style="text-align: center"

Rabu, 16 Ogos 2017

CONGO BARS


Assalam buat semua..
Hari ini saya kongsikan satu lagi resepi mudah yang pasti menjadi kesukaan anak-anak.
Ini kali kedua saya membuatnya.
Ulang-ulang makan pun tak jemu..sedap jer kunyah.
Tambahan pula ada coklat cip dan kekacang di dalamnya.
Tapi sukatan gulanya agak manis,boleh di kurangkan jika tidak suka manis sangat. 
Let's try baking

CONGO BARS
Sumber:resepi Nenie Khuzaifah

Bahan-bahan
315 gm tepung gandum
150 gm mentega
320 gm gula perang   saya guna 250 gm
3 biji telur
2 1/2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu teh garam
1 sudu kecil esen vanila
250 gm coklat chips
1 cawan kekacang/optional
kepingan badam untuk taburan atas

Cara membuatnya

  • Ayak tepung,baking powder dan garam.Ketepikan.
  • Dalam bekas lain,putar atau kacau  mentega dan gula perang hingga gula melarut.
  • Masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar sebati.
  • Masukkan esen vanila.
  • Masukkan tepung yang di ayak tadi,coklat cip dan kekacang.Gaul rata.
  • Griskan dan alaskan loyang 10 x10 ataupun mana-mana loyang yang sesuai dengan baking sheet dan tuang adunan. 
  • Ratakan permukaan adunan dan taburkan coklat cip dan kepingan badam sebagai hiasan.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 170'c selama 30 minit sehingga permukaan atas golden brown.Jangan terlebih bakar.
  • Sejukkan dahulu sebelum di potong.

Sabtu, 12 Ogos 2017

KERUTUP UDANG

Assalam buat semua..
Siaran yang tertangguh-tangguh,hari ini baru dapat menulis resepi di sini.
Kerutup udang ni sedap di makan dengan nasi biasa ataupun Nasi Beriani.
Resepi asal menggunakan Udang galah tetapi saya hanya gunakan udang biasa sahaja.
Resepi dari blog Tiffin Biru.Thanks
Let's try masak.

 KERUTUP UDANG 
Bahan-bahan
1 kg.udang atau udang saiz besar
400 ml pati santan
160 ml sos tomato
2 sudu besar kerisik
2 sudu teh gula melaka
garam secukup rasa

Bahan A
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah
1 sudu besar cili kisar
1/2 biji bawang besar

Bahan B
4 cm kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga

Bahan C
3 cm kayu manis
2 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu besar ketumbar

Cara membuatnya

  • Udang di bersihkan dan toskan.
  • Lumur dengan sedikit kunyit dan garam.
  • Goreng hingga udang kemerahan.Angkat dan toskan.
  • Kisar halus bahan A.
  • Masukkan bahan C ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak hingga harum,kemudian kisar halus guna pengisar kering.Ketepikan.
  • Panaskan 100 ml minyak dan tumis bahan B hingga wangi.
  • Masukkan bahan A dan tumis hingga harum.
  • Tambah bahan C,kacau rata dan masak hingga mendidih, gunakan api sederhana.
  • Tambah kerisik,masukkan udang dan gaul rata.
  • Masukkan garam secukup rasa dan masak hingga kuah pekat.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.
  • Tabur hirisan daun bawang sebelum di hidangkan.

Sabtu, 5 Ogos 2017

MARBLE CHEESE BROWNIES

Assalam buat semua..
Brownies yang sedap ni dah berulang kali saya buat tapi tak jemu-jemu makan.
Sedap la pada selera saya sebab rasa cheese kat atas tu.
Let's try baking
Resepi dari Rinnchan.Tq

MARBLE CHEESE BROWNIES

Bahan brownies
250 gm butter
1 cawan serbuk koko
3 biji telur gred B
1 1/2 cawan gula kastor
1/2 cawan susu cair
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya

  • Panaskan oven pada suhu 175'c.Alas loyang empat segi 10" x10" dengan baking sheet.
  • Biar kertas berjuntai pada kedua belah yang bertentangan supaya mudah mengeluarkan brownies
  • Cairkan butter.Masukkan serbuk koko dan kacau rata
  • Kacau gula dan telur dengan handwhisk.
  • Masukkan ke dalam adunan butter-koko.Kacau sebati.
  • Masukkan tepung yang telah di ayak bersama baking powder dan soda bikarbonat.
  • Akhir sekali masukkan esen vanila dan kacau rata.
  • Tuangkan adunan brownies ke dalam loyang dan ratakan.
  • Tinggalkan sedikit adunan untuk buat corak marble di atas permukaan brownies nanti.
  • Bakar selama 20 minit menggunakan api atas bawah.

Bahan untuk lapisan cheese

  • 250 gm cream cheese
  • 1 cawan gula kastor   saya guna 1/2 cawan sahaja
  • 1 biji telur gred B
Cara membuatnya

  • Pukul cream cheese hingga gebu
  • Masukkan gula dan pukul lagi hingga sebati
  • Masukkan telur dan pukul sebentar lagi.
Selepas 20 minit,Keluarkan brownies dari oven.
Tuangkan adunan cheese dan ratakan.Paipkan baki adunan brownies ke atas lapisan cheese.
Lorekkan corak ikut citarasa.
Masukkan semula ke dalam oven dan bakar lagi selama 15 minit sehingga cheese masak.
Biarkan sejuk sebelum di potong.

Khamis, 3 Ogos 2017

TELUR MASAK PINDANG

Assalam buat semua..
Pada mulanya saya ingatkan Telur masak pindang ini adalah telur rebus dengan rempah dan daunan seperti yang selalu kita jumpa kat kenduri di Negeri Johor.
Resepi ini di panggil juga Telur masak pindang dan di ajarkan kepada saya oleh Makcik Zaitun yang baik hati dari Rembau,Negeri Sembilan.
Terimakasih Makcik Zaitun yang comel.
Sedap juga rasanya bila di makan dengan nasi putih. 
Let's try buat

TELUR PINDANG

Bahan-bahan
8-10 biji telur ayam
1 kg.santan pekat

Bahan tumbuk
10 ulas bawang merah/ikut jumlah sendiri
10 cili padi/ikut kesukaan sendiri

garam secukup rasa
pucuk ubi secukupnya
daun kunyit secukupnya

4 helai daun pisang potong 4 segi lebar

Cara membuatnya

  • Pecahkan telur dalam bekas dan kacau rata.
  • Panaskan kuali dengan api kecil dan alaskan dengan dua keping daun pisang.
  • Masukkan telur tadi dan biarkan hingga bahagian bawah masak.
  • Letakkan 2 keping lagi daun pisang di atas bahagian atas telur.
  • Balikkan telur kesebelah lagi bersama-sama helaian daun pisang.
  • Masak telur sebelah lagi hingga masak.
  • Angkat dan potong bentuk kiub sederhana kecil.Ketepikan.
Masak kuah
  • Ambil daun kunyit dan balutkan pucuk ubi dan potong halus-halus.
  • Masukkan santan pekat bersama bahan tumbuk dan secawan air
  • Masak dengan api sederhana .
  • Bila mendidih,masukkan kesemua bahan yang di hiris halus.
  • Masukkan telur kiub tadi tambahkan garam secukup rasa.
  • Kecilkan dan biarkan ia merenih lama-lama sampai kuah agak pekat.
  • Kemudian bolehlah di hidangkan. 

Selasa, 1 Ogos 2017

KUIH LAPIS

Assalam buat semua..
Baru sekali try buat Kuih lapis sebab nampak resepinya macam mudah sahaja.
Buat warna -warni nampak meriah sikit.
Ok la,not bad pada diri sendiri sebab orang kata kalau kuih lapis tu menjadi.setiap lapisannya boleh di tanggalkan.
Tu.. boleh tanggal setiap lapis, tapi tidak berapa kemas kejadiannya.
Bukan untuk tempahan pun,nak makan sendiri ..
Let's try buat

KUIH LAPIS

Bahan-bahan
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula
5 cawan santan
1/2 sudu kecil garam
pewarna pilihan

Cara membuatnya

  • Panaskan pengukus.
  • Masukkan kesemua bahan ke dalam blender.
  • Tapiskan dan bahagi kepada beberapa warna pilihan
  • Kukus setiap warna selama lebih kurang 10 minit setiap lapis.
  • Gunakan senduk yang sama untuk menyukat supaya lapisan sama tinggi.
  • Buat sampai habis .
  • Sejukkan dahulu di dalam peti sejuk sebelum di potong.

Ahad, 16 Julai 2017

PUDING OREO MILO


Assalam buat semua..
Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi puding yang sedap 
Ada gabungan oreo dan milo.
Makan time sejuk-sejuk tu nyaman rasanya.
Let's try buat.

PUDING OREO MILO

Bahan-bahan
10 gm serbuk agar-agar
1 tin susu cair
1 bungkus biskut oreo-patahkan dua
750 ml air
150 gm gula
3/4 cawan milo

Cara membuatnya

  • Masukan kesemua bahan dalam periuk kecuali biskut oreo dan milo.
  • Masak dengan api sederhana sambil di kacau hingga mendidih.
  • Bahagikan kepada dua bahagian
  • Satu bahagian di campur milo,kacau rata dan tapiskan.Bahagi dua.
  • Masukkan setengah adunan milo,sejukkan sebentar dan letak dalam freezer sebentar supaya ia cepat keras. 
  • Goreskan dengan garfu dan curahkan adunan putih.
  • Masukkan biskut oreo yang di patahkan tadi.
  • Sejukkan sebentar dan masukkan ke dalam freezer.
  • Bila keras,goreskan dengan garfu dan curahkan setengah adunan milo lagi.
  • Sejukkan sekali lagi di dalam peti sejuk hingga keras. 


Selasa, 11 Julai 2017

SMILEY'S POTATO

 As Salam  buat semua..
Potato Russet kat dapur sampai dah tumbuh nak keluar daun,punyalah lama beli tak buat-buat.
Mujur jumpa resepi ni,boleh try buat nak perabih stok lama.
Lakulah juga bila tengok potato yang ceria dan kiut ni.
Ia crispy di luar dan lembut di dalam.
Lets's try buat.

SMILEY POTATO

Bahan-bahan
2 biji potato besar/Russet potato
3 sudu besar tepung jagung
1/4 cawan gandum
3 sudu besar bread crumbs
1 1/2 sudu teh pepper
1 biji telur
garam secukup rasa
minyak sayur untuk menggoreng

Cara membuatnya

  • Bersihkan potato dan buang kulitnya. Potong kiub.
  • Rebus sampai lembut dan toskan airnya.
  • Campurkan dengan tepung jagung,gandum,pepper,telur,bread crumbs.
  • Lenyek hingga hancur dan gaul rata semua bahan hingga sebati.
  • Bentangkan baking sheet dan tabur tepung.
  • Ambil doh dan leperkan sedikit.Letak sehelai kertas lagi atasnya.
  • Gunakan penggelek dan gelek hingga doh jadi rata.
  • Tekapkan dengan acuan bulat.
  • Buat mata dengan straw dan mulut tersenyum dengan sudu besar.
  • Panaskan minyak sayur dan goreng hingga garing dan warna keperangan.
  • Toskan minyaknya dan hidangkan bersama sos cili dan mayonis.


Ahad, 9 Julai 2017

AYAM MASAK PALEMBANG

Assalam buat semua..
Lamanya tak menulis di sini...
Sentiasa teringat nak menulis dalam 3 minggu ni..tapi tak sempat pula.
Asyik bertangguh,lama -lama bertimbun gambar masakan dalam folder.
Beratur la lepas ni...nak pos satu-satu.
Kali pertama cuba masak ayam guna resepi dari Azlita masam manis.
Rasanya sedap juga makan dengan apa-apa jenis nasi pun.
Let's try masak.

AYAM MASAK PALEMBANG

Bahan-bahan
1 ekor ayam
di potong dan bersihkan kemudain gaul dengan garam dan kunyit goreng separuh masak.
Angkat dan ketepikan.

5 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
1 cawan santan
1 tangkai daun kari
2 keping asam keping
garam dan gula secukup ras
air jika perlu
minyak untuk menumis.

Bahan kisar
7 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
15-20 tangkai cili kering-rendam lembut
2 inci halia
2 batang serai

Cara membuatnya

  • Ambil sedikit minyak goreng ayam dan panaskan.
  • Tumiskan bahan kisar,serai dan daun kari hingga harum dan garing.
  • Bila dah garing,masukkan kicap manis dan sos tiram.
  • Jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
  • Bila dah merenih,masukkan ayam.
  • Masukkan asam keping,santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  • Biar merenih dan kuah pekat.
  • Angkat setelah masak dan hidangkan.

Khamis, 22 Jun 2017

BISKUT ROS UNTAIAN CINTA

Assalam buat semua..
Ada beberapa jenis biskut yang saya buat di penghujung Ramadhan ini.
Mulanya hanya nak beli saja biskut raya sebab penat nak membuatnya.
Tapi akhirnya saya terbuat juga beberapa jenis..mood nak raya! 
Rasanya tak sempat untuk di poskan semua di sini sebelum raya. 
Dua hari menjelang raya adalah waktu yang amat sibuk bagi semua orang termasuk saya.
Jadi hari ini saya kongsikan satu resepi biskut yang saya jumpa di FB.Kali pertama membuatnya,bentuk tidak begitu perfect
Kredit untuk Norriha Norriha/Resepi baru hari ini.
Video cara membuatnya ada di fan page tersebut.
Let's try baking

BISKUT ROS UNTAIAN CINTA 

Bahan-bahan
250 gm butter
100 gm gula halus
200 gm tepung jagung
150 gm tepung gandum
1 sudu teh esen vanila
pewarna pink dan kuning
1 sudu besar tepung beras    saya tambah

Cara membuatnya

  • Gaul rata butter,gula dan esen vanila.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga jadi doh.
  • Doh kena lembut supaya senang di tekan keluar guna acuan samperit.
  • Bahagikan doh kepada dua warna.
  • Ambil sedikit dua warna itu dan tekan keluar membentuk bunga.
  • Letakkan dalam paper cup kecil.
  • Buat sampai habis.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 150'c selama 15- 20 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Selasa, 20 Jun 2017

AGAR -AGAR SANTAN PANDAN

Assalam buat semua..
Agar-agar santan yang saya buat untuk berbuka semalam..
Resepinya ringkas sahaja.
Buat awal-awal letak dalam peti sejuk baru lah makan sedap kan.
Let's try buat

AGAR -AGAR SANTAN PANDAN

Bahan-bahan
1 paket agar-agar Nona (8 gm)
350 ml santan
700 ml air
1 biji telur
gula -ikut manis sendiri
pewarna hijau
1 sudu teh esen pandan
sedikit garam

Cara membuatnya
  • Satukan semua bahan kecuali santan dan telur.
  • Masak di atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga mendidih.
  • Campurkan santan dan telur dan kacau sebati.
  • Masukkan ke dalam adunan agar-agar dan kacau sentiasa.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.
  • Basahkan acuan dan masukkan ke dalam acuan pilihan.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam peti sejuk

Ahad, 11 Jun 2017

KETUPAT SOTONG

 Assalam buat semua..
Pertama sekali nak pesan pada orang yang selalu curi pos saya ni..tolong hentikan kerana anda mengambil karya saya tanpa izin.
Nak ada blog masakan,
kena gi beli bahan 
kena masak dan rasa
kena ambil gambar,
kena tulis resepi
baru lah boleh publish
masa ?..beberapa jam mengadap komputer belum tentu siap.
susahkan..
senang saja anda auto copy paste ke dalam blog anda.

Hari ini saya kongsikan satu lagi resepi makanan rare di negeri lain tetapi popular di Kelantan iaitu Ketupat Sotong.Ia adalah sotong yang di sumbat dengan beras pulut dan di masak lama dengan santan dan rasanya agak manis.
Di Bazar Ramadhan,seekor Ketupat sotong kecil di jual dengan harga Rm 2-tak -cukup-nak-makan.Rasanya juga tidak memenuhi citarasa sendiri.Baik cuba buat sendiri baru puas makan.
KETUPAT SOTONG

Bahan-bahan
10 ekor sotong
2 cawan santan pekat
2 keping gula melaka 
gula pasir jika perlu
2 helai daun pandan
3/4 cawan beras pulut /secukupnya
garam
sedikit halia-racik halus
1 sudu teh halba
lidi

Cara membuatnya
  • Basuh beras pulut dan rendam dengan satu cawan santan sebentar.
  • Bersihkan sotong dan asingkan kepalanya.
  • Masukkan beras pulut ke dalam sotong separuh badan sahaja.
  • Jangan sumbat ketat untuk elak dari sotong pecah bila di rebus nanti.
  • Sematkan kepala sotong ke badannya dengan lidi.
  • Susun dalam periuk dan buat hingga habis.
  • Masukkan lebihan santan,daun pandan,setengan cawan air,halba,hirisan halia dan rebus dengan api kecil .
  • Bila pulut telah masak,tambah satu cawan santan lagi,gula melaka.gula pasir jika perlu dan garam secukup rasa.
  • Masak sehingga kuah kelihatan pekat sedikit.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.
**Kuah nampak sedikit kehitaman kerana ada seekor sotong tak terbuang dakwatnya.Kuah sepatutnya berwarna perang tua sedikit.

Sabtu, 3 Jun 2017

AIR JAGUNG


Assalam buat semua.. 
Ramadhan ke-8..
Minuman untuk Iftar petang nanti,saya dah siap-siap buat air jagung. 
Letak dalam peti ais untuk di sejukkan.
Azim cakap..mama buat Air jagung awal-awal buat terliur saja.
Pejam mata dan jangan buka peti sejuk !
Let's try buat

AIR JAGUNG

Bahan-bahan
1 tin susu pekat
1 tin susu cair
1 tin cream corn
1 botol kordial jagung
1 helai daun pandan
secubit garam
sedikit pewarna kuning
gula ikut manis.
air secukupnya.

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan kecuali gula ke dalam periuk dan masak hingga mendidih dengan api sederhana sambil di kacau.
  • Masukkan gula sedikit demi sedikit ikut manis yang di inginkan.
  • Sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam peti sejuk
  • Hidangkan bersama ketulan ais. 

Rabu, 17 Mei 2017

NASI DAGANG

Assalam buat semua..
Di antara banyak jenis nasi di Kelantan ni,salah satu yang menjadi kesukaan saya adalah Nasi Dagang
Saya lebih suka makan Nasi Dagang Terengganu yang menggunakan beras siam wangi.
Kedua-duanya mempunyai versi masing-masing.
Biasanya saya akan campur kedua-dua versi ini jika membuatnya
Lauknya adalah Gulai ikan tongkol,gulai ayam,telur rebus dan acar timun. 
Let's try buat.

NASI DAGANG 

Bahan-bahan
5 cawan beras siam wangi
2 1/2 cawan santan cair
2 cawan santan pekat
3 ulas bawang merah-mayang halus
1 inci halia-mayang halus
3/4 sudu besar halba
1 sudu besar rata garam 
2 sudu besar gula
2 helai daun pandan

Cara membuatnya

  • Beras dan bersih dan rendam air seketika.
  • Panaskan pengukus hingga air mendidih.
  • Masukkan beras ke dalam pengukus dan kukus separuh masak -nampak wap keluar lebih kurang 20-30 minit.
  • Bila separuh masak,angkat dan masukkan ke dalam bekas dan siramkan santan cair dan gaul rata.
  • Masukkan semula ke dalam periuk pengukus dan kukus semula bersama daun pandan hingga masak.
  • Campurkan santan pekat bersama garam,gula,bawang hiris,halia dan halba.
  • Bila masak,angkat semula dan masukkan ke dalam bekas.
  • Gaul perlahan bersama adunan santan pekat.
  • Boleh di kukus semula dalam 3-5 minit atau sedia di makan terus bersama lauk .

Ahad, 14 Mei 2017

CHILLED MANGO CHEESE CAKE

 


Assalam buat semua..
Ni baru pertama kali buat Chesse cake jenis tak payah bakar..mudah juga cara membuatnya.
Sekarang ni masih musim mangga kat Kota Bharu boleh lah cuba buat..
Kalau buat lagi saya nak mekap cantik-cantik sikit pada kek ni .
Let's try buat

Bahan-bahan

200 gm biskut Marie
100 gm mentega,dicairkan
250 gm cream cheese
60 gm gula halus
2 biji mangga masak- satu dadu,satu lagi buat puri
1 1/2 sudu besar gelatine halal
125 ml air suam
200 ml whipping cream.

Cara membuatnya

  • Biskut marie di kisar halus kemudian masukkan mentega cair sedikit demi sedikit sehingga mendapat bancuhan yang boleh di kepal.
  • Masukkan dalam tin spring form berukuran 8 inci dan tekan padat-padat.
  • Sejukkan dalam freezer.
  • Putar Cream cheese dengan gula halus hingga berkrim.
  • Masukkan puri mangga tadi dan putar rata.
  • Dalam bekas lain,putar Whipping cream hingga kembang.
  • Masukkan ke dalam bancuhan keju tadi.Gaul rata menggunakan spatula.Ketepikan.
  • Gelatine halal di bancuh bersama air suam,kacau hingga larut dan kelihatan jernih.
  • Tuang ke dalam adunan cheese tadi,kacau rata dan masukkan setengah mangga dadu tadi.
  • Tuang ke dalam loyang yang ada base biskut tadi dan ratakan.
  • Letakkan mangga dadu selebihnya di atas kek.
  • Simpan semula dalam peti ais bahagian bawah pula selama3-4 jam.
  • Keluarkan dari loyang dan bolehlah di hidangkan.Potong dengan pisau yang di celup dalam air panas.

Isnin, 8 Mei 2017

PLA-MEUK NEUNG PRIK MA-NAO

 Assalam buat semua..
Nama resepi kali ini ditulis dalam Bahasa Thai..maksudnya,Sotong kukus limau bawang putih.
Berbelit lidah nak menyebutnya.Try la sebut dalam bahasa Thai..
Sebut pun kena soft spoken,kan bahasaThai adalah bahasa yang paling lembut di dunia sebutannya.
Rasanya tentu lah best untuk selera saya.

Kalau makan buat berbuka puasa nanti,lagilah menambah nasi.
Resepi oleh Aezach AR/FB.Thanks.
Let's try buat.

SOTONG KUKUS LIMAU BAWANG PUTIH

Bahan A-untuk perap
5 ekor sotong
2 batang serai
1 inci lengkuas
2 biji bawang putih-ketuk hancur
3 batang akar daun ketumbar-ketuk hancur

Bahan B-di potong
2 pokok daun ketumbar-potong panjang
5 biji cili api-hiris nipis   guna cili merah
1 biji limau nipis-dadu kecil
4 biji bawang putih-dadu halus

Sos Ma-nao
3 sudu makan sos ikan
3 sudu makan sos limau nipis
2 sudu gula perang
-seimbangkan rasa masam,masin dan manis.

Cara membuatnya

  • Bersihkan sotong dan kelar melintang.Toskan sebentar
  • Gaul semua bahan A dan biarkan selama 10 minit.
  • Kukus sotong dengan api yang besar selama 12 minit.Jangan kukus lama-sotong akan liat.
  • Keluarkan sotong dari pengukus,ambil 3 sudu air kukusan sotong(saya guna semua air rebusan) dan campur dalam Sos Ma-nao.
  • Campurkan semua bahan yang di potong.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di hidangkan.Rasanya masam -masam manis.

Rabu, 3 Mei 2017

THE MOST FABULOUS BANANA CAKE

Assalam buat semua..
Masa tidak begitu mengizinkan untuk selalu berada di ruangan ini
Setiap hari semakin banyak pula tugasan menanti.
Namun begitu saya curi juga masa untuk berada di ruangan yang terindah ini..
Hari ini saya ingin kongsi resepi kek cawan yang selalu saya buat.
Lembut dan moist sahaja teksturnya.
Let's try baking.

THE MOST FABULOUS BANANA CAKE

Bahan-bahan
110 gm tepung gandum
1 biji telur
1 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
1/4 sudu teh baking soda
1 biji pisang masak saiz besar(1/2 -3/4 cawan bila di hancurkan)
3/4 cawan gula kastor
1/4 cawan mentega
50 ml sour cream/buttermilk (50ml susu segar campur 1 sudu teh cuka)
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya

  • Campurkan tepung gandum,baking powder,garam dan baking soda dan ayak bersama.Ketepikan.
  • Hancurkan pisang.Pukul gula dan telur,tambahkan pisang hancur. 
  • Kemudian tambahkan mentega dan pukul lagi lebih kurang seminit sehingga adunan jadi pekat dan berkrim.
  • Tambahkan buttermilk dan esen vanila dan pukul rata.
  • Tambahkan bahan kering ke dalam adunan dan kaup -balik sampai rata.Jangan terlebih gaul.
  • Masukkan ke dalam loyang atau guna cawan kertas.Bakar dengan suhu 180'c selama 20-30 minit atau sehingga bahagian atas nampak golden brown bergantung pada oven masing-masing.

Ahad, 16 April 2017

POPIA AYAM CENDAWAN

Assalam buat semua..
Sangat lah sedap Popia Ayam Cendawan ni.
Nanti kena ulang buat lagi sebab ada permintaan untuknya lagi..
Kadang-kadang tu,kalau cuba resepi yang tak pernah di buat lagi,kita try and error saja.
Kalau ada orang suka kena buat lagi,kalau tidak sekali tu saja lah kita buat.
Tidak pun kalau saya sendiri suka,saya ulang juga.
Ok.Let's try buat.

POPIA AYAM CENDAWAN

Bahan-bahan
kulit popia secukupnya

Bahan inti
10 batang sosej ayam
2 tin cream of Chicken and Mushroom Campbell's
400 gm ayam cincang
1 labu bawang besar-potong kiub
5 ulas bawang putih-cincang halus
1 tin cendawan butang-potong nipis
1 batang karot-parut kasar
serbuk lada hitam
serbuk lada sulah
garam dan gula

Cara membuatnya

  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu.
  • Masukkan ayam cincang dan kacau rata hingga ayam masak.
  • Masukkan sosej dan karot.Biarkan sekejap.
  • Kemudian masukkan cendawan butang.
  • Akhir sekali masukkan Cream of chicken mushroom dan gaul rata.Tambahkan sedikit air.
  • Perasakan dengan sedikit garam jika perlu,serbuk lada hitam dan lada sulah dan sedikit gula.
  • Balutkan popia,gamkan hujungnya dengan bancuhan tepung gandum dan simpan sekejap dalam peti ais supaya krim jadi pekat.
  • Kemudian bolehlah di goreng.

Khamis, 13 April 2017

BAKUL ROTI CHEESE

Assalam buat semua...
Hari ini nak kongsi resepi ringkas daripada roti yang nak sampai tarikh luputnya dalam sehari lagi.
Tak ada orang makan roti tu..3 hari dah saya beli.
Sekali buat macam ni..sekejap sahaja dah habis
Bawa bekal pergi bertugas lagi..
let's try baking

BAKUL ROTI CHEESE

Bahan-bahan
1 bungkus kecil roti Gardenia
2 batang sosej-celur sebentar
2 tangkai daun sup-hiris halus
1 biji cili merah-buang biji potong kecil
 2 biji telur
1 sudu kecil serbuk cukup rasa Maggi
serbuk lada hitam
serbuk lada putih
keju cheddar parut

Cara membuatnya

  • Masukkan roti ke dalam acuan muffin untuk membentuk bakul dan tekan sedikit supaya kemas.
  • Kacau telur dan masukkan serbuk cukup rasa,serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan daun sup.
  • Letakkan sosej yang di potong kiub kecil dan hirisan cili merah.
  • Masukkan adunan telur ke dalam bakul roti hingga hampir penuh.
  • Taburkan keju cheddar parut.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 160 'c hingga keju kelihatan garing.
  • Sedap di makan dengan sos cili.

Jumaat, 7 April 2017

KIWI CREAM CAKE

Assalam buat semua..
Resepi yang saya gunakan untuk buat kek ini adalah resepi kek span.
Keknya kecil sahaja menggunakan loyang 6 atau 7 inci sesuai untuk kek bajet yang harga Rm 9.90 tu.
Sesuailah buat kek kecil ni kerana hanya saya sahaja peminatnya di rumah ini.
Anak-anak tak makan kek krim,kecuali makan kek krim coklat saja.
Tidak begitu kemas kejadiannya sebab dah lama tak main dengan krim ni tapi dah memuaskan hati sebab di buat sendiri..
Let's try baking

SPONGE CAKE

Bahan-bahan
90 gm tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
*ayakkan bersama 

50 gm gula kastor
1 sudu besar susu tepung
2 biji telur
1 sudu besar ovalatte
1 sudu kecil esen vanila

Cara membuatnya

  • Satukan kesemua bahan dalam mixer dan putar guna level 1 supaya semua bahan bergaul rata.
  • Kemudian gunakan level 3/4 dan putar sampai kembang dan kelihatan putih.
  • Akhir sekali masukkan 4 sudu besar minyak masak dan gaul guna spatula sahaja.
  • Sapukan loyang dengan butter dan alaskan dengan baking sheet.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 170'c selama 40 minit bergantung pada oven masing-masing hingga masak.
  • Sejukkan atas redai dan potong kepada dua lapis.
Topping
2 cawan krim putar-putar sampai kaku.
kiwi filling 

Sapukan krim putar pada lapisan pertama dan paipkan kiwi filling
Lapiskan dengan satu lapis kek lagi dan sapukan krim pada seluruh kek.
Hiaskan dengan lebihan krim putar dan paipkan kiwi filling di atas kek.
Sejukkan dalam peti sejuk sebelum di potong.

Ahad, 2 April 2017

UDANG GALAH MASAM MANIS

 Assalam buat semua..
Hari ni nak kongsi satu resepi udang yang biasa saya masak.
Resepinya mudah dan ringkas sahaja
Masakan udang ni tak kira buat apa pun semuanya nampak sedap
Tambah- tambah kalau dapat udang besar.
Let's try masak

UDANG GALAH MASAM MANIS

Bahan-bahan
1/2 kg udang galah
1 labu bawang besar-hiris nipis
5 ulas bawang putih-cincang
3 sudu besar cili kering kisar
5 sudu besar sos cili Thai
2 sudu besar sos tiram
sedikit serbuk lada hitam
1 sudu besar jus limau nipis
gula perang
serbuk cukup rasa Maggi
4 helai daun limau purut
minyak sayur untuk menumis

Cara membuatnya

  • Perapkan udang dengan sebuk lada hitam dan lada putih.
  • Goreng sekejap hingga udang bertukar merah.Ketepikan.
  • Gunakan minyak yang sama dan tumiskan bawang putih cincang dan bawang besar hingga naik bau.
  • Masukkan cili kering dan masak hingga naik minyaknya.
  • Masukkan sos cili,sos tiram,daun limau purut dan sedikit air.
  • Masukkan udang,serbuk cukup rasa Maggi,gula perang,serbuk lada hitam dan gaul rata.
  • Masak dengan api sederhana hingga kuah sedikit pekat.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehlah di angkat.
  • Taburkan batang daun ketumbar hiris untuk hiasan


Selasa, 21 Mac 2017

KUIH KACAU KELEDEK

 Assalam buat semua..
Saya cuba buat kuih lama ini yang menjadi kesukaan pada suatu ketika dahulu.Rasanya sungguh sedap !
Ketika masih bersekolah..
Ketika arwah ibu masih ada..ternampak-nampak ibu mengacau kuih ni di dapur.
Tak pernah saya kisahkan waktu itu,hanya tahu makan saja. 
Sehingga lah hari ini,saya cuba membuatnya kembali.
Baru tahu betapa lenguhnya tangan ibu mengacau kuih ini suatu ketika dahulu...
Let's try buat.

KUIH KACAU KELEDEK

Bahan-bahan
1 kg keledek
2 cawan santan pekat
gula secukup rasa
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila
2 biji telur
2 helai daun pandan

Cara membuatnya

  • Bersihkan keledek,kikis kulitnya.
  • Potong keledek kecil-kecil dan rebus sampai lembut.
  • Pukul telur dan masukkan esen vanila.
  • Masukkan keledek dan setengah dari air rebusan ke dalam kuali bersama semua bahan-bahan .
  • Kacau sambil di hancurkan keledek.
  • Kacau hingga air kering dan keledek menjadi lembut dan kental.
  • Masukkan ke dalam acuan jika suka.
  • Sejukkan sebelum di hidangkan.


Ahad, 19 Mac 2017

KEK MENTEGA KUKUS

 Assalam buat semua..
Kali ini cuba buat Kek Mentega yang di kukus pula.
Kali pertama buat nampak kejadiannya elok saja..teksturnya moist dan gebu sahaja.
Kek ini di buat untuk di beri kepada kawan sekolah Azim.
Kali pertama buat dulu tak sempat nak ambil gambar kerana di buat pada waktu malam.
Resepi dari group Masak apa hari ini/FB.Thanks
Let's try buat.

KEK MENTEGA KUKUS

Bahan-bahan
1 cawan mentega/250 gm
4 biji telur gred A
1 cawan gula-kalau tak nak manis boleh kurangkan
5 sudu besar susu pekat
1 sudu teh esen vanila

Semua bahan di atas,masukkan ke dalam mixer atau blender .
Putar hingga kembang dan gebu.

Bahan ayak
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder

pewarna pilihan/optional

Campurkan bahan yang di putar tadi dengan tepung dan gaul sebati.
Bahagikan kepada beberapa warna pilihan.
Masukkan ke dalam loyang dan letakkan plastik/alumimium foil di atasnya supaya wap air tidak menitik ke atas adunan kek.
kukus selama 45-50 minit dengan api sederhana.
Sejukkan sebentar sebelum di keluarkan dari acuan .

Jumaat, 17 Mac 2017

Ahad, 12 Mac 2017

RENDANG AYAM MINANG

Assalam buat semua..
Saya buat Rendang Ayam ini untuk di makan bersama Pulut Kuning.
Rendang ini tahan lama dan tidak mudah basi.
Resepi yang di gunakan untuk dua ekor ayam tapi saya hanya memasak untuk seekor sahaja.
Saya jarang masak rendang kerana tiada peminatnya di rumah ini.
Sedikit rendang dan Pulut Kuning di beri kepada kawan-kawan lama semasa di sekolah menengah dahulu...Nik Li,Padeli,Yana dan Tun.
Kalau buat sedikit tidak memadai..buat banyak boleh juga bagi orang lain merasa.
Let's try masak.

RENDANG AYAM MINANG
2 ekor ayam
1 kg bawang merah-hiris
3 labu bawang putih-hiris
4 inci halia-hiris
4 inci lengkuas-tumbuk
2 inci kunyit hidup-tumbuk
4 batang serai-titik
4 senduk cili kisar-ikut suka pedas
kayu manis,buah pelaga,bunga lawang
4 kg santan
2 keping asam keping-ikut rasa
garam
gula
daun kunyit
sedikit kerisik-optional untuk warna gelap

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan hiris serta serai hingga wangi.
  • Kemudian masukkan cili kisar dan kunyit serta lengkuas yang di tumbuk
  • Tumis hingga cili benar-benar garing
  • Masukkan ayam dan gaul rata.Masak  sehingga ayam kecut.
  • Masukkan sedikit santan cair bagi membolehkan ayam masak.
  • Setelah itu,baru masukkan semua santan dan masak dengan api perlahan sahaja.
  • Akhir sekali,masukkan kerisik,garam dan gula secukup rasa dan asam keping.
  • Masak lagi hingga kuah kering dan pecah minyak.
  • Jika suka boleh taburkan daun kunyit yang di hiris halus sebelum tutup api.
  • Masak lama-lama jika inginkan kuah rendang berwarna gelap.

Rabu, 8 Mac 2017

SOTONG TUMIS TOMATO

Assalam buat semua...
Masak sotong untuk makan tengahari.
Dah lama sotong tu saya beli,dari yang segar then keep frozen baru semalam ada masa untuk memasaknya.
Kulitnya pun dah hampir tertanggal lama sangat dok bertapa dalam peti ais. 
Masakan sotong ni mudah dan ringkas sahaja.
Let's try masak.

Bahan-bahan
400 gm sotong
3 biji tomato-di hiris
3 tangkai cili hijau-di hiris
1 labu bawang besar-di mayang
3 ulas bawang putih-di hiris
1 sudu kecil serbuk jintan manis
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili Thai
1 sudu besar gula perang
6 helai daun limau purut
serbuk cukup rasa maggi

Cara memmbuatnya

  • Tumis bawang hingga naik baunya.
  • Kemudian masukkan jintan dan tumis lagi.
  • Masukkan tomato,daun limau purut dan cili hijau.
  • Tumis hingga layu dan tomato hancur.
  • Masukkan sos tiram,sos tomato,sos cili thai,gula perang dan serbuk cukup rasa Maggi.
  • Akhir sekali masukkan sotong.
  • Masak hingga sotong lembut dan kuah sedikit pekat.
  • Bila masak,masukkan ke dalam pinggan dan taburkan dengan hirisan daun ketumbar dan tomato.

Isnin, 6 Mac 2017

MUFFIN VANILLA COKLAT CIP

Assalam buat semua..
Cuti yang berbaki sehari lagi..boleh update blog
Resepi ni saya jumpa kat wall Azlina Ina Fans/FB.Thanks Ina,mudah saja .
Muffinnya gebu dan moist sahaja dan penuh dengan rasa coklat
Let's try baking.

MUFFIN VANILLA COKLAT CIP

Bahan A
1 cawan butter atau marjerin
1/2 cawan butter cair 
1/2 cawan minyak
2 cawan gula perang(kalau nak manis tambah 1/4 cawan lagi)
sedikit esen vanila


Bahan B
3 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko

4 biji telur gred A
1 3/4 cawan susu segar/susu cair

Cara membuatnya
  • Ayak bahan B.Ayak dan ketepikan.Panaskan oven.
  • Satukan kesemua bahan A dan gaul rata dengan whisk.
  • Setelah sebati ,masukkan telur sebiji demi sebiji sambil di kacau dengan whisk.
  • Masukkan tepung berselang dengan susu dan kacau rata.
  • Masukkan adunan ke dalam paper cup 3/4 penuh.
  • Paipkan krim coklat di atasnya jika suka
  • Taburkan coklat cip.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 170 'c selama 30 hingga 35 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Dah siap boleh lah hias dengan topping jika suka atau makan begitu sahaja.

Jumaat, 3 Mac 2017

FOIL PACK CHICKEN AND RAINBOW VEGGIES


Assalam buat semua..
Saya buat ni untuk kakak Afiqah selepas dia share satu gambar masakan sebegini kat wall FB.
Tau dah..mesti nak kena buat bila dia balik bercuti nanti.
Resepinya ringkas sahaja dari Tasty
saya ubah-suai ikut bahan yang ada kat dapur
Kalau tak jemu boleh makan hari-hari macam ni pun sedap juga
mudah dan ringkas tapi mengenyangkan juga.
ala-ala healthy food juga la ni.
let's try masak

FOIL PACK CHICKEN AND RAINBOW VEGGIES

Bahan-bahan
1 keping dada ayam-potong nipis

brokoli,karot,tomato ceri
capsicum merah,kuning hijau
lemon
bawang besar
serbuk lada hitam
serbuk lada putih
serbuk cili/paprika
bawang putih
minyak zaitun
tyme
sedikit garam

Cara membuatnya(video kat Tasty)

  • Potong sayuran dan susun dalam tray.
  • Letakkan olive oil,serbuk lada hitam,serbuk lada putih,serbuk cili/paprika,bawang putih,olive oil, thyme dan taburkan sedikit garam di atas sayuran.
  • Ambil tray satu lagi dan alaskan dengan foil
  • Ambil kepingan dada ayam dan sapukan olive oil di kedua-dua belah.
  • Taburkan sedikit paprika,serbuk lada hitam,sedikit garam dan lada putih juga di kedua-dua belah.
  • Letakkan thyme,kepingan lemon,hirisan bawang besar dan bawang putih di atas kepingan dada ayam dan bungkus dengan foil.
  • Masukkan kedua-dua tray dalam oven dan bakar dengan suhu 200'c selama 30 minit.
  • Bila ayam masak,hidangkan bersama sayuran . 

Isnin, 27 Februari 2017

APAM PISANG

Assalam buat semua..
Resepi Apam Pisang yang mudah di buat.
Lembut dan gebu sahaja serta naik dengan elok kejadiannya.
Bahan-bahan pun semua dah ada kat dapur.Pisang yang saya letak dalam freezer pun masih banyak lagi.
Let's try buat..

APAM PISANG

Bahan-bahan
1 cawan gula
1 cawan minyak masak
2 cawan tepung gandum
1 suud teh baking powder
3 biji telur A
1 cawan pisang lenyek
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya

  • Panaskan pengukus.
  • Pisang lenyek di biarkan selama 1/2 jam atau 1 jam.
  • Putar telur dan gula hingga kembang.Masukkan minyak dan pisang lenyek.Putar sebati.
  • Masukkan garam dan esen vanila.Putar sebentar.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan teruskan putar sebati dengan kelajuan rendah.
  • Kukus selama 10 -15 minit atau sampai masak.

PHOTO OF THE WEEK.

Ar-Rahman,Ayat ke-13.

Sabtu, 25 Februari 2017

MEE SIZZLING

 Assalam buat semua..
Hari ni try buat Mee sizzling...versi kurang kuah,makan dua orang baru habis..banyak sangat,penuh satu pinggang.
Biasanya kita menggunakan Yee mee tapi saya tak makan Yee mee,di ganti dengan mee maggi yang di celur sebentar.
Azim pesan tak nak kuah banyak,jadi saya buat versi kurang berkuah sedikit
Tak apa lah macam mana pun asalkan anak-anak makan.
Let's try masak

MEE SIZZLING

Bahan-bahan
1 paket mee segera
5 ulas bawang putih
5 biji cendawan shiitake-rendam biar lembut dan potong nipis
1/2 keping dada ayam-potong kiub kecil
1 batang sosej-potong kecil
3 biji cili kering-potong kecil
sayuran pilihan-sawi/kobis
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap pekat
1/2 inci halia-hiris nipis
serbuk lada hitam
1/2 kiub pati ayam
1 biji telur
beberapa titik minyak bijan/pilihan
1/2 sudu besar tepung jagung-di bancuh dengan air
sedikit minyak untuk menumis.
garam jika perlu.

Cara membuatnya

  • Tumis bawang putih,cili kering dan halia sehingga naik baunya.
  • Masukkan ayam dan masak sampai empuk.Masukkan sosej.
  • Masukkan air secukupnya untuk kuah dan kiub pati ayam.
  • Masukkan pula sos tiram dan kicap pekat dan serbuklada hitam.Biarkan mendidih.
  • Tambahkan cendawan dan sayuran lain.Tunggu 2-3 minit.
  • Akhir sekali campuran tepung jagung dan kacau rata.
  • Sesuaikan rasanya,tambah garam jika perlu.
  • Letakkan beberapa titik minyak bijan/pilihan.
  • Tutup api dan ketepikan
  • Ambil pinggan sizzling,panaskan.
  • Pecahkan telur dan kacau rata.Kalau nak letak telur separuh masak di atas mee pun boleh juga.
  • Masukkan separuh kuah dan letakkan mee celur di atasnya
  • Kemudian letakkan kuah yang separuh lagi
  • Sedap di hidang panas-panas.