Jumaat, 30 Oktober 2015

PUDING RAJA

As-Salam buat semua..
Rasa nak buat dan merasa Puding raja sentiasa sahaja dalam impian saya.Pada mulanya saya ingat Puding raja ini teramat manis dek sukatan gulanya yang agak banyak bagi saya dan juga kerana penggunaan jala emas.Rupanya kemanisannya biasa sahaja bila di gabungkan dengan bahan lain.Saya telah mengurangkan kemanisan kuah puding.
Kalau duduk di Kota Bharu tak buat sendiri la jala emas tu.Banyak di jual di Pasar Besar Siti Khadijah-Rm 5 untuk 6 keping.Kacang Gajus pun,beli yang dah siap di goreng.Best juga,harus di cuba.Resepi dari Azie Kitchen Thanks

PUDING RAJA

Bahan-bahan
4 sikat pisang emas
1 biji kacang gajus-di goreng
2-3 genggam jala emas
200 gm buah prun-potong 4    saya ganti dengan kismis
buah ceri merah/hijau
2 sudu besar minyak sapi
minyak untuk mengoreng 

Untuk kuah puding
1 tin susu cair
3 biji telur-ambil kuning sahaja
1/2 tin air
1-2 cawan gula -saya guna sukatan sendiri
daun pandan-simpul
esen vanila

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak dan minyak sapi dengan kuantiti untuk menggoreng penuh.
  • Goreng pisang sehingga kuning.Angkat dan toskan untuk meresap minyak berlebihan.
  • Goreng pula kacang gajus,angkat dan ketepikan.
 Untuk kuah puding.
  • Pukul kuning telur bersama susu cair dan air.
  • Tapis dan masukkan gula dan kacau hingga gula larut.
  • Masak di atas api kecil bersama daun pandan hingga sederhana pekat.Masukkan esen vanila.
  • Kacau selalu supaya tidak bergentel.Keluarkan daun pandan bila siap.
Cara menghidang
  • Aturkan pisang goreng 2-3 lapis di dalam bekas sesuai dan taburkan jala emas rata-rata di atasnya.
  • Kemudian aturkan buah prun,ceri dan kacang gajus goreng di atasnya.
  • Tuangkan kuah di atasnya apabila hendak di makan.

Rabu, 28 Oktober 2015

ACAR UMBUT KELAPA

As-Salam buat semua..
Acar umbut kelapa biasanya saya makan di tempat-tempat kenduri sahaja.Minggu lepas ada orang bagi umbut kelapa dari dua batang pokok kelapa yang di tebang kerana ingin membina rumah.Simpan dalam frezeer sampai saya terlupa hingga sebahagiannya menjadi rosak mungkin kerana masuk angin.Sebahagian lagi yang masih elok saya buat Acar umbut kelapa.Saya guna santan pekat..sampai tak nampak rupa umbutnya!Resepi dari Wind of Change.Thanks.Let's try masak.

ACAR UMBUT KELAPA

Bahan-bahan
semangkuk umbut kelapa yang telah di cincang nipis 
4 biji cili kering -buang biji rendam air panas
4 biji bawang merah
1 biji bawang putih
sedikit halia
5 sudu besar cuka makan
1 cawan santan sederhana pekat   saya guna santan pekat
gula,garam secukupnya 
minyak untuk menumis 

Cara membuatnya 
  • Tumbuk kasar bawang merah,bawang putih,halia dan cili kering.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing.
  • Masukkan cuka dan gula,masak lagi hingga bau cuka hilang.
  • Masukkan umbut kelapa dan santan.
  • Masak hingga umbut lembut dan santan mendidih.Tambahkan air jika nampak kering.
  • Tambahkan garam dan sesuaikan rasanya.

Isnin, 26 Oktober 2015

PRA KUNG


As-Salam buat semua.
Sebut dalam versi Thai dengan gaya bahasa yang lembut....Praa kunnnng,baru dapat feel makanan Thai!Dalam Bahasa Melayu ia adalah Salad udang dengan serai.Best sekali!harus di cuba.Ratah udang saja lah kita hari tu.Tak chill la bila saya terlupa masukkan Kacang gajus masin.Lepas habis semua baru nampak Kacang gajus dok tersenyum kat saya atas meja dengan ucapan,kenapa mak cik lupa ambil saya...

PRA KUNG(SALAD UDANG DENGAN SERAI)
Sumber:Azli Razali/Majalah Saji september 2015 

Bahan-bahan
550 gm udang saiz sederhana-rebus
3 tangkai daun pudina
3 batang serai -hiris halus
1 tangkai daun bawang-racik halus
1 tangkai daun ketumbar -hiris kasar
5 ulas bawang merah-hiris
1 tangkai cili merah-hiris
150 gm kacang gajus masin-cincang kasar
1/2 sudu teh serbuk cili -bancuh dengan 2 sudu besar air masak    saya ganti dengan sos Mae phranom
2 sudu besar sos ikan atau sotong
2 sudu besar jus limau nipis
gula perang secukup rasa

Cara membuatnya
  • Letakkan udang yang telah di rebus(buang kulitnya) di dalam mangkuk besar .
  •  Masukkan daun pudina,serai,daun bawang,daun ketumbar,bawang merah,cili merah dan gajus.
  • Kemudian serbuk cili(sos mae phranom),sos ikan,jus limau nipis dan gula perang.
  • Gaulkan kesemua bahan-bahan ini dengan sebati dan sesedap rasa.
  • Hidangkan.  

Sabtu, 24 Oktober 2015

CHOCOLATE CHIPS MUFFIN

As-Salam buat semua..
Buat muffin untuk di makan pada hujung minggu.Pada hari persekolahan saya jarang buat kudapan untuk anak-anak kerana kedua-duanya pulang lewat petang dari sekolah.Kiranya hari Jumaat dan Sabtu boleh cooking with soul lah!.Perbezaan di antara kek cawan dan muffin,ia boleh di panaskan kembali sebelum di makan.Jadi kalau nak makan muffin panas-panas tu boleh di masukkan sebentar di dalam miktowave.Let's try baking.Resepi dari
Azie Kitchen.thanks ..

CHOCOLATE CHIPS MUFFIN

Bahan-bahan
125 gm tepung gandum
7 gm baking powder
75 gm minyak masak
75 gm susu segar
75 gm gula kastor
1 biji telur B
1/ sudu teh esen vanila
 sedikit coklat cips-taburan

Cara membuatnya
  • Panaskan oven pada suhu 180'c.
  • Ayak tepung gandum dan baking powder.Ketepikan.
  • Kacau sebati minyak sayur,susu gula,telur dan esen vanila .
  • Masukkan sedikit demi sedikti tepung dan kacau sebati dengan spatula sehingga tidak bergentel.
  • Masukkan ke dalam paper cup sebanyak 3/4 penuh.
  • Taburkan coklat cips di atasnya.
  • Bakar dalam oven selama 30 minit atau sehingga masak.

Selasa, 20 Oktober 2015

POPIA INTI SAYUR &TELUR

As-Salam buat semua..
Hari ini selepas selesai kena audit 5s,dah lega dari stress saya ambil separuh hari bertugas dan pulang ke rumah.Masuk dapur pada sebelah petangnya cari popia ni yang dah hampir seminggu di buat tapi tak sempat nak di goreng.Lepas siap saya simpan dalam freezer dulu.Bentuknya pun dah tak cantik lagi.Time panas dan tengah rangup tu laju saja makannya dengan sos pencicah.

POPIA INTI SAYUR DAN TELUR

Bahan-bahan
kulit popia secukupnya
2 biji telur
1 batang karot
1/2 biji sengkuang
1 batang timun 
3 ulas bawang putih-cincang halus
1 labu bawang besar-potong dadu 
bawang goreng -tumbuk hancur
serbuk lada hitam
serbuk lada sulah
serbuk cukup rasa Maggi
minyak canola utk. menumis
1 sudu besar tepung gandum-campur sedikit air 
sos pencicah

Cara membuatnya
  • Karot,sengkuang dan timun di parut.Ketepikan.
  • Panaskan minyak canola dan tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga naik baunya.
  • Pecahkan telur,campur dengan serbuk lada hitam dan lada sulah,pukul sebati.
  • Masukkan ke dalam kuali dan sentiasa kacau supaya ia jadi ketulan kecil.
  • Tambahkan semua sayur parut tadi dan gaul rata.
  • Tambahkan serbuk cukup rasa dan gaul rata.
  • Angkat,toskan air jika ada dan ketepikan
Cara buat popia sayur
  • Bentangkan kulit popia dan letak intinya dan taburkan bawang goreng hancur.
  • Gulung kemas-kemas dan sapu hujung dengan pes tepung gandum sebagai gam.
  • Buat sehingga habis.
  • Goreng di dalam minyak sederhana panas.
  • Hidangkan bersama sos pencicah pilihan.

Sabtu, 17 Oktober 2015

MANGO FANTASY

 As-Salam buat semua..
Dessert dari buah Mangga yang manis,best untuk di cuba bagi peminat dessert.Makan sejuk-sejuk nyaman rasa tekak ni.Riwayat diet dah berakhir,tunggu tahun depan pula lah..best sangat!.nanti tak boleh nak makan sedap-sedap.Kalau time badan tak sihat tu bagi apa saja pun rasa tak ada selera kan.Jadi sementara ada dessert sedap ni pejam mata dan makan saja...resepinya dari Majalah Rasa tajaan susu Dairi Champ.thanks.

MANGO FANTASY


Bahan-bahan
400 gm mangga manis
500 ml susu krimer sejat/susu cair Dairi Champ
200 ml susu krimer manis Dairi Champ/ikut manis sendiri
1 paket biskut 
**susu krimer sejat saya tukar dengan krim putar

Cara membuatnya
  • Susun biskut ke dalam bekas(saya menggunakan biskut cream cracker).
  • Campurkan susu krimer manis bersama susu sejat dan pukul hingga berkrim(saya pukul krim putar hingga gebu dan campur dengan susu pekat).
  • Hiris nipis buah mangga(potong dadu).
  • Masukkan krim tadi ke atas susunan biskut dikuti dengan susunan buah mangga .
  • Ulang proses melapis 3-4 lapisan.Buat hingga habis.
  • Sejukkan semalaman di dalam peti ais sebelum di hidangkan.

Jumaat, 16 Oktober 2015

CENDAWAN GORENG RANGUP

As-Salam buat semua..
Bestkan makan cendawan goreng cicah dengan sos.Rangup saja bila makan time panas-panas.Rasanya macam ayam goreng pulak.Saya tidak mengunakan batter untuk celup cendawan ini cuma salutkan dengan tepung goreng sahaja.Simple dan ringkas sahaja.Cendawan ni kena keringkan jika mahu ia rangup dan cepat garing bila di goreng.Saya menggorengnya di dalam bekas deep fryer.

CENDAWAN GORENG RANGUP

Bahan-bahan
250 gm cendawan tiram
1 cawan tepung goreng rangup
1 sudu makan serbuk kari
1 sudu teh serbuk cukup rasa
1 biji lada merah-hiris nipis
1 tangkai daun kari

Cara membuatnya
  • Lalukan cendawan di bawah air mengalir kemudian toskan.
  • Keringkan cendawan dengan tisu dapur.
  • Panaskan minyak untuk goreng terendam.
  • Gaulkan tepung goreng rangup bersama serbuk kari dan serbuk cukup rasa.
  • Dalam bekas lain,gaulkan tepung bersama cendawan.
  • Goreng di dalam minyak yang betul-betul panas hingga perang dan garing.
  • Buat sehingga habis dan toskan.
  • Goreng daun kari bersama lada merah dan campurkan bersama cendawan goreng tadi.
  • Sedia untuk di cicah dengan sos cili Thai.

PHOTO OF THE WEEK..

September 2015..

Rabu, 14 Oktober 2015

MINUMAN SODA HERB

 As-Salam buat semua..
Hari ini 1 Muharram 1437 Hijrah..semoga kehidupan kita yang masih bersisa ini dapat menambahkan lagi amalan untuk bekalan di akhirat nanti.Banyak kenangan yang telah di tinggalkan dan ianya tak akan berulang lagi....
Jom minum air Soda herb yang meyegarkan ini.Macam best saja rasanya tapi tu lah,tak boleh minum sangat sebab ia manis..Resepi dari azlitamasammanis .thanks

SODA HERB

Bahan-bahan
1 botol besar air aiskrim soda
2 batang serai-di titik
5 biji asam boi putih
1 biji lemon
1 tin laici-ambil buahnya sahaja
daun pudina secukupnya
ketulan ais

Cara membuatnya
  • Hiris lemon nipis-nipis,sediakan bekas yang sesuai.
  • Letakkan daun pudina secukupnya.
  • Kemudian masukkan lemon yang telah di hiris di ikuti asam boi putih.
  • Masukkan buah laici,tuangkan aiskrim soda.Letakkan ketulan ais.
  • Akhir sekali masukkan serai titik,sedia untuk di minum.

Selasa, 13 Oktober 2015

KERABU BEKO

As-Salam buat semua..
Kerabu beko versi kelantan.Buah beko rasanya pahit sedikit,tapi selepas di olah buat kerabu best pula bila di gandingkan dengan Nasi putih dan Ikan goreng atau Ikan masin.Makan begitu saja pun sedap juga.Bertambah-tambah nasi lah hidangan tengahari.Buah beko perlu di layur dahulu hingga lembut sedikit sebelum di jadikan kerabu atau boleh di celur saja.Saya memilih cara layur kerana aromanya.Gambar Buah Beko..pinjam kat Google.


 
KERABU BEKO
Olahan:daridapur suzana

Bahan-bahan
2 keping buah beko
2 ekor ikan selayang/kembung-di bakar
2 cawan santan pekat
4 ulas bawang merah
1 sudu besar kerisik
1 sudu besar budu
1 sudu besar lada hitam biji
2 biji cili padi-potong halus 
jus limau nipis
gula secukup rasa

Cara membuatnya
  • Layur buah beko hingga lembut dan bakar ikan.
  • Basuh buah beko di bawah air mengalir untuk keluarkan kesan hitam pada kulitnya
  • Potong buah beko nipis-nipis dan ketepikan .
  • Tumbuk bawang merah dan lada hitam hingga hancur.
  • Ambil isi ikan bakar dan tumbuk lagi bersama bawang.
  • Masukkan bahan tumbuk ke dalam mangkuk,tambah santan,kerisik,budu serta sedikit jus limau nipis dan gula secukup rasa.
  • Taburkan cili merah di atasnya.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Sabtu, 10 Oktober 2015

PASAR BESAR SITI KHADIJAH

As-salam buat semua..
Rutin baru saya pada setiap hari Jumaat,datang membeli belah barang dapur basah di sini.Dalam sebulan mesti empat kali lah saya cuci mata kat sini .Best..,release tension tengok segala bagai benda kat sini.Ada juga yang saya tak kenal,ada juga yang pada mulanya saya takut nak pijak lantai basah,sekarang dah suka pula.Saya tukang bawa barang dan tukang masak saja ,bab-bab memilih dan membeli semuanya my body guard yang buat dan beli apa yang dia nak makan.Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .

Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Pasar ini terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu.Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.
 Tak payah pakai vape segala bagai.Ni pun vape nostalgia untuk datuk,nenek,mak cik dan pakcik.
Sayur kampung yang tak boleh di petik belakang rumah untuk dicicah dengan budu campur durian seperti dulu-dulu -pucuk gajus,pucuk ulam raja,bunga kunyit,pucuk jenereh,pucuk ubi kayu ,pucuk bayam praksi (seperti arugula),pucuk cekur manis, daun kesum dan segala bagai semuanya pada harga rm 1 dan 50 sen seikat bergantung kepada jenisnya..
Udang galah ,udang besar,sederhana ,kecil semua ada,pilih saja nak harga mana.Lucunya saya di sangka pelancong kerana asyik mengambil gambar.
Pelbagai jenis kuih-muih goreng dan kukus,manis pedas semua ada.Kuih cek mek molek dalam gambar ,best in the world,garing yang amat di luar,lembut dan kurang manis di dalamnya.Kebanyakkanya pada harga Rm 1 untuk 4 biji .

Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan.Tingkat bawah di khususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding ikan,ayam dan daging.Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling 'tersohor' bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih 'tahi itik', akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini.Sumber:Wiki.Ada juga tapai beras yang di bungkus dalam daun getah.Semuanya manis-manis ya..

Saya hanya sempat menjelajah ground floor sahaja.Manalaka tingkat 2 dan 3 untuk barang bukan makanan.Ruang tengah yang menjadi trade mark pasar ini sekarang sedang di ubah suai,jadi tiada gambar di sertakan.

Ubi kayu,ubi keledek,rebung muda yang manis,jering,serai,kulat sisir,pisang ,nenas,labu kuning,labu air,ubi keladi,limau purut tak payah cari kat kampung dah ,pergi saja cari kat bandar sebab semua nya dah 'berhijrah' ke bandar .

 
Segala bagai ikan dari yang kecil hingga yang besar,pilih dan timbang saja.,kat sini rata-rata makcik yang jual ikan semuanya ramah- tamah.Akhir kata..tenteramnya hati..segalanya ada di sini!
sampai bila-bila pun jika di izinkanNYA saya akan terus memasak..untuk cooking with soul..

Jumaat, 9 Oktober 2015

KEK PISANG LEMBUT

 As-Salam buat semua..
Pisang banyak..orang bagi(bukan Pisang emas),tak habis nak makan,saya buang kulitnya dan  simpan dalam peti ais tunggu hujung minggu baru nak proses.Lepas seminggu ia masih bertahan dan tidak rosak,dua kali juga saya buat sebelum di postkan ke sini.Hari pertama untuk makan-makan,hari kedua untuk di bawa ke tempat bertugas.Teksturnya lembut dan moist saja.Kek pula gelap sikit,asyik dok tulis blog,bila bau harum satu rumah baru saya teringat tengah bakar kek!..lupa lagi.Saya dah kurangkan sedikit sukatan gulanya seperti biasa.Let's try baking.

KEK PISANG LEMBUT
Sumber:masam manis
Thanks Ita

Bahan-bahan
4 biji telur gred A
8 biji pisang emas di lecek-tinggalkan satu untuk hiasan
1 cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan mentega cair atau minyak jagung
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen pisang atau esen vanila
sedikit garam

Cara membuatnya 
  • Panaskan oven pada suhu 170'c,15 minit sebelum kek di bakar.
  • Campurkan tepung gandum bersama baking powder,ayak dan ketepikan.
  • Pisang di lecek lumat,tinggal satu untuk hiasan
  • Campurkan garam dan soda bikarbonat dalam pisang lecek,gaul rata dan ketepikan.
  • Putarkan telur,gula dan esen pisang/vanila hingga kembang.
  • Kemudian tuangkan mentega cair dan gaul rata.
  • Tuangkan adunan pisang ke dalam adunan telur dan kaup-balik hingga rata.
  • Kemudian masukkan tepung dan kaup-balik adunan sempurna.
  • Sediakan loyang 9 inci(saya guna loyang 4 segi).
  • Alas loyang dengan kertas pembakar dan sapu sedikit mentega.
  • Tuang adunan ke dalam loyang.
  • Hiaskan di atasnya dengan kepingan pisang hiris.
  • Bakar di dalam oven dengan suhu 170's selama 45 minit atau hingga masak sempurna.
  • Cucuk tengah kek dengan lidi untuk pastikan kek telah masak.
  • Jika lidi keluar tidak melekat maknanya kek telah masak sempurna,jika tidak tambahkan sedikit lagi masa membakar.

Rabu, 7 Oktober 2015

IKAN SIAKAP KUKUS SOS LADA HITAM

As-Salam buat semua...
Sekali lagi Ikan Siakap Kukus masuk di ruangan dapur saya.Asyik kukus saja kan sebab Azim tak nak makan resepi yang jenis lain.Nanti lah saya nak pujuk dia juga supaya try makan Ikan Siakap yang di goreng dengan sos pula.Tukang masak pun dah rindu nak buat masakan lain.Ada seekor lagi dalam peti ais tu.Let's try masak..

IKAN SIAKAP KUKUS SOS LADA HITAM
Olahan:dari dapur suzana

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap-berat dalam 1kg 
serbuk lada hitam
serbuk lada sulah

4 sudu besar sos lada hitam
6 tangkai ketumbar -potong panjang
5 ulas bawang putih-cincang
1 labu bawang besar-dadu kecil
2 batang serai-ketuk
4 biji asam boi putih
jus limau nipis
1 sudu besar Maggi cukup rasa
sos ikan secukup rasa 
1/2 cawan air
3 tangkai cendawan tiram -di carik kecil

Cara membuatnya
  • Bersihkan ikan dan renjiskan serbuk lada hitam,serbuk lada sulah di kedua-dua belah termasuk bahagian perutnya.
  • Letakkan ikan di dalam bekas tahan panas.
  • Masukkan asam boi dan serai serta daun ketumbar dan cendawan tiram
  • Sumbat sedikit bahan di dalam perut ikan.Ketepikan.
  • Panaskan pengukus.
  • Dalam satu mangkuk satukan sos lada hitam,bawang putih,bawang besar,air,sos ikan,jus limau nipis,serbuk cukup rasa Maggi dan gaul sebati.
  • Curahkan di atas ikan.Renjiskan sedikit lagi serbuk lada hitam di atas ikan.
  • Bila air mendidih,kukus ikan hingga masak.
  • Bila masak, hiaskan dengan taburan daun ketumbar dan cili merah.

Isnin, 5 Oktober 2015

TART TELUR HONG KONG

As-Salam buat semua...
Best buat tart telur tapi tu lah tak berapa nak cantik kejadiannya.Asyik nak cepat saja...sampai lupa nak tapis intinya.Kena praktis banyak-banyak tapi sudahnya kalau asyik tak comel last-last kena beli juga kalau teringin nak makan baru lah happy ending..kan.Let's try baking.

TART TELUR HONG KONG
Sumber:mybakingworkshop .thanks

Bahan inti kastard
2/3 cawan gula
1 1/2 cawan air
9 biji telur-di pukul sedikit
1 sudu kecil esen vanila
1 cawan susu segar atau susu cair

 Cara membuatnya
  • Masukkan air dan gula ke dalam periuk.Masak sampai mendidih dan gula larut.
  • Matikan api dan biarkan sejuk sepenuhnya.
  • Masukakn telur ke dalam mangkuk,pukul sedikit guna hand whisk.Tapiskan ke dalam mangkuk lain.
  • Kemudian masukkan susu dan vanila,gaul sebati.
  • Masukan air gula tadi,gaul rata dan tapis adunan sekali lagi ke dalam bekas bertutup sehingga sedia untuk di gunakan.

Pastri
1/2 cawan gula kastor
1 cawan mentega
3 cawan tepung(tambah jika kurang)
1 biji telur-di pukul sedikit
1 sudu kecil esen vanila


Cara membuatnya
  • Satukan tepung dan gula dalam mangkuk.
  • Masukkan mentega,gaul rata guna tangan.
  • Kemudian masukkan telur dan esen vanila,adun hingga menjadi doh yang lembut.
  • Ambil sedikit doh dan bentukkan guna jari tekan dalam acuan tart.Jangan terlalu tebal nanti pastri kurang masak.Buat hingga habis.
  • Panaskan oven pada suhu 170'c.
  • Susun pastri yang telah di bentukkan ke dalam dulang pembakar.
  • Tuang inti 3/4 penuh.
  • Bakar guna api bawah sahaja selama lebih kurang 20 minit atau hingga inti sudah tidak cair lagi.

Khamis, 1 Oktober 2015

KUAH YONG TAU FU

As-Salam buat semua..
Kalau saya buat hidangan rebus-rebus ni kat rumah,seharian saya tak makan nasi sebab ia dah mengenyangkan.Gaul-gaul dalam satu mangkuk,duk mengadap la kat meja makan tu sampai kenyang..tip untuk menambah berat badan...
Pilihan bahan yang di gunakan bergantung kepada kesukaan masing-masing.Bagi saya,ambil dalam 4-5 jenis frozen seafood seperti crab stick,sosej keju,bebola sotong dan ikan pun sudah memadai...yang penting kuahnya mesti best!..

KUAH YONG TAU FU
Sumber:Resepi mudah/FB

Bahan-bahan
10 tangkai cili kering
gula melaka atau gula merah
bijan goreng
gula-jika perlu
1 sudu kecil garam
3 cm belacan
300 ml air
1 sudu besar minyak
1 1/2 sudu besar tepung jagung-bancuh dgn.50 ml air
sedikit perasa-jika perlu

seafood frozen
sayur kangkung-di celur/pilihan

Cara membuatnya 
  • Panaskan minyak dalam kuali dan goreng cili kering sehingga garing dengan api yang kecil.
  • Setelah garing,angkat dan kisar cili kering tadi dengan sedikit air.
  • Panaskan air bersama gula melaka.Masukkan cili kisar bersama belacan.
  • Setelah mendidih,masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah(kepekatan kuah boleh di adjust ikut selera sendiri).
  • Masukkan garam,serbuk perasa(guna serbuk cukup rasa Maggi) dan gula secukup rasa.
  • Tambahkan bijan goreng dan siap utuk di hidang bersama frozen seafood pilihan.
*Tip untuk kuah yang sedap
  1. Pastikan guna api kecil semasa goreng cili kering sebab ia mudah hangit.
  2. Sentiasa kacau cili kering goreng dan jangan goreng terlalu perang atau di biar sampai cili hitam.