Selasa, 29 April 2014

BISKUT BIJAN RANGUP

 As-Salam buat semua..
Biskut yang di buat dalam minggu ini untuk kudapan anak-anak selepas balik dari sekolah.Dulu-dulu selalu juga beli biskut bijan yang dijual dan rupanya sama macam yang di buat ini.Yang menanbahkan lagi kerangupan biskut ini adalah bijan dalam adunannya dan bijan yang di salut kat luar.Saya rasa biskut ini sesuai untuk di makan hari-hari tapi bukan untuk hari raya..
BISKUT BIJAN RANGUP
Resepi:www.sitidelima.net/dari dapur CT.Thanks

Bahan-bahan
1/3 cawan bijan putih
1/8 cawan bijan hitam    saya guna bijan putih kesemuanya
100 gm mentega
1/2 cawan gula kastor
1/2 cawan gula perang
1 bii telur gred B
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung      saya letak 2 sudu besar
1/4 sudu teh serbuk kayu manis-pilihan

Cara membuatnya
  • Bijan di panggang sebentar di dalam oven dalam 3-4 minit.Ketepikan.
  • Alas dulang loyang dengan kertas minyak dan ketepikan.
  • Putar mentega dengan gula kastor dan gula perang hingga berkrim.Tambah telur dan pukul sebentar.
  • Ayak tepung gandum,tepung jagung,baking power dan serbuk kayu manis dalam mangkuk berasingan.
  • Kemudian beransur-ansur menambah tepung ke dalam  adunan mentega.
  • Masukkan setengah dari bijan yang di panggang tadi ke dalam adunan dan gaul denagn spatula hingga rata.
  • Bungkus doh dengan plastik bersih dan masukkan ke dalam peti sejuk selama satu jam.
  • Keluarkan doh dari peti sejuk,ambil anggaran 20 gm setiap satu adunan dan bentukkan bulat.
  • Gulingkan pada bijan hingga rata.
  • Letak di atas kertas minyak dan tekan adunan dengan tapak tangan hingga sedikit leper.
  • Jarakkan adunan 2 inc. setiap satu.
  • Bakar pada suhu 190'c selama 15 minit atau hingga perang keemasan.
  • Biarkan 2 minit di atas dulang dan pindahkan ke atas rak dawai biar sejuk sepenuhnya.
  • Simpan dalam bekas kedap udara.

Isnin, 28 April 2014

PUDING KARAMEL TANPA TELUR

As-Salam buat semua..
Satu lagi resepi penyejuk tekak di kala musim panas ni iaitu Puding karamel tanpa telur.Best di makan sejuk-sejuk dan walaupun tidak menggunakan telur,rasanya lebih kurang sama sahaja dengan puding yang menggunakan telur.Jom tengok resepinya..

PUDING KARAMEL TANPA TELUR
Sumber:Teratak mutiara kasih/Lina pg.Thanks.

Bahan gula hangus
4 sudu besar gula pasir    saya letak 2 sdb.

Bahan puding
10 gm serbuk agar-agar
4 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat manis
1 tin susu cair
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Buat gula hangus dahulu,taburkan gula pasir ke dalam loyang.
  • Dengan menggunakan api kecil,panaskan gula hingga menjadi cair dan perang kemudian ratakan pada keseluruhan loyang.
  • Ketepikan biar ia sejuk dan mengeras di dalam loyang.
  • Satukan kesemua bahan puding.Kacaukan di atas api kecil.
  • Adunan hendaklah di kacau selalu agar tepung kastard tidak bergentel.
  • Apabila mendidih dan adunan kelihatan sedikit pekat,tutup api.
  • Tapiskan adunan dan  tuang ke dalam loyang berisi gula hangus tadi.
  • Sejukkan sebentar sebelum di masukkan ke dalam peti sejuk.
  • Terbalikkan puding ke dalam pinggan dan boleh di hidangkan.

Ahad, 27 April 2014

PULUT ROLL


 As-Salam buat semua..
Pulut roll ini di buat untuk sarapan pagi.Kat Kota Bharu ni macam-macam pulut ada seperti Pulut ayam,Pulut panggang,Pulut manis,Pulut kacang-sekadar menulis beberapa nama.Sebenarnya saya nak buat Pulut panggang kesukaan saya tapi daun pisang pula tak ada,saya gasak je macam Iza(Singgahsana kitchen) jadikan pulut roll....pulut juga.Saya tak buat Serunding kelapa tetapi menggantikan dengan Serunding ikan yang di beli di Pasar Besar Siti Khadijah.

PULUT ROLL
Resepi:Singahsana kitchen.thanks

Bahan-bahan
600 gm pulut-rendam 8 jam
daun pandan
200 ml santan
50 ml air
1 sudu teh gula
garam
Inti serunding kan secukupnya

Cara membuatnya
  • Kukus pulut yang telah di rendam dengan daun pandan selama 15 minit.Angkat pulut.
  • Satukan santan,air dan gula serta garam dan gaul dengan pulut.
  • Kukus semula selama 15 minit.
  • Sementara pulut masak,sediakan aluminium foil dengan saiz yangbersesuaian.
  • Setelah pulut masak,ratakan di atas aluminium foil dan ratakan inti serunding ikan di atas pulut.
  • Gulung serta mampatkan dengan kemas.
  • Biarkan seketika sebelum di potong.
  • Proses menggulung hendaklah di lakukan ketika pulut masih panas supaya gulungan melekat dengan baik.
  • Semasa menghidang,saya taburkan lagi lebihan serunding ikan di atas pulut.



Sabtu, 26 April 2014

AISKRIM SIMPLE

As-Salam buat semua...
Aiskrim terbaru yang saya buat walaupun resepinya dah lama terperap dalam draf.Buat untuk simpanan dalam peti sejuk kerana petang-petang Azim suka makan aiskrim ni sandwich dengan roti.Bukan azim saja makan,saya pun tumpang sekaki..

AISKRIM SIMPLE(versi coffeemate)
Resepi:May Agumo/Story of my life.Thanks

Bahan-bahan
2 cawan susu UHT-sebarang perisa
2 cawan coffeemate
1-2 sudu gula -optional    tak letak

Cara membuatnya
  • Blend semua bahan di atas hingga berbuih.boleh juga menggunakan mixer.Putar sehingga ia menjadi gebu dan pekat.
  • Kemudian simpan dalam bekas dan masukkan ke dalam freezer.
  • Setelah agak beku,keluarkan semula dan blend/putar sekali lagi.
  • Kemudian bekukan semula di dalam freezer.
  • Simpan semalaman di dalam peti sejuk dan sedia untuk di makan.

Khamis, 24 April 2014

ABSOLUTE CHOCOLATE CAKE

As-Salam buat semua..
Entri hari ini masih lagi berkaitan dengan kek harijadi Azim.Saya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan kek ini kerana kedua-dua hari itu saya bertugas di sebelah petang.Hari pertama, membuat kek dan di simpan semalaman dalam peti sejuk,dengan pesanan....balik sekolah jangan potong kek, mama belum make-up lagi tu!.
Hari kedua barulah saya tambah make-up pada kek ini...lapisannya comot sikit dan hiasannya hanyalah figurine plastik dari kek lama,tapi puas hati sebab di buat sendiri dan bila pulang dari sekolah kek Azim dah pun siap dan saya pula pergi  bertugas dan pulang pada waktu malam.Pesan pada my bodyguard minta ambil gambar Azim potong kek,mujurlah hanya sekeping sahaja yang menjadi kerana kamera saya ,hanya saya sorang sahaja yang pandai guna!
Sebenarnya saya dah terlupa tarikh harijadi Azim(selalu macam tu!..he..hee)sebab tu lah huru-hara kat dapur nak menyiapkan kek,Nasi beriani dan Ayam kerutuk(lagi!) seperti yang dia minta. Lepas tu pula masa nak double-boiler telur kuning dan gula untuk di buat mousse coklat,mangkuk yang di guna tiba-tiba pecah dua..habis adunan telur kuning saya..waaa nak menangis rasanya, dah la takut lambat gi bertugas,terpaksa ulang balik buat adunan telur yang baru.Wah!panjang pula cerita di belakang tabir...
ABSOLUTE CHOCOLATE CAKE  
Resepi:Azlita Masam Manis.Thanks.

KEK COKLAT MOUSSE

Bahan A
300 gm tepung gandum
100 gm serbuk koko
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh soda bikarbonat

Satukan semua bahan.Kemudian ayak.Ketepikan

Bahan B
3 biji telur saiz A
400 gm gula kastor     saya letak 300 gm
1 sudu teh esen vanila


Bahan C
250 ml susu cair
250 ml minyak jagung

Untuk mendapatkan kek yang lebih moist dan lebih lembut, boleh tambahkan 2 sudu besar susu pekat manis

. 
Bahan D
250 ml air panas
 

Cara membuatnya
Satukan semua bahan B
Pukul hingga putih
Masukkan minyak dan susu cair, jika nak lebih moist boleh tambahkan 2 sudu besar susu pekat manis
Pukul hingga sebati
Masukkan bahan tepung yang telah diayak tadi sedikit-sedikit dan kaup-balik adunan dengan spatula.
Tambahkan air panas dan gaul rata
Tuang adunan dalam loyang bulat atau empat persegi ukuran 8 in. yang telah di gris dan di lapik dasar loyang dengan kertas minyak

Bakar adunan di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170'c.
Masa pembakaran 1 jam sehingga 1 jam 1/2 bergantung kepada kepanasan ketuhar.
Untuk memastikan kek telah dibakar sempurna, cucuk tengah kek secara sendeng dengan lidi bersih.
Bila lidi keluar licin, ini bermakna kek telah di bakar sempurna.
Jika tidak tambahkan lagi masa membakar.
Sejukkan kek atas redai setelah masak
Potong kek kepada 3 atau 4 kepingan


**kek ini boleh dikukus juga,masa mengukus juga antara 1 jam hingga 1/2 jam.

CHOCOLATE MOUSSE

Bahan-bahan
3 biji kuning telur
100 gm coklat masakan gelap
8 gm gelatin
30 ml air
250 gm Krim bukan tenusu(non diary whipping cream)
1 sudu teh esen vanila
50 gm coklat masakan gelap -di cincang kasar


Cairkan gelatin,
Cairkan coklat masakan kaedah double-boiler
Masak telur kuning dengan kaedah double-boiler sambil sentiasa dikacau hingga berkrim.
Tuangkan gelatin dalam kuning telur dan gaul rata
Tuangkan pula coklat cair dan kacau rata,ketepikan


Dalam bekas lain putar krim bukan tenusu hingga kental.
Tuangkan 1/3 adunan,dalam adunan coklat dan kaup-balik rata
Tuangkan baki adunan dan esen vanila dan kaup-balik sempurna


GANACHE CHOCOLATE CREAM
Bahan-bahan
125 ml krim tenusu
20 gm sirap glukos
200 gm coklat masakan gelap
15 gm mentega

Panaskan krim dan sirap glukos hingga berbuih kecil tepi periuk
Tuangkan dalam coklat yang di cincang terlebih dahulu
Kacau rata
Tambahkan mentega dan gaul sempurna
Sejukkan
Kemudian pukul hingga berkrim

Kaedah penyediaan

Letakkan sekeping kek atas lapik kek
Basahkan permukaan kek dengan sedikit air nescafe ( sedikit sahaja untuk melembabkan kek)
Kemudian ratakan Coklat Mousse atas lapisan kek
Taburkan pula dengan coklat masakan yang dah di cincang kasar
lapikkan pula dengan sekeping lagi kek coklat
Ulang proses yang sama hingga habis
Akhir salutkan keseluruhan kek dengan mousse coklat
Simpan sebentar dalam peti ais paling kurang 4 jam

Salutkan pula kek dengan Ganache Coklat Krim
Deko kek anda mengikut kreativiti
Simpan dalam peti ais hingga ganache mengeras
Ayak serbuk koko atas kek sebelum dihidangkan jika suka



** Saya tidak menggunakan Ganache coklat krim seperti resepi di atas untuk salutan luar kek,sebaliknya menggunakan resepi di bawah,

CHOCOLATE GANACHE
Resepi:Puan Badariah ibrahim@Resepi@net.Thanks.

130 ml susu cair/whipping cream
200 gm coklat masakan
1 sudu teh mentega

Cara membuatnya
  • Double- boiler coklat dan susu cair/whipping cream sehingga coklat hampir-hampir mencair.
  • Tutup api dan kacau sehingga coklat betul-betul cair,masukkan mentega dab sebatikan.
  • Sejukkan sebentar dan sapu rata di atas kek.Hiaskan..

Rabu, 23 April 2014

HEPI BIRTHDAY...AZIM


Selamat harijadi yang ke-12 buat anakku Che Azim Ashmawi pada 22 April 2014,semoga sentiasa beroleh kejayaan dan keberkatan dunia dan akhirat.Amin.
Jom tengok gambar Azim masa'muda-muda' dulu.Pada setiap harijadinya nanti saya akan sentiasa postkan gambar-gambarnya semasa dia masih kecil sebagai kenangan apabila dia melihat blog ini suatu masa kelak..
Kandungan ketiga ini pun sama juga dengan yang pertama dan kedua..morning sickness selama 4 bulan non- stop,makin teruk pada waktu malam.Seperti kakak dan abangnya, saya kena admit wad juga.Cubaaan....

                                                   
                                                 
                                                   Azim bersama 'teamnya'
Kek yang saya buatkan untuknya- Absolute Chocolate Cake.Julung-julungnya tahun ini dia request nak makan kek yang saya buat.Selalunya kek harijadi di beli setiap tahun..Resepinya next entri.

Isnin, 21 April 2014

KRIM KENTANG DAN AYAM

As-Salam buat semua...
Pagi-pagi ni nak buat entri pasal sarapan pagi pula.Sekali-sekala tukar menu baru best juga,hari-hari saya asyik makan oat sahaja.Sup ini sesuai di makan begitu sahaja ataupun di makan  dengan sebiji bun.Jom tengok resepi pula..

KRIM KENTANG DENGAN AYAM
Resepi:Chef Afifi Bakri,Majalah Saji April 2014

Bahan-bahan
1 biji kentang besar-potong dadu
2 ketul paha ayam
1 labu bawang besar-potong dadu
2 keping daun bay
1 liter air
1/2 cawan krim
garam dan lada putih secukup rasa
sedikit serbuk lada hitam    saya tambah

Cara membuatnya
  • Tumis bawang dengan sedikit mentega,masukkan kentang dan air.Biarkan mendidih.
  • Kemudian masukkan ayam.Reneh sehingga kentang dan ayam masak.
  • Asingkan ayam,kemudian kisar kesemua bahan sup.
  • Carikkan isi ayam dan masukkan semula ke dalam sup dan renehkan selama 5 minit
  • Jika sup terlalu pekat,boleh tambahkan air,jika sup sedikit cair renehkan lagi sehingga agak pekat.
  • Akhir sekali masukkan krim dan perasakan dengan garam,lada putih dan sedikit serbuk lada hitam.

Ahad, 20 April 2014

KERUTUK AYAM


As-Salam buat semua..
Azim request nak makan Kerutuk  ayam bersama Nasi beriani.Patut lah pagi-pagi lagi sudah bertanya adakah hari ini saya bertugas,rupa-rupanya nak makan special sikit.Suka dia...kalau nampak saya tak bertugas mesti ada request sesuatu yang dia suka makan.Biasanya masak kerutuk di buat menggunakan daging tapi dah ada orang minta nak makan ayam..buat saja!.

KERUTUK AYAM
Resepi:aziejaya.blogspot.com.Thanks(resepi asal kerutuk daging)

Bahan-bahan
ayam-potong kecil
3 sudu besar rempah kerutuk
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu besar kerisik
gula melaka 
asam keping
garam
santan
minyak
rempah penumis
*kuantiti bahan-bahan boleh di sesuaikan sendiri.

Cara membuatnya
  • Kisar bawang besar,bawang putih dan juga halia.
  • Panaskan minyak dan masukkan rempah penumis serta bahan kisar.Boleh juga sedikit bawang dihiris bagi menjadikan kuahnya bertekstur campuran bawang tumis.
  • Masukkan rempah kerutuk yang di bancuh dengan sedikit air.
  • Tumis sehingga garing sebelum di masukkan ayam.Masak dengan api sederhana hingga ayam lembut dan keluar minyak.
  • Masukkan santan dan masak sehingga mendidih sebelum di masukkan kerisik,gula melaka,garam dan asam.Sesuaikan rasanya.
  • Setelah keluar minyak bolehlah di angkat.
** kerutuk mestilah berasa sedikit manis dan berwarna sedikit gelap.

Sabtu, 19 April 2014

KEK PISANG EPAL

As-Salam buat semua..
Kali ini saya buat kek pisang yang ada epal di dalamnya.Sepadan juga gabungan pisang dan epal ini.Tekstur kek ini lembut dan moist.Lupa pula ambil resepi kat mana.Apapun terimakasih untuk pemilik resepi kek yang sedap ini.

KEK PISANG EPAL

Bahan-bahan
2 biji pisang awak/pisang emas-saiz sederhana,di lecek
2 biji epal merah-kupas dan potong dadu
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan gula kastor   saya letak 1/2 cawan
1 cawan minyak masak
4 biji telur gred A
2-3 titik esen pisang

Cara membuatnya
  • Masukkan telur,gula dan minyak ke dalam blender.Kisar adunan selama 3 minit hingga campuran kembang(warna kuning cair).
  • Masukkan adunan ke dalam mangkuk.Masukkan tepung dan gaul menggunakan whisk hingga sebati.
  • Masukkan pisang lecek dan epal dadu serta esen pisang.Gaul sebati.
  • Sementara itu panaskan oven ke suhu 180'c.
  • Tuang adunan ke dalam loyang yang telah di lengser dengan mentega dan di lapik dengan baking sheet.
  • Bakar dalam oven menggunakan api atas dan bawah selama 40 minit atau hingga kek masak.
  • Cucuk dengan lidi dan jika keluar bersih maka kek telah masak sempurna.
  • Sejukkan sebentar sebelum di potong.

Khamis, 17 April 2014

PUDING SIRAP BANDUNG LAICI

As-Salam buat semua..
Cubalah buat puding yang simple ni kemudian letak dalam peti sejuk,tak ke berseri-seri peti sejuk bila saja pintunya di buka terus nampak puding yang berwarna pink ini.Terliur kan...Dalam musim panas sekarang ni kerap kali juga saya buat puding tapi guna acuan yang sama sahaja kerana hanya satu ini yang ada,tu pun barang klasik dulu-dulu...

PUDING SIRAP BANDUNG LAICI
Sumber:dari dapur Zalinah@Rempah ratus.thanks

Bahan-bahan
25 gm agar-agar tali
1 liter air
1 tin susu cair
1 tin laici-ambil 6-7 biji laici di cincang halus
air laici
1 cawan gula    saya ikut manis sendiri
2 sudu besar esen laici
2 sudu besar esen rose merah

Cara membuatnya
  • Masak agar-agar dengan air hingga larut.
  • Masukkan gula,susu cair,buah laici cincang(saya kisar kasar separuh dari buah laici bersama susu cair) dan air laici.Kacau rata dan biarkan hingga mendidih.
  • Tuang ke dalam acuan pilihan dan sejukkan.
  • Seterusnya sejukkan di dalam peti sejuk dan hiaskan dengan buah laici.