Ahad, 10 Februari 2013

TERUNG GORENG CILI

As-Salam buat semua...

Sayur untuk hari ini adalah masakan Sayur terung goreng cili yang di makan bersama Nasi putih dan Ikan goreng,simple sahaja tetapi ia membuka selera.Saya menggunakan terung bulat yang di belah dua.

TERUNG GORENG CILI
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan

10 biji terung bulat-belah dua 
2 ulas bawang merah
5 biji cili padi
1/2 labu bawang besar-hiris nipis
3 ulas bawang putih
50 gm ikan bilis
sedikit sos ikan

Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dan goreng terung sekejap.Ketepikan.
  • Tumbuk bawang merah,bawang putih dan cili padi bersama hingga hancur.
  • Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan yang di tumbuk dan bawang besar tadi.
  • Masukkan terung dan ikan bilis dan di gaul rata. Tambahkan sos ikan secukup rasa.
  • Angkat dan hidangkan.

SARDIN PUFF

Salam bahagia buat semua...

Selamat berhari minggu buat semua.Hari ini kawan-kawan yang berbangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina.Saya pula bercuti ,dapatlah buat Sardin puff ini untuk dibuat makan- makan sebab keluarga abang dari Kuantan pulang bercuti.Resepinya adalah dari blog My Kuali.Saya menggunakan pastri puff ready made.Sekejap sahaja dan siap.Sedap di buat sarapan pagi atau minum petang.  
SARDIN PUFF
Sumber:My Kuali.blogspot

Bahan-bahan

1 tin sardin -asingkan sosnya
1 ulas bawang putih-cincang halus
1 hirisan nipis halia-cincang halus
1 biji bawang besar-di dadu
1 sudu teh cili kering kisar
1/2 sudu besar sos cili
3/4 sudu besar kicap
1 biji limau kasturi-perah jusnya
daun sup/ bawang -cincang   saya tambah

Bahan lain
1 paket pastri puff 4x4 inci-10 keping
1 biji telur kuning-untuk sapuan
sedikit serbuk lada hitam-pilihan
bijan goreng  saya tambah  

Cara membuat intinya
  • Hancurkan sardin.Dengan api sederhana,panaskan sedikit minyak,tumis bawang besar,bawang putih dan cili kisar hingga garing.Masukkan sos cili,kicap dan sardin tadi.Kacau rata.  
  • Tambahkan jus limau kasturi dan gaul rata.Masak sekejap lagi,angkat da sejukkan sebelum di gunakan.
  • Keluarkan pastri puff dari freezer dan biar sekejap(jangan sampai lembik).Ambil sekeping pastri puff,kerat dua ,kelarkan-kelarkan satu bahagian.
  • Bahagian satu lagi letakkan inti sadin.Tutup dengan bahagian yang di kelar.tekan tepi-tepinya dengan garfu (saya gulung sahaja barulah di kelar).
  • Susun dalam loyang yang telah di lengser dengan sedikit mentega.Sapu kuning telur dan tabur sedikit serbuk lada hitam(saya tabur bijan goreng)  .
  • Bakar pada suhu 190'C selama 20-25 minit atau sehingga pastri berwarna kekuningan dan rangup
  • Sejukkan di atas jaringan sebelum di hidangkan. 

Sabtu, 9 Februari 2013

IKAN BAWAL EMAS KUKUS dan SAYURAN

 Salam bahagia buat semua..

Saya buat Ikan bawal kukus pula setelah terpandang ikan ini semasa membeli -belah kat TESCO.Selalunya saya tak makan Ikan bawal tetapi bila jumpa Ikan bawal emas saya jadi terliur pula.Masak yang simple saja dan tak nak yang berminyak sangat,jadi buat Ikan kukus adalah yang terbaik dan di tambah pula dengan sayuran kesukaan saya.

IKAN BAWAL EMAS KUKUS bersama SAYURAN
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan

1 ekor Ikan bawal emas
3 ulas bawang putih-hiris halus
1/2 inci halia muda-hiris halus
3 biji asam boi putih
1/2 kiub pati ikan bilis
1/2 labu bawang besar-hiris nipis
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
2 tangkai kecil brokoli-belah empat
2 tangkai bunga kubis-belah empat
1 biji tomato-buang biji dan potong kecil
3 biji cili padi-di ketuk
1/2 batang seleri-potong kecil
2 batang serai-di ketuk
1 sudu besar air limau nipis
sedikit air

Cara membuatnya
  • Panaskan pengukus sementara itu sediakan ikan.Bersihkan ikan ,kelarkan sedikit dan lumur dengan lada sulah,serbuk lada hitam dan sedikit garam.
  • Ambil bekas sesuai tahan panas dan letakkan ikan di tengah-tengah.
  • Masukkan kesemua bahan di atas kecuali brokoli dan tomato.Tambahkan sedikit air dan pati ikan bilis.
  • Bila air mendidih masukkan bekas ikan tadi dan kukus.Bila ikan hampir masak masukkan brokoli dan tomato.
  • Kukus sebentar lagi dan tambahkan air limau nipis dan sesuaikan rasanya.Bila semua sudah masak bolehlah padamkan api.Hidangkan bersama nasi putih atau di makan begitu sahaja.
*Ikan kukus ini mempunyai rasa masam  manis.

KEK COKLAT MAYONIS

Salam bahagia buat semua..

Saya banyak mencuba resepi kek coklat yang pelbagai jenis kerana anak-anak suka makan kek coklat.Salah satunya Kek coklat mayonis ini.Ia adalah kek coklat lembab dan agak padat sedikit teksturnya.Resepinya adalah dari Zaliana.Dah lama tersimpan resepinya baru sekarang satu berpeluang membuatnya.

KEK COKLAT MAYONIS
Sumber:Zaliana

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
1 cawan serbuk koko
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan mayonis
1 cawan gula halus   saya guna 3/4 cawan
1 cawan susu pekat
1 cawan air panas 
3/4 cawan minyak masak
1/2 sudu teh butter oil
1/2 cawan kepingan badam hiris

Cara membuatnya
  • Satukan tepung gandum,serbuk koko,baking powder dan soda bikarbonat.Ayak bersama dan ketepikan.
  • Campurkan mayonis,gula ,butter oil dan susu pekat di dalam mangkuk pengadun dan pukul sebati.
  • Kemudian masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit,berselang seli dengan air panas.Pukul hingga semua bahan sebati.
  • Kemudian masukkan minyak masak dan gaul rata.Akhir sekali masukkan kepingan badam dan kacau rata.
  • Tuangkan ke dalam loyang yang sudah beralas dengan baking paper.
  • Bakar di dalam oven yang telah di panaskan terlebih dahulu dengan suhu 170'C sehingga masak.
  • Setelah masak sejukkan dahulu dan hiaslah mengikut kreativiti sendiri.

Jumaat, 8 Februari 2013

BINGKA KENTANG


Salam bahagia buat semua...


Selamat bercuti buat semua semoga hari-hari yang berlalu ini banyak memberi faedah untuk diri kita dan keluarga.Banyak jemputan makan yang di terima,asal cuti sahaja akan ada majlis kahwin dan makan-makan.Minggu ini ,minggu makan !.
Kat rumah hari ini buat kuih Bingka kentang dari resepi Kak Hanieliza yang tersiar dalam majalah Saji bulan Februari.Rasanya yang tidak manis sangat amat sesuai dengan selera saya.Keluaran bulan ini kebanyakkan resepi berasaskan kentang dan salah satunya  adalah Bingka kentang ini.

BINGKA KENTANG
Sumber:Majalah Saji Februari(Kak Hanieliza)

Bahan-bahan

5 biji ubi kentang-saiz sederhana
1 cawan tepung gandum
2 cawan santan
1 cawan gula
3 sudu makan mentega
3 biji telur
2 sudu besar bijan-goreng tanpa minyak
sedikit pewarna kuning
sedikit garam
sedikit minyak masak-sapu pada loyang

Cara membuatnya
  • Rebus kentang sehingga empuk.Toskan airnya
  • Masukkan kentang dan santan ke dalam pengisar.Kisar hingga sebati.
  • Masukkan semua bahan lain kecuali bijan ke dalam pengisar.Kisar lagi hingga sebati.
  • Panaskan ketuhar pada suhu 170'C .Sapukan minyak pada loyang 7x7 inci.
  • Tuang rata bahan yang di kisar tadi dalam loyang dan tabur bijan ke atasnya.
  • Bakar selama 60 minit atau sehingga masak.
  • Biarkan kuih betul-betul sejuk dan potong .

SAYUR TUMIS AIR

Salam bahagia buat semua...

Bertemu kembali dengan menu sayur hari ini.Setiap hari pasti ada satu menu sayur yang di masak di rumah ini.Biasanya saya masak menu sayur yang ringkas sahaja seperti sayur tumis air ini.

SAYUR TUMIS AIR
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
2 ikat sayur bayam/pak choy
1 kiub pati ikan bilis
1 biji lada merah besar-potong bulat
6 ekor udang
5 ulas bawang putih -ketuk
1/2 labu bawang besar-potong nipis
1/2 sudu teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya
Basuh sayur dan potong sayur pendek.
Tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga berbau wangi.Masukkan sos tiram dan udang .Tambahkan air secukupnya untuk kuah.
Tambahkan kiub pati ikan bilis dan serbuk lada hitam.Masukkan sayuran dan lada merah.
Masak sebentar lagi .Sesuaikan rasanya dan bolehlah di hidangkan.

UDANG KAM HEONG

 Salam bahagia buat semua..

Masak Udang kam heong ini setelah terlihatnya di blog Amie's little kitchen.Betul kata Amie udang ni sangat sedap di masak secara begini.Saya tidak menggunakan cili padi takut anak tak makan sebab rasa pedas,jadi saya gantikan dengan lada kering kisar dan lada hijau/merah besar.Daun kari pula siap-siap di buang semasa menghidang.terimakasih Amie kerana sudi berkongsi resepi ini.

UDANG KAM HEONG
Resepi Asal : Ketam Kam Heong
Sumber : Selera Malaysia Chef Wan(Amie's Little Kitchen)


Bahan-bahan
  • 3 ekor ketam - saya gantikan dengan 15 ekor udang  bersihkan (tidak perlu buang kulit) dan belah belakang 
  • 5 ulas bawang putih- cincang 
  • 2 sudu besar udang kering  -  rendam dan tumbuk kasar
  • 2 sudu besar serbuk kari
  • 3 tangkai daun kari
  • 6 biji cili padi  dihiris-saya gunakan cili kering kisar
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu teh lada hitam - kisar
  • 1 biji lada hijau dan merah,bawang besar-saya tambah
  • garam & gula 
  • minyak

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terendam ketam / udang selama 5 minit atau sehingga masak. Ketepikan.
  • Panaskan 3 sudu minyak dan tumiskan bawang putih sehingga wangi.
  • Masukkan udang kering dan goreng sehingga udang masak.
  • Masukkan serbuk kari, daun kari serta cili padi dan goreng kacau selama beberapa minit. 
  • Tambah sos tiram dan lada hitam dan gaul sebati.
  • Masukkan udang dan balik-balikkan supaya disaluti dengan sos.
  • Angkat dan hidangkan.

Rabu, 6 Februari 2013

TART KENTANG

 Salam bahagia buat semua...

Hari ini saya nak entrikan satu lagi resepi dari ubi kentang yang saya kongsikan resepinya dari Blog Sinaran menu-Puan Ros.Tart kentang yang saya buat  di isi dalam acuan yang boleh di makan terus dan tak perlu di potong-potong lagi.
Sebelum ni saya tak tahu pula cara betul nak simpan ubi kentang supaya tahan lama.Bila letak sekali dengan bawang rupanya ia cepat rosak.Cara menyimpan  ubi kentang supaya tahan lama yang saya jumpa tipnya kat Majalah Saji ialah bungkus ubi kentang dengan sebiji epal di dalam kertas dan simpan di dalam peti sejuk.
TART KENTANG
Sumber:Puan Ros-Sinaran menu blogspot.tq!

Bahan-bahan


  • 5 biji ubi kentang-kupas kulit dan parut halus
  • 1 biji karot-kupas kulit dan parut halus
  • 1/2 biji bawang besar-di parut
  • sedikit potongan daun bawang
  • 2 batang crab stick-potong kecil
  • 1/4 cawan susu
  • 3 biji telur 
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • Mozarella cheese secukupnya
  • garam dan serbuk lada putih secukupnya

Cara membuatnya
  • Campurkan kesemua parutan kentang,karot dan bawang besar dalam satu bekas.Perah keluar airnya sebanyak yang boleh.
  • Susu di pukul bersama telur dan tepung jagung dan tuangkan ke dalam campuran kentang tadi.Kacau rata.
  • Masukkan daun bawang ,crab stick dan segenggam  penuh mozarella cheese dan gaul sebati.Saya tambah 1 sudu teh gula untuk imbangkan rasanya.
  • Sapukan mentega atau minyak di sekeliling muffin pan.Masukkan sesudu besar adunan ke dalam acuan dan letakkan sedikit cheese di atasnya
  • Bakar dalam oven dengan suhu 190'C selama 20 minit atau sampai cheese bertukar keperangan
  • Sejukkan seketika sebelum di keluarkan.
  • Siap di hidang bersama sos pilihan atau di makan begitu sahaja.
*Tart kentang ini saya makan bersama sos cili dan mayonis.Sedap!.   


BROKOLI GORENG UDANG



Salam bahagia buat semua......
Saya goreng brokoli untuk hidangan tengahari semalam.Ia boleh juga di gandingkan dengan ayam, daging dan udang atau apa saja yang sesuai  dengan masakan kita.Rasa brokoli yang sedap dan rangup sentiasa menjadi kegemaran saya yang suka makan sayur.

BROKOLI GORENG UDANG
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
  • 5 tangkai kecil brokoli-belah empat
  • 10 ekor udang
  • 3 ulas bawang putih-di ketuk
  • lada benggala merah dan hijau-di potong kecil
  • sos tiram
  • serbuk cukup rasa Maggi
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • sedikit minyak zaitun/minyak masak
Cara membuatnya
  • Panaskan minyak zaitun dan tumiskan bawang putih hingga wangi.
  • Masukan sos tiram,brokoli,udang dan gaul rata.
  • Goreng sebentar lagi dan masukkan serbuk cukup rasa dan serbuk lada hitam.
  • Akhir sekali masukkan lada benggala.Sesuaikan rasanya dan bolehlah di hidangkan.


sampai jumpa lagi.....

Isnin, 4 Februari 2013

KEK CAWAN COKLAT CIP

Salam bahagia buat semua...

Kek cawan coklat cip yang mudah untuk di sediakan.Di adaptasikan dari resepi sebenarnya Chocolate chips muffin.Kat rumah ni kalau nak bagi cepat habis buatlah apa-apa yang bercoklat pasti sekejap saja habis.Tambahan pula ketiga-tiga anak menyukai kek coklat.Mereka akan ulang-ulang makan sampai tinggal satu.Mesti akan ada soalan-mama nak makan ke?.Makan la anak-anak mama ni dah kenyang tengok!.Dalam resepi asal coklat cip di taburkan di atas adunan sebelum di bakar tetapi saya menambahkan coklat cip di dalam adunan kek.Biasalah suka sangat adjust resepi!..


KEK CAWAN COKLAT CIP
Sumber: Fp Kak Liza

Bahan-bahan
Bahan A
  • 1 cawan mentega -di cairkan
  • 2 cawan susu segar
  • 2 biji telur-pukul sedikit
  • 1 sudu teh esen vanila
Bahan B
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 2 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
semua bahan tepung di ayak 3 kali
  • 2 cawan gula perang
coklat cip secukupnya
cawan kertas

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 190'C selama 10-15 minit.
  • Letakkan acuan kek cawan dalam loyang.
  • Masukkan bahan B ke dalam mangkuk dan gaul rata.
  • Masukkan pula bahan A dalam mangkuk bahan B dan coklat cip, kacau rata menggunakan whisker atau senduk kayu.
  • Masukkan ke dalam cawan kertas sehingga 3/4 penuh. 
  • Bakar dalam oven yang telah di panaskan selama 20 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Sejukkan dan bolehlah di hidangkan.