Jumaat, 31 Mei 2013

HARI LAHIR..

As-salam buat semua...
31 mei 1970 saya di lahirkan,dan hari ini tarikh itu berulang lagi.Saya....40 tahun lepas!Semasa berumur enam bulan..

Khamis, 30 Mei 2013

KERABU SUHUN

 As-Salam buat semua..

Semasa mengemas almari stok makanan kering saya terjumpa beberapa gulungan suhun yang entah bila saya beli.Tak perasan bila pula ia duduk bertapa di situ.Nak clearkan stok,saya buat Kerabu Suhun yang sedap di makan begitu sahaja ataupun bersama nasi.

KERABU SUHUN
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
6 gulungan suhun
1 labu bawang besar
2 biji tomato
5 tangkai cili padi
1 pokok daun bawang
1 pokok daun sup
2 batang serai
10 ekor udang
3 ekor sotong
1 bahagian dada ayam
jus limau nipis
2 sudu besar kicap cair
sos ikan secukupnya
sedikit gula

Cara membuatnya
  • Celur suhun sekejap dan toskan.Ayam,udang dan sotong juga di rebus.Buang kulit udang.
  • Bawang besar,tomato cili padi dan serai di potong nipis
  • Daun bawang dan daun sup di potong anggaran setengah inci.
  • Suhun yang telah di celur tadi di gaulkan dengan semua bahan di atas hingga rata serta secukup dan sesedap rasa yang di inginkan.Bahan-bahan boleh di tambah ikut keperluan rasa masing-masing.
  • Boleh di hidang kan begitu sahaja ataupun di makan dengan nasi putih bersama lauk-pauk lain.

Rabu, 29 Mei 2013

KUIH SAGU/BRONOK

 As-Salam buat semua..

Semalam saya baru kembali dari Kuala Pilah.Selesai sudah mengemas segalanya ,mengadap komputer sekejap untuk menghilangkan penat.Ku tinggalkan Kuala Pilah dengan hati yang sepi....mungkin dalam beberapa hari ni saya akan terbayang-bayang kan anak yang di tinggalkan.Tapi tak apalah,seperti yang Amie tuliskan,rela berpisah dengannya demi masa depan.
Ok, kembali kepada resepi hari ini, entri tertangguh sebelum cuti iaitu Kuih Sagu.Selalunya orang buat warna merah,tapi hari tu teringin nak buat warna lain pulak!...


KUIH SAGU/BRONOK 
Resepi:Mas-duniaku

Bahan
1 cawan sagu biji kecil
2 cawan air 
3/4 gula pasir - kalau nak manis lagi boleh tambah
sedikit pati sirap
1 helai daun pandan - untuk mewangikan kuih tu

Untuk salut
kelapa parut - secukupnya, gaul sebati dengan sedikit garam

Cara membuatnya
  • Rendam sagu hingga kembang.
  • Panaskan air, masukkan pati sirap, daun pandan dan gula, biar mendidih .
  • Toskan sagu tu dan masukkan sagu kedalam air yang mendidih tu, kacau hingga sagu menjadi agak -agak pekat dengan api sederhana, kalau masih ada biji -biji putih,biarkan. 
  • Tuang sagu kedalam loyang atau acuan kecil yang telah disapu dengan sedikit minyak, kukus selama 20 minit dengan api sederhana atau sehingga biji -biji putih sagu hilang.
  • Apabila sejuk, keluarkan dari acuan, kalau dari loyang potong ikut saiz yang dikehendaki dan salutkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.


Jumaat, 24 Mei 2013

STRAWBERRY LASSI

 As-Salam buat semua..

Kalau suka minuman sejuk yang rasanya masam-masam manis ni bolehlah cuba buat Strawberrry Lassi.Saya tambah krim putar pula di atasnya.Boleh juga di tambah satu scoop ais krim vanilla ,lagi sedap rasanya.Dalam beberapa hari lagi saya mungkin tak dapat nak postkan resepi kat sini kerana menghantar anak sulung ke Kuala Pilah .Minggu depan saya akan masuk dapur kembali.Ta..ta sampai jumpa lagi!.

STRAWBERRY LASSI
Sumber:Citarasawan.blogspot

Bahan-bahan
9 biji strawberry
2 sudu besar gula
1/4 cawan susu segar
1/2 cawan plain yogurt
1 scoop ais krim/ais/krim putar

Cara membuatnya
  • Kisar kesemua bahan.Tambahkan ais dalam gelas dan masukkan semua bahan yang telah di kisar.
  • Boleh juga di letak ais krim atau krim putar di atasnya jika suka.
  • Hidangkan sejuk.

Khamis, 23 Mei 2013

UDANG GARING DAUN KESUM

 As-Salam buat semua...

Bertemu lagi di dapur maya saya.Hari ini sebelum memulakan sesuatu lebih baik saya menulis dahulu.Tak habis-habis lagi saya siapkan barang kakak sulung ,barang dalam senarai dan barang tak tersenarai semuanya saya beli,macam nak masuk rumah baru pula!.Anak cuma nak gi sambung belajar tapi barang yang di bawa penuh kat ruang belakang kereta.Semalam saya bawa dia pergi jumpa saudara- mara yang lebih tua.Nanti kalau dah pergi entah bila akan berjumpa lagi....
UDANG GARING DAUN KESUM
Sumber:Dapur Ibundo

6 ulas bawang putih
3 cm halia
1 tangkai besar daun kesum
1 tangkai kecil daun selasih
1 tangkai kecil daun kari
1 biji cili merah
1 biji bawang besar 
minyak untuk menggoreng


Cara membuatnya

  • Kelar bahagian belakang udang dan bersihkannya
  • Gaulkan udang bersama bahan perap dan biarkan seketika. 
  • Panaskan minyak dan goreng udang sehingga garing.  Angkat dan toskan minyaknya.
  • Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja.Tumis bawang putih, bawang besar  dan halia sehingga agak garing.
  • Masukkan cili merah diikuti daun kesum, daun selasih dan daun kari.
  • Sentiasa kacau supaya tidak hangus. Goreng sehingga garing.
  • Masukkan semula udang dan gaul rata.

Rabu, 22 Mei 2013

KUIH PUTERI AYU BERKACANG

 As-Salam buat semua..

Selalunya kalau buat Kuih Puteri Ayu mesti di letak inti kelapa putih sahaja tapi kali ini saya ubah-suai dan tambah kacang tanah tumbuk ke dalam inti kelapa.Rasanya lebih kurang sama sahaja cuma bila makan tu terasa mengunyah kacang rangup di dalam intinya.
KUIH PUTERI AYU BERKACANG
Sumber:Ibu Ammar/www.facebook.com/buku resepi
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum +1 sudu kecil baking powder
1 cawan gula
2 biji telur
3/4 cawan santan
1 sudu kecil ovalette
sedikit pewarna hijau
sedikit pandan paste   saya tambah

Inti kelapa
1/2 biji kelapa parut putih
sedikit garam
2 sudu kecil gula    saya tambah
2 sudu kecil tepung jagung/tepung ubi
2 sudu besar kacang tanah goreng-di tumbuk kasar     saya tambah

Cara membuatnya
  • Ayak tepung bersama baking powder.Ketepikan
  • Putar telur dan gula hingga betul-betul kembang.
  • Masukkan ovalette dan pewarna hijau serta pandan paste.Putar lagi hingga sebati.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang-seli dengan santan sehingga habis.
  • Panaskan pengukus sehingga air mendidih.
Untuk inti kelapa-satukan kesemua bahan dan gaul sebati.
  • Sapu acuan dengan minyak,ambil sedikit inti kelapa,tekan-tekan dalam acuan tadi,tuangkan adunan.
  • Kukus selama 5 minit.Angkat dan sejukkan sebentar dan keluarkan dari acuan.
  • Bolehlah di hidangkan.

Selasa, 21 Mei 2013

KEK KUKUS TEMBIKAI MERAH

 As-Salam buat semua..

Sekali tengok nampak macam tembikai merah kan.Dua kali tengok barulah nampak macam rupa kek.Kek kukus lembab ini,resepinya dari buku resepi kat FB.Kalau inginkan kek yang lebih tinggi bolehlah di gunakan loyang yang lebih kecil.Saya ni kalau bab-bab ukuran loyang sentiasa saja tidak menepati piawaian resepi.Guna loyang yang mana ada kat dapur sahaja.

KEK KUKUS TEMBIKAI MERAH
Sumber:Linn Malek/www.facebook/buku resepi
Di cuba oleh:Suzana/..cooking with soul..

Bahan-bahan
225 gm mentega
1 cawan gula kastor   saya guna 1/2 cawan
5 biji telur
1/2 tin susu pekat manis
1/2 cawan kaya
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil esen vanila
3 jenis pewarna
merah-pes strawberi
hijau-pes pandan
warna asal-sedikit pes lemon
coklat cip utk.di jadikan biji tembikai
*saya tidak meletakkan sebarang pes pada setiap lapisan warna kek

Cara membuatnya
  • Panaskan pengukus.
  • Pukul mentega dan gula hingga kembang.Masukkan pula telur satu persatu dan terus pukul lagi hingga telur kembang.
  • Masukkan susu,kaya dan esen vanila dan pukul lagi.
  • Tambahkan tepung dan pukul lagi sampai sebati.
  • Bahagikan adunan kepada tiga bahagian dan tambahkan pewarna.Lebihkan adunan untuk warna merah.satu warna hijau dan satu lagi warna asal.
  • Sapukan loyang yang sesuai dengan mentega dan taburkan sedikit tepung ataupun alas saja dengan baking sheet.
  • Mula-mula masukkan adunan merah dan taburkan coklat cip dan ratakan.Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 10-15 minit dengan api yang sederhana.
  • Bila masak,masukkan lapisan hijau pula dan kukus lagi dan kemudiannya akhir sekali dengan warna asal.
  • Akhir sekali,kukus selama 30-35 minit atau sehingga masak
  • Selepas kek masak,biar sejuk sedikit baru dikeluarkan dari loyang.

Isnin, 20 Mei 2013

AYAM KICAP BEREMPAH MAGIC MEALS

 As-Salam buat semua..

Hari ni mood tak berapa rajin nak masak,tapi kena buat juga.Bila jumpa Magic meals satu paket kat dapur, apalagi saya terus cuba  membuatnya.Senang saja sebab semuanya dah tersedia.Kita cuma perlu tambah bawang dan gaulkan sahaja.Sesuai untuk yang tengah berdiet kerana ia tidak di tambah minyak dan garam.Tengok iklan dalan TV nampak macam sedap!betul la tu,sebab anak-anak pun suka makan!Azim makan sampai menambah nasi tiga kali..hee..he macam biasa budak sorang tu,kalau sedap susah nak berhenti!. Sangat sesuai untuk kanak-kanak sebab ia tidak masin.

AYAM KICAP BEREMPAH MAGIC MEALS
Sumber:MAGGI

Bahan-bahan
500 gm ayam tanpa kulit-potong kepingan kecil
50 gm gegelung bawang(bawang besar potong bulat)
1 paket perencah ayam kicap berempah Magic meals

Cara membuatnya
  • Masukkan ayam,gegelung bawang dan 50 ml.(1/2 cawan)air ke dalam beg plastik masakan Maggi. Campurkan perencah Maggi.
  • Gaul bahan-bahan agar sebati dengan perencah Maggi dan ikat beg masakan dengan tali yang di sediakan.
  • Letakkan beg masakan secara rata di atas beras dan hidupkan suis periuk nasi.Setelah nasi masak,kekalkan butang warm untuk 25 minit lagi.Pastikan tempoh masak dan pemanasan adalah selama 45 minit.
  • Keluarkan beg masakan dari periuk nasi dan potongkan dengan gunting.Hidang terus bersama nasi.
Nota
  • Jangan guna daging ayam beku.
  • Jangan buka periuk nasi sehingga tempoh masak tamat.
  • Beg masakan Maggi adalah selamat untuk di gunakan dalam periuk nasi dan mematuhi peraturan US FDA dan EU.
  • Jangan gunakan dalan ketuhar gelombang mikro.
  • Beg masakan untuk kegunaan sekali sahaja.
  • Hanya gunakan beg masakan Maggi yang di sediakan.

Ahad, 19 Mei 2013

ONDE-ONDE LABU

 As-Salam buat semua..

Kepala saya tengah pening gara-gara mencari hotel untuk di tempah kerana menghantar anak untuk ke Kolej Matrikulasi Sains Kuala Pilah minggu depan.Semua hotel di Kuala Pilah fully booked.Rasa nak marah pada diri sendiri kerana leka dengan urusan lain sehingga saya terlupa untuk menempah awal-awal lagi.Tengah-tengah stress ni,saya nak juga postkan satu resepi kuih iaitu Onde-Onde Labu .

ONDE-ONDE LABU

Oleh:Rohah.Tq!



Bahan-bahan

1 cawan labu - lenyek halus

2 cawan tepung pulut          saya tambah 4 sudu besar tepung gandum

1/2 sudu kecil garam -lenyek bersama labu



Inti

Gula merah atau gula melaka secukupnya



Bahan lain

Kelapa parut

Garam halus 



Cara  membuatnya

  • Satukan labu yang dilenyek tadi bersama tepung pulut.Gaul rata hingga sebati. 
  • Bulat-bulatkan adunan, leperkan dan masukkan gula merah/ gula melaka.Tutup semula dan gentel membulat.
  • Didihkan air dalam periuk dengan api sederhana besar.Masukkan adunan yang telah siap digentel tadi ke dalam periuk dan celur sehingga butiran kuih timbul di permukaan air didihan.
  • Angkat dan toskan. 
  • Guling-gulingkan ke atas kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam.Hidangkan.

Khamis, 16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU...

As-salam buat semua..
Selamat Hari Guru buat semua rakan-rakan blogger yang bergelar .....CIKGU! 

SUNFLOWER BUN

As-salam buat semua..

Dah lama tak buat roti sebab tangan kena sindrom malas nak menguli roti.Semalam datang sindrom tangan rajin pulak,jadilah roti Sunflower bun ini.Resepinya dari blog Chah tapi dah saya ubah suai sikit mengikut bahan yang ada.

SUNFLOWER BUN
Sumber:bilachahkedapur.blogspot.com
Resepi asal: Chef Micheal, ICCA

Bahan-bahan

500g tepung high protein (boleh juga menggunakan tepung gandum)
1 biji telur

25 gm susu tepung

10 gm yis kering (saya habiskan terus sepaket mauripan 11g)

1/2 sudu teh bread improver

5 gm bread softener atau emplex

90 gm gula kastor

1 sudu teh garam

70 gm mentega

  250 gm air dari peti sejuk

Filling kesukaan (sebaiknya yang berwarna kuning- saya gunakan kaya)



Bahan-bahan (untuk strussel)- untuk ditabur atas filling bun kita nanti:

1 sudu besar mentega atau marjerin

2 1/2 sudu besar tepung gandum

1/2 sudu besar gula kastor



*rasa strussel ni lemak-lemak masin.Saya gantikan strussel dengan bijan goreng.

Cara membuatnya
Gaul semua bahan sehingga menjadi seakan-akan serbuk. Jika masih terasa tekstur mentega dan agak melekit, masukkan tepung sedikit lagi.Ketepikan.



Cara-cara untuk membuat bun

(menggunakan mixer, bread maker atau uli dengan tangan)

  • Masukkan semua bahan  ke dalam bread maker kecuali mentega.  
  • Pastikan garam diletakkan berjauhan dengan yis untuk mengelakkan proses pengembangan yis akan terbantut.jika menggunakan mixer,pastikan  menggunakan hook beater.
  • Pukul hingga doh  sebati. Kemudian, barulah masukkan mentega.
  • Pukul lagi hingga doh benar-benar kenyal dan licin serta elastik.
**saya tidak memukul doh ini tetapi mengulinya dengan tangan.
  • Rehatkan doh  sehingga mengembang dua kali ganda. Saya letakkan bekas doh ke dalam oven. (tidak perlu dipanaskan oven )
  • Setelah mengembang, tumbuk-tumbuk perlahan doh untuk mengeluarkan udara.
  • Ambil anggaran 30-40 gm doh dan gentel bulat. Gunakan sedikit tepung gandum untuk mengelakkan melekat. 
  • Leperkan doh kira-kira 3/4 inci tebal.Gunting doh kira-kira 1 inci dengan jarak anggaran 1 1/2 inci setiap satu.
  • Tekan tengah doh dengan sesuatu yang bulat (saya tekan dengan bawah cawan)
  • Susunkan ke dalam loyang yang telah dioles dengan sedikit marjerin/minyak.
  • Biarkan naik lagi sekali ganda. Tekan sekali lagi tengah doh dan masukkan filling. Tabur strussel secukupnya dan bolehlah dibakar.
  • Bakar pada suhu 150-160 'C kira-kira 10-15 minit.
  • Apabila masak, keluarkan dari oven dan sapu bun dengan marjerin atau shortening untuk mengilatkannya.
*saya menglis roti dengan telur kuning yang di campur susu pekat manis sebelum roti di bakar.Selepas roti masak,saya menyapu mentega pada roti supaya berkilat cantik.

Rabu, 15 Mei 2013

THE MOST FABULOUS BANANA CAKE

 As-Salam buat semua..

Hari ini saya mula bercuti selama empat hari.Masak-masak dan cuba resepi baru seperti biasa kerana ada banyak lagi bahan-bahan dalam simpanan yang masih belum di gunakan lagi.Sedang menunggu doh roti naik,saya entrikan satu lagi resepi kek pisang yang sedap.Resepi sebenar tidak di letakkan di dalam acuan kek cawan tapi untuk memudahkan anak-anak makan ,saya bakarnya di dalam acuan kek cawan.Kek yang lembap dan lembut serta rasanya yang sedikit manis.Sesuai di buat hidangan waktu minum petang.
THE MOST FABULOUS BANANA CAKE
Sumber:Puan Ros-Sinaran menu.blogspot

Bahan-bahan
110 gm tepung gandum
1 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh baking soda
3/4 cawan pisang masak yang telah di hancurkan
3/'4 cawan gula kastor     saya letak 1/2 cawan
1 biji telur
1/4 cawan mentega
50 ml.sour cream atau buttermilk(50 ml.susu segar campur 1 sudu teh cuka)
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Ayakkan tepung gandum,baking powder dan baking soda bersama.Hancurkan pisang masakdengan garfu.Ketepikan.
  • Pukul gula dan telur hingga kembang dan tambahkan pisang. Kemudian masukkan mentega dan pukul lagi selama 1 minit sehingga adunan pekat dan berkrim.
  • Seterusnya tambahkan sour cream atau buttermilk dan esen vanila dan pukul sebentar hingga sebati.
  • Kaup -balikkan  tepung gandum ke dalam adunan dan gaul rata.
  • Masukkan ke dalam loyang yang telah di alas dengan baking sheet ataupun masukkan ke dalam acuan kek cawan.Bakar pada suhu 180'C selama 40 minit atau bergantung pada oven masing-masing sehingga kek kelihatan perang.
  • Sejukkan sebentar dan bolehlah di hidangkan.


Selasa, 14 Mei 2013

SAGU GULA MELAKA

 As-Salam buat semua...

Sedapnya makan sagu gula melaka ini.kalau boleh nak selalu makan,tapi santan pekatnya membataskan segalanya.Sekali-sekala tu tak apa la kan.Boleh juga santan tu di gantikan dengan susu tapi rasanya tidak begitu mengancam!.Ia sedap di makan sejuk-sejuk.

SAGU GULA MELAKA
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1 cawan sagu 
2 1/2 cawan air
santan pekat secukupnya
beberapa keping gula melaka
sedikit  garam
pewarna pilihan

Cara membuatnya
  • Masak air hingga mendidih,masukkan sedikit warna pilihan ke dalam sagu dan kacau rata.Masukkan sagu ke dalam air mendidih dan kacau rata .Biarkan sagu hingga masak sambil di kacau sekali-sekala .
  • Masukkan ke dalam acuan dan sejukkan sebentar dan kemudian letakkan di dalam peti sejuk.
  • Sementara itu masakkan santan pekat sebentar dan tambah sedikit garam.Santan juga boleh di makan tanpa di masak.
  • Masak gula melaka dengan sedikit air dan kacau hingga larut dan sedikit pekat.Sejukkan.
  • Semasa menghidang,cedukkan sagu ke dalam bekas sesuai,tambahkan santan pekat dan curahkan air gula melaka yang pekat ke atasnya.

Isnin, 13 Mei 2013

IKAN SIAKAP KERABU MANGGA

As-Salam buat semua...

Hari ini ,dengan bantuan dari my sweet friend-Joanna,dapatlah saya make-over serba sedikit blog ini.Dah lama tak merayau-rayau kat ruangan reka letak atau apa saja yang berkaitan dengan kemas kini muka depan blog membuatkan saya terlupa akan cara-caranya.Ubah penampilan sikit aje supaya nampak lebih segar!~...
Resepi hari ini ialah Ikan Siakap Kerabu Mangga.Resepi yang biasa saya jumpa ialah,Ikan siakap di letak Kerabu mangga di atasnya.Tetapi resepi yang saya buat ini lain sikit dari yang biasa saya makan.Jom kita tengok resepinya.

IKAN SIAKAP KERABU MANGGA
Sumber:Mimpi pelangi.blogspot

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci halia-hiris panjang
1 biji tomato-potong dadu
1/2 biji capsicum-potong dadu
1/2 biji bawang besar-potong dadu
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
1/2 batang karot-potong dadu
sedikit nenas-potong dadu
sedikti garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya
  • Ikan di lumur garam dan kunyit dan sedikit tepung jagung kemudian di goreng hingga garing.Ketepikan.
  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih.Tumiskan bawang tumbuk ,halia dan bawang besar.
  • Masukkan sos cili dan sos tomato.Kacau sebati.
  • Masukkan capsicum,karot dan nenas .Tambahkan sedikit air jika terlalu pekat.
  • Biarka hingga mendidih,tambahkan garam dan gula seukup rasa.Angkat dan tuangkan ke atas ikan yang di goreng tadi.
Untuk kerabu mangga
2 biji mangga muda
2-3 biji bawang kecil
cili padi
udang kering-pilihan
kacang goreng-tumbuk sedikit
gula
sos ikan secukup rasa


Cara membuatnya
  • Parut an mangga.Gaul dengan bawang yang di hiris halus dan cili padi yang di potong kecil.
  • Masukkan udang kering,sos ikan dan sedikit gula.Rasalah setakat mana kesesuaian dengan selera masing-masing.Akhir sekali masukkan kacang tumbuk.
  • Letakkan kerabu mangga di atas ikan tadi.Siap untuk di hidangkan.

Ahad, 12 Mei 2013

PUDING MILO LAPIS OREO


 As-Salam buat semua..

Ucapan hari ibu dari Azim.Biasanya saya tidak memberitahu tentang hari ibu kepadanya kerana saya tidak menyambutnya.Tetapi dia ingat rupa-rupanya.Tulisannya di atas sekeping kertas besar membuat saya senyum sorang-sorang!tengoklah apa yang di tulisnya.Banyaknya Azim puji mama,tapi mama rasa satu je yang betul!Yang dia lupa tulis-ibu saya suka tidur!...hee..he.
Ok...kita ke entri masakan pula,kalau boleh nak postkan satu resepi sehari dan hari ini punya banyak masa untuk menulis..(dalam hati ada taman!).
PUDING MILO LAPIS OREO
Sumber:Suriani Osman-facebook/Buku Resepi

Bahan-bahan
10 gm. serbuk agar-agar
750 ml.air
150 gm gula
1 tin susu cair
3/4 cawan milo
biskut oreo-patahkan dua
sedikit garam      saya tambah

Cara membuatnya
  • Masak serbuk agar-agar dengan air sehingga larut.Kemudian masukkan gula dan masak lagi hingga gula larut.
  • Masukkan susu cair ,sedikit garam dan kacau sebati hingga mendidih.Tutup api.
  • Bahagikan adunan agar-agar kepada dua bahagian.Ambil satu bahagian dan di campur milo dan kacau sebati.Satu bahagian lagi di biarkan warna asal.
  • Adunan agar-agar milo tadi di bahagi dua sama banyak.Ambil satu bahagian dan masukkan ke dalam acuan.Sejukkan dan masukkan ke dalam peti sejuk hingga ia mengeras. sedikit.Goreskan dengan garfu.
  • Seterusnya tuangkan adunan agar-agar warna asal dan taburkan biskut oreo yang telah di patah dua tadi.Biarkan ia mengeras sedikit.
  • Akhir sekali tuangkan adunan milo yang separuh lagi dan masukkan ke dalam peti sejuk semula.
  • Setelah agar-agar mengeras,bolehlah di potong dan hidangkan.
*semasa melapis jika agar-agar membeku,bolehlah di panaskan semula hingga cair.

Sabtu, 11 Mei 2013

TELUR BUNGKUS


 As-Salam buat semua...

Hari ini Sabtu-anak-anak tak ke sekolah dan saya tidak bertugas jadi saya masak Telur bungkus yang menjadi kesukaan anak-anak .Kali ini buat telur bungkus sebiji besar untuk mereka bertiga.Macam biasalah,tak letak sayur campur jadi saya letak ayam sahaja.

TELUR BUNGKUS
Olahan:daridapursuzana
 
Bahan-bahan
2 biji telur ayam(double A)
200gm isi ayam – dipotong dadu

beberapa helai daun limau purut-potong halus
1 batang serai-potong nipis 
1/2 biji bawang besar-potong dadu
1 ulas bawang putih – cincang halus
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram

1 sudu besar saus manis ABC
Garam dan gula 

sedikit lada sulah

Cara membuatnya

  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  • Masukkan cili kisar, kacau sekata dan biarkan seketika.
  • Masukkan sos cili, sos tiram,saus manis ABC dan daun limau purut dan serai serta sedikit air dan isi ayam.Kacau sekata.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.Masak sehingga kering sedikit.
  • Pecahkan telur di dalam mangkuk. Masukkan sedikit lada sulah dan pukul sehingga sebati.Panaskan kuali dan sapu permukaan kuali dengan sedikit minyak.
  • Masukkan telur ke dalam kuali dan dadarkan sehingga memenuhi kuali.
  • Bila telur masak, tuangkan inti ayam ke atasnya dan lipat telur tersebut.
  • Terbalikkan telur yang siap dilipat. Siap untuk dihidangkan.

Jumaat, 10 Mei 2013

BAKUL ROTI

As-Salam buat semua..

Bakul kecil  roti berisi buah ini saya buat demi menghabiskan roti yang dah dekat tarikh luput.Daripada di biarkan begitu sahaja lebih baik di buat sesuatu supaya cepat habis.Bahan-bahannya pun mudah sahaja.

BAKUL ROTI
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
8 keping roti sandwich
buah-buahan pilihan seperti-honey dew,epal,nenas kiub ,peach atau apa saja buah pilihan
yogurt secukupnya
1 sudu besar mayonis
1 sudu teh gula

Cara membuatnya
  • Potong kiub kecil buah-buahan pilihan dan gaulkan bersama yogurt,mayonis dan gula.Simpan di dalam peti sejuk.
  • Ambil roti dan masukkan ke dalam acuan kek cawan/muffin dan bakar sebentar di dalam oven hingga garing sedikit.Sejukkan.
  • Ambil sesudu buahan dan letakkan ke dalam bakul roti.Sedia untuk dimakan.