuka makan.
  • Kacau rata dan masak hingga pekat.Matikan api dan tabur bijan sebelum di hidangkan bersama popia.



Selasa, 29 Oktober 2013

AYAM GORENG SERBUK CILI

As-Salam buat semua..
Ayam goreng seperti ini menjadi kesukaan anak-anak saya.Kalau goreng dada ayam besar begitu sahaja mereka tidak berapa suka makan.Buat kecil-kecil macam ni barulah habis di makan .Siap bertambah-tambah lagi..Resepi dan cara membuatnya ringkas sahaja.

AYAM GORENG SERBUK CILI
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
2 keping dada ayam-potong dadu
1 sudu besar serbuk cili 
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk cukup rasa
1 labu bawang besar-potong bulat
1 sudu besar madu
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng ayam

 Cara membuatnya
  • Gaulkan semua bahan kecuali bawang besar dengan ayam yang di potong dadu dan perap seketika.
  • Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga kelihatan garing.
  • Tambahkan bawang besar dan goreng sebentar lagi.
  • Tutup api dan bolehlah di hidangkan.

Ahad, 27 Oktober 2013

HOKKAIDO CHIFFON CUPCAKE

 As-Salam buat semua....
Saya ulang-ulang lagi buat kek cawan yang gebu ini setelah tidak berpuas hati dengan dengan yang pernah saya buat sebelum ini.Kali ini letak inti kastard banyak sikit.Tengoklah intinya sebatu dah nampak!puas makan...

HOKKAIDO CHIFFON CUPCAKE
Sumber:Hanamemories.blogspot

Bahan A
3 biji kuning telur gred A
20 gm gula kastor
35 gm minyak jagung
60 ml susu segar
1 sudu kecil esen vanila
15 gm tepung jagung/tepung kastard
55 gm tepung gandum
secubit garam

Bahan B
3 biji putih telur gred A
30 gm gula kastor
1/2 sudu kecil cream of tartar-optional

Bahan C(krim kastard by Honey)
1 sudu besar tepung gandum
1 suud besar tepung kastard
4 sudu besar gula           saya letak 3 sudu besar
200 ml susu segar
1 biji telur gred A
1 sudu besar mentega

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 170'C.Ayak tepung gandum dan tepung jagung serta garam bersama dan ketepikan.
  • Dalam mangkuk,satukan kuning telur dan gula kastor dan pukul hingga berkrim.
  • Masukkan esen vanila,susu segar dan minyak jagung.Kacau sebati.Masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sambil di gaul rata.Ketepikan.
  • Pukul bahan B hingga bertanduk(terbalikkan ia tidak jatuh).Ambil 1/3 adunan putih telur dan kaup- balikkan dengan adunan kuning telur.Kemudian masukkan bakinya dan kaup -balik rata.
  • Masukkan ke dalam cawan kertas 3/4 penuh.Bakar selama 20 minit atau sehingga masak.
Penyediaan krim kastard
  • Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
  • Kacau sentiasa supaya tidak berketul.
  • Masak sehingga pekat.Bila dah sejuk paipkan ke dalam kek cawan menggunakan nozzle.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Sabtu, 26 Oktober 2013

ROTI TELUR HANCUR

As-Salam buat semua....
Pagi ini cuaca di Kota Bharu mendung sungguh kerana hujan turun tak berhenti dari pagi lagi.Tak dapatlah nak berjalan-jalan hari ini, saya buat aktiviti indoor sahaja iaitu masak dan makan!.Saya sempat menyiapkan sarapan pagi yang simple sahaja sebab sekejap lagi nak masak untuk makan tengahari pula...

ROTI TELUR HANCUR
Olahan:daridapursuzana

bahan-bahan
1 batang sosej-celur sekejap
1 biji telur
1 pokok daun sup
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
garam secukup rasa
2 sudu besar minyak canola

bahan sampingan
2 keping roti perang
1/2 cawan kacang panggang

Cara membuatnya
  • Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukkan daun sup yang telah dihiris halus,sosej yang di potong bulat,serbuk lada hitam dan sedikit garam.
  • Kacaukan biar bergaul rata.
  • Panaskan minyak canola dan masukkan adunan telur tadi dan kacaukan biar ia menjadi hancur. 
  • Goreng hingga telur kelihatan garing.Angkat dan ketepikan.
  • Hidangkan bersama roti perang dan kacang panggang yang telah  di panaskan sebentar.

Khamis, 24 Oktober 2013

NASI GORENG IKAN MASIN DAN PETAI

Saya buat nasi goreng ni untuk di bawa bekal ke tempat kerja,selalu saja saya bawa makanan yang di masak sendiri kerana lebih menepati citarasa.Lagipun kita tahu apa yang kita masukkan dalam masakan kita.Tak tahu la saya ni 'pesen' apa bab-bab makan,kalau makanan yang di beli tu tak berapa kena dengan selera terus saja saya pening kepala dan ia menganggu tugasan seharian.Semua bahan-bahan untuk buat nasi goreng dah ada,apalagi satu rumah bau ikan masin!tapi tang petai tu,kita pilih-pilih dan tinggalkan aje kat rumah...

NASI GORENG IKAN MASIN DAN PETAI
Resepi:Sasha Rahmat.Tq.

Bahan A
cili padi secukupnya
1 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
sedikit belacan 

Bahan B
2 biji telur-di goreng hancur dan ketepikan 
ikan kurau masin-goreng dan tumbuk kasar    saya guna ikan tenggiri masin

Bahan C
1/2 biji karot-hiris memanjang
sedikit kacang panjang   saya guna sawi
petai secukupnya

Bahan D
garam secukp rasa
1/2 kiub pati ikan bilis
nasi sejuk secukupnya

*saya tambah beberapa ekor udang

Cara membuatnya
  • Tumbuk bahan A dan panaskan minyak.
  • Tumis bahan A hingga naik bau dan masukkan ikan tenggiri masin.Goreng sekejap dan masukkan karot dan batang sawi.
  • Masukkan udang dan bila udang kelihatan hampir masak,masukkan nasi.
  • Tambahkan pati ikan bilis ,daun sawi ,telur goreng hancur dan garam jika perlu.
  • Gaul rata nasi dengan semua bahan-bahan  dan bila semua sudah menepati citarasa bolehlah di tutup api dan hidangkan. 

Rabu, 23 Oktober 2013

LALA MASAK PEDAS

As-Salam buat semua...
Lama dah saya tak makan lala,walaupun isinya kecil sahaja tapi bila di masak ralit juga makan dengan nasi putih dengan isinya yang manis.Sekali tu jumpa lala kat pasar tani,beli lah setengah kilo untuk di masak.Macam biasalah cari-cari resepi kat dapur orang buat panduan dan jumpa pula resepi kat blog Hana memorries.Nampak sedap aje,terus saja saya cuba.

LALA MASAK PEDAS
Sumber:Hana memorries.blogspot

Bahan-bahan
500 gm lala
5 ul;as bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 bii tomato-potong empat
2 batang serai
1 biji bawang besar-potong 4
2 sudu besar cili giling    saya guna cili kering kisar
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1 sudu besar sos cili dan sos tomato
garam dan gula secukup rasa
3 sudu besar minyak masak
*jika suka lebih pedas tambahkan cili padi.

Cara membuatnya
  • Lala di rendam seketika untuk mengeluarkan pasir yang masih ada.Basuh dan bilas serta di toskan.
  • Tumbuk lumat bawang merah kecil dan bawang putih.
  • Panaskan minyak di atas api sederhana.Tumiskan bawang yang telah di tumbuk tadi.
  • Masukkan cili giling  dan biarkan seketika agar cili masak.
  • Masukkan tomato dan bawang besar yang di potong empat.Ketuk serai dan potong kecil.Masukkan ke dalam tumisan.
  • Masukkan sos cili,sos tomato dan pes asam jawa.Kalau agak kering,masukkan sedikit air.
  • Perasakan dengan garam dan gula ikut kesesuaian masing-masing.
  • Masukkan lala,gaul rata dan tutup kuali seketika (dalam 3-5 minit).
  • Lepas itu buka tutup periuk dan bagi yang suka berkuah boleh tambah sedikit air.Kalau mahu yang lebih pedas boleh tambah cili padi.
  • Setelah sesuai rasanya ,boleh di angkat dan hidangkan.

Selasa, 22 Oktober 2013

KEK MARBLE LEMBUT

As-Salam buat semua..
Makan Kek Marble teringat nostalgia dulu-dulu.Kek inilah yang paling suka di makan pada waktu itu.Dulu tak adalah kek canggih-canggih macam sekarang yang mampu kita buat.Dapat buat kek mentega dengan corak marble ni pun dah kira puas hati untuk makan sendiri.Betulah kata Kak Azie dalam blognya,kek ini memang lembut dan moist.Dari nak makan sekeping dah berkeping-keping masuk mulut....
KEK MARBLE LEMBUT
Sumber:Azie Kitchen/ aziejaya.blogspot.com.Tq!

Bahan-bahan
227 gm mentega
170 gm tepung gandum
170 gm gula kastor
5 biji telur dari fridge
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
3- 4 sudu makan serbuk koko-di ayak   saya guna coklat emulco

Cara membuatnya
  • Ayak tepung bersama baking powder.Pukul mentega ,susu dan esen vanila hingga kembang.
  • Di dalam bekas lain,pukul putih telur hingga ringan lalu masukkan gula sedikit demi sedikit hingga adunan bergaul rata.
  • Masukkan telur kuning sebiji demi sebiji ke dalam adunan putih telur dan pukul hingga rata.Masukkan ovalette ke dalam adunan dan pukul lagi hingga rata.
  • Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul dalam satu arah.Apabila rata bahagikan adunan kepada dua bahagian dan masukkan serbuk koko atau coklat emulco.Kalau guna pewarna bahagikan adunan kepada beberapa bahagian yang di sukai.
  • Tuang adunan ke dalam loyang empat segi 8 inci secara selang- seli di mulai dengan warna asal.Lorek dengan menggunakan chopstick.
  • Bakar pada suhu 180'C selama 45 minit atau sehingga masak.

Isnin, 21 Oktober 2013

HOMEMADE PADDLE POP ICECREAM


As-Salam buat semua...
Saya jumpa satu lagi resepi ais krim yang sedap makan dengan roti, buat sandwich ataupun makan begitu sahaja pun boleh juga.

HOMEMADE PADDLE POP ICECREAM
Sumber:Buku resepi-Watiey Abdullah

Bahan-bahan
1 tin  susu cair
1/3 tin susu pekat manis 
2 sudu makan ovalette
1 biji telur    tak letak
perasa dan pewarna pilihan

Cara membuatnya
  • Blend semua bahan kecuali perasa dan pewarna dalam 10 minit sampai kelihatan gebu.
  • Masukkan ke dalam bekas dan simpan dalam freezer selama lebih kurang 1 jam.
  • Keluarkan adunan dan blend sampai gebu sekali lagi dan kelihatan ringan.
  • Bahagikan kepada tiga warna yang berlainan dan letakkan perasa dan pewarna pilihan.
  • Lapiskan setiap warna yang berlainan di dalam bekas yang sesuai dan ulang sampai habis.
  • Bekukan semalaman di dalam freezer dan bolehlah di makan.

Jumaat, 18 Oktober 2013

SUP KAMBING

As-Salam buat semua..
Saya buat Sup kambing setelah di minta oleh My bodyguard yang amat suka makan sup.Tak kiralah sup apapun semua dia suka.'Saya  yang menurut perintah 'buat sajalah walaupun saya tak makan kambing...he..hee.
Sup ini sama saja dengan sup yang lain,yang berbeza hanyalah penggunaan tulang dan daging kambing .

SUP KAMBING
Sumber:Tiffin biru.blogspot
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1.5 kg tulang  kambing yang masih berdaging, cuci bersih dan toskan

Air secukupnya untuk merebus
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
2 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
6 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*

Bahan di kisar halus
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup    tak letak
1 camca besar penuh ketumbar biji
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
1 camca besar penuh lada hitam

1 sudu besar rempah sup adabi   saya tambah

Cara membuatnya

  • Masukkan tulang tadi ke dalam periuk,rebus sehingga empuk.
  • Tambah bahan kisar halus dan bahan bertanda (*), rempah sup , kacau rata dan masak dengan api sederhana mendidih.
  • Terus merebus hingga bahan-bahan sebati dengan daging dan tulang.
  • Tambah garam secukup rasa dan jika kurang pedas, boleh tambah lada hitam, jika suka kentang boleh letak masa ni. Sambung memasak lagi hingga kentang empuk (jika letak), rasa dan jika sesuai dengan selera boleh matikan api.
  • Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama nasi putih.Sedap di makan semasa masih panas-panas.

Khamis, 17 Oktober 2013

CUCUR KETAM

 As-Salam buat semua..
Jumpa resepi ni kat blog Izah Daut,teringin cuba membuatnya sebab nampak sedap dan rangup tambahan pula dicicah dengan sos kegemaran ,lagi seronok makan ramai-ramai.Kalau harap anak nak makan sosej ketam begitu sahaja jangan haraplah.Lastly buat cucur habis juga jejari ketam saya dalam peti sejuk tu!.

CUCUR KETAM
Sumber:Izah Daut

Bahan-bahan
1 1/4 cawan tepung gandum
10 batang jejari ketam
1/2 biji bawang besar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 / sudu teh garam
3/4 sudu teh baking powder-sudu rata
1/2 sudu kecil pati ayam
1/4 cawan air
1 biji telur

Bahan saya tambah.
1/2 batang lobak merah parut
2 pokok daun bawang-hiris halus

Cara membuatnya
  •  Masukkan air,telur.bawang besar dan kisar bahan tadi
  • Dalam mangkuk besar masukkan tepung,baking powder,garam,pati ayam,serbuk, lobak merah-parut ,daun bawang  dan jejari ketam di potong dadu dan gaul rata.
  • Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah di kisar tadi.Kacau sebati.
  • Kemudian masukan ke dalam peti ais selama 20-30 min..
  • Panaskan minyak scukupnya dan bolehlah di goreng cucur tadi sehingga warna kekuningan dan masak.
  • Hidangkan dengan sos pilhan.

Isnin, 14 Oktober 2013

PUDING KASIH BERTAUT

 As-Salam buat semua...
Nama puding ni seindah rupanya.Dah lama saya simpan resepinya,hampir setahun juga hinggalah hari ini saya cuba membuatnya.Seperti biasa ia sedap di makan sejuk-sejuk sebagai pencuci mulut.Rasa sayang nak potong,pejam mata makan saja !..

PUDING KASIH BERTAUT
Sumber:Naz @ Cute Oven Small Kitchen.Tq!

Bahan A
1/2 paket atau 2 sudu kecil serbuk agar-agar(sepaket 10 gm)
300 ml air
200 ml santan
1/2 cawan gula
1 biji telur
2 sudu kecil sirap ros
2 sudu kecil perisa pandan dan pewarna hijau
ataupun boleh guna pewarna pilihan sendiri

 Cara membuatnya
  • Masukkan serbuk agar-agar ,gula  dan air ke dalam periuk dan masak hingga gula dan serbuk agar-agar larut.Kecilkan api.
  • Pecahkan telur ke dalam santan dan kocak sedikit dengan garfu.Tuang ke dalam larutan agar-agar tadi dan kacau sebati dan masak hingga mendidih atas api perlahan.tutup api.
  • Bahagikan agar-agar kepada 2 bahagian dan masukkan ke dalam bekas berlainan ataupun acuan bunga-bunga kecil .
  • Masukkan sirap ros dalam satu bahagian dan perisa pandan dalam satu bahagian yang lain.
  • Kacau sebati dan biarkan ia sejuk sedikit kemudian masukkan ke dalam peti  sejuk.
  • Setelah keras ,potong agar-agar menjadi kiub-kiub kecil dan masukkan kesemuanya potongan itu ke dalam satu bekas yang lebih besar.(saya guna acuan kecil bunga-bunga ,jadi ia tidak perlu di potong).
Bahan B
1/2 paket serbuk agar-agar(lebihan dari 1/2 paket agar-agar tadi)
500 ml air
1/4 cawan gula
50 gm gula melaka
1 helai daun pandan-simpulkan

Cara membuatnya
  • Masukkan daun pandan ke dalam periuk bersama serbuk agar-agar,gula melaka ,gula pasir dan air.
  • Masak hingga larut dan mendidih.Tutup api dan tapis larutan agar-agar.
Cara menyediakan puding.
Tuang larutan agar-agar B ke dalam bekas yang berisi kiub agar-agar A tadi.Biarkan ia di dalam peti ais.
Bila ia mengeras,bolehlah di keluarkan dari acuan dan sedia untuk di hidangkan.

Ahad, 13 Oktober 2013

BISKUT BADAM NESTUM

As-Salam buat semua..
Saya bercuti bermula dari hari Ahad sehingga rabu.He..he buat biskut untuk Hari Raya Aidil Adha...nak menghabiskan bahan-bahan stok yang masih ada dalam bulan yang lepas.Biskut ini nampak ringkas sahaja dan teksturnya agak rangup kerana di tambah dengan nestum dan badam.

BISKUT BADAM NESTUM
Sumber:Majalah Saji Ogos 2013.

Bahan-bahan
1 cawan nestum
1/2 cawan serbuk badam
250 gm mentega
250 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
150 gm gula aising
1 sudu teh esen vanila
kuning telur-untuk sapuan
badam keping-untuk hiasan

Cara membuatnya
  • Campurkan mentega dan gula aising kemudian pukul hingga kembang.
  • Masukkan semua bahan-bahan lain,uli hingga jadi doh.Jika doh agak lembik,tambah sedikit tepung hingga dapat doh yang tidak melekat di tangan.
  • Canai doh yang telah siap dan tekap  dengan acuan yang sesuai.
  • Susun biskut di atas dulang dan sapukan kuning telur dan hiaskan dengan kepingan badam.
  • Kemudian masukkan ke dalam oven dan bakar sehingga masak dengan suhu 160'C.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Khamis, 10 Oktober 2013

MURTABAK MAGGI

As-Salam buat semua..
Ubah selera sikit hari ni,makan maggi pula,malas nak masak ,buat maggi saja.Selalunya masak maggi dengan kuahnya satu mangkuk besar tambah macam-macam sampai tak habis makan tapi kali ini buat Murtabak maggi pula.Ianya sedap di makan bersama sos  cili.Boleh guna apa-apa perisa maggi yang di sukai,yang kat atas tu saya guna perisa ayam.

MURTABAK MAGGI
Olahan:daridapursuzana
 
Bahan-bahan
1 bungkus maggi-perisa pilihan
1 biji telur
1/2 biji bawang besar-dadu
1 pokok daun bawang/ketumbar-hiris halus
1 batang jejari ketam-di celur
1 batang sosej-di celur
1 biji lada merah

 Cara membuatnya
  • Didihkan air dan celur maggi hingga lembut.Tos dan ketepikan.
  • Cili merah,jejari ketam,sosej,lada merah dan daun bawang/daun ketumbar di hiris halus.
  • Campurkan kesemua bahan hiris dan bawang besar dalam satu mangkuk bersama dengan telur dan perencah maggi.
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali leper.
  • Tambahkan maggi celur tadi bersama ke dalam adunan telur dan gaul rata.
  • Tuangkan adunan maggi dan masak dengan api perlahan.Balikkan kedua-dua belah hingga kelihatan warna kuning keemasan.
  • Angkat dan hidangkan bersama sos cili .

Rabu, 9 Oktober 2013

MARBLE CHOCOLATE CHEESE CUP CAKE

As-Salam buat semua...

Kali ini saya buat kek cawan yang ada cheese pula kerana masih ada lagi lebihan cream cheese semasa membuat Marble cheese brownies hari tu.Simpan lama-lama nanti berkulat pula.Supaya kek cawan tidak melimpah keluar semasa di bakar,susun mangkuk kertas dalam bentuk membulat atau gunakan tin pembakar bulat seperti tudung periuk dan satu lagi jangan isi adunan terlalu penuh. Jangan aturkan kek dalam susunan empat segi mengikut bentuk tin pembakar.Kek di bahagian belakang dan tepi akan mengembang dengan lebih cepat kerana suhu di situ lebih panas.Adunan mungkin akan melimpah keluar dari mangkuk kertas.

MARBLE CHOCOLATE CHEESE CUP CAKE
Sumber:Sinar kehidupanku.blogspot

Bahan A
180 gm mentega
170 gm gula kastor    saya letak 150 gm
3 biji telur gred A
20 gm serbuk koko
120 gm tepung halus(superfine)  boleh juga guna tepung gandum
1 sudu teh baking powder  

Bahan B
250 gm cream cheese
60 gm gula kastor  saya letak 50 gm
1 sudu teh esen vanila
1 biji telur gred A

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 160 'C.Ayak tepung dan baking powder bersama.Ketepikan.
  • Putar mentega dan gula hingga putih.
  • Masukan telur satu- persatu sambil terus memutar hingga kembang dan gula hancur.
  • Perlahankan speed,masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis.Gaul rata dengan spatula.
  • Dalam mangkuk adunan lain yang bersih dan kering,masukkan cream cheese,esen vanila dan gula.Putar hingga sebati.
  • Masukkan telur dan putar hingga gula hancur dan adunan berkrim.
  • Ambil dalam 2 sudu besar adunan coklat dan masukkan ke dalam cawan kertas dan ratakan.
  • Kemudian ambil dalam  sudu besar adunan cream cheese pula dan ratakan.
  • Akhir sekali,ambil 2 sudu besar adunan coklat dan ratakan.Lebihan cream cheese saya hiaskan atas kek.
  • Bakar selama 20-25 minit atau hingga masak.Sejukkan sebelum di hidangkan.
** Jika cawan kertas kecil sukatan 2 sudu besar tidak sesuai kerana kek akan penuh dalam cawan kertas dan akhirnya bila di bakar ia akan melimpah keluar.Jadi sesuaikan sukatan dengan saiz cawan kertas anda.


Isnin, 7 Oktober 2013

AISKRIM JAGUNG

As-Salam buat semua...
Membuat aiskrim di rumah tidaklah sukar ataupun cerewet sangat. Cuma masa menunggu untuk makan mengambil masa lebih kurang sehari sahaja.Rasanya boleh di pelbagaikan dengan membubuh perasa dan pewarna yang di sukai.Boleh di buat dengan mesin pembuat aiskrim,mixer samada jenis hand-whisk ataupun mixer with stand. Aiskrim yang di buat sendiri boleh bertahan sehingga 3 bulan di dalam freezer.Sebelum  dimakan ,biarkan ia sekejap pada suhu bilik sebelum mencedokkannya ke dalam gelas-Chef Norzailina Nordin.

AISKRIM JAGUNG
Sumber:Noreen-My home cooking blog

Bahan-bahan
2 1/2 cawan creamer coffemate
2 cawan(500ml)susu segar
1/2 tin jagung krim
sedikit pewarna kuning

Cara membuatnya
  • Satukan krimer coffemate,susus segar,gula dan kacaukan hingga semuanya larut dan sebati.
  • Kemudian masukkan jagung krim,sedikit pewarna kuning dan kacaukan lagi sehingga sebati
  • Tuang adunan ke dalam bekas plastik dan simpankan di dalam freezer sehingga ianya separuh beku.
  • Selepas itu,keluarkan dan tuangkan ke dalam mangkuk adunan besar.
  • Pukul dengan menggunakanm mixer sehingga ianya gebu dan isipadunya menjadi dua kali ganda.
  • Masukkan semula ke dalam bekas plastik sesuai dan simpan di dalam freezer sehingga ianya beku .
  • Bolehlah di hidangkan.Saya hias dengan taburan sweet corn kernel di atasnya.
**Boleh di kurangkan gula kepada 1/4 cawan dan tambahkan 1 tin jagung krim.
**Sedap juga di makan dengan roti sandwich

Ahad, 6 Oktober 2013

KETAM BLACK PEPPER

As-Salam buat semua...
Dah beberapa hari saya tak muncul d sini,tak sempat kerana menyelesaikan beberapa  urusan yang tertangguh.Sekarang semuanya dah selesai bolehlah mengadap PC sekejap.Saya masak lauk ketam yang menjadi kesukaan abang tengah(Amzar) yang sedang menghadapi exam PMR.Bagi jawapan elok-eloklah ye sebab dah makan ketam yang sedap ni! (ada ketam di sebalik nasi rupanyaaa!!..).

KETAM BLACK PEPPER
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
3 ekor ketam besar
1/2 biji bawang besar-kiub kecil
4 ulas bawang putih-cincang halus
1 inci halia-cincang halus
4 sudu besar sos lada hitam
2 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos plum
4 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili Thai
2 pokok daun bawang-di potong 1 inci
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 biji lada merah
1 biji lada hijau 
1/2 kiub pati ayam
minyak

 Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih,halia serta bawang besar hingga naik baunya.
  • Masukkan kesemua sos,serbuk lada hitam,pati ayam dan kacau rata.Tambahkan sedikit air.
  • Masukkan ketam dan biarkan ketam masak sebentar.
  • Sesuaikan rasanya dan tambahkan lada merah dan lada hijau yang di hiris halus serta daun bawang.
  • Kacau  kuah dan biar kuah agak pekat sedikit dan sebati dengan ketam.
  • Bolehlah di angkat dan hidangkan.

Rabu, 2 Oktober 2013

TEPUNG PELITA

As-Salam buat semua..
Kuih tepung pelita yang dah lama saya ingin cuba membuatnya. Selalu sahaja tak ada tepung beras kat dapur.Sekali dapat dua pek tepung beras,saya terus mencuba kuih yang menjadi kesukaan Azim ini.Kalau puding dan dessert yang lain dia tak makan,Tepung pelita ni dia suka pulak..tak sampai sejam letak dalam peti sejuk terus dia minta nak makan.
Tepung pelita versi Kelantan di taburkan sedikit gula dilapisan bawah sebelum di letak adunan warna hijau (cara kukus).Saya pula cuma letak sedikit air gula dalam tepung pelita sebelum di letak dalam peti sejuk kerana saya tidak menggunakan cara kukus.

TEPUNG PELITA
Resepi:Sinar kehidupanku-kak yati.
Olahan:daridapursuzana

Bahan A(lapisan bawah hijau)
1 cawan tepung beras
1 cawan gula   saya letak 3/4 cawan)
5 cawan air
4 helai daun pandan-kisar
pewarna hijau atau esen pandan
1 sudu kecil air kapur

Cara membuatnya
  • Tepung beras,air,gula ,air daun pandan dan air kapur di bancuh hingga sebati.
  • Masakkan tepung yang di adun dan kacau hingga masak dan berkilat,guna api sederhana.
  • Bila dah masak,masukkan ke dalam acuan yang di sukai,acuan plastik ataupun daun pisang.
Bahan B(Lapisan atas putih)
4 sudu besar tepung beras(rata)
4 cawan santan
sedikit garam

Cara membuatnya 
  • Satukan santan,tepung beras dan garam.Kacau hingga sebati dan ketepikan.
  • Masak santan yang di adun tadi dan kacau hingga pekat.
  • Angkat santan dan curahkan ke atas adunan hijau tadi.
  • Sejukkan dahulu sebelum di makan.
**saya tambah 1 sudu besar air gula cair ke dalam setiap bekas acuan .

Selasa, 1 Oktober 2013

MARBLE BLUEBERRY CHEESE BROWNIES

As-Salam buat semua...
Resepi hari ini ialah Marble blueberry cheese brownies yang sangat sedap ni.Selain dari kek coklat yang ada topping ganache, anak-anak saya amat suka makan Brownies coklat(saya pun suka juga!).Sekejap sahaja dah habis.Resepi asalnya adalah Marble cheese brownies cuma ia di tambah pula dengan blueberry filling di atasnya untuk membentuk corak marble.

MARBLE BLUEBERRY CHEESE BROWNIES
Sumber:rinnchan.fotopages.com/Tq!..

Bahan-bahan
250 gm butter
1 cawan serbuk koko
3 biji telur gred B
1 1/2 cawan gula kastor      saya letak 1 cawan
1/2 cawan susu cair
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 175'C.Alas loyang 10 x10 dengan baking sheet.Biar kertas berjuntai pada dua belah yang bertentangan supaya mudah untuk mengeluarkan brownies.
  • Ayak tepung bersama baking powder dan soda bikarbonat.
  • Cairkan butter.Masukkan serbuk koko dan kacau rata
  • Handwhisk gula dan telur.Masukkan ke dalam acuan butter dan koko tadi.Kacau sebati.
  • Masukkan pula susu cair dan kacau sebati.
  • Masukkan tepung yang telah di ayak tadi sedikit demi sedikit sambil di kacau hingga sebati.Akhir sekali masukkan esen vanila dan kacau rata.
  • Tuang adunan brownies ke dalam loyang dan ratakan.Tinggalkan sedikit untuk membuat corak marble atas lapisan cheese nanti.
  • Bakar selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah
Bahan-bahan untuk lapisan cheese
250 gm cream cheese
1 cawan gula kastor    saya letak 1/2 cawan
1 biji telur gred B
blueberry filing

Cara membuatnya
Pukul cream cheese hingga gebu.Masukkan gula dan pukul  lagi hingga  sebati.
Kemudian akhir sekali masukkan telur dan pukul hingga sebati.

Selepas 20 minit keluarkan brownies dari oven.Tuangkan adunan cheese dan ratakan.
Paipkan adunan brownies tadi dan blueberry filling ke atas lapisan cheese dan lorekkan corak ikut citarasa.
Masukkan semula ke dalam oven dan bakar lagi selama 15 minit atau sehingga cheese masak(saya suka nampak cheese perang seperti dalam gambar)
Biarkan sejuk dahulu sebelum di potong.