Isnin, 25 November 2019

CEKODOK ROTI

Assalam buat semua..
Hujan masih turun di Kota Bharu ni walaupun bukan berhari-hari.
Tapi sudah cukup membuatkan langit sentiasa mendung.
Dalam resepi ni,saya guna Roti sandwich yang hampir nak due tarikh luputnya.
Perlu di selamatkan dengan segara supaya cepat habis.
Makan Cekodok Roti panas-panas time ni sedap juga.
Ia rangup di luar dan lembut saja di dalam.
Cicah pula dengan Sos cili Thai...best
Let's try buat.

CEKODOK ROTI

Bahan-bahan
5 keping roti sandwich-carik kecil-kecil
1/2 labu bawang besar-kiub kecil
1 biji telur
1 kiub pati ikan bilis
daun kucai/daun ketumbar-potong halus
karot-parut halus
cili hiris-jika suka pedas
1 sudu besar marjerin

Cara membuatnya

  • Masukkan kesemua bahan ke dalam bekas adunan.
  • Gaul-gaulkan hingga sebati dan bulat-bulatkan adunan roti.
  • Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana hingga keperangan.
  • Toskan minyak dan bolehlah di cicah dengan sos pilihan.

Khamis, 21 November 2019

SOTONG BAKAR THAI


Asslam buat semua..
Saya akan teruskan dengan menulis dan mengumpul resepi yang pernah saya buat di sini.
Walaupun pengunjung blog tidak seperti yang dulu-dulu.
Sebagai kenangan peribadi dan untuk rujukan buat anak-anak di masa akan datang.
Anak-anak tak makan sotong,mungkin esok-esok mereka boleh masak untuk orang lain pula.
Lagipun sekarang ini sedang bercuti panjang selama 19 hari.
Ada banyak masa untuk menulis di sini.
Hari ini saya kongsikan satu resepi sotong yang mudah dan sedap sangat.
Masam,manis,pedas mencukupkan segalanya.
Let's try buat.

SOTONG BAKAR THAI

Bahan-bahan
1 kg.sotong-belah dua dan toskan.

Sos
2 perdu akar ketumbar
1/2 cawan gula melaka/gula merah
1/2 cawan cuka
1/2 cawan sos ikan
1/2 cawan air
2 ulas bawang putih
1 sudu besar tepung gandum/tepung ubi
cili padi -ikut selera.

Hiasan
bijan-di sangai
daun ketumbar siam-cincang
cili flakes

Cara membuatnya

  • Kisar bahan di atas kecuali sotong dan masak hingga pekat.
  • Cucuk sotong secara zig-zag pada lidi.
  • Siram bahan yang di masak dan perap selama 1/2 jam.
  • Sapu grill pan dengan sedikit minyak dan biarkan betul-betul panas.
  • Bakar sotong,jangan terlalu lama.
  • Selesai membakar,masukkan sedikit air ke dalam grill pan dan biarkan bahan-bahan lebihan perapan tadi menjadi pekat.Guna dengan api kecil..
  • Sapu/glaze pada sotong bakar tadi.
  • Tabur bijan untuk rasa berkacang dan daun ketumbar siam dan cili flakes jika suka. 

Rabu, 20 November 2019

KEROPOK LEKOR MEE SEGERA

Assalam buat semua..
Minggu ini hujan dah mula turun di Kota Bharu berterusan.
Cuaca mendung dan langit kelabu.
Terasa sayu di hati..entah pada siapa yang saya terkenangkan.
..kenangan itu sama seperti hujan,
  bila ia datang,kita tak bisa menghentikannya.
Hujan-hujan ni makan keropok goreng panas-panas sedap juga.
Kenangan itu...biarkan ia berlalu pergi tapi tetap kemas tersimpan di hati.
Ok..hari ini saya kongsikan satu resepi keropok homemade yang mudah menggunakan mee segera.
Let's try buat.

KEROPOK LEKOR MEE SEGERA

Bahan
1 bungkus mee sedap
1 biji telur
6 sudu besar tepung ubi
2 sudu besar tepung gandum

Cara membuatnya

  • Rebus mee segera sampai kembang.Toskan.
  • Masukkan mee,serbuk perasanya,telur dan sedikit garam dalam blender.
  • Kisar sebati.
  • Campurkan 6 sudu besar tepung ubi kayu dan 2 sudu besar tepung gandum.
  • Uli sekejap sampai ia tidak melekat di tangan.
  • Boleh tambahkan tepung sedikit-sedikit ikut kesesuaian doh.
  • Bentukkan memanjang(saya buat bentuk mini).
  • Didihkan air dan rebuskan keropok lekor tadi.
  • Tunggu sampai timbul,baru di angkat.Toskan.
  • Jika ia di buat panjang,bolehlah di potong serong.
  • Panaskan minyak dan  goreng hingga garing.
  • Sedia di makan bersama sos pilihan.

Selasa, 19 November 2019

CANAPE KOKTEL UDANG

Assalam buat semua..
Saya buat canape lagi tapi kali ini menggunakan udang pula.
Mana-mana inti canape pun sedap.
Tambahan pula di hidang dalam bentuk yang kecil ini..hanya satu suapan sahaja.
Let's try buat.

CANAPE KOKTEL UDANG

Bahan
10 keping roti sandwich
udang saiz sederhana-buang kulit
1/2 cawan mayones
1/2 biji capsicum hijau-dadu
1/2 biji capsicum merah-dadu
3 tangkai daun kucai-hiris
garam secukup rasa
serbuk lada hitam
1 sudu makan mentega

Cara membuatnya

  • Panaskan mentega,masukkan udang,serbuk lada hitam dan garam.
  • Goreng sebentar kemudian tutup api.
  • Terapkan roti mengikut acuan yang di sukai.
  • Gaulkan capsicum dengan mayones.
  • Sapukan campuran capsicum dengan mayones di atas roti.
  • Kemudian letakkan seekor udang yang sudah di goreng tadi.
  • Taburkan hirisan daun kucai.
  • Ulangi pada roti yang lain dan buat sehingga habis.
  • Susunkan di atas dulang.

Khamis, 14 November 2019

VANILLA CUPCAKE WITH BUTTERCREAM

Assalam buat semua..
Kek cawan perisa vanila dan di paipkan buttercream di atasnya supaya tidak nampak kosong sangat.
Bila dah kelihatan menarik barulah cepat habis.
Saya paipkan bunga buttercream yang mudah sahaja menggunakan Nozel bintang.
Let's try baking.

KEK CAWAN VANILLA

Bahan
250 gm mentega
130 gm gula kastor
1 sudu besar susu pekat manis
220 gm tepung gandum 4 biji telur gred A
1sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya

  • Panaskan oven pada suhu 150'c.
  • Ayak tepung dan baking powder.Ketepikan.
  • Putar mentega,esen vanila,susu pekat manis dan gula hingga kembang dan gebu(warna putih)
  • Masukkan telur satu persatu dan putar lagi.
  • Kaup-balikkan tepung ke dalam adunan.Gaul sebati.
  • Masukkan 3/4 penuh adunan ke dalam cawan kertas.
  • Bakar pada suhu 150'c selama 30-35 minit bergantung pada oven masing -masing.
  • Sejukkan dahulu sebelum di paipkan buttercream.
BUTTERCREAM(untuk bunga)
Bahan
80 gm mentega
250 gm creamwell
1/2 cawan gula aising
1/4 cawan golden syrup

Pewarna pilihan.


  • Potong mentega kecil-kecil.
  • Kemudian satukan mentega dan creamwell dan pukul hingga kembang dan putih.
  • Ayak gula aising.
  • Masukkan gula aising dan golden syrup ke dalam mentega yang telah di pukul kembang tadi.
  • Gaul rata semua bahan ini guna spatula hingga bercampur sebati.
  • Kemudian bolehlah di letak pewarna pilihan.
  • Masukkan buttercream ke dalam piping bag dengan nozel pilihan dan paipkan ke atas kek.

Rabu, 13 November 2019

GULAI LENGKUAS IKAN KERING

Assalam buat semua..
Jarang-jarang saya buat gulai ikan kering..
sebab tidak berapa suka makan ikan kering.
Jadi gulai ni saya campurkan dengan beberapa ekor ikan segar,
supaya saya dapat makan ikan segar tu dengan rasa kuah gulai ikan kering.
Ikan kering tu kita bagi orang lain makan jer..
Let's try buat.

GULAI LENGKUAS IKAN KERING

Bahan-bahan
Ikan kering dan ikan segar.
2 batang timun-belah dan potong serong
nenas/optional
5 biji cili padi-di ketuk
2 biji lada hijau-potong dua
2 kotak santan
air secukupnya
garam,gula dan perisa secukupnya

Bahan kisar
4 ulas bawang merah
8 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
1 inci kunyit hidup
2 cm.lengkuas

Cara membuatnya

  • Masukkan santan,air secukupnya dan bahan kisar ke dalam periuk.
  • Kacau sekali-sekali dan tunggu hingga mendidih.
  • Masukkan ikan segar,ikan kering,cili hijau,cili padi dan timun/nenas.
  • Masak hingga timun lembut.
  • Rasa dahulu sebelum tambah garam untuk elak kuah jadi terlalu masin.
  • Biarkan gulai mendidih sekali lagi dan bolehlah di angkat.


Isnin, 11 November 2019

AISKRIM OREO

 Assalam buat semua..
Saya buat Aiskrim Oreo yang mudah ni untuk di buat stok dalam peti sejuk.
Bila-bila masa teringin nak makan aiskrim dah ada yang readymade .
Kalau tidak mahu letak batang aiskrim,boleh di makan dari pek plastik sahaja.
Mudah,cepat dan ringkas sahaja.
..dan yang pasti ia tidak menitik di tangan.
Ok..Let's try buat.

AISKRIM OREO

Bahan-bahan
1 paket oreo mini/saiz biasa
Full cream milk

Cara membuatnya

  • Ambil satu paket kecil oreo dan patah-patahkan sedikit.
  • Jika oreo mini tidak perlu di patahkan.
  • Letakkan pek dalam bekas supaya tegak.
  • Curahkan Full cream  milk
  • Bekukan di dalam freezer.
*Saya letak lidi satay/batang aiskrim supaya senang untuk di pegang,tapi mudah menitik la..


Khamis, 7 November 2019

BOBBA PEARLS HOMEMADE


Assalam buat semua..
Azim suka sangat minum Air Bobba ni..
Tapi dia selalu jer tak puashati sebab yang di beli,letak sikit saja Bobba pearls.
Ok..saya dah terajin nak cuba buat.
Saya rujuk video di Youtube dan adjust ikut kesesuaian sendiri.
Kita tengok sama ada dia puashati ke tak makan Bobba pearls ni.
Bercinta nak gentel benda ni..ada kecil,ada besar!asal jadi..
Di Kota Bharu ..Air Bobba ni manih letting!
..dan saya buat versi yang kurang manis.Azim membebel lagi!
Let's try buat.

BOBBA PEARLS HOMEMADE

Bahan-bahan
1 cawan gula perang(saya guna 1/2 cawan)
1 keping gula melaka
1/2 cawan air
2 cawan tepung ubi kayu
1/2 sudu kecil pewarna hitam(saya guna pewarna coklat)
2 helai daun pandan

Cara membuatnya

  • Dalam periuk,larutkan gula perang dan air.
  • Masukkan pewarna,kacau rata.
  • Masukkan tepung ubi kayu sedikit demi sedikit,sehingga adunan di campur sebati.
  • Keluarkan adunan ke atas permukaan bersih dan sejuk.
  • Taburkan tepung.
  • Uli doh sehingga warna jadi sekata dan doh tidak melekat di tangan.
  • Ambil doh,uli memanjang biar jadi kecil,kemudian potong kecil-kecil.
  • Taburkan tepung di dalam dulang,kemudian gelekkan bebola kecil doh di tapak tangan dan letakkan dalam dulang bertepung(supaya tidak melekat).
  • Gentel bulat sampai doh habis.
  • Dalam periuk lain,didihkan air bersama daun pandan.
  • Rebus Bobba pearls sampai masak(kenyal).Toskan.
  • Rebus sedikit air bersama 1 keping gula melaka.
  • Bila dah larut,masukkan Bobba pearls tadi dan gaul rata.Sejukkan
  • Sedia untuk di campur bersama bersama air teh atau susu.
**Bobba pearls boleh juga di rebus terus bersama air gula.

MILK TEA BOBBA /BOBBA MILK
Bahan
air teh
susu full cream
bobba pearls
ais kiub
aiskrim vanilla/optional
**Jika tidak minum teh,gunakan susu sahaja.

Cara membuatnya
Rebus serbuk teh dengan air dan tapiskan.
Ambil Bobba pearls,masukkan ke dalam gelas.
Masukkan ketulan ais.
Tuang Full cream milk di ikuti dengan air teh.
Tambahkan 1 scoop aiskrim vanila/optional
Sedia untuk diminum.