style="text-align: center"

Isnin, 29 Jun 2015

DAGING MERAH ALA THAI

As-Salam buat semua..
Saya cuba masak sendiri Daging merah ala Thai ini selepas terjumpa resepinya semasa blog walking.Sebelum ni ada juga try order semasa keluar makan dengan keluarga.Resepinya ambil kat alam maya,lupa pula kat blog siapa.Dalam resepi dibawah saya menggunakan Daging salai yang kebetulan ada dalam freezer.Let's try masak..

DAGING MERAH ALA THAI
Di cuba rasa:daridapur suzana

Bahan-bahan
600 gm daging
3 ulas bawang putih
2 biji bawang besar-potong baji
1 biji cili merah-potong serong
1 biji cili hijau-potong serong
2 sudu makan cili kering kisar
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan pewarna merah
garam dan gula secukup rasa
1 biji tomato-potong baji
daun bawang-potong 1 inci
daup sup-racik

Cara membuatnya
  • Masukkan daging ke dalam periuk beserta pewarna merah dan rebus daging hingga empuk.Hiris nipis-nipis dan ketepikan.
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali.Tumis bawang putih hingga kuning.
  • Masukkan cili kering kisar,tumis hingga pecah minyak.
  • Masukkan sos cili,sos tiram,daging rebus, garam dan gula secukup rasa dan gaul rata.
  • Akhir sekali,masukkan tomato,bawang besar,daun bawang dan daun sup.Gaul rata.
  • Bolehlah di angkat.

Sabtu, 27 Jun 2015

AGAR-AGAR LAICI BERSANTAN


As-Salam buat semua..
Agar-agar untuk juadah berbuka puasa petang nanti.Sedap juga makan agar-agar yang sejuk time cuaca panas macam ini.Dehidrasi semakin kuat terasa,semoga Allah sentiasa memberi kesihatan yang baik untuk kita menghabiskan puasa di sepanjang Ramadhan ini.

AGAR-AGAR LAICI BERSANTAN
Sumber:  Noor Abdul Rahim www.bukuresepi.com thanks

Bahan-bahan
1 paket agar-agar serbuk(10 gm)
450 ml air
1/3 cawan gula
1 tin buah laici-di tapis airnya
300 ml air sirap laici-dari tin laici tadi
200 ml santan kotak
1/4 sudu teh garam 
1/2 sudu kecil esen laici   
3 pewarna pilihan

Cara membuatnya
  • Masak gula,air,sirap laici dan serbuk agar-agar hingga mendidih.
  • Kecilkan api dan masukkan santan dan garam.Kacau hingga mendidih sedikit.Matikan api.
  • Masukkan esen laici dan kacau rata.
  • Bahagikan kepada 3 bahagian.Masukkan pewarna berasingan pada setiap bahagian.
  • Susun buah laici di dalam acuan kemudian tuang lapisan pertama.
  • Masukkan acuan ke dalam freezer hingga agar-agar agak mengeras.
  • Gores permukaan agar-agar dengan garfu dan letakkan buah laici seterusnya.
  • Ulang langkah hingga lapisan ketiga(lapisan terakhir).
  • Lapisan terakhir letak sahaja di dalam peti sejuk.

Jumaat, 26 Jun 2015

APPLE CRUMBLE

As-Salam buat semua..
Satu lagi dessert yang saya buat untuk makan selepas berbuka puasa,kut-kut la tertidur lewat bolehlah makan yang ringan-ringan sikit untuk second round pula,ataupun boleh makan saja ketika bersahur.Kalau tambah ais krim satu scoop lagi best!.Resepinya saya olah dari Blog Azlita masam manis-Apple Crumble Pie.Thanks Ita!Let's try baking..

APPLE CRUMBLE.
Olahan:dari dapur Suzana 

Bahan Inti
2 biji epal hijau (Granny Smith)
1/2 biji parutan kulit lemon
Secubit garam
1sudu besar mentega
50 gm gula perang
secubit serbuk kulit kayu manis
1sudu besar tepung jagung
1 sudu besar kismis     saya tambah
 
Cara membuatnya
  • Epal dibuang kulit dan biji dan kemudian di potong kiub.Ketepikan 
  • Panaskan gula dan mentega.Kacau rata. 
  • Masukkan epal kiub dan kismis.Gaul rata 
  • Masukkan garam,serbuk kayu manis dan tepung jagung. 
  • Kacau hingga epal lembut dan kuahnya pekat 
  • Angkat dan biarkan sejuk
Bahan Crumble
75 gm tepung gandum
35 gm mentega tanpa garam
35 gm gula
2 sudu besar nestum
  • Gaukan mentega,tepung gandum dan gula serta nestum hingga jadi seperti serbuk roti. 
  • Masukkan inti epal ke dalam bekas yang sesuai(saya menggunakan bekas tart).  
  • Taburkan crumble di atas inti epal tadi. 
  • Bakar selama 15 minit atau sehingga bahagian atas crumble menjadi perang dengan suhu 170'c.
  • Sejukkan dahulu sebelum di makan begitu sahaja atau dengan ais krim.

Rabu, 24 Jun 2015

KERABU IKAN PARI

As-Salam buat semua..
Hari ketujuh Ramadhan ...sekarang ni tak kira letih ke tidak main masak sahaja kecuali hari saya bertugas sebelah petang.Ada sorang tu pula asyik nak makan yang saya masak sahaja.Pejam mata..buat saja!gi bazar Ramadhan tidak begitu membuka selera pula.Nak puas hati masak sendiri.Berbuka puasa dengan Kerabu  Ikan Pari petang semalam pun membuka selera juga.Bahan-bahan boleh di letakkan sesedap rasa,tidak perlu sukatan pun tak apa.Let's try buat..

KERABU IKAN PARI
Olahan:daridapur Suzana

Bahan-bahan
3 keping ikan pari
2 ulas bawang merah-hiris nipis
3 tangkai kacang panjang-potong halus
1 tangkai lada merah-potong halus
1/2 biji timun-buang biji dan potong nipis memanjang
1 tangkai bunga kantan
3 sudu besar kerisik
2 tangkai daun ketumbar-potong halus
sos ikan secukup rasa
jus limau nipis
gula

Cara membuatnya
  • Bersihkan Ikan pari,basuh dengan tepung gandum dan bakar hingga masak.
  • Carik-carikkan isinya menjadi ketulan lebih kecil.
  • Gaulkan dengan semua bahan di atas.
  • Sesuaikan rasanya mengikut selera masing-masing.
  • Bolehlah di hidangkan semasa berbuka puasa.

Isnin, 22 Jun 2015

VOL-AU-VENT

 As-Salam buat semua..
Pernah dengar nama Vol-Au-Vent?ia dalam Bahasa Perancis dan dalam Bahasa Inggeris ia jadi windblow,kerana menggambarkan keringanan puff pastry bila dimakan.Selalunya ia dibentuk seakan-akan mangkuk dan diisi dengan isian ala ala Mushroom sup yang ditambah udang, ayam atau daging.
Saya menggunakan puff pastry ready made sahaja  dan isian atasnya bukan di letakkan mushroom sup tetapi menggunakan inti yang saya olah sendiri.

VOL-AU-VENT
Olahan:daridapursuzana 

Bahan-bahan
1 paket pastry puff 4x4(10 keping) 
2 batang sosej-di celur
1 tangkai daun sup
1 biji kuning telur 
1 sudu teh gula aising
3 keping nugget ayam tempura
cream cheese
mayonis

Cara membuatnya
  • Ambil sekeping pastry puff dan tekapkan dengan acuan bulat(ring cutter) dan aturkan di atas loyang pembakar.Ia menghasilkan 5 keping potongan.
  • Ambil sekeping lagi pastry puff dan tekap dengan acuan bulat yang pertama tadi.
  • Potongan yang kedua ini pula di tekap dengan acuan bulat yang lebih kecil supaya ia berlubang di tengahnya.
  • Buat sampai habis.
  • Letakkan kepingan kedua di atas kepingan yang pertama.Sapu dengan kuning telur.
  • Panaskan oven dan bakar dengan suhu 150'c sehingga keperangan dan kelihatan naik mengembang.
  • Keluarkan dari oven dan sejukkan sedikit.
Bahan isian atas
  • Goreng nugget ayam tempura hingga garing.Potong sosej celur tadi kecil-kecil.Ketepikan
  • Campurkan cream cheese dan mayonis dan kacau rata.
  • Tambah gula aising dan kacau rata.
  • Tambahkan sosej ayam ke dalam adunan.
  • Letakkan isian di atas pastry puff tadi dan letakkan nugget ayam yang di potong dua.
  • Taburkan potongan daun sup,jadilah Vol-au-vent versi sendiri.
  • Sedia untuk di makan.

Sabtu, 20 Jun 2015

BANANA-OREO PARFAIT

As-Salam buat semua..
Perkenalkan..dessert yang saya buat untuk berbuka puasa.Simple sahaja tapi best juga makan sejuk-sejuk.Buat untuk berdua sahaja kerana anak-anak tak makan yogurt.Kalau campur dalam kek mungkin mereka makan kerana tak nampak yogurt tu.

BANANA-OREO PARFAIT
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1 bekas yogurt perisa mangga
beberapa keping biskut oreo
Honey flakes secukupnya
beberapa potongan pisang 

Cara membuatnya
  • Ambil dua gelas dessert.Patahkan biskut oreo dan penuhkan dasar gelas.
  • Masukkan dua sudu besar yogurt atas biskut dan letakkan hirisan pisang di atasnya.
  • Hancurkan Honey flakes taburkan di atas pisang.Ulang langkah dan buat 2 lapis.
  • Atas sekali letak pecahan biskut dan hirisan pisang.
  • Sejukkan.Taburkan baki Honey flakes bila sedia untuk di makan.

Khamis, 18 Jun 2015

DAGING GORENG KICAP

As-Salam buat semua..
1 Ramadhan..saya bercuti hari ini menyambutnya!
Petang ni anak-anak dah request nak makan Nasi ayam.Keluar sekejap pagi tadi beli beras Basmathi kerana Azim tak makan beras biasa kalau nak buat Nasi ayam.Dan untuk dessertnya pula,saya buat Puding karamel tanpa telur..hanya dua jenis tu sahaja,ringkas dan mudah.
Hari ini saya postkan resepi Daging goreng kicap sesuai untuk di buat bersahur.Let's try masak.

DAGING GORENG KICAP
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
250 gm daging 
1 labu bawang besar -potong nipis
4 ulas bawang putih-di ketuk 
1/2 inci halia-cincang halus 
1 biji lada hijau-potong nipis
4 helai daun limau purut
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos tomato
kicap manis secukupnya
1 kiub pati daging
serbuk lada hitam
1 biji tomato-belah 6
 2 biji cili kering-potong dan rendam dalam air

Cara membuatnya
  • Potong kecil daging dan rebus bersama sedikit air hingga empuk.Ketepikan.
  • Tumis bawang putih,bawang besar,cili kering dan halia hingga naik baunya.
  • Masukkan  daging bersama airnya dan gaul rata.
  • Masukkan kicap manis,sos cili,sos tomato,sos tiram,kiub pati daging ,daun limau purut dan biarkan mereneh hingga kuah agak pekat sedikit.
  • Akhir sekali masukkan serbuk lada hitam,lada hijau dan tomato.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di hidangkan.

Rabu, 17 Jun 2015

MUFFIN PISANG COKLAT CHIP

As-Salam buat semua..
Esok 1 Ramadhan..bulan yang di rindui datang lagi!.malam ni solat sunat Terawih dan pun selesai dan menunggu untuk bersahur pula awal pagi esok.Baru selesai  siapkan bahan -bahan untuk juadah bersahur.Biasanya saya bangun masak seawal jam 0400  kerana anak-anak makan nasi sewaktu bersahur.Selamat berpuasa untuk kawan-kawan blogger dan silent reader blog ini walau di mana saja anda berada.Semoga segala urusan kita di permudahkan...
Resepi hari ini ialah Muffin pisang yang saya buat petang semalam.Kali pertama buat..tak cukup,saya buat pula kali kedua memandangkan baki pisang masih ada lagi.Sempat la kidnap 4 biji utuk bawa bekal ke tempat bertugas.Best saja muffin ni.Let's try baking.. 


MUFFIN PISANG COKLAT CHIP
Sumber:www.tiffinbiru.com .thanks

Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
*semua bahan di ayak

5 biji pisang emas-lecek hancur
1/2 cawan gula perang
1 biji telur gred A
1/3 cawan susu segar
100 gm mentega-cairkan dan sejukkan
beberapa tiitk esen pisang/esen vanila
1/4 cawan coklat chip

hiasan 
badam keping   saya guna walnut cincang
coklat chip

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 180'c,alas acuan muffin dengan paper cup atau guna paper cup muffin jenis keras.
  • Dalam satu bekas satukan gula perang,susu dan telur.Kacau rata dengan whisk hingga gula larut.
  • Tambah pisang lecek dan mentega cair.Kacau hingga semua rata.
  • Tambahkan tepung dan gauk rata.Masukkan esen pisang atau esen vanila.
  • Masukkan coklat chip dan walnut cincang(saya tambah).Isikan ke dalam acuan muffin 3/4 penuh.
  • Taburkan dengan sedikit coklat chip dan badam(walnut cincang).Buat hingga siap.
  • Masukkan ke dalam oven dan bakar selama 25 minit atau hingga perang keemasan.
  • Bila masak,keluarkan dan sejukkan di atas redai.

Isnin, 15 Jun 2015

BISKUT JEJARI BADAM

As-Salam buat semua..
Biskut ini di buat dalam cuti sekolah minggu lepas bersekali dengan Biskut Dahlia yang telah saya postkan entrinya seminggu yang lalu.Semalam sekolah sudah di buka semula dan biskut pun sudah habis.Ia rangup sahaja dan kalau nak buat untuk raya nanti pun boleh juga.Yang tinggal hanya kenangan gambar ini dan resepi untuk di kongsikan di sini.Let's try baking...

BISKUT JEJARI BADAM
Sumber:Resepi kuih raya/FB

Bahan A
170 gm mentega
125 gm gula aising

Bahan B
1 biji kuning telur
1/2 sudu teh esen vanila

Bahan C
150 gm tepung gandum
100 gm tepung kastard
75 gm tepung jagung
50 gm serbuk badam

Hiasan
1 biji putih telur
badam cincang secukupnya

Cara membuatnya
  • Sebatikan baha A dan masukkan bahan B,gaul rata.
  • Masukkan semua bahan C dan uli sehingga semuanya sebati.
  • Canaikan dan terap dengan acuan biskut pilihan(saya canai dan potong bentuk jejari).
  • Sapukan dengan putih telur dan taburkan dengan  cincangan badam.
  • Bakar di dalam oven yang telah di panaskan pada suhu  160'c selama 20 minit atau sehingga biskut masak.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Sabtu, 13 Jun 2015

SOTONG SUMBAT MASAM MANIS

As-Salam buat semua..
Selepas sotong ni di hidangkan di atas meja makan semua orang sangka,saya masak sotong yang ada telur.Si tukang beli pula siap tanya,masa bila pula dia beli sotong bertelur.Best juga makan sotong sumbat ni sebab ada inti di dalamnya.Resepi ini menggunakan minyak yang sedikit,jadi saya menggunakan minyak Canola dan kuali non-stick.Let's try masak..

SOTONG SUMBAT MASAM MANIS
Sumber:Resrpi Mudah/FB...thanks

Bahan-bahan
5 ekor sotong-buang kulit


1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
*semua bawang di mayang 

5 sudu besar sos tomato
5 sudu besar sos cili
2 sudu besar cili boh/cili kering kisar
1 sudu besar minyak masak
1 sudu teh gula /secukup rasa

Bahan sumbat
200 gm udang/4 ekor udang-potong kecil
2 biji telur
 *
2 biji bawang merah
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
1 pokok daun bawang
1 pokok daun sup
*di hiris halus
1 sudu besar minyak masak
sayur campur frozen
garam secukup rasa

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak dan tumis bahan di hiris halus dan udang.Kacau rata.
  • Masukkan telur dan biarkan separuh masak,kacau dan hancurkan.
  • Masukkan garam,daun sup dan bawang serta sayur campur dan kacau hingga masak.Tutup api dan ketepikan.
  • Ambil sotong dan masukkan bahan sumbat ke dalam badan sotong dan tutup dengan kepala sotong.Sematkan  dengan lidi.
Cara membuat kuah
  • Panaskan minyak dan tumis bawang besar,bawang putih hingga naik bau.Masukkan cili kisar dan tumis sampai cili masak.
  • Masukkan sos tomato,sos cili dan gula.Kacau rata.tambah sedikit air jika perlu.
  • Masukkan sotong sumbat dan masak hingga mendidih.
  • Bila sotong telah masak,angkat dan bolehlah di hidangkan.

Khamis, 11 Jun 2015

BISKUT LAPIS CHEESE

As-Salam buat semua..
Saya buat lagi Biskut Lapis Cheese atas permintaan anak-anak.Tapi kali ini saya tidak menggunakan Nestum original sebaliknya menukarkannya ke Nestum 3 in 1 dalam paket.Nampak pucat la sikit sebab serbuk nestum segera tu berwarna putih.Rasanya juga lebih lemak berkrim kerana kandungan serbuk nestum mengandungi krimer.Let's try buat..


BISKUT LAPIS CHEESE
Sumber:Kongsi resepi/FB.Thanks

Bahan-bahan
1 paket biskut cream cracker
1/2 tin susu pekat manis bervitamin FN
250 gm Philadelphia cream cheese
1 kotak kecil full cream milk
150 g nestum  saya ganti dgn. 4 paket Nestum 3 in 1

Cara membuatnya
  • Campurkan susu pekat dan cream cheese dan pukul sebati hingga kembang.
  • Celupkan sebentar biskut cream cracker ke dalam susu .
  • Susun rapat di dalam loyang empat segi.
  • Sapukan adunan cream cheese di atas biskut dan taburkan serbuk nestum rata-rata di atasnya.
  • Ulang langkah semula sampai bahan-bahan habis.
  • Sejukkan terlebih dahulu di dalam peti sejuk sebelum di potong.

Selasa, 9 Jun 2015

CUCUR IKAN TUNA

As-Salam buat semua..
Hari ini masak Cucur Ikan Tuna buat sarapan pagi.Macam -macam versi cucur dah saya cuba dan semuanya sedap belaka.Kalau makan time panas-panas tu sekejap sahaja dah habis.

CUCUR IKAN TUNA
Sumber:Majalah Saji April 2015
Resepi Imelda Maya Harris.thanks

Bahan-bahan
1 tin ikan tuna 
1 genggam daun ketumbar-potong kasar
1 tangkai cili merah-dadu kecil
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan air sejuk
1 biji telur
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng

parutan karot   saya tambah

Cara membuatnya
  • Pukul telur hingga separuh kembang dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.
  • Gaul sehingga agak sebati.
  • Masukkan air sedikit demi sedikit sehinga adunan mesra
  • Masukkan ikan tuna,daun ketumbar,karot parut dan cili  merah.Gaul rata.
  • Goreng dengan minyak banyak dan panas sehingga masak.
  • Hidang dengan sos pilihan.

Isnin, 8 Jun 2015

KURMA TELUR ITIK

As-Salam buat semua..
Petang ni nak balik rumah keluarga my bodyguard kat Jerteh,Trengganu.Dia minta saya buatkan Makaroni Bakar untuk di bawa pulang ke kampung.Sambil-sambil menunggu Makaroni sedang di bakar,saya update blog dulu.Dapat juga rehatkan kaki dan mata depan komputer.Ada juga kadang tu,kek atau benda lain yang saya bakar jadi hangit sebab ralit sangat(saya tidak menggunakan oven elektrik).Let,s try masak Kurma telur itik.Selain dari telur itik,telur puyuh dan juga telur ayam boleh juga di gunakan.Boleh juga di tambah potongan ubi kentang.Saya tidak menggunakan telur itik yang di rebus tetapi telur itik ini di buat pouch egg terlebih dahulu.

KURMA TELUR ITIK
Olahan:dari dapursuzana

Bahan-bahan
4 biji telur itik
1 paket kecil rempah kurma 
1labu bawang besar-belah 4
santan secukupnya
garam 
serbuk cukup rasa

Bahan tumis
rempah 4 sekawan(kulit kayu manis,bunga lawang,bunga cengkih,buah pelaga)
1 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah

Cara membuatnya
  • Didihkan air,pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukkan ke dalam air mendidih untuk membuat pouch egg.Buat sampai habis.Ketepikan
  • Tumbuk bawang putih dan bawang merah hingga hancur.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang tumbuk serta rempah 4 sekawan hingga naik baunya.
  • Campurkan rempah kurma dengan sedikit air di jadikan pes.
  • Masukkan rempah kurma ke dalam bahan penumis dan tumiskan hingga terbit minyak.
  • Tambahkan santan dan kacau sekali-sekala hingga santan mendidih.
  • Masukkan telur itik dan bawang besar belah empat,tambahkan serbuk cukup rasa dan garam.Biarkan sebentar.Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat .

Ahad, 7 Jun 2015

KERABU LIMAU BALI

As-Salam buat semua.
Saya bercuti selama empat hari bermula semalam.Banyak 'aktiviti outdoor'nak buat,jalan sana-sini dengan jalanraya yang sesak sekali -sekala time cuti sekolah ni.Sebenarnya best duduk rumah saja kalau tidak kerana ada jemputan makan,saya malas nak keluar rumah.Sementara 'aktiviti indoor' pula banyak nak buat juga,duk dapur mencuba resepi-resepi baru.Salah satu resepi baru yang saya cuba dalam minggu ini ialah Kerabu Limau Bali.Boleh di makan begitu saja ataupun dengan nasi.Let's try buat..

KERABU LIMAU ALI
Sumber: FIZA'S COOKING .thanks 

Bahan-bahan
isi limau bali-di cerai-ceraikan
beberapa ekor udang
beberapa biji cili padi-hiris halus
1 tangkai kacang panjang   saya gantikan dengan daun salad
3 ulas bawang merah-hiris nipis
1 batang serai-hiris nipis
1 biji tomato-buang isinya ,hiris nipis
1 biji limau nipis ambil jusnya
kicap sotong dan gula
serbuk lada hitam  saya tambah
Cara membuatnya
  • Celur udang sebentar dengan sedikit garam dan buang kulitnya.
  • Masukkan isi limau bali,bawang merah,serai,cili padi dan tomato kedalam mangkuk.
  • Tambahkan jus limau nipis,serbuk lada hitam,kicap sotong,gula  dan gaul rata.
  • Akhir sekali masukkan daun salad dan udang,gaul sebati.Sesuaikan rasanya dengan selera anda.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Khamis, 4 Jun 2015

BISKUT DAHLIA

As-Salam buat semua..
Projek baking petang semalam untuk kudapan anak-anak dalam musim cuti sekolah.Amzar yang request nak makan cookies homemade sebab katanya malam-malan dia tidur lewat nak menyiapkan kerja sekolah yang bertimbun tu.Jadi kalau saya dapat sediakan biskut utuknya,bolehlah dia makan pada waktu malam sambil buat kerja sekolah.Semalam saya sempat menyiapkan 3 jenis biskut yang mudah saja.Balik dari hospital terus singgah kedai bakeri beli bahan -bahan biskut.Let's try baking..

BISKUT DAHLIA
Sumber: MY BAKING WORKSHOP.thanks 

Bahan-bahan
225 gm butter
100 gm gula aising
1 biji kuning telur
1/2 sudu teh esen vanila
60 gm tepung jagung 
110 gm tepung kastard
190 gm tepung gandum
ceri merah untuk hiasan   saya guna gula manik berwarna

Cara membuatnya
  • Pukul butter dan gula aising hingga sebati.
  • Masukkan kuning telur dan esen vanila,kacau rata.
  • Ayak semua tepung bersama dan masukkan ke dalam adunan butter tadi sedikit demi sedikit.
  • Pamkan ke atas loyang pembakar guna acuan dahlia.Letakkan potongan ceri merah di atasnya.
  • Bakar pada suhu 160'c selama 10-15 minit.
  • Sejukkan sepenuhnya sebelum di simpan di dalam bekas kedap udara.

Rabu, 3 Jun 2015

KENANGAN SYAABAN..

As-Salam buat semua..
Hari ini,saya ada satu lagi kenangan yang akan tersimpan dalam lipatan sanubari ini.Saya terbitkan di ruangan ini untuk di jadikan kenangan manis buat diri sendiri yang sedang meniti hari-hari terindah dalam hidup buat kenangan hari esok.Anugerah perkhidmatan cemerlang buat kali ke-2 yang di adakan di Dewan Utama USM Kampus Kesihatan Kelantan.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang saya dapat pertama kali dulu di adakan di Hotel Diamond Puteri,Kota Bharu dalam tahun 2005.Dah hampir sepuluh tahun berlalu dan ia berulang kembali hari ini.
Semoga saya sentiasa menjadi seorang pekerja yang cemerlang di masa kini dan masa akan datang.Allah telah menentukan rezeki saya di bidang ini.Memang best berada dalam dunia perubatan yang sudah sebati dengan jiwa saya..

Isnin, 1 Jun 2015

KUIH KETAYAP

As-Salam buat semua..
Berulang kali dah buat Kuih Ketayap ni.Suka pula Azim akan kuih yang ada inti kelapa padahal ia bukanlah kuih moden pun.Tak apa la, saya buat saja kalau anak-anak suka makan.Lagipun kuih yang di buat sendiri tentunya lebih puas hati sebab ikut citarasa kita sendiri..

KUIH KETAYAP
Sumber: HaNa's FamiLy thanks

Bahan-bahan
  • 1 biji telur
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 cawan air
  • 1 sudu besar air pandan
  • sedikit pewarna hijau
  • minyak untuk mendadar
Cara membuatnya
  • Blend semua bahan di atas.
  • Lengserkan minyak atas kuali.Dadarlah adunan tadi hingga masak.
  • Angkat.Masukkan inti dan gulung.
  • Siap dihidang.
Untuk intinya
1/2 biji kelapa parut
2 keping gula melaka/ikut manis yang di sukai
1 helai daun pandan
1/2 cawan air
sedikit garam

Cara membuatnya

  • Panaskan air bersama gula melaka ,garam dan daun pandan sehinga gula melaka larut.
  • Masukkan kelapa parut dan gaul rata.
  • Kacau sentiasa sehingga inti kelapa kelihatan kering sedikit.
  • Angkat dan buangkan daun pandan.
  • Sedia untuk di gunakan.
**inti kelapa ini boleh di buat banyak dan di simpan di dalam freezer.Boleh di gunakan bila-bila masa.