Isnin, 31 Mac 2014

BANANA CHOCOLATE MUFFIN

 As-Salam buat semua...
Saya selalu sahaja buat muffin untuk anak-anak.Kebetulan bahan-bahan untuk buat muffin sentiasa sahaja ada kat dapur.Membuatnya pun mudah dan sekejap sahaja.Makan pun sama,sekejap sahaja dah habis sambil-sambil dok tengok TV tu.

BANANA CHOCOLATE MUFFIN
Resepi:Chef Wan
Sumber:Damai Qalbu>Thanks Rohah.

Bahan-bahan
1/2 cawan mentega
1 cawan gula perang    saya guna 3/4 cawan
1 biji telur
1 cawan pisang-di lecek
1 sudu teh baking soda
2 sudu besar air panas
1 1/2 cawan tepung serbaguna
1/2 sudu teh garam
1/4 cawan chocolate chips

Untuk hiasan
pisang-potong bulat-tak letak
chocolate chips

Cara membuatnya
  • Pukul mentega dan gula hinga kembang.Masukkan telur dan pisang,gaul sebati.
  • Campurkan baking soda dengan air panas dan masukkan ke dalam adunan mentega.
  • Masukkan tepung dan garam ke dalam adunan mentega dan gaul rata bersama chocolate chips.
  • Sendukkan aduann ke dalam loyang muffin.Hiaskan di atas adunan dengan pisang yang di potong bulat dan taburkan chocolate chips.
  • Bakar pada suhu 180'c selama 20 minit atau sehingga masak.

Ahad, 30 Mac 2014

KERABU SAYURAN BERYOGURT

 As-Salam buat semua..
Hari ini saya postkan satu lagi resepi dari Chef Arm iaitu Kerabu sayuran beryogurt.siapa-siapa yang tengah berdiet tu sesuailah makan kerabu ni.Best juga sekali-sekala makan tapi kalau hari-hari makan tentu rindu kat makanan lain juga sebab tu diet saya tak pernah menjadi,makin bam-bam ada la!...

KERABU SAYURAN BERYOGURT
Resepi:chef Arm/Majalah Aroma Mac 2014

Bahan-bahan
3 keping roti gandum penuh-potong bahagian tepinya
1 biji tomato-potong dadu      saya guna tomato ceri
1/2 biji timun-potong dadu
sedikit salad-di hiris
200 ml yogurt asli rendah lemak
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya
  • Gaulkan bersama semua bahan kecuali roti sehingga sekata.
  • Kemudian susunkan kerabu sayuran di atas kepingan roti.
  • Siap untuk di hidangkan sebagai hidangan pembuka selera ataupun snek.

Sabtu, 29 Mac 2014

BISKUT MELTING MOMENT


As-Salam buat semua...
Esok sekolah mula di buka,bermula kembali rutin biasa yang dah di tinggalkan selama seminggu.Sekejap sahaja masa berlalu meninggalkan kita.Seperti juga biskut ini pun dah hampir habis,yang saya buat untuk kudapan anak-anak selama seminggu cuti sekolah. Resepinya dari pamplet Nestle.

BISKUT MELTING MOMENT
Resepi:Sajian enak bersama Nestum

Bahan A
1 cawan tepung naik sendiri
1/2 sudu teh serbuk penaik
1/2 cawan nestum 

125 gm mentega atau marjerin
1/3 cawan gula kastor
1 biji telur

1/4 cawan nestum
hirisan ceri merah dan hijau

Cara membuatnya
  • Gaul semua bahan A dan ketepikan.
  • Putar mentega dan gula hingga ringan dan kembang.Masukkan telur dan pukul sebati.
  • Kaup-balikkan bahan A ke dalam adunan dan gaul sebati.
  • Ambil sedikit adunan dan bentukkan menjadi bebola kecil.
  • Sadurkan setiap bebola dengan nestum.Ratakan dan letak di atas tin pembakar yang telah di lengserkan dan hias dengan dengan hirisan ceri.
  • Bakar dalam ketuhar bersuhu 180'c selama 10-15 minit atau sehingga kekuningan.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Jumaat, 28 Mac 2014

DAGING GORENG KUNYIT

As-Salam buat semua..
Resepi ringkas sahaja hari ini,lauk untuk hidangan tengahari semalam iaitu Daging goreng kunyit,lauk kesukaan Mr. Azim,sampai dua pinggan menambah nasi.Daging yang di gunakan bercampur dengan sedikit lemak,nampak juicy saja...makan panas-panas dengan nasi putih,laju saja suapannya.

DAGNG GORENG KUNYIT
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1/2 kg daging-potong nipis
1/2 labu bawang besar
5 tangkai kacang panjang-potong 1 inci
daun bawang- potong 1 inci
1 biji lada merah-potong serong
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar kicap manis
serbuk kunyit
garam secukupnya
minyak canola

Cara membuatnya
  • Daging di bersihkan dan di potong nipis.
  • Gaulkan dengan serbuk kunyit,garam,serbuk cili,serbuk lada hitam dan perap selama 15 minit
  • Masukkan daging tadi ke dalam kuali dan tambah sedikit air,biar daging mereneh dengan api sederhana.
  • Bila daging masak dan airnya kering sedikit,masukkan minyak canola dan kacang panjang ,goreng daging sebentar.
  • Tambahkan lada merah,bawang besar dan daun bawang serta kicap manis.Gaul rata.
  • Goreng sebentar lagi dan bolehlah di angkat.

Rabu, 26 Mac 2014

UBI KAYU KUKUS

As-Salam buat semua..
Ubi kayu parut masih ada lagi lebihan dari kuih Bingka ubi kayu yang saya buat hari tu.Parut banyak-banyak simpan dalam freezer.Kalau buat semua pun tak sempat nak di habiskan semua kuih,lagipun yang memakannya hanya dua orang.Ia adalah salah satu dari kuih dulu-dulu yang di sukai oleh saya.

UBI KAYU KUKUS
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan-
ubi kayu-di parut parut secukupnya
gula melaka-di parut
sedikit garam dan gula secukup rasa
kelapa muda-di parut

Cara membuatnya
  • Panaskan air dalam kukusan hingga mendidih.
  • Kelapa muda parut di gaul dengan sedikit garam dan gula. Ketepikan.
  • Dalam mangkuk besar,masukkan ubi kayu parut,sedikit garam dan gula melaka parut.Gaul biar rata.
  • Tompokkan ubi kayu tadi didalam bekas pengukus dan kukus hingga masak.
  • Bila sudah masak,sejukkan sebentar dan letakkan kelapa parut di atasnya.Sedia untuk dihidangkan.

Isnin, 24 Mac 2014

KERABU TEMBIKAI

 As-Salam buat semua..
Hari ini saya postkan satu resepi yang ringkas dan senang saja membuatnya.Tembikai dalam peti ais tiada siapa yang sudi makan tambahan pula dalam dua-tiga hari ni hujan rahmat turun pula di Kota Bharu.Kerabu tembikai boleh di makan begitu saja ataupun sebagai hidangan sampingan.Bahan pun tak lengkap ikut resepi asal di mana saya tidak meletakkan bunga kantan dan daun ketumbar.

KERABU TEMBIKAI
Resepi:Samsul Anuar Yusof/Chef Arm/Majalah Aroma Mac 2014

Bahan-bahan
1/2 biji tembikai merah-di potong
1 kuntum bunga kantan-di hiris
sedikit daun ketumbar-di hiris        guna daun saderi
serbuk lada hitam,garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya
  • Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk dan gaulkan sehingga rata.
  • Simpan sebentar dalam peti sejuk dan siap untuk di sajikan.

Sabtu, 22 Mac 2014

MUFFIN YOGURT STRAWBERRY

As-Salam buat semua..
Cuti sekolah dah bermula dan dalam kepala dah macam-macam fikir nak buat itu dan ini tapi tak tau lagi sempat ke tidak.Lagipun saya tidak bercuti panjang dalam minggu ini cuma ambil setakat tiga hari sahaja.Semalam sempat juga buat muffin ni kerana nak menghabiskan stok yogurt dan bahan-bahan lain.Bolehlah buat makan-makan pada petang nanti.

MUFFIN YOGURT STRAWBERRY
Sumber:Intai dapur.blogspot.thanks Liza.

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
3/4 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil garam
1 cawan yogurt plain/perasa pilihan
2 biji telur
2/3 cawan gula kastor
100 ml minyak sayur/ butter cair
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil strawberry paste
5-7 biji strawberry size sederhana -cincang kecil

Cara membuatnya

  • Ayakkan tepung bersama baking powder, soda dan garam. 
  • Gaulkan bahan ayak hingga sebati.Ketepikan.
  • Satukan pula yogurt, telur, gula, minyak, esen vanila, strawbery paste dan sebatikan hingga licin.
  • Masukkan bancuhan yogurt tadi ke dalam tepung.
  • Kaup balik sehingga sebati lebih kurang 1 minit.
  • Biarkan jika adunan agak berketul-ketul asalkan tidak terlebih gaul.
  • Sendukkan ke dalam muffin cup dan bakar pada suhu 180'C selama 25-28 minit.  

Jumaat, 21 Mac 2014

CUCUR PISANG NESTUM


As-Salam buat semua...
Buat cucur pisang/Jemput-jemput pisang time petang-petang ni laku juga.Cepat saja anak-anak berdua tu makan.Tambahan pula makan masa panas-panas lagi,rangup sahaja.Saya tambahkan nestum dalam adunan cucur ni untuk menambah kerangupan dan memberi sedikit kelainan.

CUCUR PISANG NESTUM
sumber:Zalinah@rempah-ratus.thanks

Bahan-bahan
3 cawan tepung gandum
1 cawan nestum
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 cawan pisang-di lenyek
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
air/ secukupnya
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
  • Satukan tepung gandum,soda bikarbonat dan nestum serta pisang lenyek garam dan gula.Kacau rata.
  • Masukkan air sedikit-demi sedikit dan kacau hingga adunan lembut.
  • Biarkan dalam 10 minit.Panaskan minyak dan goreng hingga keperangan.
  • Buat sampai habis.Toskan minyaknya di atas kitchen paper 
  • Sedia untuk di hidangkan

Khamis, 20 Mac 2014

GERMAN COOKIES

 As-Salam buat semua..
Sebelum masuk dapur sebenar hari ini apakata kita masuk dapur maya dulu bagi warm-up sebab kejap lagi nak masak pula.Biasanya kalau bertugas pada belah petang,saya masuk dapur awal sikit untuk masak makan tengahari takut tak sempat rehat untuk pergi bertugas pula.Hari ini saya nak kongsikan resepi German cookies yang di buat untuk kudapan pada minggu lepas.Tekstur biskutnya sangat rapuh dan rangup...cair dalam mulut!

GERMAN COOKIES
Sumber:jumeezaila.blogspot.com/.Thanks.

Bahan-bahan
125 gm mentega
40 gm gula aising
125 gm tepung kentang
80 gm tepung superfine/tepung gandum

Cara membuatnya
  • Ayak kedua-dua tepung dan ketepikan.
  • Mentega dan gula aising di kacau sebati sahaja.
  • Masukkan tepung yang di ayak dan gaul sebati dengan spatula/senduk kayu hingga sebati.Dohnya adalah lembut.(saya tambahkan 1/2 cawan tepung ke dalam adunan ini)
  • Masukkan doh biskut ke dalam plastik dan simpan di dalam peti sejuk lebih kurang 15-20 minit.
  • Kemudian keluarkan dan bentukkan  bulat-bulat.Letakkan di atas loyang pembakar yang di tabur sedikit tepung .
  • Tekan/leperkan dengan garfu.Hias ikut kesukaan.
  • Bakar pada suhu 170'c selama 15 minit.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara. 


Rabu, 19 Mac 2014

KEK PISANG MARBLE


As-Salam buat semua..
Saya buat Kek Pisang lagi kongsi resepi dari Rahel.Cara membuat kek ini mudah dan cepat sahaja,hanya menggunakan blender.Keknya lembut dan gebu.Nampak sedikit kelainan bila di buat corak marble begini.Dari segi rasa pula lebih kurang sama sahaja dengan kek-kek pisang dari resepi yang lain.

KEK PISANG MARBLE
Resepi:Rahel.blogspot.
Sumber:Gee-hut.dua-dua...thanks.

Bahan-bahan
150 gm pisang ranum-apa-apa pisang pun boleh
180 ml minyak masak
1 cawan gula kastor
3 biji telur
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh soda bikarbonat
1/2 suud teh esen vanila
1 sudu teh coklat emulco

Cara membuatnya
  • Ayak tepung gandum,baking powder dan soda bikarbonat.Ketepikan.
  • Panaskan oven pada suhu 170'c.Griskan acuan kek pilihan dengan mentega/marjerin.
  • Blend minyak masak,telur,gula kastor dan pisang hingga hancur.
  • Tuang adunan ke dalam mangkuk besar.Masukkan pula esen vanila dan tepung yang telah di ayak tadi.Gaul rata.
  • Bahagikan adunan kepada dua bahagian.Satu bahagian di letak coklat emulco dan satu bahagian lagi dibiarkan pada warna asal.
  • Tuangkan adunan coklat ke dalam acuan kek diikuti adunan warna asal.Buat selang -seli hingga habis.
  • Bakar dalam oven pada suhu 170'c selama 45 minit atau hingga masak.
  • Sejukkan di atas redai kek sebelum di potong.

.

Selasa, 18 Mac 2014

ACAR JANTUNG PISANG


As-Salam buat semua...
Dalam dua tiga hari ini En. Google jadi lembab pula.Sampaikan saya nak sign in untuk follow blog pun tak boleh.Asyik dok cakap ,we're unable to handle your reques,please try a bit later.Entah kenapa!.Untuk Izzan Yong Rosdin yang dah follow blog saya,tapi saya belum boleh lagi follow blog anda,maaf ku pinta,bukan tak sudi berkawan.Tungguuuu....
Untuk hari ini saya postkan satu resepi makan tengahari iaitu Acar Jantung Pisang.Sedap juga makan dengan Ikan goreng dan Nasi putih.

ACAR JANTUNG PISANG
Sumber:Amie's Little Kitchen.Thanks Amie.
             Majalah Rasa edisi mei 2012


Bahan-bahan

1 biji jantung pisang

200 ml santan pekat

1 labu bawang besar - belah 4

2 sudu besar cuka

garam dan gula secukup rasa

minyak masak secukupnya



Bahan kisar

10 biji cili kering

6 biji bawang merah

2 ulas bawang putih

50 gram udang kering



Cara membuatnya

  • Jantung pisang dibelah empat(saya potong dua lagi) dan kemudian dicelur hingga lembut.
  • Panaskan minyak masak di dalam kuali dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi.
  • Masukkan santan dan biarkan mendidih dan kemudian masukkan garam, gula dan cuka.
  • Masukkan jantung pisang dan bawang besar.
  • Masak sehingga pekat dan angkat.

Ahad, 16 Mac 2014

PAU INTI KACANG MERAH


As-Salam buat semua..
Kuih pau ini di buat untuk di makan-makan pada sebelah petang.Saya buat saiz kecil-kecil sahaja supaya senang di habiskan dan bila buat sendiri letak pula inti kacangnya lebih sikit.

PAU INTI KACANG MERAH
Sumber:Ilham dapur.blogspot/pau 3S.Thanks

Bahan-bahan
1 1/4 cawan tepung serbaguna atau tepung gandum
110 ml air suam
1/2 sudu besar yis kering
1/2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil baking powder
3 sudu besar minyak masak/minyak sayur
1/2 sudu kecil garam
inti kacang merah secukupnya
kertas minyak secukupnya-potong 4 segi untuk lapik bawah pau

Cara membuatnya
  • Dalam bekas sesuai masukkan air,yis dan gula.Biarkan seketika dalam 1-2 minit.
  • Kemudian masukkan minyak masak dan kacau guna garfu.
  • Satukan baking powder,tepung dan garam.Kemudian tuang bancuhan yis tadi sambil di kacau guna garfu dan tepung melekat pada garfu.
  • Kemudian bolehlah di uli dengan tangan.Kalau adunan lembik,celup tangan dalam tepung atau tabur sedikit tepung dan uli sehingga doh tidak melekat pada tangan dalam 8-10 minit.
  • Tutup bekas dengan plastik/tuala sesuai dan rehatkan doh selama 30-35 minit atau hingga doh naik sekali ganda.
  • Sediakan pengukus.Ambil doh yang telah naik tadi dan tumbuk sikit untuk buang angin. 
  • Ambil doh sebesar bola ping pong dan leperkan sedikit,masukkan inti kacang merah dan tutup kemas.
  • Kemudian letakkan sekeping kertas minyak dan susun dalam pengukus.
  • Buat sampai habis dan rehatkan doh selama 10-15 minit.
  • Kukus dalam air yang telah mendidih selama 8-10 minit dengan api sederhana.Pastikan penutup pengukus di balut dengan kain atau tuala bersih agar air tidak menitis atas pau.
  • Bila masak bolehlah di hidangkan.

Sabtu, 15 Mac 2014

CHOCOLATE CHEDDAR CHIFFON CAKE

 As-Salam buat semua..
Cubaan pertama kali buat Kek Chiffon...bolehlah untuk makan sendiri!.Kek ini mempunyai rasa keju dan coklat,ralit juga makan, lepas sekeping -sekeping masuk mulut kerana ia lembut dan gebu tak terasa time mengunyah agaknya...Macam biasa saya suka cuba resepi dari Evelyn.

CHOCOLATE CHEDDAR CHIFFON CAKE
Sumber:My Baking Workshop.Thanks Evelyn.

Bahan-bahan
A
4 biji kuning telur gred A
70 ml susu segar
45 ml air
80 ml minyak jagung
1/4 sudu kecil garam
80 gm gula kastor

Bahan di ayak
135 gm tepung gandum
15 gm serbuk koko
1 sudu kecil baking powder

B
50 gm cheddar cheese-di parut

C
4 biji putih telur
60 gm gula kastor
1/8 sudu kecil cream of tartar

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 175'c.Sediakan loyang chiffon 9 inci.
  • Dalam mangkuk yang besar,satukan semua bahan A.Gaul sebati dan masukkan bahan B dan gaul rata.
  • Pukul bahan C hingga kembang dan bertanduk/stiff.Kaup-balikkan dengan adunan A campur B tadi hingga sebati.
  • Tuang adunan kek ke dalam loyang yang di sediakan.Bakar selama 40 mnit.
  • Segera terbalikkan loyang kek bila sudah masak.Sejukkan dahulu baru di keluarkan dari acuan.
  • Taburkan atas kek dengan gula aising jika suka.


Jumaat, 14 Mac 2014

SWEET CORN

As-Salam buat semua..
Selalunya makan Jagung kukus manis ni yang di beli sahaja tetapi hari tu dah terajin pula bila jumpa satu paket jagung frozen dalam freezer yang entah bila saya beli.Cadangan asalnya nak buat Nasi jagung tapi tak jadi-jadi ,buat jagung kukus lah dulu.Nak cari jagung segar tak bertembun pula.Mulanya nak buat untuk anak-anak saja, dengan-dengan saya makan sekali!..

SWEET CORN/JAGUNG KUKUS MANIS
Sumber:Aziemas@My resepi.Thanks.

Bahan-bahan
500 gm jagung frozen
2 sudu besar mentega
4 sudu besar susu pekat manis/kemanisan ikut suka
secubit garam

Cara membuatnya
  • Panaskan periuk pengukus dan kukus jagung selama 20 minit.
  • Bila jagung sudah masak,masukan ke dalam satu bekas dan gaulkan dengan mentega,susu pekat manis dan sedikit garam.
  • Gaul rata dan hidangkan .

Rabu, 12 Mac 2014

GULAI LEMAK IKAN HARUAN

As-Salam buat semua...
Ikan Haruan ialah sejenis ikan air tawar yang biasanya hidup dalam sungai dan tali air.Mengenang kembali...dulu-dulu selalu juga makan Ikan Haruan yang dapat segar dari sungai tapi sekarang ni kalau nak makan kena cari kat pasar tani,tu pun jarang-jarang jumpa.Semasa saya pergi Pasar Jelawat pada Jumaat lepas terjumpa ikan ni,terus saja beli dua ekor.Dah lama tak makan kata my bodyguard,kalau buat gulai ni sedap juga.Dah orang request kita buat saja... 

GULAI LEMAK IKAN HARUAN
Olahan:daridapursuzana 
Bahan-bahan
1ekor ikan haruan saiz sederhana- dibersihkan dikerat
Santan secukupnya untuk kuah


Bahan kisar
2 biji bawang merah

1 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering 

1/2 inci kunyit 
1 inci lengkuas
1 sudu kecil biji ketumbar
1 sudu kecil beras
1 cawan air

Bahan lain
sedikit garam
1 keping asam keping/gelugor

pucuk daun asam kandis
daun kesum


Cara membuatnya
 
  • Kisar bawang merah,bawang putih,cili kering,kunyit,biji ketumbar,beras dan lengkuas bersama 1 cawan air hingga halus. 
  • Masak santan sampai mendidih dan masukkan bahan yang dikisar tadi.
  • Masukkan ikan dan biar sampai mendidih.
  • Masukkan asam keping dan sedikit garam.Tambahkan daun kesum,pucuk daun asam kandis.
  • Biarkan sekejap lagi dan bila kuahnya sesedap rasa,bolehlah di hidangkan dengan nasi putih.


Selasa, 11 Mac 2014

BISKUT CIP NUT NESTUM

As-Salam buat semua...
Saya buat biskut ini untuk di makan pada hujung minggu di mana hari tidak bersekolah biasanya saya kena buat sesuatu sebagai kudapan.Kalau tidak budak berdua tu asyik ulang-alik cari makanan kat dapur.Biskut adalah antara makanan sampingan anak-anak.Lagi pula kalau buat biskut time ni boleh juga saya buat testimoni untuk buat lagi kalau time nak raya nanti.Saya telah mengurangkan sukatan gula di dalam resepi ini kerana menggunakan coklat cip butterscotch yang telah manis.Mudah saja membuatnya....
BISKUT CIP NUT NESTUM
Resepi:Nestle.com

Bahan A
1 1/2 cawan tepung naik sendiri
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/4 sudu teh garam

Bahan B
1 cawan bijirin Nestum
1 cawan cip coklat
1 cawan cincangan kacang - apa-apa kacang pun boleh
150 gm mentega atau marjerin
150 gm gula kastor       saya letak 80 gm
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Ayak bersama bahan A,masukkan bijirin Nestum,cip coklat dan kacang.Ketepikan.
  • Krimkan mentega dan gula hingga ringan dan kembang.Masukkan telur dan esen vanila,gaul sebati.
  • Kaup-balikkan bahan Adan gaul sebati.
  • Ambil satu sudu adunan biskut dan letak di atas tin pembakar yang telah di lengserkan.Jarakkan untuk doh biskut mengembang.
  • Bakar dalam oven yang bersuhu 175'C selama 10-15 minit atau hingga kekuningan.
  • Sejukkan di atas redai sebelum di simpan di dalam bekas kedap udara.
*Saya telah menambahkan 4 sudu besar tepung ke dalam adunan biskut ini.

Ahad, 9 Mac 2014

JELLY KELAPA


As-Salam buat semua..
Laku dan cepat saja habis Jeli kelapa ni dalam cuaca yang panas begini.Saya bekukannya dalam bekas-bekas kecil dan simpan dalam peti ais.Sejuk dan nyaman tekak ,tak puas makan lepas satu-satu kena culik!.Kebetulan pula buah kelapa muda tengah berbuah dengan banyaknya kat belakang rumah.Nanti nak ulang buat lagi sebab dah ada orang tu request suruh buat lagi.

JELLY KELAPA
By:Kak Nor/Secubit garam.Thanks.

Bahan-bahan
1 paket agar-agar serbuk(10 gm)
2.6 liter air kelapa muda isi kelapa muda
11 sudu besar gula       saya letak 8 sudu besar
3 helai daun pandan

Cara membuatnya
  • Masukkan air kelapa muda,serbuk  agar-agar,gula dan daun pandan ke dalam periuk.
  • Masak hingga mendidih dan masukkan isi kelapa muda.
  • Padamkan api.
  • Biarkan sejuk sedikit dan bolehlah di masukkan ke dalam bekas yang di sukai.
  • Sejukkan dalam peti ais dan bila dah sejuk bolehlah di makan.
**sekiranya air kelapa muda tidak mencukupi,bolehlah di tambah 
dengan air biasa untuk mencukupkan sukatan 2.6 liter.

Sabtu, 8 Mac 2014

PAK CHOY GORENG AYAM

As-Salam buat semua...
Resepi sayur goreng yang ringkas sahaja petang ini gandingan dengan masakan sotong yang resepinya dipostkan semalam.Dah ada hidangan berkuah saya buat sayur goreng ringkas ini sahaja.Sedap juga bila di makan dengan nasi putih ,mujur tak menambah-nambah..tahan saja walaupun teringin nak makan nasi lebih.

PAK CHOY GORENG AYAM
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
2 pokok Pak choy
1/2 keping dada ayam-potong dadu
3 ulas bawang putih-di ketuk
1/2 labu bawang besar-potong nipis
2 biji lada merah-potong bulat
1 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 kiub pati ayam
sedikit sos ikan
minyak canola untuk menumis

Cara membuatnya
  • Sayur Pak choy di potong pendek,asingkan daun dan batangnya.
  • Panaskan minyak canola dan tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga naik baunya.
  • Masukkan isi dada ayam dadu dan gaul rata.Tambah sedikit air
  • Bila isi ayam hampir masak,tambahkan batang hijau pak choy,sos tiram,serbuk lada hitam ,kiub pati ayam dan sos ikan secukup rasa.
  • Goreng sebati semua bahan dan akhir sekali masukkan daun hijau dan biarkan sebentar kemudian bolehlah di hidangkan.

Jumaat, 7 Mac 2014

SUP SOTONG LADA HITAM

As-Salam buat semua...
Dah lama rasanya tak masak sotong,dah kita sorang je yang makan nak masak pun sentiasa fikir dua tiga kali.Tapi akhirnya saya buat juga with a small portion.Cukuplah untuk sorang makan.Resepinya saya ubah suai sedikit ikut keperluan sendiri.Masak sotong macam ni best juga dapat hirup kuahnya yang manis-manis sedikit,tambahan pula sotongnya ada telur..saya sukaaa....

SUP SOTONG LADA HITAM
Sumber:dari dapur FHA.Thanks Fauziah.

Bahan-bahan
1 kilo sotong
1 biji bawang besar
8 ulas bawang putih
1 sudu teh lada hitam-tumbuk halus 
10 biji tomato ceri    saya guna tomato besar
1 helai daun limau purut    saya letak 5 helai
5 biji cili padi-di ketuk     saya guna lada merah
air secukupnya untuk kuah
1/2 kiub pati ikan bilis
sedikit halia-hiris tebal
garam secukup rasa
sedikit gula    saya tambah

Cara membuatnya
  • Sotong di bersihkan dan di sumbat kepalanya ke dalam badan dan di kelip dengan lidi.
  • Bawang besar di hiris nipis dan bawang putih di ketuk.
  • Panaskan sedikit minyak canola/masak di dalam kuali dan tumiskan bawang besar,bawang putih dan halia hingga naik baunya.
  • Tambahkan air secukupnya,daun limau purut ,kiub pati ikan bilis dan sotong.
  • Bila mendidih tambahkan lada merah,tomato ,serbuk lada hitam serta garam dan gula secukup rasa.
  • Bila sotong masak,padamkan api dan hidangkan.

Khamis, 6 Mac 2014

BANANA MILO SLICE CHEESECAKE

As-Salam buat semua...
Resepi seterusnya adalah Banana milo slice cheesecake yang saya kongsikan dari blog My baking project/Evelyn.Biasanya resepi cheese cake yang sedap-sedap dalam blog Evelyn semuanya menjadi.Seperti juga kek yang telah saya cuba buat ni,ia moist dan gebu sekali cuma cheesenya nampak hangus sedikit!..

BANANA MILO SLICE CHEESECAKE
Resepi:mybakingworkshop.blogspot.com/Thanks

Bahan A
100 gm mentega
90 gm gula kastor
40 gm milo

Bahan B
2 biji telur gred A

Bahan C
200 gm pisang (apa saja pisang yang di sukai)

Bahan D
150 gm tepung naik sendiri
1/2 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil baking soda
30 gm susu tepung
semua bahan di atas di ayak bersama

Bahan E
60 ml susu segar

Bahan F
2 keping cheese slice

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 175'C.Sediakan loaf pan bersaiz 8 inci.Griskan dan alaskan dasarnya dengan baking sheet dan sapu mentega.
  • Pukul bahan-bahan A hingga sebati.
  • Masukkan bahan B satu persatu dan pukul lagi.Kemudian masukkan bahan C.Pukul sebati.
  • Masukkan pula bahan D yang telah di ayak tadi dan bahan E.Kaup balikkan hingga sebati.
  • Tuang adunan ke dalam loyang yang telah di sediakan,carik-carikkan bahan F dan tabur atas adunan kek tadi..
  • Bakar selama 45 minit atau hingga kek masak.Sejukkan atas wire rack.Potong dan hidangkan.

Rabu, 5 Mac 2014

LEMPUK DURIAN

As-Salam buat semua...
Akhirnya isi durian yang saya bekukan di dalam freezer habis juga selepas saya mengacaunya untuk di jadikan Lempuk durian.Lempuk durian yang di buat sendiri tidaklah manis sangat seperti yang di jual.Dulu-dulu selalu nampak arwah ayah buat Lempuk durian di dalam kuali tembaga,,lagi best aromanya tetapi sekarang kuali tembaga itu pun tiada lagi...nostalgia.

LEMPUK DURIAN
Sumber:Air tangan Reen Khan.Thanks

Bahan-bahan
1 biji durian sederhana besar/secukupnya
gula melaka ikut kemanisan
gula pasir ikut kemanisan
1 helai daun pandan
secubit garam

Cara membuatnya
  • Asingkan isi durian dengan bijinya
  • Masukkan isi durian ke dalam periuk beserta gula pasir dan gula melaka ikut kemanisan sendiri tetapi jangan terlalu banyak gula sebab bila sejuk ia akan keras.
  • Masukkan secubit garam dan daun pandan,
  • Dengan menggunakan api kecil,kacau bahan-bahan yang di campurkan tadi sehingga likat dan berkilat lebih kurang 30-45 minit.
  • Jika masa mengacau lebih lama ia jadi lebih bagus kualiti lempuknya dan tahan lebih lama
  • Bila sudah masak,keluarkan daun pandan tadi,masukkan ke dalam bekas bertutup rapat.
  • Bolehlah di simpan di dalam peti ais untuk tahan lama.

Selasa, 4 Mac 2014

PUDING BALQIS

 As-Salam buat semua...
Saya sempat menyediakan sebiji puding bersaiz sederhana ini petang semalam.Dah lama tak makan puding,dalam cuaca panas begini sejuk saja rasa puding bila lalu ikut tekak ni.Ia juga di kenali sebagai agar-agar buih.Resepinya mudah dan ringkas sahaja.

PUDING BALQIS/AGAR-AGAR BUIH
Sumber: Kak nor Secubit garam.Thanks.

Bahan-bahan
1 paket agar-agar serbuk(10 gm )
450 ml air
150 ml susu cair
5 sudu besar gula
2 biji telur
3 sudu besar mentega
1 suud teh esen vanila
pewarna ikut citarasa sendiri

Cara membuatnya
  • Masak serbuk agar-agar bersama air dan gula hingga mendidih.
  • Masukkan susu cair dan mentega.Masak lagi hingga mendidih.
  • Matikan api.Masukkan esen vanila dan kacau rata.
  • Sejukkan adunan agar-agar hingga suam-suam panas(jangan sampai sejuk betul).
  • Pukul telur hingga betul-betul kembang.Buang tali pusatnya untuk elak dari hanyir.
  • Masukkan adunan agar-agar ke dalam adunan telur.Kacau hingga rata.
  • Bahagikan kepada 2 atau 3 bahagian (ikut citarasa sendiri).Warnakan setiap bahagian mengikut warna yang disukai dan kacau hingga warnanya sebati dan rata.
  • Tuangkan adunan ke dalam loyang atau acuan pilihan secara berlapis-lapis hingga semua adunan habis.Pastikan setiap lapis keras dahulu sebelum di tuang warna lain.
  • Sejukkan di dalam peti ais sebelum di hidang.

Isnin, 3 Mac 2014

BANANA CUPCAKE

As-Salam buat semua..
Kali ini buat Kek cawan pisang pula.Kalau jenis kek yang kecil-kecil begini cepat saja laku di rumah ini.Letak saja tempat mereka dok menonton Tv lagilah laku.Strategi saya supaya cepat habis nanti boleh cuba buat resepi kek lain pula!..

BANANA CUPCAKE
Sumber:Ilhamdapur.blogspot.Thanks.

Bahan-bahan
2 biji pisang ranum saiz besar
160 gm gula halus   saya letak 100 gm
170 gm tepung naik sendiri
2 biji telur saiz A
110 ml minyak masak
1 sudu kecil ovalette
1/2 sudu kecil garam
hirisan badam atau coklat rice 

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 170'c.
  • Ayak tepung bersama garam.Ketepikan
  • Dalam bekas sesuai,satukan pisang dan gula.Lecek pisang dan kacau sebati.
  • Kemudian masukkan telur,minyak masak,ovalette dan tepung.
  • Putar sebati sehingga kembang dan adunan menjadi ringan dengan kelajuan tinggi selama 5-7 minit.
  • Masukkan adunan ke dalam cawan kertas dalam 3/4 penuh kemudian taburkan sedikit hirisan badam.
  • Buat sampai habis dan bakar dalam oven selama 18-20 minit atau sehingga permukaan kek perang(bergantung pada oven masing-masing).

Ahad, 2 Mac 2014

APAM COKLAT

As-Salam buat semua...
Hari ini saya bercuti dan semalam saya telah siapkan sebanyak 100 biji Apam coklat ini untuk Azim jual di pasaria sekolahnya esok untuk mengutip dana bagi tabung PIBG.Saya buat lebih sikit untuk makan-makan di rumah.Kebetulan semalam budak berdua tu tak sekolah,tak sampai petang semuanya dah licin.Apam ini rasanya macam kek coklat kukus,padat dan moist...

APAM COKLAT
Resepi:Alma@My Resepi.Thanks.

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula         
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan minyak masak
1/2 cawan air
1 biji telur
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1 atau 2 sudu besar serbuk koko

**saya telah mengandakan adunan ini dan mengurangkan sukatan gula dan susu ke 3/4 cawan dan menambahkan 1/2 sudu teh serbuk nescafe ke dalam adunan serta secubit garam.

Cara membuatnya
  • Panaskan pengukus yang berisi air hingga mendidih.
  • Campurkan semua bahan-bahan ke dalam blender/mixer dan kisar hingga sebati.
  • Masukkan ke dalam acuan kuih lompang dan kukus hingga masak lebih kurang 10-15 minit dengan api sederhana.
  • Bila masak,sejukkan sebentar baru di keluarkan dari acuan.
  • Hiaskan dengan taburan berwarna-warni.

Sabtu, 1 Mac 2014

KARI KEPALA IKAN(tanpa santan)

 As-Salam buat semua....
Selamat pagi buat semua pembaca blog ini dan juga semua kawan-kawan di dapur maya.Semoga hari ini di lalui dengan ceria dan bahagia.Hari ini saya nak postkan satu resepi yang menjadi kesukaan my bodyguard iaitu Kari kepala ikan tanpa santan.Kepala Ikan Merah yang di beli olehnya kat pasaraya Maidin ni amat besar,tak muat pinggan hidang yang biasa saya gunakan.Sedang elok dengan pinggan pai yang besar ini.

KARI KEPALA IKAN (tanpa santan)
Sumber:dayangjack.blogspot.com.Thanks.

Bahan-bahan
1 kepala ikan merah
kacang bendi
3 biji bawang merah-di hiris
2 ulas bawang putih- di hiris
1 inci halia-di hiris
1 tangkai daun kari
sedikit halba campur
tomato-belah 4
3 sudu makan serbuk kari ikan-bancuh dengan sedikit air
garam dan sedikit gula
air asam jawa

Cara membuatnya
  • Tumiskan bawang merah,bawang putih ,halia,daun kari dan halba campur hingga wangi.
  • Kemudian masukkan bancuhan rempah kari ikan dan tumis lagi hingga garing atau pecah minyak.
  • Masukkan air secukupnya.Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
  • Kemudian masukkan kepala ikan merah dan kacang bendi.Perasakan dengan garam dan gula.
  • Akhir sekali barulah di masukkan air asam jawa dan tomato.
  • Setelah masak,angkat dan hidangkan panas-panas bersama nasi putih dan papadom serta sambal belacan.