Selasa, 31 Disember 2019

DONUT

Asslam buat semua..
Ia berlalu begitu saja,tanpa peduli apa pun,
tanpa kerelaan,ia tetap berlalu pergi.
Yang tinggal hanya kenangan dan rindu....

Resepi untuk hari ini adalah Donut mudah,starter untuk saya yang tak pernah cuba buat Donut.
Nanti kalau dah pandai sikit,saya cuba buat Donut yang hias cantik-cantik pula.
Setakat untuk cubaan yang pertama ni,letak gula dahulu.
Let's try buat.

DONUT

Bahan--bahan
1/2 kg.tepung gandum/high protein/superfine
1/2 cawan air suam
2 sudu besar gula
2 sudu besar susu pekat
1 paket Mauripan
secubit garam

2 sudu besar butter
1 sudu besar ovalette
2 sudu besar susu tepung
1/2 sudu kecil baking powder


Cara membuatnya

  • Untuk membuat doh,campurkan air suam,gula,susu pekat dan Mauripan.
  • Doh di kacau sebati dan di perap selama 10 minit atau sehingga berbuih.
  • Dalam bekas lain,sebatikan tepung gandum,susu tepung,baking powder,ovalette dan garam.
  • Kemudian campurkan bahan air tadi,gaul rata dan uli hingga jadi doh.
  • Uli sekejap semua bahan dan yang penting ia sebati.
  • Tutup dengan kain basah selama 30 minit dan doh naik.
  • Jika doh sudah naik,sudah boleh di bentuk.
  • Tunggu naik dulu dan minyakkena panas baru goreng dengan api sederhana.
  • Siap untuk di gaul dengan gula.

Selasa, 17 Disember 2019

AMERICAN CHOCOLATE CAKE


Assalam buat semua.. 
Kali ini resepi Kek coklat yang pernah sekali saya buat dulu.
Ianya di buat sempena harijadi Azim dan dia request nak topping yang simple sahaja.
Saya cuma letak Coklat ganache,coklat rice,sedikit Almond nibs dan hirisan coklat bar di tepinya.
Okay,let's try baking.

AMERICAN CHOCOLATE CAKE.

Bahan A
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan serbuk koko
2 suud teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan B
1 1/4 cawan gula kastor
2 biji telur gred A
1 cawan susu segar
1 cawan minyak jagung
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
1 sudu teh serbuk nescafe
1 cawan air panas

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 160'c dan lapik loyang dengan baking sheet.
  • Ayak tepung dengan serbuk koko,baking powder dan soda bikarbonat.
  • Ketepikan seketika.
  • Masukkan kesemua bahan B ke dalam pengadun dan putar seketika supaya semua bahan bercampur.
  • Masukkan tepung yang di ayak tadi(bahan A) sedikit demi sedikit ke dalam bahan B dan kacau sebati.
  • Seterusnya masukkan air bancuhan nescafe kemudian kacau rata.
  • Tuang adunan ke dalam loyang pilihan.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 160'c selama 45 minit bergantung kepada oven masing-masing.
  • Bila sudah masak,sejukkan seketika sebelum di letak topping.
Topping mudah
300 gm coklat masakan-potong kecil
200 gm whipping cream
1 sudu besar mentega

Panaskan whipping cream hingga mendidih sedikit dan matikan api.
Masukkan coklat dan kacau hingga coklat cair sebati.
Masukkan mentega dan gaul rata.
Curahkan perlahan-lahan ke atas kek coklat yang telah sejuk.
Hiaskan ikut kreativiti sendiri.

Jumaat, 13 Disember 2019

AYAM NESTUM CRUNCHY

Assalam buat semua,
Sudah hampir ke penghujung tahun..
Ada banyak lagi resepi yang saya tak dapat update dek kesuntukan masa.
Semakin usia bertambah,banyak perkara tidak dapat di siapkan dalam waktu yang semakin terbatas ini.
Semoga saya sentiasa sihat agar saya terus dapat berkongsi resepi di sini.
Hari ini saya kongsikan satu resepi masakan ayam yang menjadi kesukaan anak-anak.
Aroma wangi dari nestum dan lemak manis dari mentega dan gula perang benar-benar membangkitkan selera makan.
Tabur nestum banyak-banyak sampai ayam pun tak nampak.
Let's try masak.

AYAM NESTUM CRUNCHY

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam-potong kecil
tepung goreng ayam Bestari(pedas)
Nestum madu
mentega
cili padi
gula perang
Serbuk cukup rasa Maggi
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya

  • Campurkan tepung Bestari dengan sedikit air dan perap dengan ayam selama 1/2 jam.
  • Panaskan minyak untuk goreng terendam.
  • Toskan ayam tadi.
  • Ambil tepung Bestari yang lain dan gaul/salut rata dengan ayam.
  • Bila minyak sudah panas,goreng ayam sampai habis.
  • Toskan minyak.
  • Gunakan kuali lain,cairkan mentega.Guna api sederhana.
  • Masukkan nestum,cili padi,serbuk cuku rasa dan gaul rata.
  • Tambahkan gula perang secukup rasa.
  • Bila nestum sudah garing,angkat dan toskan.
  • Taburkan di atas ayam yang telah di goreng tadi.

Selasa, 10 Disember 2019

PERIA GORENG RANGUP

Assalam buat semua..
Sayur Peria biasanya tidak begitu di gemari oleh sesetengah orang sebab rasanya yang pahit itu.
Tapi kalau masak dengan cara yang betul,rasa pahitnya tidaklah begitu ketara sangat.
Biasanya saya masak Peria dengan cara goreng sahaja.
Sedap juga makan dengan nasi ketika ia masih panas lagi.
Let's try masak.

PERIA GORENG RANGUP

Bahan
1 biji peria
garam
tepung Bestari
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya

  • Peria di belah dua dan keluarkan bijinya.
  • Potong serong dengan ketebalan 1/2 cm.
  • Dalam bekas,masukkan air dan larutkan garam di dalamnya.
  • Rendam Peria yang di potong tadi dalam 1/2 hingga 1 jam.
  • Selepas itu toskan airnya.
  • Ambil tepung Goreng Bestari dan gaul rata bersama Peria tadi.
  • Panaskan minyak banyak dan goreng Peria dalam minyak panas.
  • Goreng hingga Peria nampak rangup.
  • Toskan minyaknya dan bolehlah di hidangkan.

Ahad, 8 Disember 2019

PUDING MOZEK

Assalam buat semua..
Kembali lagi bertamu di sini walau hanya sekejap saja..
Beberapa hari lepas yang amat sibuk buat saya menghabiskan masa dengan pelbagai tugasan.
Sedar tak sedar dah masuk bulan Disember
Bertarung dengan rindu lagi..
Bertarung dengan kesihatan lagi..
  ..dan segala-gala yang telah berlaku membuatkan saya lebih menghargai kenangan..
Puding ni pun dah tinggal kenangan,kerana di buat beberapa minggu lepas.
Yang tinggal hanya resepi untuk di simpan di sini
Let's try buat.

PUDING MOZEK

Bahan A
1 paket agar-agar Nona plain/10 gm.
800 ml air
1 tin susu cair
susu pekat manis secukup rasa
gula ikut manis sendiri
1 sudu teh esen vanilla
secubit garam

Bahan B
1 paket agar-agar Nona plain/10 gm
600 ml air
gula ikut manis
pewarna pilihan.

Cara membuatnya

  • Masak bahan B hingga larut dan mendidih.
  • Bekukan dan potong kiub.
  • Masak bahan A hingga mendidih.
  • Masukkan agar-agar kiub ke dalam acuan pilihan.Masukkan sedikit agar-agar susu.
  • Sejukkan.
  • Bila dah keras sedikit,goreskan permukaan dengan garfu dan tuang agar-agar selebihnya(mesti panas).
  • Masukkan agar-agar kiub selebihnya.
  • Sejukkan dahulu sebelum di masukkan ke dalam peti sejuk.

Isnin, 25 November 2019

CEKODOK ROTI

Assalam buat semua..
Hujan masih turun di Kota Bharu ni walaupun bukan berhari-hari.
Tapi sudah cukup membuatkan langit sentiasa mendung.
Dalam resepi ni,saya guna Roti sandwich yang hampir nak due tarikh luputnya.
Perlu di selamatkan dengan segara supaya cepat habis.
Makan Cekodok Roti panas-panas time ni sedap juga.
Ia rangup di luar dan lembut saja di dalam.
Cicah pula dengan Sos cili Thai...best
Let's try buat.

CEKODOK ROTI

Bahan-bahan
5 keping roti sandwich-carik kecil-kecil
1/2 labu bawang besar-kiub kecil
1 biji telur
1 kiub pati ikan bilis
daun kucai/daun ketumbar-potong halus
karot-parut halus
cili hiris-jika suka pedas
1 sudu besar marjerin

Cara membuatnya

  • Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas adunan.
  • Gaul-gaulkan hingga sebati dan bulat-bulatkan adunan roti.
  • Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana hingga keperangan.
  • Toskan minyak dan bolehlah di cicah dengan sos pilihan.

Khamis, 21 November 2019

SOTONG BAKAR THAI


Asslam buat semua..
Saya akan teruskan dengan menulis dan mengumpul resepi yang pernah saya buat di sini.
Walaupun pengunjung blog tidak seperti yang dulu-dulu.
Sebagai kenangan peribadi dan untuk rujukan buat anak-anak di masa akan datang.
Anak-anak tak makan sotong,mungkin esok-esok mereka boleh masak untuk orang lain pula.
Lagipun sekarang ini sedang bercuti panjang selama 19 hari.
Ada banyak masa untuk menulis di sini.
Hari ini saya kongsikan satu resepi sotong yang mudah dan sedap sangat.
Masam,manis,pedas mencukupkan segalanya.
Let's try buat.

SOTONG BAKAR THAI

Bahan-bahan
1 kg.sotong-belah dua dan toskan.

Sos
2 perdu akar ketumbar
1/2 cawan gula melaka/gula merah
1/2 cawan cuka
1/2 cawan sos ikan
1/2 cawan air
2 ulas bawang putih
1 sudu besar tepung gandum/tepung ubi
cili padi -ikut selera.

Hiasan
bijan-di sangai
daun ketumbar siam-cincang
cili flakes

Cara membuatnya

  • Kisar bahan di atas kecuali sotong dan masak hingga pekat.
  • Cucuk sotong secara zig-zag pada lidi.
  • Siram bahan yang di masak dan perap selama 1/2 jam.
  • Sapu grill pan dengan sedikit minyak dan biarkan betul-betul panas.
  • Bakar sotong,jangan terlalu lama.
  • Selesai membakar,masukkan sedikit air ke dalam grill pan dan biarkan bahan-bahan lebihan perapan tadi menjadi pekat.Guna dengan api kecil..
  • Sapu/glaze pada sotong bakar tadi.
  • Tabur bijan untuk rasa berkacang dan daun ketumbar siam dan cili flakes jika suka. 

Rabu, 20 November 2019

KEROPOK LEKOR MEE SEGERA

Assalam buat semua..
Minggu ini hujan dah mula turun di Kota Bharu berterusan.
Cuaca mendung dan langit kelabu.
Terasa sayu di hati..entah pada siapa yang saya terkenangkan.
..kenangan itu sama seperti hujan,
  bila ia datang,kita tak bisa menghentikannya.
Hujan-hujan ni makan keropok goreng panas-panas sedap juga.
Kenangan itu...biarkan ia berlalu pergi tapi tetap kemas tersimpan di hati.
Ok..hari ini saya kongsikan satu resepi keropok homemade yang mudah menggunakan mee segera.
Let's try buat.

KEROPOK LEKOR MEE SEGERA

Bahan
1 bungkus mee sedap
1 biji telur
6 sudu besar tepung ubi
2 sudu besar tepung gandum

Cara membuatnya

  • Rebus mee segera sampai kembang.Toskan.
  • Masukkan mee,serbuk perasanya,telur dan sedikit garam dalam blender.
  • Kisar sebati.
  • Campurkan 6 sudu besar tepung ubi kayu dan 2 sudu besar tepung gandum.
  • Uli sekejap sampai ia tidak melekat di tangan.
  • Boleh tambahkan tepung sedikit-sedikit ikut kesesuaian doh.
  • Bentukkan memanjang(saya buat bentuk mini).
  • Didihkan air dan rebuskan keropok lekor tadi.
  • Tunggu sampai timbul,baru di angkat.Toskan.
  • Jika ia di buat panjang,bolehlah di potong serong.
  • Panaskan minyak dan  goreng hingga garing.
  • Sedia di makan bersama sos pilihan.

Selasa, 19 November 2019

CANAPE KOKTEL UDANG

Assalam buat semua..
Saya buat canape lagi tapi kali ini menggunakan udang pula.
Mana-mana inti canape pun sedap.
Tambahan pula di hidang dalam bentuk yang kecil ini..hanya satu suapan sahaja.
Let's try buat.

CANAPE KOKTEL UDANG

Bahan
10 keping roti sandwich
udang saiz sederhana-buang kulit
1/2 cawan mayones
1/2 biji capsicum hijau-dadu
1/2 biji capsicum merah-dadu
3 tangkai daun kucai-hiris
garam secukup rasa
serbuk lada hitam
1 sudu makan mentega

Cara membuatnya

  • Panaskan mentega,masukkan udang,serbuk lada hitam dan garam.
  • Goreng sebentar kemudian tutup api.
  • Terapkan roti mengikut acuan yang di sukai.
  • Gaulkan capsicum dengan mayones.
  • Sapukan campuran capsicum dengan mayones di atas roti.
  • Kemudian letakkan seekor udang yang sudah di goreng tadi.
  • Taburkan hirisan daun kucai.
  • Ulangi pada roti yang lain dan buat sehingga habis.
  • Susunkan di atas dulang.

Khamis, 14 November 2019

VANILLA CUPCAKE WITH BUTTERCREAM

Assalam buat semua..
Kek cawan perisa vanila dan di paipkan buttercream di atasnya supaya tidak nampak kosong sangat.
Bila dah kelihatan menarik barulah cepat habis.
Saya paipkan bunga buttercream yang mudah sahaja menggunakan Nozel bintang.
Let's try baking.

KEK CAWAN VANILLA

Bahan
250 gm mentega
130 gm gula kastor
1 sudu besar susu pekat manis
220 gm tepung gandum 4 biji telur gred A
1sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya

  • Panaskan oven pada suhu 150'c.
  • Ayak tepung dan baking powder.Ketepikan.
  • Putar mentega,esen vanila,susu pekat manis dan gula hingga kembang dan gebu(warna putih)
  • Masukkan telur satu persatu dan putar lagi.
  • Kaup-balikkan tepung ke dalam adunan.Gaul sebati.
  • Masukkan 3/4 penuh adunan ke dalam cawan kertas.
  • Bakar pada suhu 150'c selama 30-35 minit bergantung pada oven masing -masing.
  • Sejukkan dahulu sebelum di paipkan buttercream.
BUTTERCREAM(untuk bunga)
Bahan
80 gm mentega
250 gm creamwell
1/2 cawan gula aising
1/4 cawan golden syrup

Pewarna pilihan.


  • Potong mentega kecil-kecil.
  • Kemudian satukan mentega dan creamwell dan pukul hingga kembang dan putih.
  • Ayak gula aising.
  • Masukkan gula aising dan golden syrup ke dalam mentega yang telah di pukul kembang tadi.
  • Gaul rata semua bahan ini guna spatula hingga bercampur sebati.
  • Kemudian bolehlah di letak pewarna pilihan.
  • Masukkan buttercream ke dalam piping bag dengan nozel pilihan dan paipkan ke atas kek.

Rabu, 13 November 2019

GULAI LENGKUAS IKAN KERING

Assalam buat semua..
Jarang-jarang saya buat gulai ikan kering..
sebab tidak berapa suka makan ikan kering.
Jadi gulai ni saya campurkan dengan beberapa ekor ikan segar,
supaya saya dapat makan ikan segar tu dengan rasa kuah gulai ikan kering.
Ikan kering tu kita bagi orang lain makan jer..
Let's try buat.

GULAI LENGKUAS IKAN KERING

Bahan-bahan
Ikan kering dan ikan segar.
2 batang timun-belah dan potong serong
nenas/optional
5 biji cili padi-di ketuk
2 biji lada hijau-potong dua
2 kotak santan
air secukupnya
garam,gula dan perisa secukupnya

Bahan kisar
4 ulas bawang merah
8 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
1 inci kunyit hidup
2 cm.lengkuas

Cara membuatnya

  • Masukkan santan,air secukupnya dan bahan kisar ke dalam periuk.
  • Kacau sekali-sekali dan tunggu hingga mendidih.
  • Masukkan ikan segar,ikan kering,cili hijau,cili padi dan timun/nenas.
  • Masak hingga timun lembut.
  • Rasa dahulu sebelum tambah garam untuk elak kuah jadi terlalu masin.
  • Biarkan gulai mendidih sekali lagi dan bolehlah di angkat.


Isnin, 11 November 2019

AISKRIM OREO

 Assalam buat semua..
Saya buat Aiskrim Oreo yang mudah ni untuk di buat stok dalam peti sejuk.
Bila-bila masa teringin nak makan aiskrim dah ada yang readymade .
Kalau tidak mahu letak batang aiskrim,boleh di makan dari pek plastik sahaja.
Mudah,cepat dan ringkas sahaja.
..dan yang pasti ia tidak menitik di tangan.
Ok..Let's try buat.

AISKRIM OREO

Bahan-bahan
1 paket oreo mini/saiz biasa
Full cream milk

Cara membuatnya

  • Ambil satu paket kecil oreo dan patah-patahkan sedikit.
  • Jika oreo mini tidak perlu di patahkan.
  • Letakkan pek dalam bekas supaya tegak.
  • Curahkan Full cream  milk
  • Bekukan di dalam freezer.
*Saya letak lidi satay/batang aiskrim supaya senang untuk di pegang,tapi mudah menitik la..


Khamis, 7 November 2019

BOBBA PEARLS HOMEMADE


Assalam buat semua..
Azim suka sangat minum Air Bobba ni..
Tapi dia selalu jer tak puashati sebab yang di beli,letak sikit saja Bobba pearls.
Ok..saya dah terajin nak cuba buat.
Saya rujuk video di Youtube dan adjust ikut kesesuaian sendiri.
Kita tengok sama ada dia puashati ke tak makan Bobba pearls ni.
Bercinta nak gentel benda ni..ada kecil,ada besar!asal jadi..
Di Kota Bharu ..Air Bobba ni manih letting!
..dan saya buat versi yang kurang manis.Azim membebel lagi!
Let's try buat.

BOBBA PEARLS HOMEMADE

Bahan-bahan
1 cawan gula perang(saya guna 1/2 cawan)
1 keping gula melaka
1/2 cawan air
2 cawan tepung ubi kayu
1/2 sudu kecil pewarna hitam(saya guna pewarna coklat)
2 helai daun pandan

Cara membuatnya

  • Dalam periuk,larutkan gula perang dan air.
  • Masukkan pewarna,kacau rata.
  • Masukkan tepung ubi kayu sedikit demi sedikit,sehingga adunan di campur sebati.
  • Keluarkan adunan ke atas permukaan bersih dan sejuk.
  • Taburkan tepung.
  • Uli doh sehingga warna jadi sekata dan doh tidak melekat di tangan.
  • Ambil doh,uli memanjang biar jadi kecil,kemudian potong kecil-kecil.
  • Taburkan tepung di dalam dulang,kemudian gelekkan bebola kecil doh di tapak tangan dan letakkan dalam dulang bertepung(supaya tidak melekat).
  • Gentel bulat sampai doh habis.
  • Dalam periuk lain,didihkan air bersama daun pandan.
  • Rebus Bobba pearls sampai masak(kenyal).Toskan.
  • Rebus sedikit air bersama 1 keping gula melaka.
  • Bila dah larut,masukkan Bobba pearls tadi dan gaul rata.Sejukkan
  • Sedia untuk di campur bersama bersama air teh atau susu.
**Bobba pearls boleh juga di rebus terus bersama air gula.

MILK TEA BOBBA /BOBBA MILK
Bahan
air teh
susu full cream
bobba pearls
ais kiub
aiskrim vanilla/optional
**Jika tidak minum teh,gunakan susu sahaja.

Cara membuatnya
Rebus serbuk teh dengan air dan tapiskan.
Ambil Bobba pearls,masukkan ke dalam gelas.
Masukkan ketulan ais.
Tuang Full cream milk di ikuti dengan air teh.
Tambahkan 1 scoop aiskrim vanila/optional
Sedia untuk diminum.

Khamis, 31 Oktober 2019

MURTABAK AYAM MINI

Assalam buat semua..
Hari ini saya kongsikan satu resepi murtabak menggunakan kulit popia..
Sesuai untuk di simpan lama di bahagian frozen.
Goreng sebentar dulu,sejukkan barulah di simpan.
Intinya juga boleh di pelbagaikan ikut kesukaan masing-masing.
Di Kelantan murtabak di cicah dengan kuah cuka warna merah.
Ada juga orang suka cicah dengan kuah kari.
Ok..Let's try buat.

MURTABAK AYAM MINI

Bahan-bahan
kulit popia secukupnya
2 biji telur
daun sup/bawang-hiris
garam secukup rasa
sedikit tepung gandum,bancuh air untuk di jadikan gam.

Bahan inti.
isi ayam cincang
ubi kentang-dadu kecil
lobak merah-dadu kecil
1 paket rempah kari daging
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar-dadu
garam,gula dan air secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya

  • Bagi menyediakan inti,tuang sedikit minyak masak,tumis kesemua bawang hingga wangi.
  • Masukkan rempah kari yang telah dicampurkan air.
  • Tumis hingga pecah minyak.
  • Seterusnya masukkan isi ayam,lobak merah,kentang.
  • Masukkan air secukupnya dan biarkan semua bahan-bahan masak.
  • Setelah inti hampir kering,perasakan dengan garam,gula secukup rasa dan serbuk perasa jika suka..
  • Masak hingga inti betul-betul kering.Sejukkan.
  • Untuk membuat murtabak,pecahkan telur,pukul dan masukkan sedikit garam.
  • Masukkan inti yang di masak tadi.
  • Tambahkan daun sup/bawang jika suka.Kacau sebati.
  • Ambil kulit popia,letak atas dulang,ambil inti dan lipat popia dengan kemas.
  • Gam hujung dengan bancuhan tepung gandm dan buat hingga habis.
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali leper dan goreng murtabak mini hingga perang dan keemasan.
Untuk kuah merah
cuka makan
bawang besar-hiris nipis
air secukupnya
pewarna merah
garam dan gula secukup rasa.
*Campurkan kesemua sekali dan gaul rata.

Rabu, 30 Oktober 2019

AYAM MASAK MERAH

Assalambuat semua..
Ayam Masak Merah ni di makan bersama Nasi Hujan Panas.
Saya menggunakan resepi yang mudah saja.
ia juga sesuai di makan dengan pelbagai jenis nasi yang lain.
Let's try buat.

AYAM MASAK MERAH

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam
sedikit garam dan kunyit
*potong kecil ayam dan gaul dengan garam dan kunyit
Biarkan sebentar.

Bahan kisar
1 cm halia
6 ulas bawang putih
1 labu bawang Holland
2 batang serai

6 sudu besar cili kering kisar
4 sudu besar sos tomato
6 sudu besar sos cili Thai
1 biji buah tomato-belah 6
garam dan gula melaka secukup rasa

Bahan hias
bawang Holland-potong bulat
hirisan daun ketumbar

Cara membuatnya

  • Goreng ayam setengah masak dan ketepikan.
  • Tumis bahan kisar kecuali sos sehingga naik baunya.
  • Masukkan sos tomato,sos cili Thai.Tumis sehingga naik minyak.
  • Masukkan garam dan gula melaka secukup rasa.
  • Masukkan ayam yang telah di goreng tadi dan tambahkan sedikit air.
  • Biarkan kuah jadi pekat sambil di kacau sekali-sekala.
  • Bila hampir siap masukkan bawang besar potong bulat dan buah tomato.
  • Taburkan sedikit daun ketumbar cincang semasa menghidang.

Selasa, 22 Oktober 2019

NASI HUJAN PANAS

Assalam buat semua..
Ku sangkakan panas hingga ke petang,rupanya hujan di tengahari..
Sesekali ku rasa teringinnn....masak nasi macam ni sedap juga,
tambahan pula kalau menggunakan beras Basmathi.
Tapi pada hari di mana semangat nak memasak begitu tinggi,
beras Basmathi tiada dalam simpanan pula..
Jadi..saya guna beras biasa saja lah.
Pewarna pula,saya tak letak banyak..cukup nampak kaler-kaler sikit saja.
Ok..let's try masak.

NASI HUJAN PANAS

Bahan
2 cawan atau 420 gm beras Basmathi
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar mentega
1 batang kulit kayu manis
2 buah pelaga
2 bunga lawang
3 cengkih
3 ulas bawngn merah
2 ulas bawang puith
2 helai daun pandan
1 cawan atau 250 ml susu cair
2 cawan atau 500 ml air(bergantung pada jenis beras)
1 sudu kecil garam
kacang gajus(saya guna gajus readymade salted caramel)
kismis
pewarna makanan

Cara membuatnya

  • Cincang halus bawang merah dan bawang putih\tumbuk\blend.
  • Cairkan minyak sapi dan masukkan bahan rempah kering,kacau sebentar. 
  • Masukkan bawang cincang dan tumis hingga naik baunya.
  • Masukkan daun pandan yang telah di simpul.Tumis sebentar lagi.
  • Masukkan susu cair dan air dan kacau rata.
  • Tambahkan garam dan biarkan mendidih.
  • Masukkan kismis dan beras yang telah di basuh.
  • Pindahkan kesemua ke dalam rice cooker dan masukkan kismis.
  • Biarkan nasi masak,kemudian buat beberapa  lubang dalam nasi menggunakan chop stik.
  • Letakkan pewarna ke dalam lubang-lubang tersebut dan masak nasi selama 5 minit lagi.
  • Bila dah sedia,gaul nasi menggunakan senduk dan warnanya akan bercampur.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Isnin, 21 Oktober 2019

MANGO PANNA COTTA

 Assalam buat semua
Itallian Dessert yang menjadi kesukaan saya,dulu,kini dan selamanya.
Panna cotta ni boleh di pelbagaikan penggunaan buah-buahan atau bahan lain di atasnya.
Ikut kreativiti dan kesukaan masing-masing la yer.
Letak dalam peti sejuk,lepas makan nasi boleh la menikmatinya,best sangat.
Selalunya bahagian atas,saya letak puri buah.
Tapi kali ni saya,letak potongan buah di gabungkan dengan kristal jelly.
Nampak lebih menarik.
Resepi ini tidak menggunakan krim putar,hanya susu sahaja.
Let's try buat.
                   
MANGO PANNA COTTA

Bahan
16 gm Gelatin Halagel
6 sudu besar air
5 cawan Full Cream milk
1/2 cawan gula/ikut manis sendiri
2 sudu kecil esen vanilla
1 kotak Kristal Jelly Mango
buah mangga masak secukupnya-potong kiub

Cara membuatnya
  • Larutkan Gelatine dengan air dan kacau sebati.Ketepikan
  • Masak dengan api sederhana,susu,gula dan esen vanilla.
  • Bila dah mendidih,tambahakn gelatine larut tadi dan kacau rata.
  • Masukkan ke dalam acuan pilihan
  • Sejukkan semalaman di dalam peti ais.
  • Ambil buah mangga kiub,letakkan di atas lapisan bawah yang sudah beku.
  • Masak Kristal Jelly ikut arahan di kotak.
  • Bila mendidih,padamkan api. 
  • Curahkan perlahan-lahan ke atas buahan potong tadi.
  • Sejukkan semula di dalam peti sejuk dalam 4 jam.
  • Sedia untuk di makan sejuk-sejuk 

Kenangan terindah..

  Budak muka cina yang dah tamat belajar setakat ini dulu..katanya.
                                       
 Nak buat outdoor,dah orang bagi pinjam jubah konvo selama seminggu.
Namanya Che Nur Afiqah Bahirah binti Che Zamri
Anak sulung yang namanya panjang..masa tu tengah excited dapat anak perempuan
Anak yang di nantikan.
Lokasi di Pantai Senok ,Tawang,Bachok,Kelantan.
Alhamdulillah kakak lulus cemerlang dengan Ijazah Kelas Pertama Kepujian. Terimakasih Ya Allah.

Jumaat, 18 Oktober 2019

IKAN SIAKAP TIGA RASA ALA THAI

Assalam buat semua..
Macam-macam resepi dah saya buat dengan Ikan Siakap ni.
Semua pun sedap belaka.
Masak kat rumah pun,tapi macam makan kat kedai.
Pastu kita hias sikit-sikit,biar nampak cantik.
Resepi hari ini pun bagi selera saya sedap juga.
Sesuai di makan bersama Nasi putih.
Let's try masak.

IKAN SIAKAP TIGA RASA ALA THAI

Ikan Siakap-
lumur garam,kunyit dan tepung jagung

Bahan tumis
1 biji bawang besar atau bawang Holland
3 ulas bawang putih-cincang halus
1 inci halia-ketuk
1 batang serai-hiris halus

Bahan sos
2 senduk kecil cili kering kisar
3 sudu besar sos cili Thai/sos Mae Phranom
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tiram

Bahan tambahan
lobak merah-dadu
nenas-dadu
1 biji tomato-dadu
5-10 biji cili padi-potong halus
1 biji cili merah besar-dadu
sedikit air -untuk kuah
1 kiub pati ayam
daun ketumbar siam-hiris halus
daun limau purut-buang tulang dan hiris halus
daun salad-untuk hiasan

Cara membuatnya

  • Goreng ikan sehingga agring dan ketepikan.
  • Panaskan minyak,tumis bahan hiris sehingga naik bau.
  • Masukkan cili kisar serta kesemua sos.
  • Tambahkan air secukupnya.dan biarkan mendidih.
  • Masukkan kiub pati ayam dan kacau sebati.
  • Masukkan sayurdan nenas dadu tadi.
  • Curahkan kuah ke atas ikan goreng tadi.
  • Taburkan daun limau purut dan daun ketumbar.
  • Sedia untuk di hidangkan.


Ahad, 13 Oktober 2019

KEK SPAN MARBLE

Assalam buat semua..
Sekarang ni suka makan kek yang jenis kosong macam ni pula.
Kek yang mewah dan sarat dengan hiasan tu rasanya sudah tidak berapa sesuai dengan saya.
Kalau sekali-sekala nak buat untuk harijadi seseorang tu bolehlah rasanya.
Di samping mencuba resepi baru.
Ok,hari ni kita kongsikan resepi kek span mudah.Saiznya kecil sahaja.
Let's try baking

KEK SPAN MARBLE

Bahan-bahan
3 biji telur
1/2 cawan gula
1 sudu besar ovalette
1 sudu kecil esen vanila
3/4 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/4 cawan susu cair
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar serbuk koko/coklat atau kopi emulco
secubit garam

Cara membuatnya

  • Ayak tepung gandum bersama baking powder dan panaskan oven.
  • Putar kesemua bahan kecuali minyak masak dan serbuk koko hingga ringan dan gebu.
  • Bila dah putih dan gebu,berhenti putar dan kaup-balik minyak masak ke dalam adunan.
  • Jangan terlebih gaul.
  • Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.
  • Satu adunan di biarkan plain dan satu lagi di campur serbuk koko dan gaul rata.
  • Alas loyang 5 atau 6 inci dengan baking sheet.
  • Lapiskan adunan plain dan koko selang seli hingga habis.
  • Hentak perlahan adunan kek sebelum di masukkan ke dalam oven bertujuan untuk membuang udara berlebihan.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 170'c selama 35-40 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Bila sudah masak,keluarkan dari loyang ,sejukkan sebentar di atas redai kek dan terus letak di atas papan kek.

Rabu, 2 Oktober 2019

KERABU PERUT

Assalam buat semua..
Resepi untuk hari ini simple dan cepat cara nak membuatnya
Cuma gaul-gaul sahaja ..dah siap
saya menggunakan perut frozen yang dah siap di rebus kat Pasaraya Mydin
cuma rebus semula untuk melembutkannya
Let's try buat.

KERABU PERUT

Bahan-bahan
1/2 kg.perut-celur dan toskan
1 labu bawang besartomato,lada merah dan hijau.
beberapa biji cili padi
daun ketumbar siam
1 biji pauh muda-cincang
1 biji lada merah
1 biji lada hijau
1 biji tomato
jus limau nipis
sos ikan
sos Mae Phranom

Cara membuatnya

  • Hiris nipis bawang besar,tomato,lada merah dan hijau.
  • Gaul kesemua bahan.
  • Tambahkan sos ikan,limau nipis dan sos Mae Phranom secukup rasa.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di hidangkan.

Ahad, 15 September 2019

MEE HOON KUNG FU

Assalam buat semua..
Ni salah satu dari makanan kesukaan saya.
Kalau keluar makan masa hujung minggu tu,mesti saya order masakan ni.
Boleh juga guna kuay teow
Ni try buat sendiri la pula,tapi sotong tak ada.
Belasah saja la bahan apa yang ada kat dapur.
Let's try buat.

KUAY TEOW KUNG FU

Bahan
Mee hoon/kuay teow
telur
1 sudu kecil lada sulah

Bahan kuah
5 ulas bawang putih-cincang halus
1 mangkuk kecil hirisan isi ayam
udang/sotong/fish cake
hirisan halus karot
bunga kobis/jagung muda
sayur kubis/sawi
1 sudu kecil lada sulah
1 kiub pati ayam
tomato belah 8
cili padi jika suka pedas
bancuhan tepung jagung
jus limau nipis

Bahan tabur
hirisan daun sup
bawang goreng

Cara membuatnya

  • Celur Mee hoon sekejap dan toskan.
  • Bancuh satu biji telur dengan lada sulah dan kacau sebati.
  • Ambil Mee hoon anggaran seorang makan,dan masukkan ke dalam mangkuk telur .
  • Kacau rata dan goreng hingga garing.
  • Angkat dan ketepikan.
Cara membuat kuahnya
  • Panaskan sedikit minyak,masukkan bawang putih dan goreng hingga kekuningan.
  • Masukkan isi ayam,udang,sotong dan fish cake.Kacau seketika.
  • Masukkan air secukupnya dan tunggu hingga mendidih.
  • Masukkan kiub pati ayam,lada sulah.
  • Masukkan semua sayuran.
  • Masukkan tomato dan cili padi di ikuti air bancuhan tepung jagung mengikut kepekatan yang di sukai.
  • Masukkan jus limau nipis dan sesuaikan rasanya.
  • Letakkan mee hoon di atas pinggan,tuang kuah pekat dan tabur daun sup dan bawang goreng.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Sabtu, 14 September 2019

CEKODOK STICK

Assalam buat semua..
Mari kita tera buat Cekodok stik ni..
Napok mace keropok lekor kae..
Sedak make di waktu pete
Beley-beley dok tengok tibi tu...cicoh denge sos cili
Hihihi..ok tak,saya tulis dale dialek Klate
Mari kita buat..

CEKODOK STICK
Bahan A
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1 kiub pati ayam
2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil maggie cukup rasa
sedikit serbuk kunyit

Bahan dadu halus
1 pokok daun sup
3 tangkai cili kering
2 hiris karot
2 biji bawang merah

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan A ke dalam periuk kecuali tepung gandum.
  • Masak hingga mendidih.
  • Kemudian masukkan tepung gandum,kacau dengan senduk kayu.
  • Bila nampak adunan berketul-ketul,tutup api.
  • Sambung kacau lagi hingga adunan jadi doh.
  • Keluarkan doh dari periuk dan masukkan ke dalam bekas lain.
  • Gaul sebati dengan bahan-bahan yang di dadu.
  • Doh nampak liat dan suam-suam,boleh pegang dengan tangan dan uli sekejap.
  • Sediakan alas untuk gelek adunan dan sekeping plastik untuk alas di atas doh.
  • Ambil seketul doh dan gelek hingga leper,jangan nipis sangat.
  • Potong memanjang dan gelek sehingga jadi macam keropok lekor.
  • Ulang hingga doh habis.
  • Panaskan minyak banyak dalam kuali dan goreng sehingga masak.
  • Toskan minyak dan sedia untuk di cicah dengan sos cili.

Rabu, 11 September 2019

ROTI JALA KUAH DURIAN

Assalam buat semua..
Hari tiba-tiba rajin..menulis pulak malam ni.
Sekarang ni musim durian merata-rata di Kota Bharu ni..
dari berbelas ringgit sekilo,semalam dah jumpa yang Rm3 sekilo..Durian kampung
Kat rumah ni durian free ..emak saudara yang bagi
Jadi saya tak beli la durian tu,kecuali kalau rasa nak makan yang isinya hebat sikit!
Yang free ni isinya biasa-biasanya saja.
Tak kisahlah yang biasa pun..durian jugak.
Cicah roti jala saja..selalunya cicah roti  bantal atau bun pun sedap juga.
Saya buat warna-warna sebab nak bagi nampak meriah..
Ikut la,asal bahagia.
Let's try buat

ROTI JALA

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
2 1/2 sudu besar minyak masak
sedikit garam dan gula
pewarna hijau,merah,kuning

Cara membuatnya

  • Blend kesemua bahan dan tapiskan.
  • Masukkan adunan ke dalam acuan Roti jala
  • Sapu sedikit minyak pada kuali non-stick dan boleh terus menjala sampai habis.
KUAH DURIAN

Bahan-bahan
10 ulas durian atau lebih
2 kotak santan segera/santan segar
1 keping gula melaka
2 helai daun pandan
garam dan gula secukup rasa
air secukupnya

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali durian
  • Masak dengan api perlahan.
  • Sentiasa kacau hingga mendidih.
  • Masukkan isi durian dan biarkan mendidih sebentar.Sesuaikan rasanya.
  • Tutup api dan sejukkan.

Selasa, 10 September 2019

SOSEJ AYAM HOMEMADE

Assalam buat semua..
Sosej Ayam homemade ni puas hati makan..
Dah buat sendiri,saiz besar ni sedap la makan sambil cicah sos cili Thai.
Sosej ayam kat pasaraya saiz besar gini,boleh tahan juga harganya.
Jadi ..dah jumpa resepi tu kena merajinkan diri la.
Let's try buat.

SOSEJ AYAM HOMEMADE

Bahan-bahan
200 gm isi ayam
1 biji telur
1/2 bawang holland
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil lada hitam
2 sudu besar tepung ubi
1/2 kiub pati ayam
1/4 cawan air
Karot
Daun sup
gula dan garam secukup rasa

Cara membuatnya

  • Blend semua bahan di atas sehingga halus.
  • Masukkan ke dalam plastik aiskrim atau aluminium foil.
  • Kukus atau rebus dalam 15 minit atau sehingga masak.
  • Sejukkan dahulu dan keluarkan dari plastik aiskrim.
  • Goreng sehingga berwarna keperangan.
  • Sedia di cicah dengan sos cili Thai dan mayonis.

Sabtu, 31 Ogos 2019

PUDING ROTI KARAMEL

Assalam buat semua..
Hari ini 31 Ogos 2019,Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 tahun.
Cuti tak lulus sebab kekurangan staf yang ramai bercuti.
Saya kena bertugas malam ini.
Ok..tak apa,pagi-pagi boleh main masak-masak.
Chill saja bila dapat berada di dapur cuba resepi dalam my waiting list.
Let's try buat

Bahan-bahan
4 keping roti sandwich
4 biji telur Gred B
3-4 sudu besar gula
1 tin susu cair
3/4 tin susu pekat/ikut manis sendiri
3/4 air suam
1 sudu kecil esen vanila
secubit garam

Cara membuatnya

  • Panaskan periuk pengukus.
  • Masak air gula hingga perang.
  • Masukkan sedikit air,kacau sebati dan larut,tutup api.Sejukkan
  • Tuang ke dalam loyang dan ratakan.
  • Carikkan roti,satukan dengan susu cair,susu pekat,air suam,garam dan esen vanila,blend sebati.
  • Tapiskan adunan dan masukkan ke dalam loyang karamel tadi.
  • Kukus adunan selama 45 minit atau sehingga masak.
  • Sejukkan dan terbalikkan ke dalam bekas sesuai.
  • Sejukkan dalam peti ais.

Ahad, 18 Ogos 2019

POPIA NESTUM

Assalam buat semua..
Saya buat Popia Nestum ni sebagai kudapan.
Sambil tengok TV atau baca buku boleh juga kunyah-kunyah.
Letak serdak nestum banyak-banyak lagi best.
Selain dari di gulung boleh juga di potong-empat segi
Bercinta sorang-sorang nak habiskan membuatnya.
Akhirnya siap juga.
Let's try buat

POPIA NESTUM

Bahan-bahan
kulit popia secukupnya

Nestum
gula
susu tepung

Cara membuatnya

  • Gulung kulit popia dan gamkan hujungnya dengan tepung gandum yang di bancuh air.
  • Buat sampai habis.
  • Gunting bentuk menyerong
  • Goreng sehingga warna perang.Toskan
  • Sementara itu kisar nestum,gula dan susu tepung.
  • Gaulkan dengan popia yang siap di goreng tadi.
  • Simpan di dalam bekas kedap udara.

Selasa, 6 Ogos 2019

BROWNIES

Assalam buat semua..
Brownies yang selalu saya buat untuk anak-anak
Penuh dengan rasa coklat yang sedap.
Kalau anak-anak suka,saya pun suka nak buatnya lagi..
Let's try baking

BROWNIES

Bahan A
1/2 cawan butter
1 cawan Dark Chocolate Beryl's

Cairkan coklat dengan kaedah double boil.
Bila dah cair,masukkan butter dan kacau hingga cair.
Biarkan suam.

Bahan B
1/3 cawan gula perang
1/4 cawan gula kastor
2 biji telur gred A

Cara membuatnya

  • Kacau semua bahan dengan whisk hingga sebati,tidak perlu adunan jadi kembang
Bahan C
1 cawan tepung naik sendiri
2 sudu besar serbuk koko
secubit garam

Ayak semua bahan

Cara membuatnya

  • Panaskan oven pada suhu 160'c.
  • Masukkan adunan A ke dalam adunan B
  • Kacau sebati guna whisk,nanti adunan akan jadi likat
  • Kemudian masukan bahan yang di ayak tadi.
  • Kaup -balik sebati guna senduk,jangan terlebih kacau.
  • Sapukan butter pada loyang 8"x8".Alas dengan baking paper.
  • Bakar selama 40 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Bila dah masak,jangan keluarkan lagi dan buka sedikit pintu oven.
  • Bila dah sejuk,jika suka boleh paipkan coklat dan taburkan badam seperti dalam gambar.

Sabtu, 3 Ogos 2019

BANANA CUPCAKE

Assalam buat semua..
Ok..hari ni saya kongsikan satu resepi Kek Cawan Pisang yang gebu dan sedap ni.
Minum Nescafe kosong dan lawankan dengan Kek cawan ni di waktu petang,best juga.
Tak pun saya buat supper bila lapar pada waktu malam.
ataupun saya buat breakfast saja di hari lain..
Let's try baking.

BANANA CUPCAKE

Bahan-bahan
110 gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh soda bikarbonat
50 ml sour cream/buttermilk/yogurt
1 biji telur
1/3 cawan gula perang
3/4 cawan pisang-lenyek
1/4 kismis-potong 2
1/4 cawan butter
1/2 sudu teh esen vanila

Hiasan/optional
kepingan badam
coklat cip

Cara membuatnya

  • Ayak tepung gandum,baking powder dan soda bikarbonat.
  • Pukul butter,gula perang ,esen vanila dan telur hingga gebu.
  • Masukkan pisang,sour cream/buttermilk/yogurt dan kismis,gaul rata.
  • Kaup-balikkan tepung ke dalam adunan.
  • Masukkan 3/4 penuh adunan ke dalam cawan kertas.
  • Taburkan kepingan badam dan coklat cip
  • Bakar dengan suhu 170'c selama 20-25 minit bergantung pad ajenis oven masing-masing.

Rabu, 31 Julai 2019

AYAM MASALA SIMPLE

Assalam buat semua..
Nak simpan resepi di sini untuk rujukan anak-anak di masa hadapan.
Walaupun pengunjung blog sudah tidak seramai dulu,tapi sekurang-kurangnya saya masih gigih menulis resepi di sini,
sebagai catatan peribadi..
Resepi Ayam Masala ni simple sahaja,
Just nice untuk anak-anak saya.
Let's try masak.

AYAM MASALA SIMPLE

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam-potong kecil
1 sudu besar rempah masala

3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari
1 biji tomato-belah 4
1 biji lada hijau -potong serong
sedikit kicap manis
2 sudu besar rempah Masala
1/2 kiub pati ayam
garam,gula secukup rasa

Cara membuatnya

  • Gaul ayam dengan 1 sudu besar rempah Masala dan sedikit garam.
  • Goreng sekejap dan toskan.
  • Kisar bawang merah dan bawang putih.
  • Tumis bawang kisar hingga naik baunya.
  • Masukkan 2 sudu besar serbuk Masala dan sedikit air.
  • Tumis hingga rempah masak.
  • Masukkan ayam goreng,daun kari,kiub pati ayam,garam,gula secukup rasa dan sedikit kicap manis.
  • Tambahkan sedikit air.
  • Gaul rata dan biarkan ayam mesra dengan kuahnya dan sedikit pekat.
  • Akhir sekali masukkan tomato dan lada hijau.
  • Sesuaiakn rasanya dan bolehlah di angkat. 
  • Taburkan dauan Parsli semasa menghidang.

Isnin, 29 Julai 2019

PUDING BLUE OCEAN

 Assalam buat semua..
Cukup mendamaikan bila tengok puding ni
Rasa macam duduk dalam laut saja..
Sedap juga bila di makan waktu cuaca panas-panas ni
Saiznya agak besar juga,sesuai untuk di makan ramai-ramai
Let's try buat

Bahan A(Biru)
1 paket agar-agar tali(18gm)
1 atau 2 tin laici
5 sudu besar gula pasir
sedikit pewarna biru
1 paket kecil biji selasih-di rendam
2 cawan air
3 cawan air dari tin laici

Cara membuatnya

  • Basuh agar-agar tali dan masak dengan air biasa.
  • Bila sudah mendidih dan agar-agar larut,masukkan air laici serta gula dan pewarna biru.
  • Basahkan loyang/acuan pilihan.
  • Susun buah laici dan masukkan agar-agar biru serta biji selasih yang telah di toskan airnya.
  • Sejukkan sebentar,biar ia keras sedikit.
Bahan B(Putih)
1 paket agar-agar tali(18gm)
3 cawan air
1 tin susu cair
5 sudu besar gula pasir
sedikit esen vanila
sedikit garam

Cara membuatnya
  • Masak agar-agar dengan air hingga larut dan masukkan gula dan garam.
  • Masukkan susu cair dan esen vanila
  • Masak sampai mendidih sambil di kacau sentiasa.
  • Ambil agar-agar biru dan goreskan permukaannya dengan garfu.
  • Tuangkan agar-agar putih perlahan-lahan.
  • Sejukkan dahulu sebelum di masukkan ke dalam peti sejuk.

Ahad, 21 Julai 2019

RENDANG AYAM SIMPLE


Assalam buat semua..
Saya buat Rendang Ayam mudah ni untuk di makan bersama Pulut Kuning
Rasanya dah lama tak makan Rendang Ayam
Kebetulan semua bahan pun ada di dapur
Pastu kita buat -buat rajin sikit
Resepinya pun mudah saja
Ok...let's try buat

RENDANG AYAM SIMPLE

Bahan-bahan
1 kg ayam
5 inci lengkuas
5 inci halia
1 inci kunyit
5 ulas bawang putih
2 keping asam keping
2 helai daun kunyit
2 biji bawang besar
4 helai daun limau purut
4 biji cili padi
santan
sedikit cili kisar
kerisik
serbuk perasa jika perlu

Cara membuatnya
  • Blend lengkuas,halia,bawang putih,bawang besar dan kunyit.
  • Simpan sedikit bahan kisar untuk di tumis.
  • Perapkan ayam yang telah di bersihkan dengan bahan-bahan yang telah di kisar selama 1 jam atau lebih.
  • Masukkan juga cili kisar,cili padi,garam dan sedikit gula serta serbuk perasa jika perlu.
  • Hiris daun limau purut dan daun kunyit halus-halus
  • Tumiskan sedikit bahan kisar dan daun limau purut dan daun kunyit sehingga naik baunya.Tambahkan asam keping.
  • Masukkan ayam yang telah di perap dan kacau rata sekejap.
  • Masukkan pula kerisik,santan dan sedikit air.
  • Biar sampai mendidih dan ayam empuk.
  • Bila masak,taburkan sedikit daun kunyit semasa menghidang.

Selasa, 9 Julai 2019

BROWNIES CRUNCHY


Assalam buat semua..
Brownies crunchy yang baru saja saya cuba membuatnya beberapa hari lepas.
Crunchy dan penuh rasa coklat.
Tak boleh nak berhenti dari mengunyahnya..rangup sungguh.
Buat banyak-banyak letak dalam balang biskut dan letak depan Tv..habis cerita!
Let's try baking

BROWNIES CRUNCHY
Sumber: Seminit Resepi

Bahan-bahan
2 biji telur
100 gm gula aising(letak 50 gm)
100 gm tepung kek
80 gm unsalted butter
240 gm dark Chocolate Beryl's
esen vanila
sedikit garam
kepingan badam

Cara membuatnya

  • Pukul telur dan gula hingga sebati.
  • Kemudian masukkan tepung kek dan kacau rata.
  • Kemudian masukkan pula esen vanila.
  • Dalam mangkuk lain,satukan dark chocolate dan butter.
  • Cairkan dengan mikrowave.
  • Satukan adunan coklat bersama adunan tepung.Kacau rata.
  • Tuang adunan ke atas loyang yang di lapik baking sheet.
  • Ratakan sampai nipis dan taburkan kepingan badam.
  • Bakar dalam suhu 150'c selama 25 minit bergantung pada jenis oven masing-masing.
  • Apabila sudah masak,potong brownies crunchy ketika masih panas.
  • Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.

Isnin, 8 Julai 2019

BERGEDIL TAUHU

Assalam buat semua..
Bergedil tauhu... yang viral terus rasa nak cuba buat.
Dulu-dulu orang suka buat Tauhu sumbat.
Ok yang tu hold dulu..kita try makan yang ni pulak
Harga yang di jual pun boleh tahan juga.
Supaya dapat makan puas-puas ,saya cuba buat kali ni.
Ia menggunakan Tauhu kering,kalau di Kota Bharu ni ada jual kat TESCO.
Boleh lah untuk makan sendiri.
Let's try buat.

BERGEDL TAUHU

Bahan-bahan
1 bungkus besar tauhu kering
3 biji kentang-rebus dan lenyek
1 cawan isi ayam kisar
1 batang karot-parut halus
1 tin cendawan butang-cincang
1 biji cili merah-cincang
3 biji bawang merah-goreng
daun bawang dan daun sup
serbuk lada putih dan lada hitam
garam secukup rasa

Bahan celupan
3 biji telur
serbuk lada putih

Cara membuatnya

  • Rebus dan lenyek kentang.
  • Isi ayam di masak sebentar hingga airnya kering
  • Kemudian campurkan dengan semua bahan di atas dan gaulkan dengan kentang lenyek tadi.
  • Sesuaikan rasa dengan citarasa masing-masing
  • Ambil tauhu kering dan guntingkan di atasnya.Keluarkan isinya.
  • Ambil isinya dan masukkan ke dalam bahan inti tadi.
  • Kemudian sumbat semula ke dalam tauhu.
  • Panaskan minyak dan celup tauhu ke dalam telur.
  • Goreng hingga kekuningan.
Sambal kicap
6 tangkai cili kering
4 biji cili padi/ikut pedas
2 ulas bawang putih
2 sudu gula perang
1 sudu sos tiram
2 sudu kicap manis
sedikit tepung jagung yang di bancuh air

Cara membuatnya
  • Goreng cili kering,bawang putih dan cili padi dengan sedikit minyak
  • Kisar kesemuanya dengan sedikit air dan bahan-bahan lain.
  • Masak kesemua bahan hingga pekat
  • Perasakan ikut citarasa masing-masing.
  • Siap di hidang bersama tauhu bergedil.

Jumaat, 5 Julai 2019

PIZZA ROTI

Assalam buat semua..
Hari ini saya kongsikan satu resepi olahan semula daripada roti
Kalau ada roti yang hampir due date tu bolehlah di olah buat pizza simple macam ni..
Tentu sekejap sahaja dah habis.
tambahan pula makan makan panas-panas bila saja keluar dari oven..rangup dan sedap pula
Let's try baking.

PIZZA ROTI
Roti sandwich

1/2 ayam/daging cincang/daging burger
1 biji bawang Holland
1 biji tomato-buang biji-dadu kecil
capsicum merah,hijau dan kuning-dadu kecil
cendawan butang-potong nipis
serbuk oregano
mozarella cheese/mayonis/cheddar parut
sos cili/sos pizza

Cara membuatnya

  • Susun kepingan roti di atas dulang pembakar rapat-rapat.
  • Sapukan sos cili/sos pizza. Ketepikan.
  • Potong dadu bawang Holland dan tumis dengan sedikit minyak hingga naik baunya.
  • Masukkan ayam/daging cincang dan masak hingga berubah warna.
  • Masukkan cendawan butang yang di potong nipis dan masak sebentar lagi.
  • Taburkan inti ayam/daging rata-rata di atas kepingan roti tadi diikuti dengan tomato dan capsicum yang di potong dadu kecil.
  • Taburkan mozarella cheese ataupun paipkan saja mayonis dan sos cili di atasnya.
  • Di dalam gambar di atas,saya taburkan Cheddar parut.
  • Akhir sekali taburkan sedikit Oregano.
  • Bakar di dalam oven hingga keju cair.
  • Bila masak,potong ketika masih panas.

Rabu, 19 Jun 2019

PUDING LAICI

Assalam buat semua..
Puding Laici ni dah lama saya buat dalam bulan puasa yang lepas.
Ok..hari ini saya kongsikan resepinya di sini.
..and this is one of my favourite puddings!
Let's try buat

PUDING LAICI

Bahan-bahan
1 paket agar-agar serbuk(10 gm)
800 ml air
1 cawan air laici
1 tin susu cair
1 sudu teh esen vanila
secubit garam
6 sudu besar gula/ikut manis sendiri
1 tin laici
pewarna pink/pilihan

Cara membuatnya

  • Blend laici dengan 1 cawan air laici.Asingkan beberapa biji laici dan carik-carikkan.
  • Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk .
  • Masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil sentiasa di kacau.
  • Ambil 3 senduk sederhana dan warnakan pink/pilihan.
  • Adunan selebihnya di masukkan laici yang di carikkan tadi.
  • Basahkan acuan pilihan dan masukkan agar-agar putih.
  • Bekukan seketika.
  • Goreskan agar-agar putih dengan garfu.
  • Curahkan agar-agar warna pink.
  • Bekukan semula di dalam peti sejuk.

Isnin, 3 Jun 2019

BISKUT CORNFLAKES CRUNCHY

Assalam buat semua..
29 Ramadhan.
Biskut raya seterusnya adalah Biskut cornflakes yang crunchy ni
Krupp..krapp dah tinggal separuh bekas dah.
Walaupun bentuknya tak begitu cantik tapi puashati dapat makan biskut yang di buat sendiri.
Bahan-bahan pun mudah saja.
Let's try baking

BISKUT CORNFLAKES CRUNCHY

Bahan-bahan
250 gm butter
3/4 cawan gula aising
1 sudu kecil esen vanila
3/4 cawan tepung jagung
2 cawan tepung gandum
cornflakes secukupnya

Hiasan
ceri merah/hijau

Cara membuatnya

  • Satukan butter,gula aising dan esen vanila.
  • kacau sebati dengan senduk .
  • Kemudian masukkan tepung jagung dan tepung gandum secara sedikit-sedikit(adunan memang lembik sedikit)
  • Masukkan cornflakes secukupnya dan gaul rata.
  • Sudukan adunan di atas loyang.Letak ceri dan tekan sedikit.
  • Bakar dengan suhu 160'c selama 20 minit mengikut oven masing-masing..
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Jumaat, 31 Mei 2019

PUDING SAGU BERKUAH

Assalam buat semua..
Hari ini saya kongsikan satu resepi puding sagu yang di makan dengan kuah jagung.
Sesuai untuk di buat pemanis mulut masa berbuka nanti.
Sedap di makan sejuk-sejuk
Let's try buat

PUDING SAGU BERKUAH

Bahan-bahan
2 cawan sagu
2 cawan santan pekat
3 cawan air
1 sudu besar  tepung beras
1/2 tin cream corn
2 helai daun pandan
gula,garam secukup rasa
pewarna pilihan

Cara membuatnya

  • Rendam biji sagu dengan pewarna pilihan jika suka atau beli sagu yang dah siap di warnakan atau boleh saja tanpa pewarna.
  • Rebus sampai masak dan sentiasa di kacau
  • Masukkan ke dalam bekas dan sejukkan.
  • Masak santan,air,daun pandan,tepung beras ,cream corn ,gula dan garam secukup rasa.
  • Kacau sentiasa sehingga mendidih.
  • Ambil sagu yang dah sejuk,potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam kuah.
  • Sejukkan dan sedia untuk di hidangkan.

DAGING GORENG MERAH

Assalam buat semua..
26 Ramadhan.
Hari ini buat Daging goreng merah.
Sesuai di makan dengan nasi putih untuk berbuka atau bersahur.Saya masak untuk lauk sahur.
Sangatlah senang untuk di masak dan bahan-bahan pun mudah sahaja.
Hampir kebanyakan kedai makan masakan panas di Kota Bharu menyediakan menu hidangan ini.
Buat sendiri lagi puas hati sebab boleh ikut citarasa sendiri.
Let's try buat.

DAGING GORENG MERAH

Bahan-bahan
Daging-hiris nipis
pewarna merah Star brand

1 labu bawang besar-hiris nipis
2 ulas bawang putih-cincang
3 tangkai cili merah-potong nipis
3 biji cili padi
1 inci karot-potong halus
3 tangkai bunga kubis-potong kecil
3 helai daun limau purut
sos cili
sos tiram
sos tomato
jus limau nipis
serbuk cukup rasa
garam,gula secukup rasa

Cara membuatnya

  • Perap daging dengan pewarna merah. biarkan seketika.
  • Kemudian di rebus dengan sedikit air
  • Bila air daging hampir kering,masukkan sedikit minyak dan goreng daging.
  • Masukkan kesemua bahan di atas dan garam,gula secukup rasa
  • Kemudian di gaul rata dan biarkan seketika.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.