Ahad, 31 Mac 2013

SLICE CHOCOLATE CAKE

As-Salam buat semua...

Dah lama tak buat Kek coklat dan pada kali ini saya cuba buat Kek coklat dengan menggunakan resepi Slice Chocolate Cake.Sedap pun rasanya dan macam biasa kalau kek coklat anak-anak memang suka.Kalau boleh saya ingin cuba buat semua resepi Kek coklat yang berlainan yang ada dalam simpanan saya walaupun ia mengambil sedikit masa untuk mencuba kesemuanya. 
Pada mulanya saya bercadang untuk melapis kek ini sebanyak 3 lapisan tapi tiba-tiba kemalasan dan keletihan melanda jadi saya cuma buat 2 lapisan sahaja sebab tu lah lapisannya ada satu di bawah dan satu di atas..al-kisahnya...

SLICE CHOCOLATE CAKE
Sumber:Jom makan.Blogspot

Bahan-bahan
2 cawan gula kastor  saya letak 1 1/2 cawan
2 cawan tepung gandum
3 biji telur A
1 cawan serbuk koko
1 cawan susu cair
1 cawan minyak/mentega cair
1 cawan air panas didih
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya
  • Ayak tepung gandum,serbuk koko,soda bikarbonat dan baking powder bersama.
  • Panaskan oven terlebih dahulu.
  • Pukul gula dan telur sampai kembang dan tambahkan esen vanila.
  • Masukkan susu cair dan minyak/mentega cair ke dalam adunan dan kacau sebati.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah diayak tadi ke dalam adunan dan gaul secara kaup-balik perlahan-lahan.
  • Akhir sekali masukkan air panas didih dan dan kacau sebati.
  • Bakar selama 45 minit pada suhu 175'C-180'C atau boleh juga di kukus selama 1 jam/sehingga masak.
  • Bila masak sejukkan terlebih dahulu dan hias dengan topping mengikut kreativiti masing-masing.
*Saya menggunakan topping coklat ganache dengan hiasan coklat parut kasar dan chocolate rice di tepinya.Lapisannya pula aising buttercream

Buttercream
1/2 cawan mentega
1/2 cawan krimwell
1/3 cawan gula aising
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil coklat emulco   saya tambah

Putar kesemuanya hingga kembang dan gebu dan boleh di lapiskan  pada kek.

Sabtu, 30 Mac 2013

TOK AMAN BALI BEACH RESORT

As-Salam buat semua..

Hari ini tak ada entri masakan,cuma gambar-gambar bercuti satu hari satu malam kat Tok Aman Bali Beach Resort di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Putih Kelantan pada 27 Mac 2013.Mengabadikan sedikit kenangan melalui gambar-gambar di sini sebagai kenangan anak-anak untuk tatapan suatu hari nanti.
Pemandangan waktu senja yang indah....di kala matahari hampir terbenam di ufuk langit.
Azim main-main air sampai tak mahu naik..
Lepas check- out kami pergi kenduri ke Terengganu pula.
Bye-bye sampai jumpa lagi...

Jumaat, 29 Mac 2013

CHICKEN CHOP


As-Salam buat semua..

Selamat bertemu kembali.Susahnya nak dapat talian internet ni.Asyik mogok je!.Kalau ada pun tersekat-sekat pula.Dah hampir setengah jam dok depan PC ni baru lah dapat masukkan entri Chicken chop ni.Satu hidangan Chicken chop ni boleh membuat saya begitu kekenyangan-large portion! hee..he.
Resepinya adalah dari blog Kak Norlie-Chicken chop goreng.Dah memang Chicken chop kena goreng jadi saya tak letaklah perkataan goreng tu!

CHICKEN CHOP
sumber:norlieharumaini.blogspot.com .Tq!

Bahan-bahan
3 bahagian peha/ dada ayam (650gm/potongan besar) - buang tulang
3 ulas bawang putih - kisar halus
6 inci halia - kisar halus
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar saus manis ABC(Heinz)
1 sudu kecil serbuk lada sulah/lada putih
Garam

Salutan:
1 biji telur | kacau
2 sudu besar tepung gandum
100gm bread crumbs
*saya tidak buat salutan utk.ayam ini
*ayam sepatutnya di potong nipis .

Cara membuatnya
  • Bersihkan ayam dan gaulkan ayam bersama bahan kisar, sos tiram, saus manis, serbuk lada sulah dan garam.Masukkan dalam bekas bertutup dan perapkan selama 3 jam dalam peti ais.
  • Setelah cukup masa memerap, gaulkan pula dengan tepung gandum.
  • Pecahkan telur dalam mangkuk dan kacau.
  • Ambil ayam dan celupkan dalam telur kemudian salut dengan bread crumbs.Buat satu persatu.
  • Goreng dengan api sederhana besar agar ayam masak sekata.

SOS LADA HITAM

Bahan-bahan
2 sudu besar mentega
1 1/2 sudu besar tepung gandum
1 biji bawang besar-potong dadu
1 biji tomato -potong dadu
1 tin cendawan butang - hiris halus
1 ketul kiub pati ayam
2 cawan air
sedikit kicap pekat,sedikit sos tiram
sedikit sos cili/sos tomato
garam dan gula secukup rasa
1 sudu lada hitam(tumbuk halus)*boleh lebihkan amaun ikut selera
tepung jagung(standby)

Cara membuatnya
  • Cairkan mentega dengan api kecil.Apabila cair masukkan tepung gandum dan kacau sehingga perang.
  • Kemudian masukkan bawang dan kacau sehingga naik bau wangi.
  • Masukkan kiub pati ayam dan kacau.Masukkan air tadi dan cendawan butang serta kacau.Tambah sos cili.Kacau hingga sebati.
  • Tambahkan kicap pekat sedikit demi sedikit. Perhatian- jangan sampai hitam sangat, agak-agak kecoklatan dah cukup.Nanti tak cantik bila dihidang.Apabila masak sos akan lebih likat dan hitam.
  • Masukkan tomato yang telah dipotong dadu tadi dan kacau.
  • Tambahkan sedikit gula dan garam secukup rasa.Masukkan lada hitam yang telah ditumbuk tadi sedikit demi sedikit.Kacau hingga mendidih.
  • Jika sos kurang likat, masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan air sedikit demi sedikit sehingga agak-agak likat.Apabila sejuk sos akan lebih likat.
*bila sejuk biasanya ia akan pekat dengan sendirinya.

COLESLAW

kobis manis - cincang
sedikit karot - dadu
mayonis
susu pekat

Gaul rata dan sejukkan di dalam peti ais kemudian bolehlah dihidangkan.


MASH POTATO

1 kg.kentang - rebus empuk tos dan lenyek
sedikit garam
sedikit lada sulah
sedikit mentega

Gaul semua hingga lembut dan halus.

ROUX

2 sudu besar mentega
2 - 3 sudu besar tepung gandum
1 Liter air
1 kiub pati ayam


  • Panaskan mentega dan masukkan tepung.
  • kacau tanpa henti hingga keperangan.
  • masukkan air dan kiub pati ayam, masak hingga mendidih ikut kepekatan yang di ingini.
  • bolehlah siram atas mash potato yang di telah di bulatkan(saya guna ais krim scoop)
* sekiranya nak warna gelap masukkan sedikit kicap.
* boleh taburkan serbuk lada hitam

Rabu, 27 Mac 2013

IKAN MASAK HITAM MANIS

As-Salam buat semua...

Resepi asal ikan ini menggunakan filet Ikan Dori tapi kat dapur hanya ada ikan besar ini yang saya tak tahu namanya telah saya cuba buat  mengikut resepi asalnya cuma menggunakan ikan yang berbeza.Sedap di makan bersama nasi putih sebagai hidangan tengahari.

IKAN MASAK HITAM MANIS
Resepi asal:Dori hitam manis bersama epal hijau
Sumber:cookerypot.blogspot.com/Kak Anim.thanks

Bahan A
700 gm isi ikan Dori - potong kiub, perap seketika bersama garam dan lada putih atau 1/2 potong ikan besar
tepung jagung secukupnya
Minyak utk menggoreng


Bahan B
2 ulas bawang putih - hiris
1 cm halia - hiris
1 sudu besar pes bawang merah
1 sudu teh pes bawang putih
1 sudu besar pes cili


Bahan C
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar kicap tiram
2 sudu besar kicap manis


Bahan D
1/2 cawan air
1 sudu besar jus lemon


Bahan E
1 biji bawang besar - potong kiub
1 batang cili merah - hiris
1 biji epal hijau - di dadu
1 biji tomato - dadu


Cara membuatnya
  • Panaskan minyak untuk menggoreng.  Salutkan filet dengan tepung jagung dan goreng hingga garing.  Ketepikan.
  • Masukkan sedikit lebihan minyak goreng tadi ke dalam kuali untuk menumis. Masukkan bahan (B), kacau hingga naik bau.
  • Masukkan bahan (C), kacau rata dan sebati kemudian masukkan bahan (D). Biar mendidih dan kuahnya sedikit pekat.
  • Masukkan epal hijau masak hingga sedikit lembut. Kemudian masukkan bawang besar, cili merah dan tomato.Kacau rata.
  • Gaulkan filet siap goreng ke dalam kuah/curahkan kuah ke atas ikan goreng tadi.

Selasa, 26 Mac 2013

HOKKAIDO CHIFFON CUP CAKE

As-Salam buat semua...

Tentu dah ramai orang cuba membuat Hokkaido Chiffon cup cake yang sedap ni.(kita macam biasa la keretapi lambat!).walaupun saya boleh membuat kek ini tapi kalau jumpa yang di jual saya akan membelinya juga.Sudah tentu yang di buat sendiri dapat makan sepuas hati dan bila naik penimbang puas dapat tengok timbangan makin naik!.

HOKKAIDO CHIFFON CUP CAKE
Sumber:Mama Saranur.Blogspot.Tq!

Bahan-bahan
5 biji putih telur
1 sudu teh krim of tartar(boleh ganti dgn.sedikit garam halus)
80 gm .gula kastor

Cara meringue
Pukul putih telur bersama krim of tartar dan kemudian masukkan gula.Pukul lagi sehingga beku dan kental(bila di terbalikkan ia tidak jatuh)

5 biji kuning telur
30 gm gula kastor
40 ml.minyak jagung
40 ml susu segar
1 sudu teh esen vanila
60 gm tepung kek
25 gm.tepung kastard
1 sudu teh baking powder
*kesemua tepung dan baking powder di ayak bersama

Cara membuatnya
  • Panaskan oven terlebih dahulu.
  • Pukul kuning telur bersama gula hingga sedikit kembang.Kemudiasn masukkan minyak dan susu.Pukul lagi seketika.
  • Masukkan tepung yang telah di ayak tadi dan kacau rata.
  • Masukkkan putih telur tadi ke dalam adunan kek dan kacau secara kaup balik perlahan-lahan.
  • Masukkan adunan kek ke dalam acuan kek cawan dan bakar selama 20 minit bergantung pada oven masing-masing dengan suhu 180'C.5 minit pertama guna api bawah sahaja dan bakinya guna api atas dan bawah.
Kastard
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
6 sudu besar gula halus
400ml.susu segar
2 biji telur
2 sudu besar mentega
*sukatan adunan di atas ini banyak.Boleh di guna separuh sahaja dari sukatan asal jika cup cake anda tidak banyak.

Cara membuatnya
  • Sebatikan dahulu tepung dan susu dan masukkan kesemua bahan lain dan masak di atas api perlahan dan kacau  hingga pekat dan licin.Sejukkan sebentar.
  • Apabila cup cake sudah masak,sejukkan sebentar dan masukkan kastard ke dalam piping bag.Guna nozzle muncung tajam dan tekan kastard ke dalam kek untuk kek kita jadi berinti di dalamnya.


AYAM SOS OREN

 As-Salam buat semua..

Dalam beberapa hari ini saya tidak berkesempatan untuk menulis resepi di dapur maya ini kerana terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.Dan hari ini saya kembali bercuti selama tiga hari,cadangnya nak bawa anak-anak bercuti pada keesokan harinya di Tok Aman Bali Beach Resort dan juga menghadiri kenduri dalam minggu cuti sekolah ini. 
Sebelum tu saya entrikan satu lagi resepi ayam yang pernah saya cuba  dan rasanya agak sedap juga iaitu Ayam Sos Oren.Boleh juga di gunakan sos lemon.Di dalam resepi ini saya telah menggantikan jus segar oren sunkist dengan  jus pekat oren sunkist.

AYAM SOS OREN
Sumber:hanieliza.blogspot.com/Hanieliza's cooking.thanks

Bahan A
400 gm isi dada ayam
2 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 ulas bawang putih-tumbuk halus 

Untuk menyalut ayam
1 biji telur-di pukul sedikit
1 cawan tepung jagung    saya ganti tepung ubi
minyak untuk menggoreng

Bahan B
1 cawan jus oren sunkist(2 biji oren)    saya guna jus pekat oren sunkist
1 sudu kecil serbuk pati ayam Maggi
1/2 sudu kecil gula
1 sudu kecil minyak bijan(pilihan)
2 sudu kecil tepung jagung
2 sudu besar air

hiasan
1 biji oren- hiris
tomato-potong enam

Cara membuatnya
  • Nipiskan isi dada ayam dan perapkan ayam dengan serbuk pati ayam dan lada hitam selama 10 minit.
  • Celupkan ayam dengan telur dan sadurkan dengan tepung jagung/tepung ubi dan goreng hingga kekuningan.Toskan.
  • Goreng kesemua ayam sehinga habis.Ketepikan.
  • Keluarkan minyak menggoreng tadi dan tinggalkan 2 sudu besar di dalam kuali.
  • Tumiskan bawang putih dan masukkan bahan B kecuali tepung jagung dan masak hingga mendidih sambil di kacau perlahan(saya menggunakan 3 sudu besar jus pekat oren sunkist yang di campurkan dengan 1 cawan air).
  • Pekatkan sos oren dengan bancuhan 2 sudu kecil tepung jagung yang di bancuh dengan 2 sudu besar air.Sesuaikan rasanya mengikut kesedapan sendiri.Sos ini rasanya masam -manis.
  • Potong ayam goreng kepada kepingan kecil dan tuangkan sos oren pekat ke atasnya.Letakkan hiasan jika suka.


Khamis, 21 Mac 2013

PUDING KASTARD JAGUNG

As-Salam buat semua...

Hari ini saya bercuti,dalam kepala ni ada banyak perkara yang nak di buat .Mula-mula nak hantar kakak gi sekolah ambil result SPM yang keluar pada hari ini.Kemudian nak balik masak-masak.Petangnya pula nak gi sekolah adik menghadiri mesyuarat PIBG.Agaknya hari ini jadual saya padat sampai ke petang.Malam nanti mesti my bodyguard ajak keluar makan pula!.Pasal makan ni acara wajib tak boleh nak tolak,nanti ada orang terasa hati!.hee.hee
Kembali kepada niat sebenar....nak entri resepi puding!

PUDING KASTARD JAGUNG
Sumber:Rancangan Selera TV 3-oleh Rose Weils

Bahan-bahan
1 cawan tepung kastard
1 cawan susu segar
1 cawan gula merah
1 cawan santan
1 cawan sweet corn
sedikit garam

Cara membuatnya
  • Campurkan susu segar dan tepung kastard dan gaul sebati.Masak di atas api sederhana sambil di kacau .
  • Campurkan gula merah,santan dan sweet corn dan tambahkan ke dalam adunan .
  • Kacau lagi perlahan-lahan sedikit nampak pekat 
  • Bila adunan menjadi pekat,padamkan api dan tuang ke dalam acuan pilihan.Saya menggunakan gelas kecil supaya senang untuk di makan.
  • Sejukkan sebentar sebelum di letakkan ke dalam peti sejuk.Puding ini sedap di makan sejuk.


Selasa, 19 Mac 2013

TOFU TELUR BERSOS TIRAM

 As-Salam buat semua..

Semenjak anak-anak suka makan Tofu telur ni ,saya telah mencuba beberapa resipi Tofu telur yang sedap dan salah satunya adalah Tofu telur bersos tiram ini.Resepinya adalah dari Majalah Rasa.Kalau buat resepi ni selalunya ayam dan telur saya letak banyak supaya anak-anak puas makan.Kalau makan kat kedai selalu sahaja tak cukup!.

TOFU BERSOS TIRAM
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
3 paket tofu telur-di potong bulat dan goreng sebentar.
1/2 keping isi dada ayam-cincang halus
1 biji bawang besar-potong nipis
3 ulas bawang putih-cincang
1/2 ini halia-hiris panjang
1/2 kiub pati ayam
2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
1 biji telur-pukul  sedikit
air secukupnya
minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak dan tumis bawang besar,bawang putih dan halia sehingga naik bau.Masukkan isi ayam dan gaul sebati.Tambahkan air secukupnya .
  • Masukkan kiub pati ayam,sos tiram dan kicap manis.Masak hingga mendidih.
  • Untuk memekatkan kuah,masukkan telur yang telah di pukul sedikit atau jika suka lebih pekat lagi boleh guna tepung jagung yang di bancuh dengan sedikit air.
  • Sesuaikan rasa kuahnya mengikut citarasa sendiri.
  • Susun tofu telur di dalam pinggan dan curahkan kuah pekat ke atasnya.Sedia untuk di hidangkan.

Isnin, 18 Mac 2013

KEK NANGKA


As-Salam buat semua ...

Selamat bertemu kembali di dapur maya ini.Hari ini saya nak entrikan satu lagi kek yang yang saya cuba buat menggunakan buah nangka .Tekstur kek ini nampak longgar kerana di tambah kelapa parut.Saya tidak berapa suka makan buah nangka yang yang fresh jadi jalan penyelesaiannya ialah dengan mengolah jadi kek.Mujur jumpa resepi kat blog Singahsana kitchen.Kalau tidak siapa la  yang nak menghabiskan buah nangka itu.
KEK NANGKA
Sumber:singahsana kitchen

Bahan-bahan
6 biji telur gred B
200 gm tepung gandum/superfine
200 gm buah nangka-cincang
130 gm kelapa parut kering
225 gm mentega
130 gm gula kastor
1/2 sudu teh baking powder
2 sudu besar susu pekat manis

Cara membuatnya
  • Panaskan oven dan pukul mentega dengan gula hingga kembang dan gebu.Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga kembang.
  • Masukkan kelapa parut,nangka dan susu pekat manis.Gaul dengan spatula hingga rata.
  • Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik hinga rata dan sebati.Masukkan adunan kek ke dalam loyang yang telah di sapu mentega dan di alas dengan baking sheet.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 170 'C selama 45 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Sejukkan dahulu sebelum di potong.

Ahad, 17 Mac 2013

IKAN KUKUS TOM YAM

 As-Salam buat semua..

Ikan Kukus Tom yam yang saya gunakan di dalam masakan ini adalah Ikan Cermin yang besar dan muat di dalam bekas tahan panas yang besar ini.Pada mulanya saya ingin memotongnya sahaja menjadi dua keping tapi akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengukusnya seekor begitu.Tak muat sikit kepala dan ekornya dalam pinggan bulat itu!.Boleh juga di tambah sayuran kesukaan.

IKAN KUKUS TOM YAM
Olahan:daridapursuzana

Bahan A
1 ekor ikan besar
5o gm pes tom yam

Bahan B
2 cm. halia
3 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1 labu bawang besar
1 biji lada merah
1 biji lada hijau
*semua bahan di atas di hiris halus
2 batang serai -di ketuk
1 biji tomato-potong enam
1 biji limau nipis-ambil jus
2 tangkai pokok bawang-potong 1 inci panjang
50 gm.pes tom yam atau secukup rasa
garam/gula secukup rasa 
500 ml.air
3 helai daun limau purut
1 sudu teh tepung jagung 

Cara membuatnya

  • Perap ikan dengan pes tom yam selama 20 minit dan kukus selama 15 minit hingga masak.
  • Untuk sosnya,masukkan semua bahan B ke dalam kuali dan masak hingga pekat(tambahkan tepung jagung yang di bancuh dengan sedikit air).
  • Tambahkan garam dan gula secukup rasa dan jus limau nipis.
  • Apabila kuahnya pekat,tuangkan ke atas ikan tadi.Akhir sekali masukkan tomato.
  • Kukus sebentar lagi hingga bahan-bahan meresap ke dalam ikan.
  • Hiaskan mengikut kreativiti sendiri dan hidangkan .

Sabtu, 16 Mac 2013

BUTTER PRAWN




As-Salam buat semua..

Saya masak Udang Mentega ini mengikut teknik yang saya pelajari semasa menghadiri kelas masakan pada dua minggu yang lepas.Resepinya dari Majalah Rasa. Dah... tergaring pula telurnya dan bertambah-tambah crunchy la apabila di makan ketika masih panas-panas lagi.
BUTTER PRAWN
Olahan:daridapursuzana
Bahan-bahan

  • 125 gm udang saiz sederhana 
  • 4 biji telur kuning
  • 1 tangkai daun kari
  • 5 biji cili padi-hiris halus
  • 1 sudu teh gula
  • 1 sudu teh Maggi cukup rasa
  • 1 senduk mentega   
  • Minyak masak secukupnya
  • Tepung jagung secukupnya 

 Cara membuatnya


  • Panaskan minyak ,lumurkan udang dengan tepung jagung dan goreng udang hingga kekuningan. Angkat dan toskan. 
  • Panaskan  minyak dalam kuali dan masukkan mentega kemudian masukkan telur kuning dan kacau cepat dengan menggunakan senduk bulat sehingga telur menjadi bertali.
  • Kemudian masukkan daun kari ,gula serta serbuk Maggi cukup rasa sambil terus mengacau tanpa henti.
  • Padamkan api dan toskan kesemuanya di dalam penapis
  • Gaulkan juraian telur tadi bersama udang goreng.Siap untuk di hidangkan.


Rabu, 13 Mac 2013

PUDING JELI PIC


As-Salam buat semua...

Puding Jeli Pic ini resepinya saya kongsikan di sini dari hasil tangan CT Delima yang tersiar di dalam Majalah Saji .Rasa puding ini yang lemak manis dan macam biasalah ia sedap di makan sejuk-sejuk dalam cuaca yang panas begini.Ter-acccident pula sewaktu melapis bahagian bawah di mana lapisan jeli telah tercampur dengan lapisan susu.Sepatutnya lapisan atas cuma kelihatan warna hijau jeli sahaja.Macam biasalah,orang kata sudukan perlahan-lahan,saya pula sudukan dengan lajunya.Namun ia tidak menjejaskan rasanya.Cubalah buat,ia sedap sangat!
PUDING JELI PIC
Sumber:CT Delima-Majalah Saji Mac 2013

Bahan-bahan jeli
3 sudu makan serbuk jeli
100 gm .gula pasir
400 ml air
pewarna hijau secukupnya

Bahan puding
1 bungkus serbuk agar-agar
100 gm gula pasir
250 gm .buah pic dalam tin-kisar halus
700 ml.susu cair

Bahan hiasan
100 gm.buah pic-potong dadu

Cara membuatnya
  • Basahkan acuan pilihan dan taburkan buah pic yang di potong dadu ke dalamnya.Ketepikan.
untuk membuat jeli
  • Satukan gula pasir,serbuk jeli dan air di dalam periuk.Masukkan pula pewarna hijau dan kacau perlahan-lahan dengan api sederhana sehinga mendidih.Angkat.
  • Seterusnya sudukan jeli ke dalam acuan tadi dan biarkan jeli mengeras sedikit.
untuk puding pula
  • Satukan gula pasir,serbuk agar-agar dan susu cair ke dalam periuk.Masak dengan api sederhana dan kacau sentiasa sehingga mendidih.
  • Masukkan buah pic  yang di kisar tadi dan kacau rata.Angkat.
  • Akhir sekali,sudukan adunan puding perlahan-lahan ke dalam acuan berisi jeli tadi.Biarkan puding suam dan sejukkan di dalam peti sejuk.
  • Sedia untuk di hidangkan.



Ahad, 10 Mac 2013

KEK KUKUS KEJU OREO


As-Salam buat semua...

Hari ini saya entrikan resepi Kek kukus keju oreo dari Azlita yang tersiar di dalam Majalah Saji.Kebetulan bahan-bahan yang di perlukan semuanya ada di dapur ,lalu saya terus cuba membuatnya.Sedap juga bila dimakan bersama secawan nescafe panas.Kek ini sedap di makan sejuk.
Keistimewaan kek ini adalah dari rasa gabungan oreo dan nescafe yang enak dan harum baunya.


KEK KUKUS KEJU OREO
Sumber:Azlita masam manis-Majalah Saji Mac 2013

Bahan-bahan
110 gm .tepung naik sendiri
100 gm gula kastor
250 gm krim keju
160 ml. susu cair
10 keping biskut oreo-di kisar
4 biji kuning telur
4 biji putih telur
1 sudu makan coklat emulco
1 1/2 sudu teh serbuk nescafe segera
1 sudu teh esen vanila

 Cara membuatnya
  • Pukul krim keju bersama separuh gula kastor sehingga lembut.
  • Kemudian masukkan kuning telur sebiji demi sebiji dan di pukul terus.
  • Setelah itu masukkan tepung naik sendiri dan susu cair secara berselang seli dan di kacau rata.
  • Masukkan pula esen vanila dan di gaul sempurna.Ketepikan.
  • Di dalam bekas berasingan,pukul putih telur sehingga kembang.Masukkan pula baki gula kastor dan pukul lagi sehinga kental dan kaku.
  • Masukkan 1/3 adunan putih telur ke dalam adunan krim keju dan kaup balik sempurna.
  • Seterusnya masukkan baki telur selebihnya dan kaup balik rata.
  • Ambil 1/3 adunan dan letakkan pes nescafe dan coklat emulco.Kacau rata.
  • Sediakan loyang berukuran lapan inci yang telah di alas dengan kertas kek dan di sapukan mentega.
  • Tuangkan separuh adunan putih dan ratakan.
  • Setelah itu masukkan separuh adunan nescafe dan ratakan.
  • Taburkan pula biskut oreo secukupnya.
  • Ulangi langkah sehingga adunan habis.
  • Akhir sekali tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama sejam.
  • Sejukkan dan sedia untuk di hidangkan.
*bancuhkan serbuk nescafe dengan sedikit air suam untuk di jadikan pes.

Sabtu, 9 Mac 2013

TOM YAM CAMPUR

As-Salam buat semua...

Hari ini masak Tom yam yang ringkas sahaja kerana sudah lama tidak membuat hidangan yang berkuah.Tujuannya nak habiskan bahan-bahan yang sudah  lama berada dalam peti ais.Itu pun masih berbaki lagi kerana saya hanya masak untuk 3 orang sahaja.Anak-anak tak makan Tom yam ni sebab mereka tak makan hidangan berkuah kecuali  kuah gulai ayam/daging sahaja.

TOM YAM CAMPUR
Olahan:daridapursuzana

Bahan-bahan
  • 8 ekor udang
  • 2 ekor sederhana besar
  • 1/2 isi dada ayam
  • 2 kiub pati tom yam/2 sudu besar pes tom yam
  • 4 helai daun limau purut
  • 3 biji bawang putih-di ketuk 
  • 1/2 biji lada benggala hijau
  • 1 batang karot kecil
  • 5 biji cili padi-diketuk
  • 1/2 labu bawang besar
  • 2 batang serai-diketuk
  • jus limau nipis
  • air secukupnya
  • garam/gula secukup rasa
*Boleh di tambah sayuran kesukaan.
 
Cara membuatnya
  • Masukkan bawang putih serta bawang besar dalam periuk dan tambahkan air secukupnya untuk kuah tom yam.Tambahkan kiub pati tom yam.
  • Masukkan karot ,cili padi dan daun limau purut serta serai dan renehkan sehingga ia mendidih.
  • Tambahkan sotong,ayam dan udang.Bila semua bahan masak masukkan lada benggala,jus limau nipis,garam dan gula secukup rasa.