style="text-align: center"

Selasa, 21 Mei 2013

KEK KUKUS TEMBIKAI MERAH

 As-Salam buat semua..

Sekali tengok nampak macam tembikai merah kan.Dua kali tengok barulah nampak macam rupa kek.Kek kukus lembab ini,resepinya dari buku resepi kat FB.Kalau inginkan kek yang lebih tinggi bolehlah di gunakan loyang yang lebih kecil.Saya ni kalau bab-bab ukuran loyang sentiasa saja tidak menepati piawaian resepi.Guna loyang yang mana ada kat dapur sahaja.

KEK KUKUS TEMBIKAI MERAH
Sumber:Linn Malek/www.facebook/buku resepi
Di cuba oleh:Suzana/..cooking with soul..

Bahan-bahan
225 gm mentega
1 cawan gula kastor   saya guna 1/2 cawan
5 biji telur
1/2 tin susu pekat manis
1/2 cawan kaya
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil esen vanila
3 jenis pewarna
merah-pes strawberi
hijau-pes pandan
warna asal-sedikit pes lemon
coklat cip utk.di jadikan biji tembikai
*saya tidak meletakkan sebarang pes pada setiap lapisan warna kek

Cara membuatnya
  • Panaskan pengukus.
  • Pukul mentega dan gula hingga kembang.Masukkan pula telur satu persatu dan terus pukul lagi hingga telur kembang.
  • Masukkan susu,kaya dan esen vanila dan pukul lagi.
  • Tambahkan tepung dan pukul lagi sampai sebati.
  • Bahagikan adunan kepada tiga bahagian dan tambahkan pewarna.Lebihkan adunan untuk warna merah.satu warna hijau dan satu lagi warna asal.
  • Sapukan loyang yang sesuai dengan mentega dan taburkan sedikit tepung ataupun alas saja dengan baking sheet.
  • Mula-mula masukkan adunan merah dan taburkan coklat cip dan ratakan.Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 10-15 minit dengan api yang sederhana.
  • Bila masak,masukkan lapisan hijau pula dan kukus lagi dan kemudiannya akhir sekali dengan warna asal.
  • Akhir sekali,kukus selama 30-35 minit atau sehingga masak
  • Selepas kek masak,biar sejuk sedikit baru dikeluarkan dari loyang.

Isnin, 20 Mei 2013

AYAM KICAP BEREMPAH MAGIC MEALS

 As-Salam buat semua..

Hari ni mood tak berapa rajin nak masak,tapi kena buat juga.Bila jumpa Magic meals satu paket kat dapur, apalagi saya terus cuba  membuatnya.Senang saja sebab semuanya dah tersedia.Kita cuma perlu tambah bawang dan gaulkan sahaja.Sesuai untuk yang tengah berdiet kerana ia tidak di tambah minyak dan garam.Tengok iklan dalan TV nampak macam sedap!betul la tu,sebab anak-anak pun suka makan!Azim makan sampai menambah nasi tiga kali..hee..he macam biasa budak sorang tu,kalau sedap susah nak berhenti!. Sangat sesuai untuk kanak-kanak sebab ia tidak masin.

AYAM KICAP BEREMPAH MAGIC MEALS
Sumber:MAGGI

Bahan-bahan
500 gm ayam tanpa kulit-potong kepingan kecil
50 gm gegelung bawang(bawang besar potong bulat)
1 paket perencah ayam kicap berempah Magic meals

Cara membuatnya
  • Masukkan ayam,gegelung bawang dan 50 ml.(1/2 cawan)air ke dalam beg plastik masakan Maggi. Campurkan perencah Maggi.
  • Gaul bahan-bahan agar sebati dengan perencah Maggi dan ikat beg masakan dengan tali yang di sediakan.
  • Letakkan beg masakan secara rata di atas beras dan hidupkan suis periuk nasi.Setelah nasi masak,kekalkan butang warm untuk 25 minit lagi.Pastikan tempoh masak dan pemanasan adalah selama 45 minit.
  • Keluarkan beg masakan dari periuk nasi dan potongkan dengan gunting.Hidang terus bersama nasi.
Nota
  • Jangan guna daging ayam beku.
  • Jangan buka periuk nasi sehingga tempoh masak tamat.
  • Beg masakan Maggi adalah selamat untuk di gunakan dalam periuk nasi dan mematuhi peraturan US FDA dan EU.
  • Jangan gunakan dalan ketuhar gelombang mikro.
  • Beg masakan untuk kegunaan sekali sahaja.
  • Hanya gunakan beg masakan Maggi yang di sediakan.

Ahad, 19 Mei 2013

ONDE-ONDE LABU

 As-Salam buat semua..

Kepala saya tengah pening gara-gara mencari hotel untuk di tempah kerana menghantar anak untuk ke Kolej Matrikulasi Sains Kuala Pilah minggu depan.Semua hotel di Kuala Pilah fully booked.Rasa nak marah pada diri sendiri kerana leka dengan urusan lain sehingga saya terlupa untuk menempah awal-awal lagi.Tengah-tengah stress ni,saya nak juga postkan satu resepi kuih iaitu Onde-Onde Labu .

ONDE-ONDE LABU
Oleh:Rohah.Tq!

Bahan-bahan
1 cawan labu - lenyek halus
2 cawan tepung pulut          saya tambah 4 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu kecil garam -lenyek bersama labu

Inti
Gula merah atau gula melaka secukupnya

Bahan lain
Kelapa parut
Garam halus 

Cara  membuatnya
  • Satukan labu yang dilenyek tadi bersama tepung pulut.Gaul rata hingga sebati. 
  • Bulat-bulatkan adunan, leperkan dan masukkan gula merah/ gula melaka.Tutup semula dan gentel membulat.
  • Didihkan air dalam periuk dengan api sederhana besar.Masukkan adunan yang telah siap digentel tadi ke dalam periuk dan celur sehingga butiran kuih timbul di permukaan air didihan.
  • Angkat dan toskan. 
  • Guling-gulingkan ke atas kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam.Hidangkan.

Khamis, 16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU...

As-salam buat semua..
Selamat Hari Guru buat semua rakan-rakan blogger yang bergelar .....CIKGU!
 




SUNFLOWER BUN

As-salam buat semua..

Dah lama tak buat roti sebab tangan kena sindrom malas nak menguli roti.Semalam datang sindrom tangan rajin pulak,jadilah roti Sunflower bun ini.Resepinya dari blog Chah tapi dah saya ubah suai sikit mengikut bahan yang ada.

SUNFLOWER BUN
Sumber:Bila Chah ke dapur.Blogspot
Resepi asal: Chef Micheal, ICCA

Bahan-bahan

500g tepung high protein (boleh juga menggunakan tepung gandum)
1 biji telur

25 gm susu tepung
10 gm yis kering (saya habiskan terus sepaket mauripan 11g)
1/2 sudu teh bread improver
5 gm bread softener atau emplex
90 gm gula kastor
1 sudu teh garam
70 gm mentega
  250 gm air dari peti sejuk
Filling kesukaan (sebaiknya yang berwarna kuning- saya gunakan kaya)

Bahan-bahan (untuk strussel)- untuk ditabur atas filling bun kita nanti:
1 sudu besar mentega atau marjerin
2 1/2 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu besar gula kastor

*rasa strussel ni lemak-lemak masin.Saya gantikan strussel dengan bijan goreng.

Cara membuatnya
Gaul semua bahan sehingga menjadi seakan-akan serbuk. Jika masih terasa tekstur mentega dan agak melekit, masukkan tepung sedikit lagi.Ketepikan.


Cara-cara untuk membuat bun

(menggunakan mixer, bread maker atau uli dengan tangan)

  • Masukkan semua bahan  ke dalam bread maker kecuali mentega.  
  • Pastikan garam diletakkan berjauhan dengan yis untuk mengelakkan proses pengembangan yis akan terbantut.jika menggunakan mixer,pastikan  menggunakan hook beater.
  • Pukul hingga doh  sebati. Kemudian, barulah masukkan mentega.
  • Pukul lagi hingga doh benar-benar kenyal dan licin serta elastik.
**saya tidak memukul doh ini tetapi mengulinya dengan tangan.
  • Rehatkan doh  sehingga mengembang dua kali ganda. Saya letakkan bekas doh ke dalam oven. (tidak perlu dipanaskan oven )
  • Setelah mengembang, tumbuk-tumbuk perlahan doh untuk mengeluarkan udara.
  • Ambil anggaran 30-40 gm doh dan gentel bulat. Gunakan sedikit tepung gandum untuk mengelakkan melekat. 
  • Leperkan doh kira-kira 3/4 inci tebal.Gunting doh kira-kira 1 inci dengan jarak anggaran 1 1/2 inci setiap satu.
  • Tekan tengah doh dengan sesuatu yang bulat (saya tekan dengan bawah cawan)
  • Susunkan ke dalam loyang yang telah dioles dengan sedikit marjerin/minyak.
  • Biarkan naik lagi sekali ganda. Tekan sekali lagi tengah doh dan masukkan filling. Tabur strussel secukupnya dan bolehlah dibakar.
  • Bakar pada suhu 150-160 'C kira-kira 10-15 minit.
  • Apabila masak, keluarkan dari oven dan sapu bun dengan marjerin atau shortening untuk mengilatkannya.
*saya menglis roti dengan telur kuning yang di campur susu pekat manis sebelum roti di bakar.Selepas roti masak,saya menyapu mentega pada roti supaya berkilat cantik.

Rabu, 15 Mei 2013

THE MOST FABULOUS BANANA CAKE

 As-Salam buat semua..

Hari ini saya mula bercuti selama empat hari.Masak-masak dan cuba resepi baru seperti biasa kerana ada banyak lagi bahan-bahan dalam simpanan yang masih belum di gunakan lagi.Sedang menunggu doh roti naik,saya entrikan satu lagi resepi kek pisang yang sedap.Resepi sebenar tidak di letakkan di dalam acuan kek cawan tapi untuk memudahkan anak-anak makan ,saya bakarnya di dalam acuan kek cawan.Kek yang lembap dan lembut serta rasanya yang sedikit manis.Sesuai di buat hidangan waktu minum petang.
THE MOST FABULOUS BANANA CAKE
Sumber:Puan Ros-Sinaran menu.blogspot

Bahan-bahan
110 gm tepung gandum
1 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh baking soda
3/4 cawan pisang masak yang telah di hancurkan
3/'4 cawan gula kastor     saya letak 1/2 cawan
1 biji telur
1/4 cawan mentega
50 ml.sour cream atau buttermilk(50 ml.susu segar campur 1 sudu teh cuka)
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Ayakkan tepung gandum,baking powder dan baking soda bersama.Hancurkan pisang masakdengan garfu.Ketepikan.
  • Pukul gula dan telur hingga kembang dan tambahkan pisang. Kemudian masukkan mentega dan pukul lagi selama 1 minit sehingga adunan pekat dan berkrim.
  • Seterusnya tambahkan sour cream atau buttermilk dan esen vanila dan pukul sebentar hingga sebati.
  • Kaup -balikkan  tepung gandum ke dalam adunan dan gaul rata.
  • Masukkan ke dalam loyang yang telah di alas dengan baking sheet ataupun masukkan ke dalam acuan kek cawan.Bakar pada suhu 180'C selama 40 minit atau bergantung pada oven masing-masing sehingga kek kelihatan perang.
  • Sejukkan sebentar dan bolehlah di hidangkan.


Selasa, 14 Mei 2013

SAGU GULA MELAKA

 As-Salam buat semua...

Sedapnya makan sagu gula melaka ini.kalau boleh nak selalu makan,tapi santan pekatnya membataskan segalanya.Sekali-sekala tu tak apa la kan.Boleh juga santan tu di gantikan dengan susu tapi rasanya tidak begitu mengancam!.Ia sedap di makan sejuk-sejuk.

SAGU GULA MELAKA
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
1 cawan sagu 
2 1/2 cawan air
santan pekat secukupnya
beberapa keping gula melaka
sedikit  garam
pewarna pilihan

Cara membuatnya
  • Masak air hingga mendidih,masukkan sedikit warna pilihan ke dalam sagu dan kacau rata.Masukkan sagu ke dalam air mendidih dan kacau rata .Biarkan sagu hingga masak sambil di kacau sekali-sekala .
  • Masukkan ke dalam acuan dan sejukkan sebentar dan kemudian letakkan di dalam peti sejuk.
  • Sementara itu masakkan santan pekat sebentar dan tambah sedikit garam.Santan juga boleh di makan tanpa di masak.
  • Masak gula melaka dengan sedikit air dan kacau hingga larut dan sedikit pekat.Sejukkan.
  • Semasa menghidang,cedukkan sagu ke dalam bekas sesuai,tambahkan santan pekat dan curahkan air gula melaka yang pekat ke atasnya.

Isnin, 13 Mei 2013

IKAN SIAKAP KERABU MANGGA

As-Salam buat semua...

Hari ini ,dengan bantuan dari my sweet friend-Joanna,dapatlah saya make-over serba sedikit blog ini.Dah lama tak merayau-rayau kat ruangan reka letak atau apa saja yang berkaitan dengan kemas kini muka depan blog membuatkan saya terlupa akan cara-caranya.Ubah penampilan sikit aje supaya nampak lebih segar!~...
Resepi hari ini ialah Ikan Siakap Kerabu Mangga.Resepi yang biasa saya jumpa ialah,Ikan siakap di letak Kerabu mangga di atasnya.Tetapi resepi yang saya buat ini lain sikit dari yang biasa saya makan.Jom kita tengok resepinya.

IKAN SIAKAP KERABU MANGGA
Sumber:Mimpi pelangi.blogspot

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci halia-hiris panjang
1 biji tomato-potong dadu
1/2 biji capsicum-potong dadu
1/2 biji bawang besar-potong dadu
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
1/2 batang karot-potong dadu
sedikit nenas-potong dadu
sedikti garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya
  • Ikan di lumur garam dan kunyit dan sedikit tepung jagung kemudian di goreng hingga garing.Ketepikan.
  • Tumbuk bawang merah dan bawang putih.Tumiskan bawang tumbuk ,halia dan bawang besar.
  • Masukkan sos cili dan sos tomato.Kacau sebati.
  • Masukkan capsicum,karot dan nenas .Tambahkan sedikit air jika terlalu pekat.
  • Biarka hingga mendidih,tambahkan garam dan gula seukup rasa.Angkat dan tuangkan ke atas ikan yang di goreng tadi.
Untuk kerabu mangga
2 biji mangga muda
2-3 biji bawang kecil
cili padi
udang kering-pilihan
kacang goreng-tumbuk sedikit
gula
sos ikan secukup rasa


Cara membuatnya
  • Parut an mangga.Gaul dengan bawang yang di hiris halus dan cili padi yang di potong kecil.
  • Masukkan udang kering,sos ikan dan sedikit gula.Rasalah setakat mana kesesuaian dengan selera masing-masing.Akhir sekali masukkan kacang tumbuk.
  • Letakkan kerabu mangga di atas ikan tadi.Siap untuk di hidangkan.

Ahad, 12 Mei 2013

PUDING MILO LAPIS OREO


 As-Salam buat semua..

Ucapan hari ibu dari Azim.Biasanya saya tidak memberitahu tentang hari ibu kepadanya kerana saya tidak menyambutnya.Tetapi dia ingat rupa-rupanya.Tulisannya di atas sekeping kertas besar membuat saya senyum sorang-sorang!tengoklah apa yang di tulisnya.Banyaknya Azim puji mama,tapi mama rasa satu je yang betul!Yang dia lupa tulis-ibu saya suka tidur!...hee..he.
Ok...kita ke entri masakan pula,kalau boleh nak postkan satu resepi sehari dan hari ini punya banyak masa untuk menulis..(dalam hati ada taman!).
PUDING MILO LAPIS OREO
Sumber:Suriani Osman-facebook/Buku Resepi

Bahan-bahan
10 gm. serbuk agar-agar
750 ml.air
150 gm gula
1 tin susu cair
3/4 cawan milo
biskut oreo-patahkan dua
sedikit garam      saya tambah

Cara membuatnya
  • Masak serbuk agar-agar dengan air sehingga larut.Kemudian masukkan gula dan masak lagi hingga gula larut.
  • Masukkan susu cair ,sedikit garam dan kacau sebati hingga mendidih.Tutup api.
  • Bahagikan adunan agar-agar kepada dua bahagian.Ambil satu bahagian dan di campur milo dan kacau sebati.Satu bahagian lagi di biarkan warna asal.
  • Adunan agar-agar milo tadi di bahagi dua sama banyak.Ambil satu bahagian dan masukkan ke dalam acuan.Sejukkan dan masukkan ke dalam peti sejuk hingga ia mengeras. sedikit.Goreskan dengan garfu.
  • Seterusnya tuangkan adunan agar-agar warna asal dan taburkan biskut oreo yang telah di patah dua tadi.Biarkan ia mengeras sedikit.
  • Akhir sekali tuangkan adunan milo yang separuh lagi dan masukkan ke dalam peti sejuk semula.
  • Setelah agar-agar mengeras,bolehlah di potong dan hidangkan.
*semasa melapis jika agar-agar membeku,bolehlah di panaskan semula hingga cair.

Sabtu, 11 Mei 2013

TELUR BUNGKUS



 As-Salam buat semua...

Hari ini  Sabtu-anak-anak tak ke sekolah dan saya tidak bertugas jadi saya masak Telur bungkus yang menjadi kesukaan anak-anak .Kali ini buat telur bungkus sebiji besar untuk mereka bertiga.Macam biasalah,tak letak sayur campur jadi saya letak ayam sahaja.

TELUR BUNGKUS
Olahan:daridapursuzana
 
Bahan-bahan
2 biji telur ayam(double A)
200gm isi ayam – dipotong dadu

beberapa helai daun limau purut-potong halus
1 batang serai-potong nipis 
1/2 biji bawang besar-potong dadu
1 ulas bawang putih – cincang halus
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram

1 suud besar saus manis ABC
Garam dan gula 

sedikit lada sulah

Cara membuatnya
  • Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
  • Masukkan cili kisar, kacau sekata dan biarkan seketika.
  • Masukkan sos cili, sos tiram,saus manis ABC dan daun limau purut dan serai serta sedikit air dan isi ayam.Kacau sekata.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa.Masak sehingga kering sedikit.
  • Pecahkan telur di dalam mangkuk. Masukkan sedikit lada sulah dan pukul sehingga sebati.Panaskan kuali dan sapu permukaan kuali dengan sedikit minyak.
  • Masukkan telur ke dalam kuali dan dadarkan sehingga memenuhi kuali.
  • Bila telur masak, tuangkan inti ayam ke atasnya dan lipat telur tersebut.
  • Terbalikkan telur yang siap dilipat. Siap untuk dihidangkan.