style="text-align: center"

Sabtu, 29 Ogos 2015

ROTI JALA KUAH DURIAN

As-Salam buat semua..
Disini...tengah musim durian.Saya simpan semua ulas durian di dalan freezer supaya tahan lama.Boleh buat macam-macam nanti.Nak makan begitu saja pun banyak mana lah boleh di habiskan.
Di sini..kebiasaannya,Kuah durian di makan bersama pulut ataupun di cicah roti putih.Jarang saya jumpa orang Kelantan makan Kuah durian bersama Roti jala.Sekali nak try juga,best!saya suka...
Kuah durian pula saya buat ikut versi sendiri.Biasanya ia pekat dan isi durian di kacau bersama kuahnya.Saya buat ia tidak terlalu pekat dengan isi durian tidak di kacau hingga tertanggal dari bijinya.Let's try masak...

ROTI JALA MUDAH
Sumber:YUMMY..YUMMY..KITCHEN thanks 

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
1 sudu besar minyak jagung
secubit garam
sedikit esen vanila
pewarna 

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan ke dalam blender dan kisar sebati.
  • Panaskan non-stick pan dan menjala serta di gulung sehingga adunan habis.
  • Hidangkan bersama kuah durian.
KUAH DURIAN
Olahan:daridapur Suzana

Bahan-bahan
10 ulas durian
santan dan air secukupnya
3 keping gula melaka/ikut manis
secubit garam
2 helai daun pandan

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali durian.
  • Masak dengan api sederhana sambil di kacau hingga mendidih.
  • Masukkan durian,sesuaikan rasanya dan biar ia mendidih sekali lagi ,bolehlah di angkat.

Jumaat, 28 Ogos 2015

KEK COKLAT KARAMEL

As-Salam buat semua..
Dah lama cadang nak buat kek ni,asyik tertangguh sahaja kerana waktu yang semakin terbatas.
Best juga Kek coklat kukus yang ada lapisan Puding karamel di atasnya.Kejadian lapisan atasnya tidak berapa licin..gula la tu!.Keknya agak manis juga jika di lihat dari sukatan susu dan gulanya.Seperti biasalah,saya telah adjust sukatannya..Di bawah adalah resepinya yang sebenar.Let's try baking.

KEK COKLAT KARAMEL
Sumber:Resepi Ummi.thanks

Lapisan karamel
2 sudu besar gula di cairkan didalam loyang di atas api yang perlahan.
Bila dah cair dan bertukar warna gelap,ratakan.Ketepikan.

Bahan puding karamel
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
3 biji kuning telur
sedikt esen vanila
*putar sampai sebati,tuang ke dalam loyang yang ada lapisan karamel tadi dan kukus dalam 20-25 minit.sejukkan.
Lapisan kek coklat kukus
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
1 cawan minyak masak
1 cawan gula
1 cawan serbuk koko
*Masukkan ke dalam periuk,kacau hingga sebati di atas api perlahan dalam 3-4 minit.

4 biji telur-di blend

1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1sudu kecil baking powder
 *bahan-bahan ini di ayak bersama

Masukkan bahan yang di ayak ke dalam adunan coklat.
Selang-selikan dengan telur dan kacau hinga sebati.
Tuangkan di atas Puding karamel guna senduk dan kukus selama 45-60 minit.
Sejukkan dahulu sebelum di potong.

Rabu, 26 Ogos 2015

PENCARIAN YANG HILANG..

Lokasi:Pantai Senok,Tawang ,Bachok ,Kelantan
21 Ogos,2015
3 dekad yang lalu..lafaz lidah tidak terucap.
Dan ia menjadi sebahagian dari isi hati yang sukar di kikis
sehingga ke hari ini..titik.

Selasa, 25 Ogos 2015

PAVLOVA

As-Salam buat semua..
Projek nak sisihkan telur putih ,kiwi dan anggur merah keluar dari peti sejuk.Gandingan mereka bertiga sesuai di buat pavlova dengan tambahan krim putar yang dah separuh di gunakan sebelum ini.Simpan lama-lama nanti rosak pula.Sesuaikan di gandingkan dengan buah-buahan yang rasa masam sedikit kerana Pavlova ini teramatlah manisnya.Boleh juga di buat dalam saiz mini Pavlova.Dessert kesukaan my bodyguard..saya?makan sikit saja,manis sangat!.Let's try baking..

PAVLOVA
Sumber:  masam manis. thanks

Bahan-bahan
4 biji putih telur
1 cawan gula kastor   letak 3/4 cawan
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh esen vanila
1 sudu teh cuka makan

Cara membuatnya
  • Sediakan loyang.Alas loyang dengan baking paper.
  • Lorekkan atas baking paper bulatan berdiameter 8 inci.
  • Terbalikkan kertas.Kalau ada ring bulat boleh juga di gunakan.
  • Panaskan oven pada suhu 170'c.Nanti bila masukkan adunan Pavlova turunkan suhu ke 120'c -100'c.
  • Pukul putih telur dengan kelajuan maksima hingga gebu.
  • Masukkan gula sedikit demi sedikit dan terus di pukul hingga kental.
  • Masukkan tepung jagung,esen vanila dan cuka makan ke dalam adunan telur tadi dan gaul rata dengan spatula sahaja dengan kaedah kaup-balik.
  • Letakkan adunan di atas bulatan yang di lorek tadi dan ratakan.
*cara saya-letak adunan dalam acuan spring form tanpa tapaknya,ratakan dan angkat acuan.
  • Jangan terlalu tebal atau terlalu nipis.
  • Masukkan ke dalam oven dan bakar pada suhu 120'c-100'c selama 1 jam hingga 1 jam 15 minit atau sehingga permukaan Pavlova kering dan keras.
  • Setelah masak,buka pintu oven renggang sedikit dan biarkan Pavlova di dalam oven hinga ia sejuk sedikit.
Hiasan
krim putar
buah segar seperti kiwi,strawberi,blueberi,markisa

Krim putar di pukul dengan kelajuan maksima hingga kental
letakkan di atas Pavlova dan ratakan.Boleh juga guna piping bag dan nozzle .
Hiaskan dengan buah-buahan pilihan.

Sabtu, 22 Ogos 2015

RENDANG AYAM

As-Salam buat semua..
Minggu yang sibuk sekali dalam bulan ini.Masih ke sana dan ke sini untuk membuat segala persediaan buat kakak yang masih belum habis-habis lagi.Segala bagai benda nak di bawanya...layan je.
Curi masa sikit nak postkan resepi kat sini.Rutin yang selalu di tinggalkan dek kesibukan waktu yang terbatas.
Rendang ayam ini di makan bersama Pulut kuning yang saya buat sebelum ini.Sukatan di bawah telah saya kurangkan mengikut keperluan keluarga.Let's try masak.

RENDANG AYAM
Sumber:Azie Kitchen. Thanks

Bahan-bahan
2 ekor ayam
1 kg bawang merah-di hiris
3 labu bawang putih-di hiris
4 inci halia-di hiris
4 inci lengkuas-di tumbuk
2 inci kunyit hidup-tumbuk
4 batang serai-titik
4 senduk cili kisar-ikut suka pedas
kayu manis,buah pelaga,bunga lawang
4 kg santan
2 keping asam keping-ikut rasa
garam,gula secukup rasa
daun kunyit-optional
sedikit kerisik-optional untuk warna gelap

Cara membuattya
  • Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan hiris serta serai hingga wangi.
  • Kemudian masukkan cili kisar dan kunyit serta lengkuas tumbuk.Tumis sehingga cili benar-benar garing.
  • Masukkan ayam dan gaul rata dan masak hingga ayam kecut.
  • Masukkan sedikit santan dan masak dengan api perlahan sahaja.
  • Akhir sekali masukkan kerisik,garam,gula dan asam keping secukup rasa.
  • Masak hingga kuah kering dan pecah minyak.Jika suka boleh taburkan daun kunyit yang di hiris halus sebelum tutup api.
Nota
Setelah ayam masak,boleh keluarkan ayam terlebih dahulu dan masak bahan perencah sambil di kacau dengan api perlahan untuk menjadikan kuahnya agak gelap.

Rabu, 19 Ogos 2015

PULUT KUNING

As-salam buat semua..
Pulut kuning ini di buat pada hari lahir Kakak Afiqah yang ke -20 tahun pada 8 Ogos lepas dan juga hari lahir Abang Amzar yang ke-17 tahun di buat sekali.Biasalah kat sini kalau buat Pulut kuning tu mestilah ada apa-apa majlis yang istimewa.Tak buat majlis apa pun cuma masak makanan kesukaaan budak bertiga tu kemudiannya panggil kawan-kawan makan.Lagi pun lepas ni kakak dah nak pergi sambung belajar kat Syah Alam pula.Sudah tentu jarang balik rumah.
Biasanya saya buat Pulut kuning mesti letak telur warna-warni kat atasnya.Azim suka sangat makan pulut kuning dengan telur.Di samping itu,saya buat juga sedikit Rendang Ayam.Let's try masak.

PULUT KUNING
Olahan:daridapur suzana

Bahan-bahan
1 kg beras pulut
2 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
2 gelas santan pekat
2 helai daun pandan
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya
  • Basuh bersih beras pulut.
  • Rendam bersama serbuk kunyit dan asam gelugor selama 2 jam.
  • Kemudian toskan.
  • Panaskan periuk kukus dan kukus pulut bersama daun pandan hingga masak.
  • Angkat dari pengukus dan masukkan pulut ke dalam bekas.
  • Campurkan santan pekat bersama garam dan gula secukup rasa.
  • Gaul rata santan pekat bersama pulut kukus.
  • Masukkan semula pulut yang telah bergaul santan dan kukus sekali lagi hingga naik wap.
  • Sedia untuk dihidangkan.
Telur warna warni
3 biji telur ayam
serbuk lada sulah 
3 warna pilihan
sedikit garam

Pecahkan telur ke dalam mangkuk.
Tambahkan garam dan serbuk lada sulah.Kacau rata.
Bahagikan kepada 3 bahagian dan warnakan ikut kesukaan.
Panaskan kuali,sapu sedikit minyak dengan kertas tisu.
Buat telur dadar nipis setiap warna.
Angkat dan gulungkan telur dadar kemudian hiris halus.
Taburkan di atas Pulut kuning.
2

Isnin, 17 Ogos 2015

KEPAH MASAM MANIS

As-Salam buat semua..
Hari ini masak Kepah yang menjadi kesukaan kakak dan abang, Azim pula tak makan keluarga siput ni sebab dia takutkan siput!.Di beli dengan harga Rm 4 sekilo di Pasar Besar Siti Khadijah,Kota Bharu dapat sepinggan untuk sekali makan.Let's try masak..

KEPAH MASAM MANIS
dari dapur Suzana

Bahan-bahan
1 kg kepah-di cuci bersih
2 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar sos mae pranong/sos cili thai
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos plum
1/2 sudu besar maggi cukup rasa
4 helai daun limau purut
1 sudu besar jus limau nipis

Bahan di hiris nipis
1 batang serai
1/2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
3 tangkai cili kering
daun ketumbar siam-untuk tabur

minyak canola untuk menumis

Cara membuatnya 
  • Panaskan 3 sudu besar minyak canola dan tumis bahan-bahan hiris kecuali daun ketumbar siam hingga naik bau.
  • Masukkan cili kering kisar dan tumis lagi hingga cili masak.
  • Tambahkan kesemua sos dan kacau rata.
  • Masukkan kepah,daun limau purut ,serbuk cukup rasa maggi dan gaul rata.
  • Biarkan sekejap hingga kuah agak pekat sedikit.
  • Bila nampak kepah terbuka,bolehlah di angkat.
  • Taburkan dengan daun ketumbar siam di atasnya.

Ahad, 16 Ogos 2015

STREET ART @LAMAN SENI, LORONG CEK MEK MOLEK .






As-Salam buat semua..
Ini dia Laman Seni ,Lorong Cek Mek Molek Street Art,Machang,Kelantan.
Akhirnya sampai juga saya ke bandar Machang,Kelantan(macamlah duk jauh sangat!).Hari ini saya ingin kongsikan beberapa keping gambat street art yang saya ambil semasa singgah sekejap di bandar Machang semasa perjalanan balik dari melawat ibu saudara di Kuala Krai.
Walau dah setahun berlalu dari tarikh ia di lukis,ini kali pertama saya datang ke sini semata-mata untuk mengambil gambar street art yang cantik ini.Beberapa kali dah berjanji dengan my bodyguard untuk bawa saya ke tempat ini,tapi sentiasa sahaja tak kesampaian kerana kesibukan.
Ia di hasilkan oleh pelajar Art and Design UITM Kampus Machang,Kelantan bersama pelajar Sekolah Menengah Sains Machang.Sebagai seorang yang sukakan seni terutama lukisan,saya begitu teruja untuk melihat sendiri tempat ini dan merakamkan gambar street art yang cantik ini.

 Mural Tugu Negara bertemakan patriotisme
Ia tidaklah sepanjang street art di Syah Alam dan Penang tapi dah cukup memuaskan hati saya.Setelah hampir setahun dari tarikh ia di rasmikan,baru berpeluang untuk sampai ke sini.Asyik duk pusing Kota Bharu saja,tempat lain dalam Kelantan pun tak habis teroka lagi!
Terjumpa kali pertama dengan tempat ini semasa blog walking dan tak sangka pula ada tempat macam ni di kelantan.Dah tak jauh perjalanan...permandangan pun tak luas,hari-hari pun nampak ubat sahaja!
Mural akuarium Ikan Piranha..Cantik sungguh!
Unfortunately hanya beberapa keping gambar ni sahaja yang terselamat.Saya cuai lagi hingga terdelete banyak gambar semasa copy paste dari kamera ke komputer.Rasanya kena pergi sekali lagi untuk part 2 pula ambil gambar lain untuk simpan dalam blog buat kenangan anak-anak.Saya enjoy saja dengan gambar-gambar street art ni walaupun ambil gambar tengah panas.
Ia adalah projek bersama Toyota Eco Youth Programme yang bertemakan kelestarian alam untuk menghidupkan lorong terbiar di belakang bangunan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan para pelajar dari sekolah yang terpilih.Ia menghasikan mural,grafiti dan arca cantik dengan peibagai tema seperti kebudayaan,patriotime dan lukisan 3D.


Mural keluarga orang zaman batu bersama  keturunan yang entah keberapa..baru pertama kali jumpa!

Walaupun ia tidak sehebat street art di tempat lain,tapi ia cukup bermakna buat saya.Bagi yang sudah lama tidak kembali ke sini..pulanglah sekali-sekala kerana masih ada yang indah di sini!

Khamis, 13 Ogos 2015

NASI GORENG CINA

 As-Salam buat semua..
Menu simple untuk Azim.Nasi Goreng Cina kegemaran 'tetamu' dapur saya.Buat satu kuali besar kemudian hidang di atas meja bersama sepinggan salad Iceberg,Ayam goreng kunyit dan Sambal belacan.Azim makan nasi sampai dua pinggan kemudian siap pesan supaya simpan sikit untuk di makan petang nanti pula.Let's try masak..

NASI GORENG CINA
Sumber:Wikibooks

Bahan-bahan
Nasi putih
Bawang besar-hiris halus
Bawang putih-cincang
Lada hitam
Lada sulah
Serbuk pati ayam
Ayam (tambahan sahaja)
Sayur campur
Minyak bijan
Minyak masak
Telur

Cara membuatnya


  • Masukkan minyak dengan kuantiti yang sedikit dan panaskannya,lalu masukkan bawang putih dan bawang besar.
  • Kemudian masukkan telur dan kacau sehingga hancur.
  • Selepas itu masukkan nasi dan sayur campur dan kacau supaya telur yang dihancurkan sebati dengan nasi dan juga sayur campur.Anda juga boleh menambah daging ayam yang dipotong kecil.
  • Selepas itu masukkan lada sulah,lada hitam dan serbuk ayam, lalu gaulkan sampai naik bau.
  • Akhir sekali titikkan sedikit minyak bijan dan siap dihidang. 
Ayam goreng kunyit
Gaul dada ayam yang di potong kiub bersama serbuk cili,kunyit,garam,madu ,serbuk lada hitam dan goreng hingga garing.
Masukkan lada merah dan bawang besar ,goreng sebentar lagi dan bolehlah di angkat.
Hidangkan bersama Nasi Goreng Cina.

Ahad, 9 Ogos 2015

PISANG GORENG CHEESE

As-Salam buat semua..
Pisang goreng cheese yang di sukai oleh anak-anak saya terutama kalau di letakkan coklat di atasnya.Kalau letak cheese sahaja mereka tak makan.Nak' umpan'bagi makan,letak coklat banyak-banyak di atas pisang baru la cepat habis.Puashati kan dapat buat sendiri boleh letak cheese dan coklat banyak-banyak.Ia adalah dessert street food yang popular di Indonesia.Di Kota Bahru pun,ia agak popular juga sekarang.Di mana sahaja ada orang yang menjual pisang goreng rangup ini yang di letak sos manis dan di taburi parutan cheese.Pisang yang gunakan mesti sesuai untuk di goreng seperti pisang tanduk dan pisang nangka.

PISANG GORENG CHEESE
Sumber:www.azlitamasammanis. thanks

Bahan-bahan 
sesikat pisang- belah dua
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar baking powder
5 sudu besar santan 
sedikit serbuk kunyit/pewarna kuning
secubit garam
1 sudu besar marjerin
1 biji telur

 Cara membuatnya
  • Cairkan mentega.
  • Satukan tepung beras ,tepung gandum,baking powder,santan,telur dan garam.
  • Kacau rata,tuangkan marjerin cair dan kacau sebati.
  • Masukkan pisang.
  • Panaskan minyak dalam kuali.
  • Goreng pisang hingga kuning keemasan.
  • Angkat dan toskan minyaknya.
Bahan sos topping
1 sudu besar entega
1 sudu besar susu pekat
keju cheddar-parut
coklat rise parutan coklat masakan/sos coklat 

Cara membuatnya

  • Dalam kuali yang bersih,cairkan mentega.
  • Tutup api bila mentega cair,masukkan susu pekat manis dan sedikit keju.Kacau rata.
  • Masukkan pisang goreng dan gaul rata(saya sudukan sahaja di atas pisang)
  • Letak pisang di dalam bekas sesuai dan taburkan keju parut di atasnya.
  • Akhir sekali letakkan coklat rise/coklat parut/sos coklat.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Selasa, 4 Ogos 2015

BIHUN GORENG

As-Salam buat semua..
Hari ini saya ambil cuti sehari kerana kepenatan bertugas dari minggu lepas lagi.Seawal pagi masuk dapur masak sarapan pagi-Bihun goreng.Sukalah Azim dapat makan sarapan pagi menu lain sikit.Biasanya makan French toast dengan 2 biji multivitamin dan  air Milo sahaja setiap hari.Tak bosan kah dia,hari-hari minta French toast.Biarkan...biarkan.Let's try masak..

BIHUN GORENG
Olahan:dari dapur suzana

Bahan-bahan
1 paket bihun -rendam air biasa hingga lembut.
2 paket perencah bihun goreng
1 keping dada ayam-potong kecil
15 ekor udang
3 biji telur
sayur pilihan-kobis/sawi
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos sos tiram
3 sudu besar sos tomato
4 sudu kicap manis
2 sudu besar jus limau nipis 
1 kiub pati ikan bilis
garam dan gula secukup rasa
minyak canola

Bahan kisar
1 labu bawang besar
4 ulas bawang merah
1 labu bawang putih
10 tangkai cili kering

Cara membuatnya
  • Toskan bihun yang telah di rendam tadi.
  • Panaskan minyak canola dan tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak.
  • Masukkan isi ayam dan biarkan ayam hingga masak.Masukkan udang.Tambahakan sedikit air
  • Pecahkan telur dalam mangkuk kecil,kacau  sedikit dan masukkan ke dalam kuali dan biarkan sebentar.
  • Kacau telur biar jadi berketul-ketul.
  • Tambahkan semua sos dan serbuk pati ikan bilis serta perencah bihun goreng,garam dan gula serta jus limau nipis.Gaul rata.
  • Akhir sekali masukkan sayur pilihan dan gaul rata.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.
  • Semasa menghidang taburkan hirisan daun ketumbar ,hirisan cili merah dan bawang goreng.

Isnin, 3 Ogos 2015

TART NENAS CHEESE

As-Salam buat semua..
Biskut raya pada Ramadhan yang lepas baru sempat nak di postkan kat sini.Dari tahun lepas lagi saya bercadang nak buat biskut ini tapi tak sempat pula.Baru tahun ini berpeluang cuba buat tart nenas yang agak sedap ini.Peminat tart nenas la ni,sampaikan tiap-tiap tahun,saya pasti buat mana-mana resepi tart nenas.Tart nenas cheese ni pula simple saja nak buatnya,cuma bulat-bulatkan dan letak cheese parut di atasnya.Let's try baking..

TART NENAS CHEESE
Sumber:Sweet red cherry .Thanks 

Bahan-bahan
250 gm mentega
2 sudu besar gula kastor 
2 sudu besar minyak sapi
1 biji kuning telur 
3 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung
secubit garam
jem nenas secukupnya-di bulatkan kecil
cheddar cheese parut

Cara membuatnya
  • Ayak ketiga-tiga tepung.
  • Pukul mentega dan gula hingga kembang.
  • Masukkan kuning telur,minyak sapi dan garam.Pukul sebati.
  • Masukkan tepung sedikit -sedikit dan gaul hingga jadi doh.
  • Masukkan sebentar di dalam peti sejuk lebih kurang 10 -15 minit supaya doh senang di bentukkan. 
  • Ambil sedikit adunan,bulatkan dan leperkan kemudian masukkan inti nenas kemudian tutup doh dan bulatkan semula. 
  • Susun di atas dulang pembakar yang di lapik dengan baking paper.
  • Bakar selama 15 minit sehingga separuh masak.
  • Keluarkan tart dari oven dan biarkan suam.
  • Sapukan dengan egg wash(kuning telur campur sedikit air dan pewarna kuning) dan letakkan keju parut di atasnya.
  • Bakar kembali 15-20 minit atau sehingga masak.
*saya tidak ikut cara membakar di atas.Selepas di isikan inti nenas,terus di sapu egg wash dan tabur keju parut kemudian di bakar terus sehingga masak.

Ahad, 2 Ogos 2015

PUDING CINCAU BANDUNG

As-Salam buat semua..
Dah masuk bulan Ogos,cepat benar masa berlalu...entah apa yang dah saya lalui di sepanjang tahun ini,sedar-sedar dah nak masuk penghujung tahun.Banyak kenangan dah di tinggalkan begitu sahaja..
Resepi dan gambar masakan juga adalah sebahagian dari sejuta kenangan yang tercatat untuk saya tengok semula suatu masa nanti.Jom buat Puding Cincau Bandung pula,sedap saja puding ni bila masuk tekak time sejuk-sejuk...

PUDING CINCAU BANDUNG
Resepi:Mariana Zainal/Majalah Saji Julai 2015

Bahan A
10 gm serbuk agar-agar
1/2 cawan gula pasir
600 ml air

Bahan B
1 tin susu cair
1 sudu besar tepung jagung
sedikit esen vanila

Bahan C
3/4 cawan cincau-di cincang
pewarna pilihan

Cara membuatnya
  • Satukan bahan B dan kacau sebati.
  • Masakkan bahan A hingga gula larut
  • Kemudian masukkan bahan B ke dalam bahan A.Kacau rata dan tutup api.
  • Bahagikan kepada dua bahagian.Satu bahagian di warnakan dan satu bahagian lagi di campurkan cincau.
  • Bahagikan adunan berwarna kepada dua,satu bahagian tuangkan ke dalam loyang.Biarkan beku.
  • Bila sudah beku,lorekkan permukaan dengan garfu dan tuangkan adunan cincau.Biarkan beku
  • Bila adunan cincau beku,lorekkan dengan garfu dan tuang lagi adunan berwarna.
  • Masukkan ke dalam peti sejuk.

Sabtu, 1 Ogos 2015

NASI KOMOK

As-Salam buat semua..
Saya merajinkan diri pada suatu hari yang tenang dan tidak bertugas jauh dari kesibukan dan hustle- bustle di hospital...cuba buat pertama kalinya buat Nasi komok..ha..haa intro yang entah apa-apa!.Saya suka makan Nasi komok..itu intro sebenarnya.Sebelum ni di beli sahaja atau 'bertemu' dengannya semasa jamuan-jamuan kecil di tempat bertugas.Sekarang cuba untuk buat sendiri pula,anak-anak pun suka.
Nasi komok di kenali juga sebagai Khao Mok Gai dalam bahasa siam atau juga Nasi beriani siam.Cara penyediaannya hampir serupa dengan Nasi ayam.Yang membezakan dengan Nasi ayam adalah penggunaan Rempah Komok.Di Kota Bharu,Rempah Komok ada di jual di Pasar Besar Siti Khadijah.Let;s try masak..

Sumber:azlitamasammanis.com  thanks 
Bagi yang tiada rempah komok boleh di buat sendiri mengikut resepi ini..

Rempah Komok
2 sudu teh rempah kari daging
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula

Semua bahan di atas di satukan, campurkan sedikit air gaul rata untuk di jadikan pes.
NASI KOMOK
1 ekor ayam - dipotong 4 dan cuci bersih
5 cawan beras basmathi - rendam sebentar, cuci dan toskan
4 sudu besar minyak ghee / minyak sapi
1 batang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
1 batang serai - dititik 
5 ulas bawang merah - dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
3 batang akar ketumbar - hiris sikit untuk buang tanahnya dan cuci bersih
3 sudu besar Rempah Komok / guna resepi di atas
200 ml susu cair
8 cawan air
garam secukup rasa
1 kiub ayam 
Cara membuatnya
Pijarkan minyak sapi dalam periuk
Tumiskan bahan rempah tumis, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih , buah pelaga dan serai hingga harum.
Masukkan bahan yang di hiris dan masak hingga ia layur
Kemudian masukkan pes rempah komok dan masak hingga garing.
Sentiasa kacau supaya ianya tidak hangus
Setelah garing, masukkan air dan akar daun ketumbar
Biarkan air rebusan mendidih
Kemudian masukkan ayam, kiub ayam dan garam secukup rasa
Rebus hingga ayam separuh empuk
Angkat ayam dan toskan

*Ambil 1 cawan air rebusan ayam dan asingkan untuk di buat sos cili.

Masukkan beras ke dalam periuk nasi
Masukkan air rebusan ayam secukupnya untuk menanak nasi
Kemudian masukkan susu cair
Perasakan garamnya jika kurang.
Tanaklah nasi seperti biasa. 

Ayam Goreng 
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa

Ayam yang telah kita toskan tadi, kita gaulkan bersama serbuk kunyit dan garam secukup rasa
Kemudian goreng terendam di dalam minyak panas
Setelah kuning keemasan angkat dan toskan minyaknya

*Saya tambah sedikit Rempah Komok dalam perapan ayam.Rempah ayam goreng boleh juga di gunakan.

Sos Cili
1 cawan air rebusan ayam
6 biji cili merah
4 biji cili padi - jika inginkan pedas
2 ulas bawang putih
4 tangkai daun ketumbar
2 sudu besar cuka - boleh juga perahkan jus lemon
garam dan gula secukup rasa
Sedikit cili sos 
Sedikit kicap manis 

Kisarkan cili merah, cili padi, bawang putih dan daun ketumbar bersama air rebusan ayam tadi
Masukkan dalam periuk dan masak hingga kuah agak pekat
tambahkan sedikit cili sos dan sedikit kicap manis
Bila kuah telah pekat perasakan dengan garam dan gula
Boleh tambahkan cuka atau perahan jus lemon

Sup Komok
Lebihan air rebusan ayam tadi,jadikan sup untuk di makan bersama Nasi Komok sebagai kuahnya.Perasakan dengan garam dan taburkan hirisan daun ketumbar.