style="text-align: center"

Rabu, 23 Januari 2013

MAULIDUR RASUL

 Salam bahagia buat semua..

Selawat dan selamat sejahtera ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.24 Januari 2013 bersamaan dengan 12 Rabiulawal Nabi Muhammad di lahirkan pada tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masehi.

AMANAT TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W KEPADA KITA

" Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan.
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu kamu selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kami kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun supaya orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu pasti akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah mengharamkan riba mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah pada Ramadhan, dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. 
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya terkecuali dalam takwa dan amal soleh.
Ingatlah kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awaslah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku. Dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain dan yang lain menyampaikannya pula kepada orang lain.
Semoga orang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus daripadaku. Saksikan ya Allah, bahawasanya aku sampaikan risalah-Mu kepada hambanya."
(TERKANDUNG DALAM KHUTBAH NABI YANG TERAKHIR DI LEMBAH URANAH, GUNUNG ARAFAH PADA 9 ZULHIJAH TAHUN 10 HIJRAH).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan