Salam bahagia buat semua...
Malam Jumaat yang tenang..kembali merindui ibuku...
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak
jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang
sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak
dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian,
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu
tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah
tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa
tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata
dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang
mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bongsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak
Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan
tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan
tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di
padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak
mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap
ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak
Ayah
berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana
sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak
akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh
kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi
payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak
menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan
bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di
halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak
buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap
bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap
kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat.
Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi
merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu.
Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau
Mak lakukannya.
Lima buah kereta
milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak
tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta
warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak
Mak yang ini.
Baju
mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam
Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah
pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan
bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci
pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka
makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut
wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima
bungkusan kuih koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak
Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kuih koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya
itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira
menikmati kuih koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka
berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak
akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu
sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak
tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh
koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak
Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan
Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak
Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah
yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak
penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di
kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak
lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah
tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab,
"Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua
tak berangkat."
Mak minta Mak
Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan.
Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar
salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin
kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada
siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu
anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah ,
“Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja
sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak
merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih
ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak
faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri.
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati
sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan
tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak.
Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh
bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu
memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa
anak-anak Mak kecil dulu.
Mak
pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di
bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak
dengar handphone berbunyi semasa ayah telefon untuk beritahu mak sakit
tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat
merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat
mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" ,
"Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana
Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan
Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya
sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan
setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak
Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah
sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini
tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah
Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik
mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik
kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam
itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita
jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah
cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan
ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila
tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama
dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri,
pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh
berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan
deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
Cerita ini dikongsi dari laman FB.
Sumber gambar:Cik Google