Sabtu, 19 Disember 2020

BICARA DETIK

BICARA DETIK

Biarkan detik yang berbicara
dengan bicara ketentuan
tentang kisah lalu
jua kisah mendatang
kerana kita sudah lama terkulai
tanpa upaya untuk menitip kata
lantaran takdir yang melanda. 

Biarkan detik yang berbicara
tentang impian
tentang harapan
tentang segala yang pernah
tertancap di ancala hati. 
Kerana kita tidak bisa lagi
melukis impian 
jua harapan.
dengan warna ketentuan
kerana takdir telah lama
membawa segala warna itu pergi
dan yang tinggal cuma
fatamorgana.

Biarkan detik yang berbicara
dan kita tadah lah dengan reda
segala takdir
kerana kita hanya insan
yang tidak bisa lari
dari ketentuan takdir. 

Sayang.. 
Hanya itu yang ku mohon. 
-AM-

Jumaat, 11 Disember 2020

BISKUT TART NENAS BUNGA

 

Assalam buat semua.. 
Biskut Tart Nenas menjadi kesukaan saya dari dulu-dulu lagi. 
Tidak kira samada Tart Nenas gulung, Tart Nenas cheese ataupun Tart Nenas kiub. 
Pasal jem Nenas pula, malas nak buat. 
Selalunya saya beli di kedai bakeri sahaja.
Ok, let's try baking. 

BISKUT TART NENAS BUNGA

Bahan
200 gm. Mentega 
300 gm.tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kastard
1 biji kuning telur gred A
1/4 cawan susu pekat manis
1 sudu teh esen vanila
Pewarna kuning

Jem nenas secukupnya-di gentel bulat. 

Cara membuatnya
Satukan mentega, susu pekat manis dan kacau rata.
Masukkan esen vanila, pewarna kuning dan kacau sebentar. 
Tambahkan tepung iagung dan tepung kastard.Kacau rata. 
Tambah tepung gandum sedikit demi sedikit dan gaul hingga doh tak lekat di tangan. Ketepikan. 
Ambil sedikit adunan dan terap dengan acuan tart bunga.
Buat sampai habis.
Isikan inti jem nenas.
Bakar dalam oven pada suhu 140'c selama 20-30 minit bergantung pada oven masing-masing.
Bila sudah masak, sejukkan dahulu kemudian simpan dalam bekas kedap udara.

Selasa, 8 Disember 2020

KEK PISANG MERELIT


 Assalam buat semua.. 
Lama dah tak buat Kek Pisang.
Kek ni moist dan tidak begitu manis 
Hias cantik-cantik tentu tambah selera nak makan. 
Lupa pula nak bakar dulu kepingan badam tu, nampak tidak lah perang sangat. 
Teksturnya lembut dan gebu. 
Jom tengok resepi dari Mariana Zainal
Let's try baking. 

KEK PISANG MERELIT

Bahan A
3 biji pisang atau 1 cawan pisang lecek.
3/4 cawab gula kastor
4 biji telur gred A
1 cawan minyak jagung
1 sudu besar perahan lemon/optional
Secubit garam

Bahan ayak B
1  1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Hiasan
Pisang-potong nipis
Biji kuaci dan kepingan badam-bakar sebentar.

Cara membuatnya

.Satukan bahan A-minyak, telur, garam dan masukkan ke dalam blender dan kisar.
 .Masukkan pisang lecek dan kisar sekejap lagi. Masukkan jus lemon. 
.Satukan bahan ayak dalam bekas dengan bahan kisar. Kacau sebati. 
.Panaskan oven pada suhu 15'c(oven saya). 
.Alas loyang 8 " dengan baking sheet. 
.Tuang adunan dan tabur hiasan jika suka. 
.Bakar selama 40-45 minit bergantung pada oven masing2.

Ahad, 22 November 2020

MERANDAI TAKDIR

MERANDAI TAKDIR

Hidup adalah takdir 
Dari detik ke detik
Dari waktu ke waktu
Menuju cita dan mimpi
Yang belum pasti kesampaian. 

Rindu adalah takdir
Dari sebuah rasa anugerah yang Esa
Mengharap menanti 
Hadirnya penawar

Cinta adalah takdir
Dari sebuah rasa di laman kalbu 
Terbina impian terbayang harapan
Namun belum pasti jadi nyata

Aku di dalam aku
Merandai takdir sebuah perjalanan 
Memujuk hati menyantun rasa
Demi takdir sebuah perjalanan usia. 

-AM-

Ahad, 15 November 2020

APAM KAMPUNG


 Assalam buat semua.. 

Hari ini dan semalam hujan turun tidak berhenti.  
Begitu lah keadaan bila tiba hujung tahun begini.
Keadaan semasa pun kadang-kadang menjadi sukar di musim pandermik Covid-19 ini. 
Dimana,ada jasad dan jiwa yang terpisah jauh.. 

Ok resepi untuk kali ini adalah Apam kampung. 
Biasanya ia dibuat dengan Gula melaka. 
Tetapi kali ini saya guna Perisa pandan dan warna hijau. 
Nak guna Perisa rose dan warna pink pun boleh juga. 
Let's try buat. 

APAM KAMPUNG

Bahan
3 cawan tepung gandum
2 cawan air suam
1 cawan gula
1 paket Mauripan
Perisa pandan
Pewarna hijau 

Kelapa muda di gaul dengan sedikit garam dan gula.

Caramembuatnya
.Dalam satu bekas, satukan gula,perisa pandan, pewarna hijau dan air suam. 
.Kacau biar larut. Ketepikan. 
.Dalam bekas lain, masukkan tepung dan mauripan,kacau sebati. 
.Tuangkan larutan gula ke dalam tepung dan kacau rata. 
.Biarkan selama 1 jam hingga kembang.
.Sapu loyang pilihan dengan minyak. 
.Panaskan kukusan dan kukus selama 1 jam 30 minit sehingga masak.
 .Bila masak,sejukkan sebelum di potong dan dimakan bersama kelapa muda. 

Sabtu, 31 Oktober 2020

SUSHI SANDWICH

Assalam buat semua.. 

Ni Sandwich yang biasa kita buat tapi di gulung.
Nampak sedikit kelainan dan menarik di pandang.
Intinya boleh di pelbagaikan ikut kesukaan masing-masing. 
Contohnya Sardin,sosej,filamen ketam, ayam dan telur. 
Yang saya buat ni guna telur. 
Let's try buat. 

SUSHI SANDWIC 

Bahan
Roti sandwich
Planta

Mayonis
Telur 
Lada sulah
Lada hitam
Garam

Sos cheezy
Daun salad
Karot-potong halus, celur sebentar
Gam-tepung gandum campur sedikit air

Cara membuatnya
.Rebus telur,bila sudah masak, hancurkan. 
.Potong tepi-tepi roti. 
.Sapu dengan Planta. Ketepikan. 
.Ambil telur dan tambah serbuk lada sulah,lada hitam, garam, mayonis. 
.Gaul sebati. 
.Ambil sekeping roti, alas daun salad, letak sesudu inti telur dan letak karot. 
.Picitkan sos cheezy. 
.Gulung dengan cermat dan kemas.
.Hujung roti gulung, sapu gam gandum. 
.Potong dua dan susun kemas-kemas dan buat sampai habis. 

Isnin, 19 Oktober 2020

PULUT KUNING


 Assalam buat Semua.. 
Ini Pulut Kuning  kegemaran anak-anak
Ia tidak di makan bersama Rendang seperti kebiasaannya. 
Anak-anak suka makan dengan Telur goreng rampai berwarna-warni ni.
Pulut pun saya buat sedikit lembut.
Tiada hari kebesaran apa pun,saja buat sebab teringin  nak makan😁
Let's try masak. 

PULUT KUNING

Bahan
500 gm.beras pulut susu
1 keping asam keping
1 sudu besar serbuk kunyit-pilihan
1 inci kunyit hidup-tumbuk dan tapis air
1-2 cawan santan pekat-boleh tambah
1/2 susu kecil garam
Pewarna kuning telur
Sedikit minyak masak

Cara membuatnya
.Basuh beras pulut dan toskan airnya.
.Masukkan air kunyit hidup dan pewarna ataupun serbuk kunyit.
.Masukkan air dan rendam beras pulut dengan asam keping  selama 1-2 jam bergantung kepada jenis beras pulut.
.Panaskan pengukus hingga air mendidih. 
Toskan beras pulut.
Masukkan ke dalam periuk pengukus  yang telah di lapik daun pisang atau daun pandan.
.Ketika di kukus, kacau sekali-sekala supaya ianya masak sekata.
Kukus selama 20-25 minit hingga masak.
.Angkat keluar pulut dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
.Tuangkan santan yang telah di campurkan dengan sedikit garam dan gula. 
.Biarkan selama 5 minit agar santan menyerap ke dalam pulut. 
.Setelah itu, kacau dan arung 
 pulut dan santan tadi selama 10-15 minit sehingga sebati dan nampak seolah-olah berminyak.
.Pastikan tiada pulut yang berketul.
.Masukkan kesemua pulut ke dalam periuk kukus dan kukus selama 10-15 minit atau sehingga masak. 
. Boleh tutup api dan taburkan sedikit gula supaya pulut bersinar cantik.
.Pulut Kuning yang sedap mesti ada rasa manis dan masin yang seimbang.

 Telur rampai
.Ambil 3 biji telur, setiap satunya di letak pewarma pilihan dan buat telur dada nipis. 
.Kemudian di gulung dan di potong halus-halus. 
.Taburkan di atas Pulut Kuning.



Jumaat, 16 Oktober 2020

RINDU


Rindu mengalir bersama darah
Menelusuri setiap daerah jasad
Jiwa meronta
Hati bersuara
Rasa membara

Aku di Dalam aku
Tersimpuh di kaki takdir
Menagih simpati Sang Khaliq
Menunggu penawar rindu
Semoga bersatu jua di dalam rindu
Pada detik yang kau tentukan 

Rabu, 7 Oktober 2020

KEK LAICI DELIGHT



Assalam buat semua.
Hari ini 07 Oktober 2020 adalah hari lahir Mr.King.
Kebetulan masuk bertugas jam 2100 hari ini jadi sempat lah buat sebiji kek.
Sekali -sekala meraikan tarikh penting dalam hidup 
Dan juga sebagai ingatan.   
Sambil-sambil buat praktikal guna fresh cream.
Saya buat kurang manis versi umur kami..hihi.
Dan Kek Laici tahun ini sebab dia sukakan perisa Laici.
Resepinya dari Azlina Ina.Thanks.

KEK LAICI DELIGHT

Bahan
1 cawan tepung naik sendiri
1 sudu besar tepung jagung
*Ayak bersama.

3 biji telur Gred B
1/2 cawan gula halus(saya guna 1/4 cawan gula)
1 sudu besar ovalette
1 sudu besar pes Laici/kordial Laici
1 sudu besar air Laici
5 sudu besar minyak jagung

1 tin Laici-toskan airnya
Fresh cream

Cara membuatnya
  • Putar kesemua bahan kek kecuali minyak jagung dengan high speed hingga putih dan gebu.
  • Masukkan minyak jagung dan kaup-balik sahaja hingga rata.
  • Masukkan adunan ke ke dalam loyang 7 inci yang siap di lapik baking paper.
  • Bakar dalam oven 35-40 minit dengan suhu 140'c(oven saya)
  • Bila masak,terus keluarkan dari loyang dan terbalikan di atas papan kek.
  • Setelah sejuk,potong kek kepada 3 lapis.
Untuk Hiasan kek
  • Putar fresh cream hingga kaku.
  • Paipkan ke atas lapisan pertama kek dan letak potongan Laici.
  • Lapiskan hingga 3 lapisan dan sapu bahagian luar dengan krim selebihnya.
  • Hias ikut kreativiti sendiri.

Khamis, 1 Oktober 2020

CHURROS

Assalam buat semua..
Atas permintaan anak-anak saya cuba buat. 
Letak gula aising saja untuk taburan walaupun ank-anak request nak celup coklat.
Kebetulan saya malas nak cairkan coklat...coklat cair ready made pun dah habis.
Tunggu lah saya buat lagi selepas ini. Anak-anak reda..hahaha.
Churros ni rangup ,sedap jer makan petang-petang sambil tengok drama Korea.
Let's try buat.

CHURROS

Bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan air
1 sudu besar marjerin
1 sudu besar gula
1 biji telur ayam
1/2 sudu teh esen vanila 
1/4 sudu teh garam

Cara membuatnya.
  • Panaskan kuali dan cairkan marjerin.
  • Masukkan air,gula,garam dan esen vanila.Biarkan sampai mendidih,tutup api.
  • Masukkan tepung gandum dan gaul sebati dengan senduk kayu.
  • Biarkan sejuk dalam 5 minit.
  • Pukul telur sekejap dan masukkan ke dalam adunan tepung gandum.
  • Masukkan adunan dalam piping bag dan guna acuan samperit.
  • Panaskan minyak untuk goreng tenggelam.Guna api sederhana.
  • Picitkan adunan ke dalam minyak dan potong dengan gunting mengikut panjang yang di sukai.
  • Goreng hingga keperangan.
  • Toskan minyak dan sejukkan dahulu sebelum di tabur gula aising atau biarkan saja dan di celup coklat cair.

Selasa, 29 September 2020

PUDING RAMBUTAN


 Assalam buat semua..
Sekarang ni tengah musim buah di sini.
Ada Duku dan Rambutan paling banyak dan ianya manis-manis macam saya..hihihi.
Tinggal di kawasan kampung,ada saja jiran datang bagi buah.
Tak sempat nak habiskan Buah Rambutan,saya potong kecil-kecil dan simpan dalam freezer.
Akhirnya,saya buat Puding Rambutan supaya cepat habis.
Let's try buat.

PUDING RAMBUTAN

Bahan
1 paket agar-agar serbuk/10 gm
900 ml air
2 sudu besar tepung kastard
1 tin susu cair
2 sudu besar gula
sedikit garam

Bahan kuah
1 tin susu cair
susu pekat manis-ikut manis sendiri
sedikit garam
1 sudu teh esen vanila
rambutan hiris secukupnya
tepung jagung untuk pekatkan kuah jika suka

Cara membuatnya
  • Masak kesemua bahan agar-agar hingga mendidih
  • Tuang ke dalam acuan kesukaan dan sejukkan sebentar sebelum di letakkan ke dalam peti sejuk.
  • Masak kesemua bahan kuah guna api perlahan.Masukkan hirisan rambutan .
  • Sesuaikan rasa manisnya ikut kesukaan sendiri.
  • Bancuh tepung jagung dengan sedikit air dan masukkan ke dalam kuah jika ingin kuah yang sedikit pekat.
  • Sejukkan kuah di dalam peti sejuk.

Khamis, 24 September 2020

KEK COKLAT MOIST


 Assalam buat semua..

Resepi Kek Coklat ni selalu saya buat untuk makan-makan di rumah.
Dah macam-macam resepi saya cuba,ini salah satu resepi yang mudah dan sedap juga.
Boleh lah cuba buat jika awak sukakan Kek Coklat.
Memandangkan catatan ini di tulis jam 0145 pagi,jadi kita terus saja tulis resepinya.
Mata tengah menahan mengantuk. 
Let's try baking

KEK COKLAT MOIST

Bahan A
90 gm.serbuk koko
100 gm.gula kastor
200 gm minyak masak/minyak jaqgung
200 gm susu pekat
1 tin susu cair

Bahan B
4 biji telur gred A
1 sudu teh esen vanila
Pukul kedua bahan ini sampai kembang

Bahan C
150 gm,tepung gandum/tepung superfine
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil baking soda

Cara membuatnya
  • Masukkan kesemua bahan A ke dalam periuk dan kacau sampai sebati dengan api yang kecil.
  • Masak sekejap sahaja sambil adunan di kacau perlahan dan tidak perlu mendidih .
  • Masukkan bahan B ke dalam adunan dan kacau rata.
  • Masukkan pula bahan C dan kacau sebati.
  • Tuang ke dalam loyang 9 inci yang di lapik baking paper.
  • Bakar dalam suhu 150'c selama 45 minit hingga 1 jam bergantung pada oven masing-masing.Nak kukus pun boleh.
  • Sejukkan dahulu kek baru di curah topping coklat.
Coklat topping
200 gm.coklat compound
100 gm.whipping cream
1 sudu besar mentega

Masukkan Coklat compound ke dalam bekas kaca dan double boil
Bila coklat dah cair,masukkan whipping cream dan kacau rata.
Masukkan mentega dan kacau sebati.
Tunggu sekejap baru di curah ke atas kek.

*Bunga di atas kek tu saya gunakan Coklat mousse.

Selasa, 22 September 2020

CORNFLAKES ALMOND CRUNCHY

Assalam buat semua..
Masa semakin bergerak pantas...
meninggalkan kita,
hingga saya tidak sedar apa yang di sibukkan setiap hari.
Semoga saya dan awak di lindungi dari kelekaan urusan dunia yang tak pernah habis.
Semoga hati kita semakin dekat dengan Allah.
Semoga kita semua kembali kepadaNya dalam keadaan cukup bersedia.

Cerita biskut.
Saya buat biskut ni untuk kudapan Amzar. 
Setiap hari dia menyiapkan tugasan di depan komputer riba sehingga terlupa waktu makan.
Pagi hingga lah ke petang
Letak biskut di tepi siap-siap,kalau lapar makan saja.
Let's try baking.

CORNFLAKES ALMOND CRUNCHY

Bahan-bahan
500 gm mentega
3 1/2 cawan tepung gandum
1/4 cawan susu tepung
1/2 cawan tepung jagung 
1/2 sudu teh baking powder
2 cawan cornflake-ramas kasar
1 cawan gula perang
1 biji kuning telur
1 sudu besar empleks
1 sudu teh esen vanila
Almond slice/almond nibs-bakar sekejap

Hiasan 
telur putih
Cornflakes ramas halus.

Cara membuaynya
  • Kacau mentega dan gula hingga sebati.
  • Masukkan kuning telur dan esen vanila
  • Kemudian masukkan campuran tepung-tepung tadi dan cornflake ramas kasar dan almond slice/nibs.Gaul sebati.
  • Bentukkan sedikit bulat dan sapukan telur putih.
  • Golekkan dalam cornflakes ramas sedikti halus.
  • Susun di atas loyang dna bakar dalam suhu 140'c selama 15-20 minit bergantung pada oven masing-masing.

Ahad, 6 September 2020

APPLE CRUMBLE IN CUP


 Assalam buat semua..
Saya buat Apple crumble ini olahan dari resepi asalnya Pie Apple crumble.
Tetapi kali ini saya letak dalam cawan kertas.
Mudah untuk di makan dan menarik juga.
Sedap jer makan dengan sudu,habis juga dua cawan sekali makan.
Awak terliur ke..cuba lah buat..
Let's try buat. 

APPLE CRUMBLE IN CUP

Bahan
6 biji epal granny smith-potong kiub
gula perang-ikut manis sendiri
1/4 sudu teh serbuk kayu manis
2 sudu besar mentega
3 sudu besar kismis

Cara membuatnya
  • Cairkan mentega dan masukkan kesemua bahan di atas.
  • Masak dengan api perlahan.Biarkan epal lembut sedikit.
  • Sesuaiakan rasanya dan boleh lah di angkat.
  • Masukkan epal ke dalam cawan kertas kecil separuh penuh.
  • Ketepikan.
Bahan Apple Crumble
150 gm tepung gandum
70 gm mentega sejuk
70 gm gula kastor
1/2 cawan nestum/oat

Gaulkan mentega sejuk dengan tepung gandum hingga menjadi berderai.
Tambahkan gula dan nestum.Gaul rata.
Taburkan di atas epal tadi.
Bakar dalam oven dengan suhu 130'c selama 15-20 minit atau permukaan atas menjadi perang.

Khamis, 3 September 2020

AYAM CHEESE

Assalam buat semua..
Ayam cheese ni kalau makan time panas-panas tu sedap sangat lah.
Puas hati dapat makan Ayam cheese yang di buat sendiri.
Boleh letak cheese banyak-banyak dan makan sampai pengsan.Begitu lah.
Oh ya..ni pun lauk kegemaran Azim juga.
Kadang tu sampai hari-hari dia nak makan.Itu..dulu lah.
Let's try masak

AYAM CHEESE

Bahan
Ayam di potong kecil
Tepung Bestari pedas
minyak untuk menggoreng

untuk sos cheese
1 sudu besar mentega
1 sudu besar tepung gandum
1 tin susu cair
1 cawan air
2 keping cheese slice
1 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar cheese powder/super ring powder
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1 kiub pati ayam

Cara membuatnya
  • Ambil tepung Bestari dan campurkan denagn air.
  • Rendam ayam dalam setengah jam dan toskan.
  • Kocok Tepung Bestari dan ketulan ayam dalam bekas bertutup supaya bergaul rata.
  • Panaskan minyak dan goreng ayam hingga habis.Toskan.
  • Panaskan mentega dan goreng tepung gandum.
  • Tambah air,susu cair dan susu pekat manis.
  • Masukkan lada sulah dan kiub pati ayam.
  • Bila mendidih,masukkan cheese slice ataupun super ring dan biar cheese larut.
  • Kepekatan sos cheese boleh di ubah suai ikut citarasa sendiri.
  • Kacau sentiasa dan api perlahan dan tambahakan cheese powder/super ring untuk rasa yang lebih lemak dan warna oren yang cantik.
  • Masukkan ayam ke dalam bekas sesuai dan paipkan sos cheese di atasnya.

Sabtu, 22 Ogos 2020

AISKRIM COKLAT HOMEMADE

Assalam buat semua..
Petang ni saya nak kongsikan satu resepi Aiskrim yang mudah.
Hanya tiga bahan di perlukan dan rasanya pun sedap juga.
Untuk hiasan saya taburkan coklat rice supaya kelihatan lebih menarik.
Nak paipkan coklat filling atas tu pun boleh juga.
Nampak anak-anak ambil makan lepas mereka makan nasi.
Cukuplah sebekas untuk mereka bertiga.
Let's try buat.

AISKRIM COKLAT HOMEMADE

Bahan
380 gm.dairy whipping cream
400 gm.susu pekat manis(saya ikut kemanisan sendiri)
60 gm.serbuk koko
1/2 sudu teh kopi emulco

Cara membuatnya
  • Pukul dairy whipping cream sehingga stiff peak.
  • Masukkan kesemua bahan lain dan pukul sampai sebati dan kelihatan gebu.
  • Masukkan ke dalam bekas sesuai,taburkan coklat rice dan tutup dengan plastik/penutup bekas.
  • Bekukan dalam peti ais selama 4-6 jam ataupun semalaman.

Jumaat, 21 Ogos 2020

PULUT MANGGA

 Assalam buat semua.
Sudah dua minggu saya tidak menulis di sini.
Beberapa perkara berlaku yang membuatkan saya kena selesaikan dalam waktu yang agak terbatas.
Bila dah semua selesai,baru lah tenang hati nak menulis di sini
Alhamdulillah.

Ok..saya tulis resepi Pulut Mangga hari ini.
Ia adalah salah satu dari dessert popular berasal dari Thailand.
Saya menggunakan Mangga Harum Manis di dalam resepi ini..rasanya,walla!
Dessert ini yang ada rasa manis,masin dan lemak memang sesuai dengan citarasa orang Kelantan.
Saya lah tu..(smile).
Pulut Mangga ini mempunyai rasa kombinasi pulut yang di makan dengan kuah santan pekat yang lemak dan sedikit manis serta mangga dan di taburi bijan di atasnya.
Pulut boleh di tanak atau di kukus sahaja.
Let's try buat.

PULUT MANGGA

Bahan
3 biji mangga-di potong
bijan-goreng tanpa minyak(dalam gambar di atas saya guna beras yang di goreng)

2 cawan beras pulut-rendam 1/2 jam
1/2 cawan santan 
1/4 sudu kecil garam
1 sudu teh gula
1 helai daun pandan
air secukupnya

Campukan santan,air,garam dan gula. Kacau rata.
Kukus pulut dan daun pandan selama 15 minit,angkat dan gaulkan dengan santan hingga rata.
Kukus lagi hingga pulut masak sepenuhnya.

1 kotak kecil santan
1 sudu teh tepung beras
1 cawan air
garam dan gula seckup rasa

Masak santan di atas api sederhana sambil sentiasa di kacau.
Santan mestilah kelihatan sedikit pekat(jika kurang pekat,boleh tambah tepung beras) dengan rasa lemak,sedikit manis dan masin.

Cara menghidang
Sendukkan pulut ke dalam bekas sesuai.
Masukkan santan,taburkan bijan goreng.
Letak beberapa potongan mangga.
Sedia untuk di makan.

Khamis, 6 Ogos 2020

DONUT

Assalam buat semua..
Seminggu dua ni hidup ada sibuk sedikit menguruskan Azim yang akan belajar di Kolej Matrikulasi,Kepala Batas,Penang.
Dah berjauhan seorang anak yang selalu saja...
pantang nampak saya cuti mesti oder makanan sedap-sedap yang dia suka makan.
..yang juga membuatkan saya belajar buat macam-macam masakan,walaupun tidak berapa mahir memasak,buat kek,roti dan dessert.
Seperti Donut coklat ini,Azim minta saya buatkan sebelum dia tinggal di Penang.
Semua donut sama sahaja kecuali saya hias pelbagai supaya nampak menarik.
Let's try buat.

DONUT 

Bahan A
Che Azim Ashmawi 
2 sudu besar yis Mauripan  

1 sudu besar gula
1/2 cawan air suam
**Campur semua bahan biarkan kembang.

Bahan B
2 cawan tepung gandum
3 sudu besar minyak masak
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam

Cara membuatnya
  • Gaul rata kesemua bahan B sehingga jadi serbuk roti dan campurkan dengan bahan A.Gaul rata.
  • Biarkan kembang(dalam 15 minit )
  • Bila dah kembang,tumbukkan doh untuk keluarkan angin.
  • Kemudian terap guna acuan ataupun bentukkan bulat.
  • Biarkan ia kembang sekali lagi (dalam15 minit).
  • Goreng dalam minyak yang cukup panas sederhana dengan api perlahan.
  • Toskan dan biarkan sejuk sebentar.
  • Boleh lah di salut dengan gula halus ataupun celup coklat cair dan hiaskan seperti dalam gambar di atas.

Selasa, 28 Julai 2020

BISKUT SAMPERIT PELANGI

Assalam buat semua..
Sudah hampir seminggu saya tak menulis di sini.
Entah masalah dunia yang mana satu yang saya sibukkan,asyik terkejar-kejar..
hingga akhirnya saya penat sendiri
..dan juga kepenatan mengejar bayang rindu yang semakin jauh..

Hari ini saya kongsikan resepi Biskut Samperit yang saya buat berwarna-warni.
Let's try baking.

BISKUT SAMPERIT PELANGI

Bahan
250 gm.mentega
100 gm.gula aising
1 biji kuning telur
250 gm.Red Rose
150 gm.tepung kastard
30 gm.tepung jagung
1 sudu teh esen vanila

pewarna pilihan
coklat rice

Cara membuatnya

  • Pukul mentega dan gula aising hingga sebati.
  • Masukkan telur dan esen vanila dan terus pukul hingga bergaul sempurna.
  • Kemudian masukkan tepung yang telah di ayak sedikit demi sedikit dan terus menguli hingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di jari.
  • Bahagikan kepada beberapa warna pilihan.
  • Panaskan oven pada suhu 170'c.
  • Masukkan doh ke dalam acuan samperit dan tekan ke atas loyang sepanjang 2.5 cm.
  • Taburkan dengan coklat rice jika suka.
  • Bakar dalam oven selama 15-20 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Bila dah masak,sejukkan dahulu sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Selasa, 21 Julai 2020

KEK PANDAN SANTAN

Assalam buat semua..
Resepi hari ini adalah Kek Pandan Santan.
Aroma santan yang lemak-lemak wangi di tambah pula dengan bau kelapa parut di atasnya.
Resepi dari Azlina Ina. Boleh cuba buat..sedap kek jenis lama begini.
Boleh di buat corak marble ataupun plain sahaja seperti yang saya buat dalam gambar.
Cumanya saya tambah kelapa parut di atasnya.
Kelapa parut tu saya goreng sebentar hingga warna perang sedikit dan sejukkan.
Let's try baking.

KEK PANDAN SANTAN

Bahan
2 cawan tepung naik sendiri
1/4 cawan susu segar
30 gm.serbuk santan
5 biji telur gred A
1 cawan gula halus
1 sudu besar ovalette
1 cawan/170 gm marjerin-cairkan

emulco pandan
pewarna hijau

kelapa parut-di goreng sebentar sampai sedikit perang.

Cara membuatnya

  • Putar kesemua bahan kecuali marjerin cair dengan kelajuan tinggi sampai putih dan gebu.
  • Masukkan marjerin cair dan kacau rata.
  • Bahagikan kepada dua bahagian jika ingin buat corak marble.
  • Satu bahagian di campur emulco pandan dan pewarna hijau dan satu bahagian lagi warna asal.
  • Lapik loyang dengan baking paper dan panaskan oven.
  • Letak satu-satu senduk adunan sampai habis.
  • Taburkan dengan kelapa parut di atasnya dan manik hiasan jika suka.
  • Masukkan ke dalam oven dan bakar pada suhu 150-160'c(oven saya)selama 45-50 minit bergantung pada jenis oven masing-masing.

Khamis, 16 Julai 2020

CEKODOK BAWANG JAGUNG

Assalam buat semua..
Hari ini dapat menulis lagi sebab saya masih lagi bercuti.
Di sini lah saya kalau tidak bertugas ataupun tidak sibuk dengan tugasan lain 
Kalau boleh nak kumpul banyak-banyak resepi dan gambar masakan di sini .
Itupun kalau kesihatan mengizinkan.
Umur pun dah semakin senja dan kadang-kadang tidak berapa sihat. 
Tak tahu lah yang mana satu nanti akan jadi catatan terakhir saya.
Semoga Allah sentiasa memberkati umur dan kesihatan saya.Aaamiin.

Hari ini saya kongsikan satu resepi mudah Cekodok goreng.
Sedap di makan panas dan rangup saja bila di cicah sos.
Let's try buat.

CEKODOK BAWANG JAGUNG

Bahan
500 gm.tepung gandum
1 cawan biji jagung/Corn kernel dalam tin
1 cawan corn cream
1 labu bawang besar-dadu kecil
1 kiub pati ikan bilis
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar marjerin
1 biji telur
1 sudu besar yis
 garam secukup rasa
air secukupnya

Cara membuatnya
  • Gaulkan kesemua bahan sambil di tambah air sedikit-sedikit.
  • Biarkan dalam 30 minit.
  • Panaskan minyak dengan api sederhana.
  • Goreng cekodok hingga perang dan toskan.
  • Buat sampai habis adunan.
  • Hidangkan dengan sos cili pilihan.

Selasa, 14 Julai 2020

AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROS

Assalam buat semua..
Merah sungguh warna agar-agar ni.
Balik dari tugasan di hospital,buka peti sejuk terus cair hatiku..haha.
Agak sibuk juga tugasan harian hari ini.
Hilang penat sedikit dapat makan Agar-agar santan yang sejuk ini.
Selalunya saya buat Agar-agar santan warna air daun pandan ataupun gula melaka sahaja.
Kali ini saya cuba buat dengan Sirap ros pula.
Rasa Sirap ros pun sedap juga
Let's try buat.

AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROS

Bahan
1 paket serbuk agar-agar(10 gm)
4 cawan air/1 liter
1 cawan gula(200 gm)/ikut manis sendiri
1 cawan santan pekat(200-250 ml)
1 biji telur
1-2 sudu besar sirap ros/beberapa titis pewarna merah dan perisa ros
2 helai daun pandan
esen vanila/esen ros
garam secukup rasa

Cara membuatnya

  • Pecahkan telur ke dalam santan,tambah sedikit garam dan kocak sedikit dengan garfu.Tambah esen ros/esen vanila.
  • Masak 1 liter air bersama gula,sirap ros,daun pandan yang di simpul dan serbuk agar-agar hingga larut.
  • Bila mendidih,kecilkan api dan masukkan campuran telur dan santan tadi sambil di kacau perlahan.
  • Kacau dan tunggu hingga mendidih dengan api sederhana.
  • Biarkan seketika sambil terus di kacau supaya tidak membuak dan melimpah.
  • Tutup api dan keluarkan daun pandan.
  • Basahkan loyang pilihan dan tuang adunan yang masih panas perlahan-lahan.
  • Sejukkan dahulu sebelum di masukkan ke dalam peti sejuk.
Ketebalan lapisan santan bergantung kepada jumlah santan yang di gunakan.

Isnin, 13 Julai 2020

SOTONG SAMBAL NAMPLA

Assalam buat semua..
Hari ini saya masak sotong yang menjadi kesukaan anak nombor dua.
Anak sulung dan yang ketiga tak makan sotong.
Begitu lah...selera ketiga-tiganya tak sama.
Makan dengan Nasi putih sedap juga
Saya pun tumpang makan sekali sebab saya memang sukakan sotong.
Let's try masak.

SOTONG SAMBAL NAMPLA

Bahan
1/2 kg.sotong
5 ulas bawang putih-di ketuk
2 batang serai-di ketuk
sos ikan/nampla secukup rasa
2 sudu besar cili kering kisar
2 biji cili padi-di ketuk
jus limau nipis
gula perang

daun ketumbar cincang

Cara membuatnya
  • Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan serai hingga wangi.
  • Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili masak.
  • Masukkan nampla,gula perang dan jus limau nipis.
  • Akhir sekali masukkan sotong dan cili padi dan kaup-balik biar rata.
  • Masak sekejap dalam 2 minit sahaja untuk elak sotong jadi liat.
  • Angkat dan taburkan daun ketumbar cincang.Sedia untuk di hidang

Sabtu, 11 Julai 2020

MANGO FLOAT DESSERT


Assalam buat semua..
Petang tadi dan malam ini masih lagi hujan.
Rindu pada bau hujan,rindu titisan hujan,suka sentuh air hujan.
Saya adalah seorang Pluviophilia.
Tak payah siram pokok bunga .
Rehat-rehat dan baca buku sahaja 
dan saya jenis yang 'masuk' ke dalam cerita buku yang di baca.
Lepas tu jadilah book hang over,asyik dok teringat-ingat saja...
..macam saya dok teringat-ingat kat awak la!

Dessert hari ini ni pun,asyik dok teringat-ingat juga.
Dah berkali buat tapi tak pernah jemu rasanya.
Sejuk dan sesedap rasa sampai tak boleh lupa.
Lemak-lemak manis,cair di mulut.
Saya buat versi makcik manis yang tak makan manis sangat..hahaha.
Hanya guna 4 bahan sahaja 
Untuk versi yang heaven lagi,krim putar di campur cream cheese dan susu pekat manis.
Ni anak-anak suka la sebab manis sikit.
Let's try buat.

MANGO FLOAT DESSERT

Bahan
2 biji mangga sederhana besar
1 cawan krim putar
biskut cream cracker secukupnya

air susu untuk celup biskut
loyang kaca tinggi empat segi

Cara membuatnya
  • Ambil 1/2 biji mangga kisar tanpa air di jadikan puri.
  • 1 1/2 biji mangga lagi di potong kiub kecil.
  • Pukul krim putar sampai kaku.
  • Ambil beberapa keping biskut cream cracker dan ramas bagi hancur.
Cara susun
  • Sapu sedikit krim putar di dasar bekas kaca .
  • Ambil biskut,celup dalam susu dan susun sampai penuh di dasar bekas.
Paipkan krim putar-
taburkan mangga kiub-
sudukan puri mangga  dan
taburkan serbuk biskut.
  • Ulang sampai semua bahan habis
  • Simpan dalam peti sejuk untuk beberapa jam.
  • Sedia untuk di makan sejuk.

Jumaat, 10 Julai 2020

HASHBROWN POTATO


 Assalam buat semua..
Hari ini mendung sahaja langit Kota Bharu..rindu pun bertamu.
Pagi tadi..saya menyiapkan sebiji Puding Karamel dan sebiji kek Marble untuk di beri kepada kawan lama,Mr.Asri yang akan bertolak balik ke Kuala Lumpur hari ini.
Bolehlah beliau dan anak-anaknya makan semasa dalam perjalanan nanti.
Hari ini saya nak update resepi Hashbrown Potato..lama dah buat.
Anak-anak saya sukakannya ,jadi saya belajar cara membuatnya.
Ia di hidangkan dengan Set platter yang boleh di pelbagaikan.

HASHBROWN POTATO

Bahan
3 biji Potato Russet
1 biji telur
1/2 biji bawang besar
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil serbuk lada hitam
garam secukup rasa
butter untuk menggoreng

Set Platter-pilihan sendiri
Sos Black Pepper
Coleslaw
Meatball
Potato wedges

Cara membuatnya
  • Parut potato dan cincang halus bawang besar.
  • Rendam dalam air sejuk dan letak dalam selama 20 minit.
  • Toskan dan perah air berlebihan.
  • Tambahkan telur,tepung gandum,garam,serbuk lada hitam dan gaul sebati.
  • Lengserkan butter pada kuali non-stick dan bentukkan hashbrown leper ataupun bulat(saya guna acuan telur mata).
  • Goreng hingga nampak keperangan di kedua-dua belah.Buat sampai habis.
  • Sedia di hidang dengan Set Platter.

Sabtu, 4 Julai 2020

HOKKAIDO CUPCAKE

Assalam buat semua..
Tugasan di hospital hari ini agak memenatkan juga,tambahan sudah berumur separuh abad ni,
tenaga sudah tidak sekuat dulu
...tapi tengok kat cermin masih cantik lagi..opps!
Saya amat suka dengan tanggungjawab yang dikurniakan oleh Allah ini.
Walaupun kadang-kadang terasa penat tapi akhirnya saya berpuashati bila tugasan dapat di selesaikan dalam masa yang di tetapkan.
Ok..untuk resepi hari ini,saya kongsikan Kek cawan Hokkaido ini.
Teksturnya ringan,gebu dan tidak lah manis sangat.
Let's try baking

HOKKAIDO CUPCAKE

Bahan
3 biji telur-asingkan putih dan kuning
20 gm.gula kastor
40 ml .susu segar
40 ml.minyak jagung
1 sudu teh esen vanila
60 gm .tepung kek

40 gm.gula kastor


  • Pukul kuning telur dan gula(20 gm.)hingga warna jadi pucat
  • Masukkan susu segar dan minyak jagung. Kacau sebati guna whisk.
  • Masukkan esen vanila dan kacau rata.
  • Masukkan tepung kek dan kacau sebati
  • Ambil putih telur tadi dan putar hingga berbuih dan masukkan gula(40 gm.)
  • Pukul sehingga bertanduk dan satukan dengan bahan kuning telur dan gaul rata dengan whisk.
  • Masukkan ke dalam acuan cupcake jenis keras.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 160'c selama 20 minit mengikut oven masing-masing.
Inti
200 ml.susu cair
1 sudu besar mentega
1 sudu besar tepung kastard
1 biji telur
2 sudu besar gula
Kacau dengan api sederhana hingga pekat
Buat lubang di kek guna copstik
Sejukkan dahulu sebelum di paipkan ke dalam kek.
Boleh juga di tabur snow powder di atas kek cawan.

Jumaat, 3 Julai 2020

MINI QUICHE


Assalam buat semua..
Biasanya base untuk Quiche di buat dari pastri ataupun roti.
Kali ini saya guna kulit popia sebagai base.
Rangup saja kulit popia ni selepas di bakar.
Intinya boleh di pelbagaikan seperti sosej,ayam dan daging cincang ataupun kentang.
Let' try buat

MINI QUICHE

Kulit popia saiz besar

Bahan inti
2 batang sosej-dadu kecil.
1 sudu besar mentega
1/2 labu bawang besar-potong dadu

Cairkan mentega dan tumis bawang besar hingga naik baunya.
Masukkan sosej ataupun inti lain dan masak sebentar. Ketepikan.

Sos telur
2 biji telur ayam
1/3 cawan susu segar
1 sudu besar serbuk lada hitam
serbuk lada putih
secubit garam

Bahan tabur
keju Mozarella parut
hirisan daun sup

Satukan kesemua bahan dan kocok sebati dengan garfu.

Cara membuatnya

  • Panaskan oven terlebih dahulu.
  • Griskan loyang muffin dengan mentega.
  • Potong empat kulit popia dan susun dua lapis dalam acuan muffin.
  • Tekan sedikit supaya rapat ke bawah.
  • Sudukan inti ke dalamnya dan dan curahkan bahan sos.
  • Taburkan keju mozarella dan daun sup. 
  • Bakar dalam oven dengan suhu 150'C sampai permukaan atas kelihatan perang.

Isnin, 29 Jun 2020

SAMBAL UDANG BERSANTAN


Assalam buat semua
Sudah empat hari bercuti dan esok saya kembali bertugas seperti biasa.
Hari in sempat la main masak-masak.
Buat sebiji Kek Swiss Roll Coklat untuk Azim,sebiji Puding Santan Ros untuk my bodyguard dan Roti Sarang Lebah untuk diri sendiri.
Untuk makan tengahari sampai petang,masak udang ni sahaja.
Di rumah ini tak masak di waktu malam dan tiada makan malam.
Sesiapa yang terasa lapar,ejas sendiri sebab tukang masak menulis dan membaca di waktu malam.
Itulah me time saya.
Ok..let's try masak

UDANG SAMBAL SANTAN

Bahan
1/2 kg.udang saiz sederhana
1/2 cawan santan pekat
1/4 cawan minyak
1 sudu besar air asam jawa
1/2 keping kecil gula melaka-cincang 
4 helai daun limau purut
2 sudu besar sos plum
2 sudu besar sos cili
2 batang serai-titik

Bahan kisar
15 biji cili kering besar(kurang pedas)
1/2 biji bawang besar
1 inci halia
6 ulas bawang putih

Cara membuatnya

  • Bersihkan udang dan toskan.Gaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam.
  • Goreng sekejap dan toskan minyak.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik baunya
  • Masukkan sos tiram,sos plum,sos cili,daun limau purut,gula melaka dan serai.
  • Masukkan santan dan sedikit air.Kacau rata.
  • Akhir sekali masukkan udang dan gaul rata.
  • Sesuaikan rasanya dan bolehh lah di hidangkan.
  • Taburkan batang daun ketumbar jika suka.

Ahad, 21 Jun 2020

KEK VANILA BUTTERSCOTCH

Assalam buat semua..
Hari ini saya cuti,jadi dapatlah menulis resepi di sini.
Macam biasa la sekarang ni,foto dah bertimbun dalam galeri tunggu giliran nak masuk blog.
Beratur juga lah sama macam norma baru kehidupan sekarang.
Di mana saja ada orang beratur melatih diri menjadi penyabar.

Kek ni sangat sedap untuk selera saya tapi tu lah manis sikit kat krim butterscotchnya.
Let's try baking.

KEK VANILA BUTTETRSCOTCH

Bahan
200 gm tepung naik sendiri/SRF
6 biji telur gred A
150 gm.gula kastor
1 sudu besar ovalette
3  sudu besar susu pekat
1 sudu kecil esen vanila
1/4 cawan susu segar
3 sudu besar susu tepung

150 gm.butter-cairkan

Hiasan
Krim putar
krim butterscotch
Cashewnuts honey/salted caramel(readypack)-di hancur kasar

Cara membuatnya.

  • Panaskan oven pada suhu150'c.
  • Ayak tepung dan masukkan kesemua bahan kecuali mentega cair.
  • Putar sampai putih,gebu
  • Masukkan mentega cair dan kaup-balik dengan whisk.
  • Alas loyang 9x9 dengan baking paper.
  • Masukkan adunan kek ke dalam loyang dan ratakan.
  • Bakar kek selama 40-45 minit dengan suhu 150'c(oven saya).
  • Bila masak,keluarkan dari loyang dan sejukkan.
Topping
Putar krim putar hingga kaku.
Paipkan ke atas kek ikut kreativiti masing-masing

Sos Butterscotch
3 sudu besar mentega
1 cawan gula perang
3/4 cawan krim putar

Cara membuatnya
  • Cairkan gula perang di atas api sederhana.
  • Bila dah semua larut,masukkan mentega.
  • Akhir sekali masukkan krim putar dan kacau rata.
  • Sejukan sebelum di paipkan di atas kek.
Cara hias ke
Paipkan krim putar.
Paipkan krim buttertscotch dan tabur cashewnuts hancur.
Sedia untuk di hidang.

Selasa, 16 Jun 2020

PUDING LUMUT

Assalam buat semua..
Baru sahaja pulang dari bertugas syif malam,mata masih belum mengantuk.
Saya kongsikan satu resepi puding yang mudah ini,sangat sedap di makan sejuk-sejuk.
Jika tidak menggunakan acuan,boleh juga di bekukan dalam bekas empat segi kemudian di potong.

Sedikit tips dari penulis resepi,Puan Diana Khalifa/My Resepi.
Ramas kelapa parut dengan telur dan daun pandan untuk hilangkan hanyir telur.
Baru lah di perah dan tapis.
Kalau guna santan kotak,kisar sekali dengan daun pandan,kemudian tapis.
Ketebalam Puding Lumut bergantung kepada jumlah berapa biji telur yang di gunakan.
Fungsi garam untuk menambahkan lemak santan dan gula batu untuk puding nampak berkilat dan tidak berair.
Bagi dapatkan Puding Lumut yang cantik,tuang campuran santan bila agar-agar dah mendidih.
Biarkan sekejap,bila dah mendidih kacau dalam 1 minit(sampai adunan santan nampak berketul).
Padam api dan berhenti kacau.

Saja saya nak test acuan puding yang di beli oleh ketua isi rumah masa PKP yang lepas.
Let's try buat

PUDING LUMUT

Bahan
1 pek agar-agar tali/20 gm.
200 ml santan kotak/1/2 biji kelapa parut
7 helai daun pandan-kisar dengan1/2 cawan air
3 senduk sederhana gula/ikut suka manis sendiri
2 biji telur
6 cawan air
sedikit garam
pewarna hijau
1 sudu makan gula batu

Cara membuatnya

  • Perah santan bersama telur dan air daun pandan.
  • Campurkan perahan santan dengan pewarna hijau dan garam.
  • Didihkan air dalam periuk dan masukkan agar-agar.Masak hingga hancur.
  • Tambahkan gula batu dan sebati hancur,baru masukkan gula.
  • Biar adunan mendidih dan masukkan campuran santan tadi.
  • Kacau dalam anggaran 1 minit dan tutup api.
  • Tuang dalam acuan pilihan dan sejukkan.
  • Masukkan ke dalam peti sejuk.

Selasa, 9 Jun 2020

PUDING ROTI BUTTERSCOTCH

Assalam buat semua..
Masih lagi kita berada dalam bulan Syawal.
Semasa catatan ini di tulis,PKP-B sudah pun tamat dan bermula 10/6/2020 bermulanya PKP- P sehingga 31 Ogos 2020.
Semoga kita terus istiqamah untuk meneruskan hidup dalam norma baharu.
Virus ini ada di mana-mana,yang penting kita jaga kita .

Entri kali ini,saya buat Puding Roti Butterscotch yang mudah sahaja.
Di makan bersama Sos Kastard yang lemak-lemak sikit.
Roti Butterscotch dah sedia manis,jadi saya letak gula sedikit sahaja dalam puding dan sosnya.
Boleh di tabur dengan kismis ataupun coklat cip .
Dalam resepi ini saya menggunakan coklat cip dan cincangan prune kering.
Let's try baking.

 PUDING ROTI BUTTERSCOTCH DAN SOS KASTARD

Bahan
8 keping Roti Gardenia Butterscotch-carikkan
1 tin susu cair
2 biji telur gred A
1sudu besar gula perang
1 sudu teh esen vanila
2 sudu mentega cair

coklat cip/kismis/prune kering cincang

 Bahan Sos Kastard
2 cawan susu full cream
1 sudu besar gula perang
1 sudu teh esen vanila
1 cawan air
1/4 suud teh garam
1 sudu besar tepung kastard/ikut kepekatan yang di sukai

*Masak kesemuanya di atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga pekat sedikit dan sejukkan.

Cara mmebuatnya

  • Campurkan kesemua bahan dalam mangkuk.
  • Lengserkan bekas kaca tahan panas dengan mentega.
  • Susun roti dalam bekas kaca tahan panas selapis dulu.
  • Taburkan coklat cip dan prune kering/kismis.
  • Ambil bahan kuah dan curahkan di atas roti.
  • Buat lapis-lapis dan tabur coklat cip hingga roti habis.
  • Akhir sekali,tuang kesemua lebihan kuah,tabur coklat cip dan orune selebihnya.
  • Biarkan seketika supaya bahan kuah meresap dalam roti.
  • Bakar dalam oven dengan suhu 150'c selama 20-30 minit bergantung pada oven masing-masing.
  • Bila masak,sejukkan dan di hidang bersama Sos kastard.

Sabtu, 6 Jun 2020

KUH PUTERI MANDI

Assalam buat semua..
Esok jam 1500,PM akan buat perutusan tentang PKP-B.
Semoga semuanya bertambah baik.
Kuih Puteri mandi adalah salah satu dari kuih tradisional Kelantan.
Dulu-dulu saya tidak berapa suka makan kuih ni dek terlalu manis untuk selera saya.
Bila dah berumur ni,baru ada hati nak cuba membuatnya.
Tapi selalunya saya akan ejas dia punya rasa supaya tidak terlalu manis.
Kelapa muda yang di gunakan ada dua rasa,di letakkan gula sahaja(putih) ataupun menggunakan Gula melaka(coklat).
Puteri mandi di buat warna -warni jika ada mood rajin macam saya ni,ataupun warna hijau atau putih sahaja.
Kuih Puteri Mandi ini agak popular dalam bulan puasa.
Sementara PKP yang masih berjalan ni,kuih yang tak pernah saya buat pun,saya cuba membuatnya.

Begitu lah..ada hikmahnya di situ.
Kelapa muda parut pula di ambil dari pokok Kelapa pandan di belakang rumah
Rasanya sedap dengan baunya yang wangi.
Let's try masak

KUIH PUTERI MANDI

Bahan-bahan
2 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung gandum
1/2 sudu teh air kapur/pilihan
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh gula
air
pewarna pilihan

Bahan kuah
2 cawan kelapa parut muda
1 keping besar gula melaka
air secukupnya
gula dan garam secukup rasa
2 helai daun pandan

untuk merebus
air
2 helai daun pandan

Cara membuatnya
Bahan Kuah kelapa

  • Didihkan air,garam ,melaka dan daun pandan.
  • Masukkan kelapa muda parut dan kacau rata.
  • Tambah gula jika perlu dan masak dengan api sederhana sambil sentiasa di kacau.
  • Bila masak,ketepikan.
  • Didihkan air dan masukkan dua helai daun pandan.
  • Gaul semua bahan di dalam mangkuk kecuali air.
  • Masukkan air sedikit-sedikit sambil di gaul hingga dapat doh tak lekat di tangan.
  • Bahagikan kepada beberapa warna jika suka.
  • Gentel bentuk bulat kecil-kecil dan tekan di tengahnya sedikit.
  • Masukkan ke dalam air mendidih.
  • Bila timbul,angkat guna penapis dan masukkan ke dalam air biasa untuk elak ia melekat.
  • Buat sampai habis toskan kesemuanya.
  • Gaul rata kesemuanya di dalam kuah kelapa muda.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Jumaat, 5 Jun 2020

IKAN MASAK TOMYAM

Assalam buat semua..
Macam-macam resepi dah saya cuba masak Ikan Siakap ni.
Salah satunya Ikan Siakap masak Tomyam.
Rasanya yang masam-masam manis sesuai sahaja di makan buat hidangan tengahari.
Kalau time mood memasak tu datang,ada saja resepi baru yang saya cuba buat.
Kalau menepati selera nanti saya akan ulang lagi.
Begitu lah..try and error.
Let's try masak.

IKAN SIAKAP MASAK TOMYAM

Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap sederhana besar
1 kiub pati Tomyam/1 paket pes Tomyam
1/2 labu bawang besar-di hiris
1 labu bawang putih-cincang halus
2 inci halia-hiris nipis
daun limau purut
cili padi-ketuk
1/2 kiub pati ayam
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar jus limau nipis
1 batang serai-di ketuk
2 biji asam boi merah
1biji tomato-potong kiub
akar ketumbar-di bersihkan

Cara membuatnya
  • Bersihkan ikan,buang sisiknya,lumur dengan serbuk lada sulah dan lada hitam.
  • Didihkan air dan masukkan ikan sekejap sahaja.Toskan*tujuan untuk buang rasa hanyir ikan.Jika suka masak terus,tidak perlu cara ini.
  • Masukkan air ke dalam kuali besar(jika ikan di potong dua,boleh guna periuk saja) dan kesemua bahan lain.
  • Tunggu hingga kuah Tomyam mendidih,baru masukkan ikan.
  • Biarkan ia mendidih sekali lagi,masak dengan api sederhana.
  • Sesuaikan rasanya dan boleh lah di angkat.
  • Sedia untuk di hidangkan.

Ahad, 31 Mei 2020

AISKRIM MANGGA

Assalam buat semua.
Hari ini 31 Mei 2020.
Hari di mana pada suatu masa,50 tahun lepas saya di lahirkan.
Alhamdulillah dengan segala rezeki kesihatan dan kelapangan waktu yang Allah kurniakan selama ini.
Hari ini saya kongsikan satu resepi Aiskrim mudah.
Buah Mangga tengah banyak di jual di Kota Bharu sekarang ini.
Harga mengikut jenis buah,yang saya beli ini Mangga Cuanan Rm 10 untuk 3kg.
Nak cepat di habiskan macam-macam saya buat.
Salah satunya,Aiskrim Mangga.
Saya letak mangga banyak-banyak,best jer makan mangga sejuk tu di musim panas ni.
Let's try buat.

AISKRIM MANGGA

Bahan
1 tin susu cair
1/2 tin susu pekat/ikut manis sendiri
1 sudu besar ovalette
1 sudu teh creamy vanila/esen vanila
1 sudu kecil tepung jagung
potongan buah Mangga

Cara membuatnya

  • Campurkan kesemua bahan dalam bekas kecuali potongan mangga.
  • Putar dalam mixer dengan kelajuan tinggi ataupun boleh juga guna blender.
  • Adunan akan kelihatan gebu dan ringan.
  • Masukkan ke dalam bekas sesuai dan masukkan Buah Mangga.
  • Bekukan semalaman di dalam freezer.
  • Sedia untuk di makan. 

Khamis, 28 Mei 2020

ROTI KERCA

Assalam buat semua
5 Syawal dan Selamat Hari raya Aidil Fitri buat semua.
Sambutan hari raya tahun ini serba ringkas sahaja,lagipun saya bertugas pada hari raya kedua.
Tiada kunjung-mengunjung dan tiada orang datang ke rumah.
Tapi saya menyediakan sedikit juadah untuk anak-anak seperti sebiji Kek Pandan Gula Melaka,Bakso,Mango Float dan Roti kerca.
Semestinya tak lupa juga biskut raya yang di buat awal-awal lagi.

Roti Kerca di katakan hidangan yang cukup popular di kalangan kerabat diraja dan bangsawan.
terutama di utara satu ketika dulu.
Ia seperti lempeng yang di makan dengan kuah Kari daging cincang serta bawang goreng dan daun bawang.
Roti kerca yang saya buat ni di makan dengan Kari ayam atas permintaan anak-anak.
Resepi dari Siti Nurhaliza.
Let's try buat.

ROTI KERCA

Bahan
1/2 kg.tepung gandum
3 biji telur
air
garam

minyak sapi

Cara membuatnya

  • Kacau sebati semua bahan kecuali minyak sapi dan kisar halus dalam blender.
  • Pastikan bancuhan betul-betul cair.
  • Sapu sedikit minyak sapi pada kuali non-stick.
  • Letak satu senduk bancuhan tepung dan ratakan pada kuali.
  • Biar sehingga masak,angkat dan ketepikan.
  • Gulung roti tersebut dan gunting serong.
  • Sedia di makan dengan Kari daging cincang.

Sabtu, 23 Mei 2020

SLICE CHOCOLATE CAKE

Assalam buat semua..
30 Ramadan
Masih lagi dalam perintah PKP-B
Berpuasa dan beraya tahun ni dalam keadaan yang agak janggal sedikit kerana lain sedikit keadaaannya dari norma biasa.
Teruskan lah amalkan penjagaan diri dan orang -orang di sekeliling kita mengikut garis panduan yang telah di tetapkan.
Sedih betul nak berpisah dengan Ramadan yang hebat dan penuh dengan seribu RahmatNya ini.
Ingatkan boleh update resepi banyak sikit bulan ni
tapi tak kesampaian juga.
dek kesibukan tugas di hospital dan tugas di dapur.
Ok lah,hari ini saya kongsikan resepi kek coklat yang mudah ini
Let's try baking

SLICE CHOCOLATE CAKE

Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 cawan serbuk koko
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh serbuk penaik
**Semua bahan ini di ayak bersama.

1 cawan gula kastor
3 biji telur gred A
1 cawan susu cair
1 cawan minyak/butter cair
1 cawan air panas
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya

  • Pukul telur dan gula hingga kembang.
  • Tambahkan esen vanila.
  • Masukkan susu dan minyak/butter cair.Kacau sebati
  • Kaup-balikkan bahan tepung yang telah di ayak tadi ke dalam adunan kek.
  • Akhir sekali,masukkan air panas dan kacau sebati.
  • Bakar selama 45 minit dengan suhu 160'c bergantung pada jenis oven masing-masing.
  • Adunan kek ini juga boleh di kukus.
Untuk topping
1/2 cawan serbuk koko
4 sudu besar susu pekat manis/ikut kemanisan sendiri
2 sudu besar mentega
1/4 cawan air

Masak semua bahan di atas api sederhana sambil di kacau sebati.
Jika pekat sangat boleh di tambah sedikit air
Bila kek sejuk,curahkan topping di atasnya dan tabur hiasan jika suka.
Potong kepada kepingan

Jika ingin guna Buttercream coklat
1/2 cawan butter
1/2 cawan krimwell
1/3 cawan gula aising
1 sudu kecil coklat emulco.

Putar kesemuanya hingga gebu
Sedia untuk di sapu pada kek.