Sabtu, 31 Oktober 2020

SUSHI SANDWICH

Assalam buat semua.. 

Ni Sandwich yang biasa kita buat tapi di gulung.
Nampak sedikit kelainan dan menarik di pandang.
Intinya boleh di pelbagaikan ikut kesukaan masing-masing. 
Contohnya Sardin,sosej,filamen ketam, ayam dan telur. 
Yang saya buat ni guna telur. 
Let's try buat. 

SUSHI SANDWIC 

Bahan
Roti sandwich
Planta

Mayonis
Telur 
Lada sulah
Lada hitam
Garam

Sos cheezy
Daun salad
Karot-potong halus, celur sebentar
Gam-tepung gandum campur sedikit air

Cara membuatnya
.Rebus telur,bila sudah masak, hancurkan. 
.Potong tepi-tepi roti. 
.Sapu dengan Planta. Ketepikan. 
.Ambil telur dan tambah serbuk lada sulah,lada hitam, garam, mayonis. 
.Gaul sebati. 
.Ambil sekeping roti, alas daun salad, letak sesudu inti telur dan letak karot. 
.Picitkan sos cheezy. 
.Gulung dengan cermat dan kemas.
.Hujung roti gulung, sapu gam gandum. 
.Potong dua dan susun kemas-kemas dan buat sampai habis. 

Isnin, 19 Oktober 2020

PULUT KUNING


 Assalam buat Semua.. 
Ini Pulut Kuning  kegemaran anak-anak
Ia tidak di makan bersama Rendang seperti kebiasaannya. 
Anak-anak suka makan dengan Telur goreng rampai berwarna-warni ni.
Pulut pun saya buat sedikit lembut.
Tiada hari kebesaran apa pun,saja buat sebab teringin  nak makan😁
Let's try masak. 

PULUT KUNING

Bahan
500 gm.beras pulut susu
1 keping asam keping
1 sudu besar serbuk kunyit-pilihan
1 inci kunyit hidup-tumbuk dan tapis air
1-2 cawan santan pekat-boleh tambah
1/2 susu kecil garam
Pewarna kuning telur
Sedikit minyak masak

Cara membuatnya
.Basuh beras pulut dan toskan airnya.
.Masukkan air kunyit hidup dan pewarna ataupun serbuk kunyit.
.Masukkan air dan rendam beras pulut dengan asam keping  selama 1-2 jam bergantung kepada jenis beras pulut.
.Panaskan pengukus hingga air mendidih. 
Toskan beras pulut.
Masukkan ke dalam periuk pengukus  yang telah di lapik daun pisang atau daun pandan.
.Ketika di kukus, kacau sekali-sekala supaya ianya masak sekata.
Kukus selama 20-25 minit hingga masak.
.Angkat keluar pulut dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
.Tuangkan santan yang telah di campurkan dengan sedikit garam dan gula. 
.Biarkan selama 5 minit agar santan menyerap ke dalam pulut. 
.Setelah itu, kacau dan arung 
 pulut dan santan tadi selama 10-15 minit sehingga sebati dan nampak seolah-olah berminyak.
.Pastikan tiada pulut yang berketul.
.Masukkan kesemua pulut ke dalam periuk kukus dan kukus selama 10-15 minit atau sehingga masak. 
. Boleh tutup api dan taburkan sedikit gula supaya pulut bersinar cantik.
.Pulut Kuning yang sedap mesti ada rasa manis dan masin yang seimbang.

 Telur rampai
.Ambil 3 biji telur, setiap satunya di letak pewarma pilihan dan buat telur dada nipis. 
.Kemudian di gulung dan di potong halus-halus. 
.Taburkan di atas Pulut Kuning.



Jumaat, 16 Oktober 2020

RINDU


Rindu mengalir bersama darah
Menelusuri setiap daerah jasad
Jiwa meronta
Hati bersuara
Rasa membara

Aku di Dalam aku
Tersimpuh di kaki takdir
Menagih simpati Sang Khaliq
Menunggu penawar rindu
Semoga bersatu jua di dalam rindu
Pada detik yang kau tentukan 

Rabu, 7 Oktober 2020

KEK LAICI DELIGHT



Assalam buat semua.
Hari ini 07 Oktober 2020 adalah hari lahir Mr.King.
Kebetulan masuk bertugas jam 2100 hari ini jadi sempat lah buat sebiji kek.
Sekali -sekala meraikan tarikh penting dalam hidup 
Dan juga sebagai ingatan.   
Sambil-sambil buat praktikal guna fresh cream.
Saya buat kurang manis versi umur kami..hihi.
Dan Kek Laici tahun ini sebab dia sukakan perisa Laici.
Resepinya dari Azlina Ina.Thanks.

KEK LAICI DELIGHT

Bahan
1 cawan tepung naik sendiri
1 sudu besar tepung jagung
*Ayak bersama.

3 biji telur Gred B
1/2 cawan gula halus(saya guna 1/4 cawan gula)
1 sudu besar ovalette
1 sudu besar pes Laici/kordial Laici
1 sudu besar air Laici
5 sudu besar minyak jagung

1 tin Laici-toskan airnya
Fresh cream

Cara membuatnya
  • Putar kesemua bahan kek kecuali minyak jagung dengan high speed hingga putih dan gebu.
  • Masukkan minyak jagung dan kaup-balik sahaja hingga rata.
  • Masukkan adunan ke ke dalam loyang 7 inci yang siap di lapik baking paper.
  • Bakar dalam oven 35-40 minit dengan suhu 140'c(oven saya)
  • Bila masak,terus keluarkan dari loyang dan terbalikan di atas papan kek.
  • Setelah sejuk,potong kek kepada 3 lapis.
Untuk Hiasan kek
  • Putar fresh cream hingga kaku.
  • Paipkan ke atas lapisan pertama kek dan letak potongan Laici.
  • Lapiskan hingga 3 lapisan dan sapu bahagian luar dengan krim selebihnya.
  • Hias ikut kreativiti sendiri.

Khamis, 1 Oktober 2020

CHURROS

Assalam buat semua..
Atas permintaan anak-anak saya cuba buat. 
Letak gula aising saja untuk taburan walaupun ank-anak request nak celup coklat.
Kebetulan saya malas nak cairkan coklat...coklat cair ready made pun dah habis.
Tunggu lah saya buat lagi selepas ini. Anak-anak reda..hahaha.
Churros ni rangup ,sedap jer makan petang-petang sambil tengok drama Korea.
Let's try buat.

CHURROS

Bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan air
1 sudu besar marjerin
1 sudu besar gula
1 biji telur ayam
1/2 sudu teh esen vanila 
1/4 sudu teh garam

Cara membuatnya.
  • Panaskan kuali dan cairkan marjerin.
  • Masukkan air,gula,garam dan esen vanila.Biarkan sampai mendidih,tutup api.
  • Masukkan tepung gandum dan gaul sebati dengan senduk kayu.
  • Biarkan sejuk dalam 5 minit.
  • Pukul telur sekejap dan masukkan ke dalam adunan tepung gandum.
  • Masukkan adunan dalam piping bag dan guna acuan samperit.
  • Panaskan minyak untuk goreng tenggelam.Guna api sederhana.
  • Picitkan adunan ke dalam minyak dan potong dengan gunting mengikut panjang yang di sukai.
  • Goreng hingga keperangan.
  • Toskan minyak dan sejukkan dahulu sebelum di tabur gula aising atau biarkan saja dan di celup coklat cair.