Jumaat, 30 Januari 2015

BUTTER COOKIES

As-Salam...
Minggu ni saya buat biskut lagi untuk bekalan kudapan seorang peminat biskut homemade kat rumah ni (abang Amzar).Hujung minggu kalau time tak sekolah tu kena ada kudapan buat peneman semasa buat homework yang bertimbun tu..kalau time tak sempat buat apa-apa saya beli sahaja biskut tin.Semalam dia request nak saya buat kerepek ngaku sebab yang di buat minggu lepas,tak cukup pula.Eloklah sekarang ni nak raya cina,ubi ngaku banyak di jual di pasaraya...setahun sekali saja dapat makan!.

BUTTER COOKIES
Resepi:Majalah Saji Ogos 2010.

Bahan-bahan
350 gm tepung serba guna
250 gm mentega
125 gm gula aising
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil serbuk penaik.

Cara membuatnya
  • Satukan mentega dan gula aising di dalam bekas.Pukul sebati.
  • Masukkan telur satu persatu,kemudian masukkan tepung serba guna,esen vanila dan serbuk penaik.Gaul sebati.
  • Masukkan doh di dalam piping bag dengan nozzle bintang.
  • Paipkan ke dalam dulang pembakar.
  • Bakar pada suhu 180'c selama 15-20  minit atau sehingga masak bergantung pada oven masing-masing.

Khamis, 29 Januari 2015

PIZA BAWANG ROTI PITA

As-Salam buat semua..
Cara yang paling ringkas nak bawa bekal ke tempat bertugas.Buat piza segera dengan menggunakan base dari roti pita.Lagipun tarikh luputnya dalam dua hari lagi,kena la proses cepat-cepat.Toppingnya dari daging cincang dan bawang besar sahaja.Manis sahaja rasa bawang besar bila kena bakar.Topping pilihan sendiri ,terpulang pada selera masing-masing apa yang nak di letakkan.

PIZA BAWANG ROTI PITA
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
2 keping roti piza
sos pasta prego
mayones

Bahan topping
125 gm daging cincang
1/2 labu bawang besar-potong dadu
2 ulas bawang putih-cincang
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar serbuk kari daging -jadikan pes
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak utk. menumis

untuk taburan
keju Mozarella parut
bawang besar-pootng bulat dan leraikan

Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang besar dadu dan bawang putih hingga naik baunya.
  • Masukkan rempah kari yang di bancuh dengan air dan tumis hingga masak.
  • Masukkan daging dan gaul rata.Tambah sedikit air.
  • Tambahkan sos tomato dan sos cili serta garam dan gula secukup rasa.
  • Angkat dan ketepikan.
  • Panaskan oven pada suhu 175'c.
  • Sementara itu,ambil roti pita tadi dan sapukan sos pasta prego dan mayones.
  • Letakkan topping daging rata -rata di atas permukaan roti pita.
  • Taburkan bawang besar lerai tadi dan akhir sekali taburkan keju mozarella parut.
  • Bakar hingga keju mencair dan roti pita menjadi garing.
  • Sedia di hidangkan panas-panas.

Isnin, 26 Januari 2015

KUIH PUTERI MANDI

 As-Salam buat semua..
Di Kelantan,Kuih puteri mandi ini biasanya menjadi hidangan waktu berbuka dan banyak di jual ketika bulan puasa.Biasanya yang di jual tidak begitu menepati selera terutama dari segi kemanisannya.Biasalah makanan di sini semuanya manis-manis belaka.Jadi versi yang di buat sendiri ni boleh adjust sedikit rasa manisnya.

KUIH PUTERI MANDI
Sumber:Fauziah Abd Ghaffar/Majalah Saji Mac 2014.thanks gee

Bahan-bahan
3 cawan tepung pulut
1 sudu kecil garam 
sedikit air
sedikit pewarna kegemaran

Bahan inti
1 cawan kelapa muda
1 cawan air
1 ketul gula melaka
1 helai daun pandan

Cara membuatnya
  • Bancuh tepung pulut dengan air dan garam.Masukkan air sedikit demi sedikit supaya tidak terlalu lembik.
  • Uli hingga jadi doh yang lembut
  • Bahagikan dan warnakan ikut warna kegemaran.
  • Didihkan air di dalam periuk.Ambil sedikit adunan sebesar ibu jari,bulat-bulatkan dan leperkan dengan jari di tengahnya.
  • Masukkan ke dalam air mendidih.
  • Apabila masak ia akan timbul dan angkat.Ketepikan.
  • Dalam periuk berasingan,didihkan satu cawan air dengan seletul gula melaka.
  • Masukkan juga sehelai daun pandan.
  • Apabila mendidih,masukkan kelapa parut.Kacau lagi hingga agak-agak kering.
  • Gaul kuih yang di masak tadi.
*jika anda tidak mahu menggunakan gula melaka,ia boleh juga menggunakan gula pasir.Jangan lupa campurkan secubit garam.

Rabu, 21 Januari 2015

CHOCO CHEESE MUFFIN

 As-Salam buat semua..
Semalam buat muffin lagi, kali ini letak cheese pula.Gabungan rasa coklat dan cheese kena pula pada selera anak-anak.Sekejap sahaja dah habis.Muffin soft sahaja dan tidak merekah seperti yang biasa saya buat.Mungkin sebab penggunaan cheese menjadikan ia gebu sikit.Let's try baking..

CHOCO CHEESE MUFFIN
Sumber:~Di Sini Segalanya Bermula~ thanks

Bahan-bahan
140 gm choco cips
100 gm cream cheese
80 gm mentega
2 biji telur saiz m
60 gm gula kastor
100 gm tepung gandum
2 sudu kecil baking powder

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 180'c.
  • Potong dadu cream cheese dan mentega.
  • Cairkan bersama choco cips dengan kaedah double boiler
  • Bila sudah cair ,angkat dari api dan tambahkan telur dan kacau dengan whisk.Cream cheese jadi ketul-ketul pun tak apa.
  • Tambah gula dan kacau hingga sebati.
  • Ayak tepung bersama baking powder ke dalam adunan dan kacau dengan spatula.
  • Masukkan ke dalam bekas muffin 3/4 penuh dan bakar selama 20 minit atau hingga masak.

Isnin, 19 Januari 2015

BAKED POTATO

 As-Salam buat semua..
Saya cuba pula buat Baked potato dari resepi Sheila- Spices Journey.Best baked potato ni,lagipun saya peminat potato dulu,kini dan selamanya,saja suka-suka nak tambah kalori biar lagi bertimbun dalam badan ni!.Baked potato ni,menurut Sheila selalu di buat oleh Bang Jebat dia,jadi dah Sheila perturunkan resepinya yang amat sedap ni,hari ini saya ingin kongsikan pula di dapur saya.Beberapa bahan tak ada kat dapur seperti mushroom dan parsley,tapi nak buat juga.Kalau nak tengok cara-cara membuatnya dengan lebih clear,silalah berkunjung ke dapur Sheila ye.Nanti lain kali nak buat lagi.Best la Sheila..

BAKED POTATO
Sumber:Spices Journey /baked potato.thanks.

Bahan-bahan
6 biji kentang Russet saiz besar
6 keping hirisan daging salai/daging kisar
1 biji bawang besar Holland
3 ulas bawang putih
Portabello Mushroom-jika ada
1 cawan metrik UHT whipping cream
130 gm mentega
Mozarella cheese
sedikit minyak zaitun-untuk menumis
sedikit chopped parsley
sedikit oregano kering
sedikit lada putih/lada hitam 
garam secukup rasa

Cara membuatnya
  • Bersihkan ubi kentang dan bakar di dalam oven menggunakan api atas dan bawah sehingga lembut dan boleh di cucuk.Masa membakar bergantung pada oven masing-masing.Saya sapu minyak zaitun pada kentang terlebih dahulu sebelum di bakar.
  • Sejukkan kentang setelah di bakar.
  • Sementara menunggu kentang sejuk,bolehlah tumiskan bahan intinya.
  • Panaskan kuali dan masukkan minyak zaitun dan sedikit mentega.Tumiskan bawang holland dan bawang putih yang telah di cincang halus.
  • Bila bawang nampak layu,masukkan hirisan daging salai yang di potong kecil.Saya guna daging cincang.
  • Masak sebentar dan masukkan portabello mushroom yang telah di hiris.
  • Perisakan dengan garam,serbuk lada putih/lada hitam.
  • Masukkan sedikit oregano kering untuk menaikkan aromanya.
  • Angkat dan ketepikan.
  • Ubi kentang yang telah di bakar tadi di potongkan sedikit bahagian atasnya dan korek keluar isinya.Tinggalkan sedikit isinya di bahagian tepi dan dasarnya.
  • Satukan semua isi kentang tadi dan di lenyek.
  • Selepas itu,gaulkan dengan bahan yang di tumis tadi,mentega, parsley cincang,sedikit mozarella cheese dan whippping cream.
  • Perisakan dengan garam dan serbuk lada putih/hitam secukupnya.
  • Kemudian sumbatkan kembali ke dalam kentang tadi sepenuhnya.
  • Taburkan mozarella chesse dan bakar dengan api atas sahaja selama 10-15 minit.
  • Tidak perlu di bakar lama kerana isinya sudah masak,kalau nak frozenkan pun boleh.Selamat mencuba..

Sabtu, 17 Januari 2015

EGG BENEDICT

 As-Salam buat semua...
Macam-macam versi saya jumpa orang buat Egg Benedict ni.Salah satunya seperti yang saya buat ni.Menurut wikipedia, egg benedict yang sebenarnya adalah-
Egg Benedict is an American breakfast dish that consists of two halves of an English muffin, topped with ham or bacon, poached egg, and Hollandaise sos.So yang saya buat ni kira dah di ubah-suai,tak sama maknanya dengan egg benedict tu..biarlah,nak buat juga!.lapar ni,nak buat breakfast pagi ni.

EGG BENEDICT
Sumber:Kakak chantek/Facebook.Thanks
 
Bahan-bahan
6 keping roti sandwich
daun bawang-potong halus
1/2 biji lada merah-potong halus
1 batang sosej-potong kiub kecil/daging kisar
2 biji telur
1/2 cawan susu
keju mozarella parut
garam secukup rasa

Cara membuatnya
  • Sapu minyak/mentega pada muffin pan.
  • Letakkan roti dalam setiap lubang muffin.
  • Masukkan sosej/daging kisar.
  • Pukul telur,tambahkan sedikit garam,susu dan gaul sebati.
  • Masukkan adunan telur ke dalam roti dan taburkan lada merah, daun bawang dan keju parut.
  • Kemudian bakar pada suhu 180'c sehingga masak.

Khamis, 15 Januari 2015

BENDI GORENG BELACAN

As-Salam buat semua....
Sayur bendi ini saya masak untuk di makan dengan masakan sotong yang telah di buat sebelum ini.Goreng yang ringkas-ringkas sahaja baru cepat boleh makan.Biasanya saya suka makan bendi segar atau yang di celur dan rasanya manis sahaja,ataupun cicah saja dengan budu lagi terangkat..

BENDI GORENG BELACAN
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
10 batang bendi-cuci dan toskan
2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan bakar
1 biji lada merah 
1 biji lada hijau
serbuk cukup rasa
minyak sayur

Cara membuatnya
  • Tumbuk bawang merah,bawang putih dan belacan .
  • Panaskan sedikit minyak sayur dan tumiskan bahan tumbuk tadi.
  • Potong bendi dan masukkan ke dalam kuali dan gaul rata.
  • Tambahkan lada merah dan hijau serta serbuk cukup rasa.
  • Biarkan bendi layu sedikit  kemudian bolehlah di angkat.

Selasa, 13 Januari 2015

SOTONG MANIS SOS BARBEKU

As-Salam buat semua...
Masakan sotong untuk hidangan tengahari semalam.Rasanya dah lama tak main masak-masak,asyik dok buat kuih dan kek sahaja.Sekali-sekala makan sotong berselera juga makan nasi.Let's try masak..

SOTONG MANIS SOS BARBEKU
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
4 ekor sotong besar-di bersihkan
1 labu bawang besar--di hiris
1/2 inci halia-di parut
4 ulas bawang putih-cincang halus
1 biji lada besar hijau-potong nipis
3 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar sos barbeku
1 sudu besar sos cili
3 sudu besar kicap manis
serbuk cukup rasa Maggi
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
4 helai daun limau purut
minyak sayur -untuk menumis

Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak sayur dan tumiskan bawang putih dan halis hingga naik baunya.
  • Masukkan cili kering kisar dan tumis hingga cili masak.
  • Masukkan sos barbeku dan sos cili kemudian masukkan sotong.
  • Tambahkan daun limau purut,kicap manis dan serbuk cukup rasa.
  • Biarkan sotong masak sekejap dan masukkan bawang besar,serbuk lada hitam serta lada hijau.
  • Angkat dan hidangkan

Ahad, 11 Januari 2015

MOIST ORANGE MOCHA BROWNIES

 As-Salam ....
Sudah beberapa hari tidak menulis di sini kerana sibuk dengan tugasan dan persediaan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan yang baru.Saya mengambil cuti rehat selama 6 hari bermula semalam,saja nak merehatkan tenaga dan minda dari dunia hospital.Sekejap je tu.. lepas ni mesti rindu nak gi hospital semula tempat tumpah darah ku..err pembetulan,tempat tumpah darah orang!..jarang jumpa cerita indah di situ,sekarang kita kongsi cerita indah di dapur.titik.
Kembali semula di dapur...
Brownies ini sesuai dengan namanya,teksturnya lembap dan lembut sahaja.Resepi sebenar menggunakan topping di atasnya tetapi saya tidak meletakkannya kerana tiada bahan pada masa kejadian cuma di tabur coklat cip sahaja.Let's try baking...

MOIST ORANGE MOCHA BROWNIES
Sumber:Sinar Kehidupanku  thanks

Bahan A
1 cawan mentega cair/minyak masak.
2 cawan gula perang
1 cawan susu cair
1 cawan air panas
1/2 -1 sudu kecil nescafe-bancuh dengan air panas
2-3 sudu besar jus sunquick oren

Bahan B-kacau rata dengan whisk
1 sudu kecil esen vanila
2 biji telur gred B

Bahan C
2 cawan tepung gandum
1 cawan serbuk koko
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 175'c selama 10 minit
  • Kacau bahan A supaya sebati
  • Masukkan bahan B dan kacau rata
  • Masukkan bahan C dan gaulkan supaya sebati
  • Lapikkan kertas dalam loyang 10x 10 inci.Masukkan adunan brownies dan tabur coklat cip.
  • Bakar selama 45-50 minit sehingga masak. 
  • Sejukkan brownies terlebih ddahulu dan salutkan dengan krim coklat.
Topping coklat
250 gm coklat masakan
1 sudu besar mentega
1 sudu kecil susu cair

Cara membuatnya
  • Panaskan coklat di dalam bekas tahan panas secara double boiler.
  • Bila coklat sudah cair,tutup api dan masukkan mentega.kacau sebati
  • Masukkan susu cair dan kacau lagi.
  • Curahkan pada brownies dan hias mengikut kesukaan.

Selasa, 6 Januari 2015

PULUT INTI

As-Salam buat semua..
Pulut inti yang menjadi kesukaan saya sejak dulu-dulu lagi.Dalam nak mengurangkan makan kuih yang manis,akhirnya saya 'termakan' juga pulut ni.Dah kelapa parut muda banyak dalam peti sejuk jadi semua kuih yang pakai kelapa parut muda saya nak cuba(salahkan kelapa muda pulak).Pulut inti yang di jual tak puas makan sebab intinya sedikit sahaja.Bila dah buat sendiri,mestilah kurang manis sikit dan letak inti pun lebih sikit.Agak terkial-kial juga untuk membungkusnya kerana tangan saya ni pakar dalam bidang lain bukan dalam bidang bungkus -membungkus ni!....

PULUT INTI
Sumber:duniacikguwan.blogspot thanks

Bahan-bahan  thanks
1 biji kelapa muda parut
1 keping gula melaka
1 senduk gula pasir   
1 sudu teh garam
1/2 cawan air
1 helai daun pandan-koyak dan simpulkan.
**saya tidak menggunakan gula pasir tetapi melebihkan sukatan gula melaka mengikut kesesuaian manis sendiri.

Cara membuatnya
  • Masukkan air,gula melaka dan daun pandan dan kacau hingga gula melaka larut.
  • Kemudian masukkan kelapa muda parut dan garam serta di kacau hingga bergaul sebati.
  • Kacau hingga inti menjadi lembab seperti dalam gambar.
Bahan untuk pulut
  • 3 pot kecil beras pulut-rendam selama 2 jam
  • 1 biji kelapa di ambil santan dalam 1 1/2 cawan
  • garam secukup rasa-campur dengan santan
  • 2-3 helai daun pandan
bahan lain
  • daun pisang secukupnya
Cara membuatnya
  • Kukus pulut bersama daun pandan hingga naik wap.
  • Kemudian angkat dan gaul dengan santan.
  • Kacau dengan senduk kayu supaya beras pulut tidak hancur.
  • Alas daun pandan di dasar pengukus dan masukkan pulut yang telah di gaul tadi.
  • Kukus sekali lagi hingga naik wap.Angkat dan keluarkan daun pandan.
  • Semasa pulut masih panas-panas,kacau lembut hingga jadi berkilat dan bergaul sebati.
  • Ambil daun pisang,potong empat segi dan letakkan pulut.
  • Letakkan inti di atas pulut dan bungkus seperti dalam gambar

Ahad, 4 Januari 2015

ROTI SOSEJ


As-Salam buat semua..
Semalam saya menguli roti buat makan anak-anak di antara waktu makan.Kalau tidak nasi ,tentunya roti sosej yang paling laku sekali. Saya buat dalam tiga versi-roti balut  sosej,roti piza mini sosej dan roti sosej pintal.Best makan roti panas dari oven..katanya Azim!Boleh guna mana-mana doh roti yang di sukai.Saya doublekan adunan roti ini dan uli pakai tangan sebab tak ada bread maker..let,s try baking..

ROTI SOSEJ
Sumber:Sinar Kehidupanku/roti .thanks

Bahan-bahan
250 gm tepung high protein
50 gm gula halus
1/2 sudu teh garam halus
10 gm susu tepung
1/4 sudu teh bread improver
1/4 sudu teh bread softener
30 gm telur(pecahkan dan kacau dan timbang)
6 gm instant yis
20 gm mentega
125 ml air suam(kalau guna bread maker air biasa)

bahan lain
sosej-rebus dan toskan
mix vege secukupnya
sos cili,mayonis

bahan glis/sapu atas roti
*kuning telur campur susu pekat manis
*1 sudu besar susu tepung campur  3 sudu besar air

Cara membuatnya
  • Larutkan instant yis dalam air hingga berbuih.Saya skip langkah ini.
  • Dalam mangkuk besar campurkan dan gaul rata semua bahan kecuali mentega hingga jadi doh.Air perlu di campurkan sedikit demi sedikit.
  • Tambahkan mentega dan teruskan menguli  selama lebih kurang 20 minit hingga jadi doh roti yang anjal dan elastik.
  • Bulatkan dan letak dalam bekas kedap udara hingga ia kembang dan naik sekali ganda.Lebih kurang 45 minit -1 jam.
  • Bila doh sudah naik,tumbukkan doh untuk keluarkan udara dan boleh di buat bentuk dan letak inti yang di sukai.  
(saya letak dalam oven yang di panaskan terlebih dahulu dan di biarkan suam**api oven jangan di buka **untuk mencepatkan proses roti kembang)

Untuk roti sosej pintal 
  • Saya letak sosej di antara dua lapis adunan roti dan potong sosej,barulah di pintal.Kalau cara biasa,sosej di balut dengan adunan roti -di potong-di pintal.
  • Letak dalam dulang pembakar ,tutup dengan tuala bersih dan biarkan selama 30 minit hingga ia kembang sekali lagi. 
  • Sapukan bahan glis dan letakkan mix vege,taburkan mozarella cheese.
  • Paipkan sos cili dan mayonis .
  Untuk roti piza mini sosej
  • Adunan roti di bentukkan bulat,letak hirisan sosej.
  • Letak dalam dulang pembakar,tutup dengan tuala bersih  dan biarkan selama 30 minit hingga ia mengembang sekali lagi.
  • Sapukan bahan glis dan taburkan mix vege,daun ketumbar cincang dan bawang goreng atau bahan taburan lain yang di sukai.
  • Taburkan mozarella cheese dan paipkan sos cili dan mayonis.
Untuk roti balut sosej
  • Adunan roti di canai dan potong panjang seperti tali.
  • Ambil satu batang sosej,pintal dan balutkan.Letak dalam dulang pembakar,tutup dengan tuala bersih.
  • Biarkan selama 30 minit hingga ia kembang sekali lagi.
  • Sapu bahan glis dan taburkan bijan.
*ketiga-tiga jenis roti di atas di bakar dalam oven dengan suhu 190'c selama 20-25 minit bergantung pada oven masing-masing hingga kekuningan.
*sejukkan di atas jaringan sebelum di hidangkan.
*simpan di dalam bekas kedap udara untuk mengekalkan kelembapan roti.

Sabtu, 3 Januari 2015

TART KELAPA NESTUM

 As-Salam buat semua..
Saya bercuti hari ini dari tugasan berterusan selama hampir dua minggu.Peluang ini digunakan untuk masuk dapur sebelah pagi dan pada sebelah petang,gi ronda-ronda keliling bandar Kota Bharu.Banyak kedai-kedai yang masih belum di buka dan pekerja-pekerja sedang membasuh lumpur dan mengemas barang-barang yang rosak.Keadaan dalam bandar seperti kawasan pendalaman sahaja dengan sampah sarap yang bertimbun dan lumpur di mana sahaja serta udara yang berdebu.Sana-sini juga banyak lelongan barang serta pakaian.
Ok,berbalik pada cerita Tart kelapa di atas..best sangat,nanti nak buat lagi lepas ni.Tart shellnya rangup sahaja kerana di letak nestum manakala inti kelapanya sedap.Let,s try baking..

TART KELAPA NESTUM
Sumber:cerita tentang SEGALA thanks cheq sue.

 Bahan A ( 50 biji(ikut saiz) )
2 cawan kelapa muda parut
1/2 cawan susu pekat manis     saya letak dua sudu besar
1/4 cawan gula
1 camca besar majerin
1camca besar mentega
1 biji telur     saya tambah

Bahan B
1 1/4 cawan tepung naik sendiri
1/4 cawan tepung beras
1 cawan nestum
160 gm mentega
1/4 cawan gula halus
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
Hiasan(saya tambah)
ceri hijau

Cara membuatnya
  • Gaul semua bahan A (untuk inti)hingga sebati dan ketepikan. 
  • Ayak kedua jenis tepung dan campur dengan nestum. 
  • Krim mentega dan gula hingga sebati.Masukkan esen vanila dan telur,pukul hingga sebati. 
  • Masukkan campuran tepung dan gaul jadi doh. 
  • Canai setebal 5 mm dan terap dengan acuan bulat bergerigi.Letak dalam acuan tart dan rapikan. 
  • Letak anggaran 1 sudu inti kelapa tadi (tak perlu padatkan).Taburkan ceri hijau.
  • Bakar dengan suhu 180'C selama 10 minit atau hingga masak.

Khamis, 1 Januari 2015

KENANGAN 2014..

As-Salam buat semua...
Selamat tahun baru buat semua rakan-rakan blogger dan silent reader tidak kira walau di mana pun anda berada tika ini.Selama seminggu tidak bersiaran dek banjir yang amat teruk melanda Kelantan.Di sana -sini banyak kemusnahan yang saya lihat,amat teruk sekali.Walau tidak tinggal di kawasan banjir tetapi kesannya terasa juga,dengan tiada line internet ,tiada bekalan elektrik dan bekalan air yang kena potong hampir seminggu duduk bertemankan cahaya lilin-harga sekotak lilin sampai Rm 15 !.Segalanya menjadikan kita lebih insaf dengan apa yang berlaku,ujian dari Allah untuk menyedarkan ramai manusia yang lalai.
Barang -barang dapur melambung tinggi,seekor ayam dengan harga Rm 20-30,telur sebekas(30 biji)gred C dengan harga Rm 20,betul-betul membuatkan saya terkedu.Tutup dapur maya saya buat sementara waktu,nanti bila ada peluang saya akan letak resepi lagi dalam dua tiga hari ini setelah dapur maya ini beroperasi semula.Tahun baru tidak di sambut disini....,menoleh ke belakang setahun yang lepas dan baru semalam banyak kenangan pahit manis yang telah di tinggalkan....
Gambar-gambar semasa banjir terburuk seumur hidup saya beberapa hari lepas di sekitar tempat saya tinggal..