Sabtu, 11 Julai 2015

AKOK

As-Salam buat semua..
Dulu-dulu saya rasa amat mustahil untuk cuba buat kuih Akok.Bila tengok cara pembuatannya,saya rasa macam rumit sahaja kerana menggunakan cara tradisional di bakar dengan sabut kelapa menggunakan loyang tembaga.Tapi bila jumpa cara buat Akok yang simple ni,nampak macam mudah sahaja.Lepas la untuk di buat makan sendiri..walaupun tak perfect!..

AKOK
Sumber: Dari Dapur Kak Yah  thanks 

Bahan-bahan
5 biji telur
100 ml air
150 gm gula melaka
2 helai daun pandan
200 ml santan pekat
sedikit garam
30 gm tepung gandum

Cara membuatnya
  • Masak air bersama gula melaka,daun pandan dan sedikit garam hingga gula melaka hancur.
  • Angkat dan masukkan santan.Sejukkan .
  • Masukkan kesemuanya ke dalam blender bersama telur dan tepung gandum.Blend sampai berbuih.Tapiskan.
  • Panaskan oven pada suhu 200'c dan panaskan acuan akok(bunga kemboja)atau petitin yang telah kita sapu dan masukkan sedikit minyak masak selama 5 minit.
  • Masukkan adunan separuh penuh dan bakar selama 25-30minit.
  • Akok akan mengembang dan naik tinggi semasa proses pembakaran dan akan turun semula.
  • Masa membakar bergantung pada acuan.Kalau guna petitin untuk hanya sekitar 15 minit sahaja.
  • Bila sudah masak ,keluarkan dari acuan dan sejukkan.

Khamis, 9 Julai 2015

AYAM UNGKEP

As-Salam buat semua...
Kali pertama cuba masak Ayam Ungkep ni memang rasanya sesuai dengan selera anak-anak.Lidah 'ore kelate' ni manalah biasa makan Ayam Ungkep.Lawan pula dengan Nasi Mentega Kismis,begitu berselera sekali anak-anak berbuka puasa.Hilang penat tukang masak sekejap.Saya buat berkuah sedikit untuk anak-anak makan dengan nasi.Resepi asal adalah Ayam Ungkep Pedas,tapi saya tak letak cili padi banyak sebab anak-anak tak makan pedas.Let's try masak..

AYAM UNGKEP
Sumber:azlita masam manis .thanks Ita

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam-potong ikut suka,cuci bersih dan toskan 
1 batang serai -dititik
1 keping asam gelugor
2 helai daun salam/bay leaf
1 sudu besar gula melaka
garam secukup rasa
air secukupnya

Bahan rencah di kisar halus
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3/4 inci kunyit hidup
1 batang serai-hiris halus
3 biji buah keras-hiris
1 biji cili hijau
20 biji cili padi  saya letak 3 biji shj.
1 sudu besar ketumbar
1/2 sudu teh jintan kasar
1/2 sudu teh jintan halus 

Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali(anggaran 1/4 cawan),tumis serai titik hingga harum.
  • Masukkan bahan-bahan kisar halus dan tumis hingga terbit minyak.Guna api kecil dan kacau selalu.
  • Masukkan ayam,gaul rata dan biar ayam kecut sedikit.
  • Tuang air secukupnya,jika anda guna ayam yang cepat empuk,guna 1 1/2 cawan air.Kacau rata.
  • Masukkan daun salam,asam gelugor dan sedikit garam.
  • Kacau dan biar mendidih perlahan.
  • Masak hingga pekat,tambah gula melaka,kacau dan masak lagi hingga kering seperti rendang.
  • Kacau sekali-sekala,rasa dan jika perlu tambah sedikit garam.
  • Masak sekejap lagi dan boleh matikan api.

NASI MENTEGA KISMIS

As-salam buat semua..
Nasi mentega kismis ini harum baunya bila sudah masak.Aroma mentega cukup enak sekali.Nasi ini boleh di makan dengan pelbagai jenis lauk.Azim suka makan nasi ni tapi kismis tu semuanya di kumpul tepi pinggan.Saya masak nasi ni untuk berbuka puasa dan di gabungkan dengan Ayam ungkep,ringkas sahaja cuma satu jenis lauk.Pelengkapnya pula salad iceberg dan tomato.Bertambah-tambah lah makan nasi 4 orang tetamu dapur'saya hari itu.Lupa pula nak tabur bahan hiasan semasa gambar di ambil,nak cepat sangat,waktu berbuka dah dekat!.Let's try masak..

NASI MENTEGA KISMIS
Sumber:Dapur Tanpa Sempadan..thanks

Bahan-bahan
4 cawan beras Basmathi,cuci dan rendam 25 minit.Toskan.
5 cawan air
1 cawan susu sejat IDEAL
1 kiub ayam Maggi
2 sudu besar mentega
garam secukup rasa
1/3 cawan kismis

Bahan tumis
1 biji bawang besar-dadu
2 ulas bawang putih-hiris
1 batang serai-titik
1 helai daun pandan -simpul
1 inci halia-hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih 
2 biji buah pelaga

Bahan hiasan
hirisan daun bawang/daun sup
bawang goreng

Cara membuatnya
  • Dalam kuali,cairkan mentega.Masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum.
  • Masukkan beras dan kacau hingga mesra,masak 1-2 minit .
  • Masukkan kiub ayam,hancurkan daN gaul rata.
  • Alih beras ke dalam rice cooker,tuang susu dan air(sukatan air mengikut brand beras basmathi).Kacau rata.
  • Tambah garam secukup rasa dan tanak nasi seperti biasa.
  • Bila kering,taburkan kismis dan biar nasi betul-betul masak.Gaul nasi dengan chopstick.Biar sekejap.
  • Taburkan bahan-bahan hiasan sebelum di hidangkan bersama lauk kegemaran serta acar.

Selasa, 7 Julai 2015

CRUNCHY NESTUM COOKIES

 As-Salam buat semua..
Biskut raya yang kedua saya buat beberapa hari lepas.Tekstur biskut ini rangup sekali.Padan pun namanya di letak perkataan crunchy memang sesuai sangatlah.Saya tertarik untuk cuba membuatnya kerana ia tidaklah rumit sangat.Let's try baking..

CRUNCHY NESTUM COOKIES
Sumber:ovenkecil.blogspot.com Thanks Naz .

Bahan A
1 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu teh baking powder
*kedua bahan ini di ayak bersama
2/3 -1 cawan bijirin NESTUM original-kisar halus
1 cawan NESTUM original-tak perlu kisar

Bahan B
125 gm mentega
1/2 cawan gula kastor-boleh kurangkan 1-2 sdb utk kurangkan manis
1 sudu teh esen vanila
1 biji telur gred B

Bahan hiasan
bijirin nestum secukupnya
buah ceri yang di potong kecil   saya guna manik berwarna

Cara membuatnya
  •  Satukan semua bahan A dalam mangkuk.Ketepikan.
  • Didalam mangkuk pengadun,pukul mentega dan gula hingga sebati.
  • Masukan esen vanila dan telur,terus memukul hingga sebati lagi.
  • Masukan bahan A ke dalam bahan yang di adun dan uli hingga jadi doh yang lembut.
  • Balut doh denagn plastik wrap dan simpan dalam peti sejuk selama 20 minit.
  • Keluarkan adunan dari peti sejuk.Cubit sedikit adunan dan bulat-bulatkan menjadi bebola.
  • Golekkan ke dalam pingan yang berisi bijirin nestum sambil di tekan sedikit.
  • Susun di dalam loyang pembakar.
  • Ambil buah ceri/manik hiasan dan tekan di tengah sebagai hiasan.
  • Bakar di dalam oven dengan suhu 150'c selama 15 minit atau sehingga masak bergantung pada oven masing-masing

Isnin, 6 Julai 2015

PULUT HITAM PATI SANTAN

As-Salam buat semua..
Selalunya kalau ada beras pulut hitam kat dapur,saya selalu buat Bubur pulut hitam.Tapi kali ini saya try buat cara lain pula untuk di makan semasa berbuka nanti.Let's try buat..

PULUT HITAM PATI SANTAN
Olahan:daridapur suzana

Bahan-bahan
3 cawan pulut hitam
3 keping gula melaka
5 cawan air
500 ml pati santan
2 helai daun pandan
secubit garam

Cara membuatnya
  • Basuh pulut hitam dan toskan.
  • Masukkan air,daun pandan dan pulut hitam ke dalam periuk dan rebus sampai empuk.
  • Tambahkan lagi air jika perlu dan rebus sehingga pulut hitam jadi kembang seperti dalam gambar.
  • Bila sudah kembang,baru masukkan gula melaka dan kacau rata.Tambah sedikit garam
  • Bila masak,sejukkan.
  • Panaskan pati santan dan tambahkan secubit garam.Tidak perlu hingga mendidih.
  • Semasa menghidang,sendukkan pulut hitam ke dalam mangkuk dan curahkan pati santan di atasnya.
  • Sedia untuk di makan.

Ahad, 5 Julai 2015

SOTONG GORENG KUNYIT

As-Salam buat semua..
Bulan puasa ni masak yang ringkas-ringkas dan buatnya pun sikit sahaja takut membazir.Lagipun hanya abang Amzar saja yang  makan sotong,yang dua orang lagi tu tak makan sotong.Resepinya pun mudah dan tidak memerlukan bahan banyak sangat.Untuk mengelakkan sotong jadi liat ia tidak boleh di masak lama sangat.Let's try masak..

SOTONG GORENG KUNYIT
Olahan:daridapur suzana

Bahan-bahan
5 ekor sotong saiz sederhana
1/2 labu bawang besar-potong nipis
4 helai daun limau purut
3 tangkai batang ketumbar-potong 1 inci
3 ulas bawang putih-di hiris
serbuk lada hitam
serbuk cukup rasa
serbuk kunyit 
minyak canola

Cara membuatnya
  • Bersihkan sotong dan potong bulat.Gaulkan dengan bawang besar,bawang putih,serbuk kunyit ,serbuk lada hitam dan serbuk cukup rasa.
  • Perapkan dengan bahan-bahan di atas selama 15 minit.
  • Panaskan sedikit minyak canola dan goreng sotong dengan api sederhana.
  • Masukan daun limau purut dan batang ketumbar dan kacau rata.
  • Goreng sebentar sahaja dan bolehlah di angkat.

Jumaat, 3 Julai 2015

PHOTO OF THE WEEK

Lokasi Pantai Sri Tujuh ,Tumpat Kelantan.
Harapan ini semakin jauh meninggalkan Aku ...
Jun 2015

Khamis, 2 Julai 2015

BISKUT SARANG SEMUT

As-Salam buat semua..
Biskut pertama yang di buat semalam iaitu Biskut Sarang semut.Buat awal-awal kerana saya bertugas tak kira masa.Buat biskut yang mudah-mudah dahulu kerana ia tidak memakan masa yang lama untuk menyudahkannya.Kalau biskut yang susah sedikit kena tunggu cuti baru boleh buat.Let's try baking...

BISKUT SARANG SEMUT
Sumber:LinaKz Shaari.www.facebook/bukuresepi.thanks

Bahan-bahan
225 gm mentega
200 gm tepung jagung
2 biji kuning telur
125 gm gula aising
275 gm tepung gandum
1/2 sudu kecil esen vanila
coklat rice untuk hiasan
paper cup kecil

Cara membuatnya
  • Kacau mentega dan gula aising sampai sebati guna spatula sahaja.
  • Masukkan kuning telur dan esen vanila.Kacau rata.
  • Masukkan semua tepung dan gaul rata hingga jadi doh.
  • Parutkan doh dan masukkan ke dalam paper cup guna sudu kecil.Adunan perlu di isi hingga penuh kerana selepas di bakar ia akan turun sedikit.Taburkan coklat rice.
  • Bakar pada suhu 140' c selama 20 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Rabu, 1 Julai 2015

PUDING ROTI SOS KASTARD

As-Salam buat semua..
Puding roti ini di buat untuk dessert berbuka puasa.Saya jarang makan kuih basah tetapi lebih suka makan kuih moden yang di buat sendiri.Kalau buat banyak boleh bagi sedikit untuk jiran-jiran.Anak-anak pun macam saya juga tidak begitu gemar kuih yang di beli tapi kalau kuih yang di buat mereka makan juga lepas waktu berbuka.Let's try baking.

PUDING ROTI SOS KASTARD
Sumber: hanamemories.blogspot. Thanks
 
Bahan-bahan
  • 8 keping roti
  • 500 ml susu segar
  • 4 sudu besar gula halus
  • 2 sudu besar butter- cairkan
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu kecil serbuk cinnamon
  • 2 sudu besar kismis
Untuk Sos Kastard
  • 1 tin susu cair
  • 2 sudu besar tepung kastad
  • 2 sudu besar gula
Cara membuatnya
  • Koyakkan roti dan susun dalam loyang yang telah digris dengan sedikit butter.
  • Gaul rata bahan-bahan di atas kecuali kismis dan tuang ke atas roti tadi.
  • Biarkan sebentar dalam 20-30min agar roti terendam sepenuhnya.
  • Taburkan kismis diatas adunan.
  • Bakar pada suhu 180'c selama 30 minit atau sehingga masak.
Untuk membuat kuah atau sos kastad
  • campurkan semua bahan ke dalam periuk dan kacau hingga agak pekat.
  • Tuang ke atas puding roti tadi.